Saturday, May 26, 2007

Harga Barang Naik… atasi dengan nuklear



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

SEBIJI bom nuklear mampu memusnahkan sebuah bandar. Senjata nuklear telah digunakan 2 kali dalam pertempuran semasa Perang Dunia II oleh Amerika Syarikat terhadap bandar Jepun, Hiroshima dan Nagasaki. Pemilik kuasa nuklear yang diistihar adalah Amerika Syarikat, Russia, United Kingdom, Perancis, Republik Rakyat China, India dan Pakistan.

Selain itu, negara Israel dipercayai mempunyai senjata nuklear, walaupun tidak diuji dan Israel enggan mengisytiharkan sama ada ia memiliki senjata nuklear ataupun tidak. Senjata nuklear kini dapat dilancarkan melalui pelbagai cara seperti melalui kapal terbang pengebom, peluru berpandu, peluru berpandu balistik, dan peluru berpandu balistik antara benua. Senjata nuklear adalah senjata yang mendapat tenaga dari reaksi nuklear dan mempunyai kuasa pemusnah yang besar.

Laporan akhbar New York Times (NYT) menyebutkan, para merinyu nuklear Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Iran telah mula memperkaya uranium pada skala lebih besar selepas menghuraikan masalah teknikal dalam prosesan berkenaan. Di Natanz, IAEA mendapati para jurutera Iran sudah pun menggunakan kesemua 1,300 emparan. Ia menghasilkan bahan bakar yang sesuai bagi reaktor nuklear.

Masyarakat antarabangsa telah mengenakan sekatan ke atas Iran, dengan menyenarai hitam 12 individu dan 10 pertubuhan. Salah satu pertubuhan terbaru yang disertakan dalam senarai itu ialah Bank Sepah, yang dikendalikan oleh pemerintah Iran. Bank itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pembangunan nuklear. Termasuk juga Jepun telah membekukan aset 13 pertubuhan dan 15 individu.

Jimat

Sebenarnya, reaksi nuklear juga boleh digunakan untuk menjana elektrik. Mungkin ramai yang masih belum tahu. Kos menggunakan nuklear jauh lebih jimat berbanding dengan minyak. Kos penggunaan minyak semakin lama semakin tinggi, menyebabkan TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk menambah keuntungan. Teknologi pada tahun 1998 Jepun, dengan sesudu teh uranium dapat menjana tenaga elektrik untuk satu bandar Tokyo. Satu sudu uranium membolehkan kapal selam US dapat bertahan penggunaannya selama untuk setahun,

Itu sebabnya baru-baru ini, menurut AFP (Mei 2007) kerajaan Thai buat kali pertama menyenaraikan tenaga nuklear sebagai satu pilihan dalam perancangan tenaga jangka panjangnya, meskipun timbul kebimbangan mengenai masalah alam sekitar. Perancang kerajaannya percaya menjelang hujung dekad akan datang, pembinaan loji nuklear mereka akan menjadi cara paling menjimatkan untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin pesat meningkat di negara tersebut.

“Kami menjangka menjelang tahun 2019, loji tenaga nuklear akan menjadi loji tenaga paling murah untuk menjana tenaga elektrik,” kata pegawai di Kementerian Tenaga Thai, Twarath Sutabutr baru-baru ini.

Loji Tenaga Nuklear

Pembinaan empat loji tenaga konvensional sudah pun diluluskan, tetapi Rancangan Pembangunan Tenaga kerajaan yang meliputi tempoh 15 tahun sehingga 2021 mengambil kira tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baru. Membina loji nuklear sebenarnya jauh lebih mahal daripada loji tenaga konvensional tetapi tenaga yang dihasilkan jauh lebih murah... Terutamanya jika harga minyak dan gas asli terus meningkat pada masa depan, kata Twarath lagi.

Thailand membelanjakan RM88.4 bilion (912 bilion baht) untuk import tenaga yang kebanyakannya minyak mentah pada 2006, peningkatan 16 peratus daripada tahun 2005, menurut kementerian tersebut. Sebab itulah kerajaan Thai mula menimbangkan penggunaan tenaga nuklear 30 tahun lalu tetapi cadangan itu digugurkan selepas simpanan gas asli ditemui di Teluk Siam.

Kira-kira 70 peratus bekalan elektrik Thailand berpunca daripada gas asli, dengan bakinya daripada minyak, arang batu dan tenaga hidro. Namun simpanan gas asli semakin berkurangan, sekali gus memaksa Thailand mencari sumber tenaga baru bagi mengurangkan pergantungan kepada import petroleum.

“Jelaslah Thailand perlu mempelbagaikan sumber tenaganya dan pilihannya sama ada nuklear atau arang batu,” kata pakar tenaga di Singapura, Martin Daniel pula.

Kini, Thailand sudah pun mengadakan beberapa perjanjian tenaga dengan negara jiran, Myanmar termasuk projek tenaga hidro bernilai RM20.4 bilion (AS$6 bilion) di Sungai Salween, sungai terpanjang tanpa empangan di Asia Tenggara.

Persiapan

Menurut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kerajaan (kerajaan Pusat) perlu membuat sesuatu yang boleh menyenangkan perasaan rakyat kerana berdepan dengan kenaikan harga barang ekoran kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

“Apa yang saya lihat kegelisahan rakyat makin kuat apabila berlaku kenaikan harga barang. Nampaknya belum ada program yang dibuat kerajaan Pusat untuk menyenangkan perasaan rakyat mengenai perkara itu,” katanya selepas mesyuarat Exco Negeri di Kota Bharu 23 Mei ini.

Kesimpulannya, jalan penyelesaian jangkapanjang ialah dengan mengikut langkah kerajaan Thailand, yang boleh dilihat dari pelbaggai sudut.

Pertama, penjimatan kos supaya harga minyak boleh dikawal, demi kesejahteraan rakyat walaupun dalam masa jangka panjang.

Kedua, kerajaan melalui agensinya boleh wujudkan sebuah projek bisnes antara negara, dan

ketiga, demi keselamatan negara masa depan, seperti fiman Allah SWT Surah ke 8 Al-Anfal, ayat 60:

‘Dan persiapkanlah untuk (menghadapi) mereka, apa saja yang kamu sanggup daripada kekuatan dan daripada ikatan kuda-kuda, untuk kamu pertakuti dengan dia musuh Allah dan musuh kamu.’

Ibnu Hasyim: Nama sebenar adalah Dr Hj Mohd Hj Hashim, pernah menulis di beberapa akhbar tempatan, pernah menjadi pengarang majalah Al-Ummah dan menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama.

No comments:

Post a Comment