Thursday, May 24, 2007

Mengapa Bangunan PAS Di Belakang Mati?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BANGUNAN PAS tujuh tingkat, kini tersergam indah di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kalau dari Bangunan MARA melalui jalan sehala Jalan Raja Laut melintasi beberapa lampu isyarat lalulintas anda akan bertemu bangunan tersebut. Di belakang bangunan itu terdapat Lorong Haji Taib terkenal dengan perniagaan persundalan, yang masih belum mati-mati, disebut juga Belakang Mati.

Antara ucapan Tok Guru Mursyidul Am PAS pada perasmian bangunan itu (21-05-2007), ada menyebutkan tentang berkembang pesatnya penubuhan Kelab Penyokong PAS bukan Islam. Ianya terus berkembang di Kelantan terdiri dari orang bukan Islam, berketurunan Cina, India dan terakir dari yang berketurunan Siam.

Menurut Ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa yang mengetuai Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, sudah banyak kelab-kelab ini ditubuhkan seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Kelantan. Pengerusi kelab-kelab tersebut ialah encik Hu Pang Chaw dari Kelantan.

“Mengapa ditubuhkan kelab-kelab penyokong PAS, adakah untuk meluaskan medan dakwah Islamiah di kalangan bukan Islam?” Saya tanya beliau, sewaktu bertemu bersama beberapa kawan yang lain.

Beliau adalah rakankarib saya yang menyertai PAS melalui tangan saya dulu. Saya yang menghantar borang ahlinya ke pejabat agung PAS melalui PAS Kawasan Balik Pulau (waktu itu saya jadi YDPnya, di mana saya menerima amanah Tok Guru Abdul Hadi yang memesan supaya cepat-cepat beri borang ahli PAS, semasa beliau pulang belajar dari Mesir dulu, walaupun beliau adalah anak bekas Yang Di Pertua atau Presiden PAS waktu itu.)

“Tidak.” Kata Ustaz Mujahid. “Tujuan utama Kelab Penyokong PAS itu ditubuhkan ialah untuk merobohkan tembuk-tembuk pemisah perkauman dan asabiah yang menjadi tabiat politik Malaysia.”

“Tabiat politik Malaysia??” Ada orang lain menyampuk.

“Ya!” Saya pula yang jawab. “Supaya orang bukan Islam melihat PAS bukan lagi dari balik tembuk yang tidak telus. Bukan melihat dari sudut mata sepet pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak pernah nampak langsung kebaikan PAS. Menuduh PAS dan parti-parti pembangkang sebagai perkauaman kononnya… untuk sembunyikan sifat perkauman mereka. Itulah tabiat perkauman politik Malaysia.”

“Ya..” Ustaz Mujahid menambah. “Supaya ada atau diwujudkan penjelas-penjelas Islam sebenar dari kalangan orang bukan Islam sendiri. Terutamanya di waktu saat-saat genting bila berdepan dengan pilihanraya, kita tidak saja tergesa-gesa perlu pertolongan dari parti-parti pembangkang bukan Islam lain, bahkan perlu dari rangkaian bukan Islam yang kita tangani sendiri!”

“Adakah dengan adanya pejabat PAS di pusat bandar KL ini ada kena mengena dengan meroboh atau merubah tabiat politik Malaysia itu?”

Pada telitian saya memang ada! Bukan sahaja meroboh tembuk perkauman, tetapi membina binaan Islam di atas runtuhan tersebut. Bukan sahaja Islam itu sebagai asas perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan manusia sejagat, bahkan juga sebagai asas kepada penyelesaian segala masalah sosial masyarakat seperti di Belakang Mati ini. Kalau Belakang Mati yang tidak secara langsung menjadi simbol, ke ‘hitam’an seperti pelacuran kelas bawahan di pusat bandar ini, maka wujudnya pejabat PAS di sini akan menjadi simbul pemutihan ibarat purnama yang cahayanya menerangi malam gelap-gelita. Simbul kepada pembebasan golongan mustad’afin dari penindasan golongan mustakbirin! Itu jawapan saya.

“Sila beri komen anda mengenai bangunan baru PAS ini?”

“Kerana bangunan PAS ini terletak di tengah-tengah kawasan majmuk sekitar Chow Kit, maka kita kena jadikan PAS sebagai lambang perpaduan masyarakat berbangsa-bangsa di Malaysia. Perpaduan di bawah payung Islam bukan bererti orang bukan Islam ‘kena masuk Islam’, seperti tidak semestinya orang berfikiran Islam mesti orang Islam.” Kata saya.

Komen saya, kalau boleh sila tambahkan atau pampangkan nama PAS itu dalam bahasa Cina dan India juga di puncak bangunan tersebut…

Ibnu Hasyim: Nama sebenar adalah Dr Hj Mohd Hj Hashim, pernah menulis di beberapa akhbar tempatan, pernah menjadi pengarang majalah Al-Ummah dan menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails