Saturday, April 21, 2007

Strategi PAS Perintah Malaysia...


Ibnu Hasyim Catatan Santai

Presiden PAS Hj Abdul Hadi Awang.

KERETA kami meluncur melalui jalan arah ke Kuala Selangor dan Tanjung Karang. Melalui kawasan pilihan raya DUN Ijok Selangor, yang menghijau dengan tumbuhan, antaranya pohon-pohon kelapa dan sawit. Seperti biasa di kiri kanan jalan, sepanduk dan poster-poster pilihan raya bertebaran dan bertaburan di tempat-tempat strategik sepanjang jalan.

Kempen pilihan raya kecil sudah bermula, kerana wakil rakyatnya mendiang Dato K Sivalingam, 59, yang juga exco kerajaan negeri Selangor, telah meninggal dunia akibat serangan jantung sejurus tiba di Lapangan Terbang Chennai, India, 4 April lalu. PAS Selangor turut merakamkan takziah kepada isteri dan keluarganya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telahpun mengumumkan hari penamaan calun dan tarikh pilihan raya tersebut..

Pada Pilihan Raya Umum tahun 2004 yang lalu, Sivalingam mengekalkan jawatannya dengan menewaskan calon Keadilan, Abdol Rahman Moharam dengan majoriti 1,649 undi. Berdasarkan statistik pilihan raya lepas, Ijok mempunyai 12,404 pengundi yang terdiri daripada Melayu 50.63 peratus, India 28.28 peratus, Cina 20.85 peratus dan lain-lain 0.24 peratus.

“Dari statistik pilihan raya umum lalu jelas menunjukkan pengundi beragama Islam di Ijok hanya lebih sedikit dari yang bukan Islam… lebih kurang hampir sama nisbahnya dengan statistic pengundi-pengundi di seluruh Malaysia.” Kata kawan saya, seorang pengkaji pilihan raya Malaysia. “Cuma bagi seluruh Malaysia, pengundi-pengundi bangsa Cina lebih ramai dari pengundi-pengundi bangsa India, tak macam di Ijok. Tapi nisbah yang bukan Islam berbanding yang Islam adalah hampir sama.”

“Dalam keadaan begini, suasana masyarakat majmuk, mampukah PAS memerintah Malaysia?” Tanya kawan seorang lagi, seorang ustaz yang menganggap Ijok sebagai ‘Malaysia kecil’ kerana nisbahnya, lebih kurang macam penduduk Malaysia juga.

Seorang lagi kawan memintas, “Di Ijok pun PAS tak bertanding, macam mana nak perintah Malaysia?” Macam perli dan tak yakin saja.

Membuat saya terpanggil untuk menjawab, “Begini, brother! Disebabkan PAS mengambil pendekatan berkawan dengan parti-parti pembangkang dalam satu pakatan alternatif, maka kalau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding itu menang merebut kerusi di Ijok ini, samalah dengan PAS menang. Contohnya, negeri Kelantan berjaya dirampas semula oleh PAS melalui pakatan pembangkang-pembangkang, termasuk Semangat 46 ketika itu.(1990).

Begitu juga pakatan dengan antaranya Parti Keadilan sehingga mampu mengekalkan Kelantan dan menawan negeri Terengganu (1999) yang terlepas balik kemudiannya (2004). Itulah salah satu strategi untuk PAS menguasai Malaysia. Itulah juga strategi UMNO dalam menuntut kemerdekaan melalui Perikatan, serta mengekalkan penguasaannya memerintah Malaya dan seterusnya Malaysia, yang kini disebut Barisan Nasional (BN).”

“Jadi kalau begitu, samalah antara perjuangan PAS dengan perjuangan UMNO??.” Dia memintas lagi.

“Tidak.” Saya jawab. “Lihat perlembagaan PAS, sejak ditubuhkan (1951) dasar perjuangannya ialah Islam, meletakkan Al-Qur’an, Al-Hadith, sepakat ulama dan qias sebagai teras perlaksanaan undang-undang negara. Sedangkan UMNO dasarnya adalah kebangsaan, yang ditakrifkan oleh PAS sebagai ‘asabiah’ sempit, mengambil undang-undang penjajah Lord Ried dijadikan perlembagaan negara selepas merdeka.

