Saturday, May 12, 2007

Masjid Cina: Hang Too Ah & Misteri Masjid Tak Siap

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

(gambar: Masjid Tengkera berbentuk Cina di Melaka).

HANG Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu yang dibangga-banggakan. Macam Robin Hood di Eropah atau Sipitung di Indonesia. Kerana itu ada yang menganggap beliau hilang tiada kuburnya. Kini, konon kuburnya sudah dijumpai di Melaka, yang pernah saya ziarahi, dulunya disebut kubur Tok Guru, dan sekarang sudah menjadi kubur Hang Tuah.

Hang Tuah bukan saja pernah menunjukkan kehandalannya di Tanah Jawa seperti yang disebut dalam buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G. Shellabear terbitan MPH Ltd. S’pore), bahkan pernah sampai ke Venice, Itali, dalam hubungan diplomatik kerajaan Melayu Melaka di bawah Sultan Mansur Shah. (Lihat buku tulisan A.Kadir Ahamad ‘Terangnya Matahari’ terbitan DBP-KL). Hebatnya orang Melayu, sudah ke Eropah sejak abad ke15 lagi!

Saya lihat pula buku-buku di perpustakaan rumah saya. Antaranya, ‘Pengantar Sejarah Patani’ sempena mengenang 40 tahun Haji Sulung oleh Ahmad Fathy Al-Fatani (terbitan Pustaka Darussalam Kedah) ada mencatatkan, terdapat sebuah perigi yang digali oleh Hang Tuah, sewaktu beliau datang ke Patani. Perigi tersebut terletak sebelah selatan lebuhraya, di tepi jalan masuk Kampung Chembar. Pun saya pernah ke sana, tapi tiada apa-apa istimewa pada perigi itu.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi…

Setelah berbalas salam dan bertanya khabar, kawan saya itu berkata, “Saya terbaca tulisan Tuan Aji dalam laman web TranungKite mengenai Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu…”

Dia adalah orang Melayu Pattani menjadi setiausaha kepada sebuah persatuan belia Islam seluruh Thailand. Menjadi guru dan pembaca berita di radio bahagian Selatan Thai. Saya panggil dia Ustaz. Dia yang menelefon saya dari Yala.

“Ya. Betul tu! Kenapa??”

“Tuan Aji ingat tak.. Waktu aman-aman dulu (waktu sebelum berlaku pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek dan Tak Bai oleh Thaksin yang jadi Perdana Menteri Thai ketika itu), kita berpusing-pusing berkeliling dengan kereta melihat kesan-kesan sejarah perjuangan Islam dan Melayu Pattani…”

“Ya. Betul. Saya ingat.”

“Ingat tak Masjid Kerisek? Adakah masjid itu boleh dikategorikan sebagai Masjid Cina kerana dia dibina oleh seorang yang berbangsa Cina??”

“Oo!” Tak terjawab saya. Kenangan lama menghimbau kembali.

Perjalanan kereta kami melalui lebuhraya Pattani-Narathiwat, sebelah utaranya terdapat sebuah masjid yang nampak tak siap-siap, di mana arah ke barat sikit dari tempat bersejarah ‘Kubur Marhum’ dan ‘Telaga Lama’. Kereta kami membeluk ke kiri dan masuk ke kawasan berhampiran masjid itu.

Antara yang menarik cerita-cerita di Kerisek di samping kisah ‘masjid tak sudah’ ini,

terdapat juga ‘Kubur Wayang Melayu’, iaitu 2 buah kubur lama ditandai dengan 2 pasang batu nisan Acheh yang cantik, terletak di tepi sebatang jalan setapak dalam sebuah ladang nyiur atau kebun kelapa.(ditemui pada 1988, sebuahnya telah patah). Begitu juga mengenai perigi yang digali oleh Hang Tuah seperti disebutkan.

Kereta kami berhenti dan parking dekat simpang masuk ke Bendang Garam, tempat orang-orang Melayu membuat garam.

“Kenapa dengan masjid ini? Mengapa tak siap-siap? Lamakah sudah dibina??” Meloncat pertanyaan dari mulut saya.

“Masjid ini dibina agak kemudian dari Masjid Teluk Manak juga masjid bersejarah yang telah kita lawati semalam. Jika kita lihat buka-buku sejarah Pattani, seperti tulisan Ibrahim Shukri, A. Bangnara dan A.Teeuw & D.K.Wyatt, tiada kata sepakat mengenai tarikhnya dibina.” Jawabnya.

Menurutnya lagi, terdapat 3 sumber dari 3 jarak masa yang berlainan. Menariknya, dia mengutip kenyataan-kenyataan dan cerita tradisi sekitar Kerisek, Tanjung Lulok serta Tanjung Dato’, di mana nama sebenar masjid tersebut ialah Masjid Pintu Gerbang, yang dibina oleh ahli binaan berbangsa Cina. Nama lelaki Cina pembina itu ialah Lim Toh Kian atau Lim Tau Kin. Orang-orang Pattani menyebutnya dengan To’ Kian sahaja.

Mulanya beliau hanya bisnes di negeri Pattani. Tetapi apabila beliau melihat keindahan agama Islam yang dipimpin oleh raja-raja Melayu Pattani, dan rakyatnya yang hidup tenang serta damai, maka beliau memilih untuk memeluk agama Islam, serta terus membuat kesimpulan untuk tinggal tetap di sana. Menurut versi tersebut, hal ini berlaku sekitar zaman Raja Biru (1616-1624) masehi atau beberapa tahun selepasnya.

Walaupun beliau berbangsa Cina, beliau tetap ikut berbakti kepada agama dan negara tempat beliau berhijrah. Beliau ditugaskan untuk mengepalai membuat meriam-meriam kerajaan (Sila lihat buku ‘Sejarah Kerajaan Melayu Patani’ oleh Ibrahim Shukri). Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat serangan pertama Kerajaan Siam ke atas Negeri Pattani pada tahun 1603.

“Maknanya…” Saya memberi komen. “Mungkin kerajaan Pattani pada masa itu telah mempelajari dan menggunakan teknologi senjata dari Negeri China. Mungkin To’ Kian ini jadi perantaranya.. samada To’Kian agen kerajaan Pattani ke Cina atau sebaliknya..”

Kawan saya Ustaz ini bercerita lagi, “Terdapat 3 laras meriam telah disiapkan. 2 laras meriam besar bernama ‘Seri Negara’ dan ‘Seri Patani’ berukuran 3 depa, 1 hasta dan 2 inci panjang. Satu lagi bernama ‘Mahalela’ berukuran kecil 5 hasta dan 1 jengkal sahaja. Tetapi malangnya pada tahun 1785, Patani kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam, meriam-meriam itu dirampas dan di bawa ke Bangkok. Satu darinya jatuh di Kuala Patani sewaktu nak diangkat naik ke kapal, satu lagi hilang entah ke mana.. Dan yang bernama ‘Seri Patani’ itu dipamerkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Thai di Bangkok hingga sekarang.”

“Tempat membuat dan menempa kerja-kerja menuang meriam-meriam itu kini disebut Kampung Tuang Bedil... tepi kampung saya!” Kata kawan ustaz yang sekali datang bersama-sama kami. “Kesan tapak masih boleh dilihat. Tanah sekitarnya menjadi hitam, oleh sisa-sisa tahi besi dan tembaga yang terkumpul mendak atau mendap di situ. Tidak banyak rumput tumbuh. Kalau ada masa, jom kita pergi lihat lepas ni. Nak ke??”

“Insya Allah, kalau sempat!”

Kini, Masjid Kerisek tetap tersergam kukuh di hadapan kami. Walaupun ia terbuat dari batu-batu pejal yang nampak lama dan usang. Tidak berbumbung tetap pula. Macam sengaja dibiarkan tidak siap. Mungkinkah kerajaan yang bukan Islam di sini, tidak minat untuk membantu menyiapnya? Kalaupun begitu takkanlah penduduk Islam di sini tak mampu membuat dan menyiapnya? Sedangkan masjid-masjid lain di sini boleh pula disiapkan? Apakah misteri di balik kisah ini??