Sebab itulah maka pengasas-pengasas penubuhan PAS (beberapa tahun selepas UMNO ditubuhkan), adalah kebanyakannya terdiri dari golongan sayap ulama dalam UMNO. Sebab mereka adalah ahli-ahli agama yang merasa tidak bebas berjuang Islam melalui parti kebangsaan. Contohnya UMNO waktu itu menghalalkan judi loteri melalui mesyuarat dengan mengundi angkat tangan, ikut majoriti, bukan melalui perlaksanaan hukum yang sebenar. Sebab itu mereka sanggup keluar atau dikeluarkan dari UMNO..”

“Tapi sekarang, bukankah UMNO juga perjuangkan Islam?? Buat universiti Islam, bank, pusat zakat, masjid, Islam Hadhari dan…..”

“….dan jadi taukeh judi, taukeh gudang arak, taukeh maksiat yang meruntuhkan moral remaja melalui jom hebuh, akademi fantasia dan macam-macam… Islam Hadhari le tu!!” Ustaz itu pula menyampuk pintas cakap kawan kami itu.

“Sebenarnya brother.. Islam yang diciptabuat oleh UMNO itu, adalah Islam tempelan, sebagai ‘make-up’ mencantikkan rupa asabiah yang huduh. Sekarang masyarakat orang Islam dunia sudah menjirus lagi kepada Islam, maka UMNO menggunakan pendekatan berbau Islam. Sama juga seperti PAS yang di awal penubuhan dulu memilih pendekatan melalui faham kebangsaan yang bukan asabiah, atas sebab-sebab semangat kemerdekaan. Namun dasar parti mereka tetap berbeza, macam langit dengan bumi, satu kebangsaan satu Islam...” Saya jelaskan.

“Pada ana..” Ujar ustaz pula. “Ana tetap yakin pada janji Allah SWT seperti berikut…” Dia membaca beberapa potong ayat Al-Qur’an, menterjemah dan menghurainya:

…‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’Surah Al-Mujadalah ayat 22

…‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.

…‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.

…‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.” At-taubah ayat 32 & 33.

Menurutnya, janji Allah SWT mengikut ayat-ayat di atas, ialah seperti memberi kemenangan kepada parti Islam (parti Allah), dan pemimpin tertinggi di dunia (Khalifah) adalah milik orang Islam. Jika kita menolong agama Allah..Allah pasti menolong kita. Samada musuh suka atau tidak suka, agama kita tetap akan dimenangkanNya. Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang menjamin kemenangan kumpulan atau parti Islam.

“Kalau orang Islam tidak percaya dan yakin hal ini, samalah dengan orang yang mengaku Islam tetapi mereka tidak dapat menerima kebenaran peristiwa Israk Mikraj seperti yang dikisahkan dalam Al-Qur’an dan sirah Nabi.. konon kisah Israk Mikraj tidak masuk akal, tetapi sebenarnya merekalah yang tidak berakal.. Jadi murtad, kerana tidak yakin dengan janji-janji Allah SWT. Di akhirat nanti, malaikat akan bertanya, kamu sokong atau tidak agama Allah atau parti Allah dalam pilihanraya? Kamu nak jawab kerana tak yakin boleh menang ke?? Na’abillauzuh!!” Tegas ustaz itu lagi.

“… Mereka yang sepertinya itu lupa, dimana Kerajaan Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW sewaktu ditubuhkan di Madinah dulu, jumlah rakyat Islamnya baru tidak sampai 30%. Di Malaysia, penduduk Islamnya majoriti.. lebih 50%, fasal apa tak boleh perintah? Cuba siasat di mana silapnya!! ”

“Ya! Mari kita siasat, mengapa sekarang umat Islam masih tidak menang, yakni masih belum menguasai dunia??”

“Mungkin buah kemenangan yang akan digugurkan Allah SWT itu, ialah buah kemenangan yang cukup masak, ranum, matang, tahan uji dan memberi manfaat kepada manusia. Bukan buah muda yang tak sepatutnya gugur, tak boleh dimakan atau tak boleh dimanfaatkan. Mungkin sebab itu Dia tak beri kita menang lagi….” Jelas ustaz itu.

“Biar saya beri komen sikit!” Minta kawan saya pengkaji pilihanraya itu. Kami pun memberi laluan padanya.

Dia meneruskan, “Itu sebabnya, untuk menjadi gerakan yang matang dan tahan uji, tidaklah semata-mata bergantung kepada kebenaran perjuangan, tetapi juga kepada penyusunan organisasi yang bersistem. Perjuangan yang benar tetapi tidak bersistem, boleh dikalahkan oleh perjuangan yang salah tapi lebih bersistem. Menyorot sejarah, kemenangan perjuangan di zaman awal dulu banyak bergantung kepada kekuatan jasmani, senjata dan kepandaian bertarung.

Kemudian bertambah dan beralih pula kepada kekuatan balik tabir golongan kaya, pemodal dan kapitalis selepas rovolusi industri di Eropah. Dan masakini, bertambah lagi kepada kekuatan teknologi maklumat, yang memudahkan negara bermaklumat canggih meratah negara mangsa yang buta maklumat. Pertarungan bermaklumat, adalah pertarungan yang telus, walaupun lawannya berada jauh di mana penjuru dunia sekalipun. Pertarungan tanpa maklumat ibarat si buta melawan orang celek. Di situlah pentingnya organisasi yang bersistem.”

“Bersistem macam mana??”.

“Bersistem atau berperancangan. Jangka pendek atau jangka panjang. Hingga dapat menguasai kemahiran, berteknologi tinggi atau berstrategi canggih, sentiasa baru dan maju…. Perlukan pengkayaan pemikiran-pemikiran kreatif..”

“Nabi pernah guna senjata tercanggih di zamannya (manjanik) dan strategi yang berlainan dalam setiap siri-siri peperangan yang beliau pimpin.… dikatakan pihak lawannya sentiasa mengkaji strategi-strategi baru Nabi, kerana beliau tidak pernah mengulangi strategi perang yang pernah beliau gunakan, walaupun terbukti kajayaannya masa itu...” Ustaz menambah.

“Ya.. Percambahan-percambahan idea seperti itulah yang perlu kita fikirkan, dalam menangani ‘perang melalui peti undi’ ini, supaya kita tidak ditipu musuh macam kata Nabi ‘dipagut ular dua kali dalam satu lobang’. Contohnya, bagaimana strategi Iran menghadapi Amerika sekarang? Atau strategi ekonomi Dr Mahathir melawan IMF 1998? Bagaimana strategi baru pembangkang melawan BN di Ijok ini? Jangan ditipu perkara sama dalam setiap kali pilihan raya?” Jelas pengkaji itu lagi.

“Berbalik pada persoalan asal, mampukah PAS kuasai Malaysia.. Apakah pandangan anda sebagai pengkaji politik pilihan raya, mengenai strategi-strategi baru yang perlu, kalau ada?” Saya pula bertanya.

“Mengenai strategi, pada hemat saya..

Pertama:Teruskan strategi menguasai pakatan barisan alternatif, NGO dan pelbagai persatuan lagi.

Kedua: Yakinkan rakyat, bahawa PAS mampu buat kebajikan kepada rakyat.

  • Contohnya, sekarang kerajaan Kelantan mula membayar RM2,500 bagi rakyatnya yang meninggal dunia sebagai bantuan kebajikan. Bagaimana kalau diluaskan ke seluruh negara, tanpa mengira kaum? Mungkin ada alasan tak cukup dana.. Tapi kalau boleh buat juga, tentulah rakyat Malaysia akan yakin bahawa PAS pandai cari dana dan mampu memberi kebajikan kepada rakyat tanpa mengira kaum seluruh Malaysia.
  • Contoh kedua, khabarnya di Markas PAS Taman Melewar KL, telah diadakan kelas pelajaran tambahan untuk pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan secara percuma. Hal ini perlu diperluaskan seperti di atas.
  • Dan banyak lagi program kebajikan lain yang boleh dibuat. Lihat Hamas di Palestin, Hizbullah di Lubnan dan lain-lain.

Ketiga: Bila boleh buat kebajikan pada rakyat, tentu rakyat yakin bahawa PAS pandai menjana ekonomi. Banyakkan lagi seminar-seminar cari duit, bahkan hingga ke peringkat antarabangsa bagi mendapatkan idea-idea baru. Cari duit untuk parti dan kebajikan rakyat bawahan. Bukan pemimpin yang kayaraya tapi parti atau kerajaan masih papa kedana. Ingat, bagaimana Dr Mahathir mantan PM, mengatasi masalah kejatuhan ekonomi, dan kemelut dengan IMF tahun 1998. Antaranya, idea mengikat ringgit US sebagai penyelamat, walaupun dia dikepung oleh gergasi ekonomi Amerika dan kuncu-kuncunya??

Keempat:Pendekatan kepada masyarakat Cina atau bukan Islam.

  • Oleh kerana kaum Cina atau bukan Islam adalah pengundi yang hampir menyamai orang Islam atau Melayu, maka program-program percambahan dan pengkayaan idea perlu diperbanyakkan.

  • Cari jalan selesai bagaimana hendak menarik pengundi Cina menyokong PAS. Antaranya..

I. Banyakkan program kebajikan untuk orang Cina atau bukan Islam.
II. Seminarkan semula mengenai cadangan-cadangan:

  • Ahli PAS bukan Islam.
  • Cina atau bukan Islam boleh jadi calun PAS dalam pilihan raya.
  • Bukan Islam boleh jadi Presiden PAS.
  • Buka Pusat Kebudayaan Cina atau Masjid Cina Muslim.
  • Buat hubungan dengan individu, organisasi, atau kerajaan di negeri China.
  • Cari jalan supaya orang PAS boleh belajar atau mengajar di negeri China.
  • Atau projek anak angkat di China.
  • Pemimpin-pemimpin PAS kena pandai berceramah atau bercakap bahasa Cina.

Kelima: Bila ada peluang dan masa yang baik, sila buat kerjasama dengan kerajaan BN atau UMNO selagi tidak menjejaskan dasar dan perjuangan PAS dan Islam. Mungkin hal ini agak mustahil… dan mungkin juga tidak.

Begitulah pandangan saya sepintas lalu.” Penjelasan agak panjang darinya. “Kalau ada yang nak komen apa-apa, silakan?”

“Kalau boleh saya tambah??” Saya jawab. Dia mengangguk dan mempelawa..

“Semua ilmu-ilmu yang kita bincangkan ini, perlu disusun semula, ditambah lagi mana yang perlu, disokong oleh ilmu-ilmu Al-Qur’an dan hadith Rasulullah dan dijadikan satu mata pelajaran khusus. Kita boleh namakan ilmu itu sebagai ‘Ilmu Politik Pilihan Raya’. Saya pernah ketengahkan pandangan ini dalam buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ terbitan GG Edar 1993.

Antara saranan tersebut adalah seperti berikut…

Kalau sembahyang itu wajib dilaksanakan bagi umat Islam, maka mendapatkan pakaian untuk sembahyang juga wajib. Begitu juga dalam kewajipan menegakkan Negara Islam yang ditentukan oleh ulama Malaysia melalui pilihan raya adalah wajib. Oleh itu ilmu pilihan raya perlu diajarkan bersungguh-sungguh kepada umat Islam Malaysia dengan menjadikannya sebagai satu mata pelajaran penting, seperti juga ilmu feqah, sejarah, tauhid dan ilmu fardhu ain yang lain demi menyelamatkan Islam di negara ini.

Perlu diadakan ujian praktikal kira-kira 5 tahun sekali sewaktu pilihanraya umum, dengan mengembeling tenaga ke arah menyokong atau mewujudkan calun Islam di tiap kawasan pilihan raya. Pelajaran teori dan praktikalnya bermula selepas pilihan raya umum, dengan kaji selidik keperluan dan kehendak rakyat tidak kira kaum, melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada mereka di samping ke arah memperkenalkan Islam, parti dan tokoh secara amali.

Penjelasan-penjelasan isu semasa, isu tempatan, ke arah daftar mengundi, penyemakan dan lain-lain hingga ke penamaan calun dan pilihan raya. Amal kebajikan yang disuruh oleh Islam seperti ziarah, menghaziri kenduri, menolong fakir miskin dan orang dalam kesusahan, adap berjiran dan lain-lain, semuanya boleh disegandingkan dengan kerja-kerja awal pilihan raya.