Kami masuk ke masjid itu dan bersembahyang sunat. Lepas itu…

“Maaf Ustaz!” Saya masih tak puas hati lagi. “Pertanyaan saya tadi ustaz masih belum jawab-jawab. Mengapa masjid ini masih tidak siap-siap??”

“Oo.. Tadi, masih belum selesai lagi ceritanya!” Katanya. Dia mengajak kami arah ke barat masjid tersebut. Jarinya menunjukkan betul-betul di luar perkarangan masjid. Terdapat ramai pelancung Cina sedang berkerumun melihat kuil mereka. “Tuan Aji lihat tu! Di situ terdapat sebuah kuil bernama ‘Tok Pek Kong Mek’… milik bangsa Cina.”

Membuat saya lagi tercengang. Apa kena mengena kuil itu dengan Masjid Kerisek yang terletak sebelah menyebelah ini??

“To’ Kian pembina masjid ini, mempunyai seorang adik perempuan yang sangat disayanginya, tapi terpaksa ditinggalkan di negeri China. Namanya Lim Kou Niu. Beberapa lama kemudian kerana abangnya tidak pulang-pulang, adiknya merasa terpanggil dan datang ke Pattani dengan harapan yang sungguh besar. Harapan untuk mengajak abangnya pulang ke pangkal jalan, pulang ke negeri China.” Terang Ustaz itu dengan nada yang agak sedih.

Suasana menjadi hening bening seketika..

“Apa hendak dikata, adiknya tentu tidak faham, kalau seseorang itu sudah mendapat kelazatan iman dalam Islam, dan hendak kembali kepada tidak beriman, seolah-olah memaksa beliau meminum racun berbisa yang membunuh... Tak usah pujuklah, orang yang sudah menemui cahaya terang berpetunjuk, tentu tidak akan kembali sesat ke jalan gelap.”

“Kalau bertemu antara dua cinta yang tidak dapat dibelah bahagi, terpaksa pilih satu antara dua, sudah tentu beliau pilih cinta yang kekal iaitu kepada Pencipta rasa cinta itu sendiri!” Saya pula menambah perencah. Macam tambah budu kalau sedang makan nasi..

Begitu kecewa adiknya, harapan yang tinggi menggunung telah jatuh berderai berkecai relai, bagai kaca nipis dihempap batu berat. Dia terus mengambil keputusan gopoh, dengan menggantung diri di pokok ketereh (pokok gajus) di tepi Tasik Tanjung Lulok, kira-kira 2 kilometer dari situ. Kasihan! Jelas Ustaz itu lagi. Macam heroin filem Hindustan, akhirnya dia dihormati dan dimuliakan sebagai tokoh yang sanggup mati mempertahankan keyakinannya, oleh orang-orang Cina Pattani waktu itu.

Kerana terlampau cinta kepadanya, orang-orang Cina mengukir wajah Lim Kou Niu di batang ketereh tersebut untuk dipuja, disembah dan dikuilkan dalam upacara agama mereka. Malangnya, kerana kawasan itu selalu terendam dan terhakis kerana air pasang, kuil itu dipindahkan di sebelah Masjid Kerisek yang dibina oleh abangnya. Jelas Ustaz itu lagi. “Itulah kuilnya sekarang, tidak putus-putus orang-orang Cina mengunjunginya.”

Saya masih berfikir-fikir lagi. Saya masih belum dapat jawapan yang saya tanya tadi.

Ustaz itu mungkin dapat membaca riak fikir saya. Katanya, “Jawapan ini adalah sebuah teka-teki yang saya hadiahkan kepada Tuan Aji sebagai ole-ole dari Pattani… Kalau Tuan Aji masih tak dapat jawab juga, bila sampai di Malaysia sila hubungi saya lagi!!”

Lepas pulang ke Malaysia, saya terus lupa memikirnya.

Beberapa tahun kemudian hingga sebentar tadi, bila saya ingin menulis tentang Hang Tuah, sebagai lanjutan dari tulisan lepas, dan bila Ustaz itu menelefon saya mengorek balik kisah-kisah lama bersamanya, baru saya dapat jawapan tersebut. Apa jawapannya???

Tiba-tiba, telefon saya menjerit lagi.. dari Ustaz itu.

“Ooo, maaf. Talian tadi terputus sebab lama sangat duduk fikir nak jawab soalan Ustaz…”

“Takpe. Tapi sekarang baru saya ingat nak tanya, sudah ke Tuan Aji dapat jawaban teka-teki ole-ole dari Pattani yang saya hadiahkan beberapa tahun dulu? Kalau dah dapat, apa jawabnya?”

“Sudah! Ustaz cuba lihat dalam tulisan ini nanti. Bolehjadi besok akan tersiar. Ataupun lawati blog saya (ibnuhasyim.blogspot.com) terus, banyak lagi tulisan-tulisan lain di situ…”

“Bagaimana pula soalan yang saya tanya tadi mengenai Masjid Cina?”

“Saya akan simpan sebagai membalas ole-ole yang Ustaz beri pada saya dulu. Tapi tak lama sangat. Saya akan jawab dalam siri tulisan selanjutnya, sikit hari lagi!”

Sekarang baru saya terfikir mengapa Ustaz itu tidak menjawab spontan mengenai misteri Masjid Kerisek tak siap-siap yang saya tanya itu? Mungkinkah secara halus dia nak latih saya berfikir, mengikuti perkembangan semasa dan melihat kemelut Islam di sana? Mungkin juga dia tidak mahu dituduh menghasut pelancung kerana jawapan sebenarnya agak negatif?

Apa jawapan negatif itu?

Saya fakir-fikir lagi, mungkin ada golongan tertentu yang mahu pembinaan Masjid Kerisek itu tidak siap-siap, kerana hendak memberi laluan kepada berkembang, membesar dan membangunnya kuil Tok Pek Kong Mek itu. Tok pek kong yang dulunya tiada, kemudiannya ada tetapi terlalu kecil, kini sudah hampir menyamai dan menandingi masjid yang di sebelahnya.

Kisah 2 beradik, yang 1 bangsa tapi menganut 2 fahaman dan bertembung di 1 tempat. Datang 1 golongan menyokong pihak adiknya, yang menjadi lambang kekuatan kerajaan sefahamannya. Bila kekuatan yang satu lagi ingin naik juga, ianya perlu dihadang dan dihalang. Mungkin itukah penyebab berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek tempoh hari??

Kalau di peringkat antarabangsa, seperti golongan-golongan yang memusnahkan, menyekat pembangunan Negara Palestin dan jiran-jirannya, dengan membiarkan, menyokong leluasanya negara haram Israel Yahudi bangsat itu, supaya membangun menjadi kuasa besar atau samseng yang mengacau dunia hari ini.

Mungkinkah jawapan itu juga sama seperti jawapan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu apabila berlaku cubaan membongkar mengenai kecinaan seorang Hang Tuah atau nama asalnya Hang Too Ah seperti yang saya sebutkan mengenai Masjid Cina pada keluaran lepas? Mereka cuba sekat perkembangan kajian tersebut, dengan membiarkan atau membajai perkembangan asabiah kebangsaan mereka, walaupun mereka sedar perbuatan tersebut merugikan agama mereka, yaitu Islam itu sendiri??? Wallahu aklam. Ikuti siri Masjid Cina selanjutnya.

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com e-mail: ibnuhasyim@gmail.com 13 Mei 07

2 comments:

  1. hang Tuah Keturunan Cina..???komen skit..
    http://www.freewebs.com/suaraanum/0305b02.htm

    ReplyDelete
  2. hang tu ah datang ke melaka diatas misi menjaga puteri hang li po bersama rakan-rakan hang jer bat, hang lee kiu, hang lee kir dan hang kas turi.,5 sahabat ini tidak meninggalkan waris ini kerana mereka telah di 'kasi' oleh maharaja almaklumlah pelayaran untuk sampai ke melaka memakan masa yang lama..takut sultan melaka dapat durian yang telah di tebuk tupai nanti..

    ReplyDelete