Akhirnya, kereta kami berhenti di depan sebuah surau dalam kawasan pilihan raya DUN Ijok.“Jom kita sama-sama tunaikan kewajipan… kepada Allah dan kepada manusia!!”

Semuanya keluar dari kereta…

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com
April 19, 2007.

(Judul asal: Pilihanraya Kecil Ijok, Mampukah PAS Perintah Malaysia?)

Sila baca e-book ini..

E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
Perlembagaan PAS

6 comments:

sheikh teluk intan said...

suatu wacana yang baik,teruskan

Ibnu Hasyim said...

Terima kasih atas perhatian anda.

Anonymous said...

I baca tulisan ini, I yakin strategi politik PAS berjalan di atas saranan-saranan spt disebutkan... Tulisan ini sudah setahun lebih berlalu, ianya suatu analisis yang menyengat.. mantab.

Syabas Ibnu Hasyim, walaupun hanya bernama santai.

Maulana Ali
Jakarta.

Anonymous said...

Ya Ibnu,

Mula-mula aku ragu pandangan kamu tentang muzakarah dengan UMNO, seperti kenyataan kamu baru-baru ini. Tapi, bila aku baca artikel baru aku faham pandangan saudara.

Syabas, teruskan perjuangan saudara.

Ahmad Fahmy
Brunei Darus Salam..

Ibnu Hasyim said...

Inilah
pengkalan awal aku bertolak,
mula dengan p'raya kecil Ijok.
sampaikan kebenaran melalui weblog.
Inilah tulisan awal ku
akan ku teruskan..
hingga terjelma
seluruh gaya hidup deen..
dalam diri, keluarga & masyarakat,
negara, global & ...
hingga menyeberang
ke zon akhirat.

Kita menyeberang,
bukan mati,
tapi kita pindah sangkar,
dari sangkar kecil sementara ini,
ke sangkar luas lagi kekal abadi.

Berjaya tidak..
itu bukan kerja kita,
kerja kita.. ialah kerjabuat kita.
situlah nilainya.
Menang.. mesti menang
itu janji Allah..

Jiwa & pejuang yang baik
bagaikan burung hijau
yang sedang menanti-nanti
bila ada ruang untuk keluar
dari sangkar penjara sempit ini
ke alam luas kekal,
akan terus meluru terbang keluar
bertenggek di pohonan taman,
bersiul-siulan di dahanan,
benyanyi-nyanyian,
...wah asyiknya
...wah rindunya
...wah bahagianya.
dengan tembolok gemuk..

Sudah terdengar suara mereka
nyanyian mereka yang pergi dulu..
memanggil-manggil
menggamit-gamit..

jom...
pi sama-sama...

Ogos 2008

Unknown said...


- Cũng tốt, ngươi tu luyện cho tốt, Song Phong Sơn Mạch kết giới còn có ta.

Nhạc Thiên lão tổ nhìn Nhạc Thành nói.

- Vâng lão tổ, hai người này có thể uy hiếp được Đoan Mộc Cuồng hay không.
dongtam
mu private
tim phong tro
http://nhatroso.com/
nhac san cuc manh
tổng đài tư vấn luật
http://dichvu.tuvanphapluattructuyen.com/
văn phòng luật
tổng đài tư vấn pháp luật
thành lập công ty
http://we-cooking.com/
chém gió
trung tâm ngoại ngữ
Nhạc Thành đột nhiên nhớ tới Hắc Ám Thần Điện Tứ Thiên Tôn cùng Ngũ Thiên Tôn bắt được trong tay, chính là nghĩ lấy hai người này đổi lại Phong thúc, đối với Đoan Mộc Cuồng, Nhạc Thành cũng không rõ ràng, nói không chừng Đoan Mộc Cuồng muốn trận bàn cũng không muốn hai người này trao đổi, đến lúc đó mình cũng chỉ là kiếm củi ba năm thiêu một giờ mà thôi.

Nói xong, Nhạc Thành tâm niệm vừa động, Tứ Thiên Tôn cùng Ngũ Thiên Tôn bị Nhạc Thành từ trong trữ vật giới chỉ gọi ra, hai người này dùng để uy hiếp Đoan Mộc Cuồng, Nhạc Thành không để Đại Song Tiểu Song làm quá.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails