Sunday, June 24, 2007

Jangan Salahkan Peniaga Bundle Saja...


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


SEBUAH akhbar hari ini menyiarkan ulasan mereka yang cuma menyalahkan peniaga-peniaga bundle (beragama Islam), mengenai penjualan baju lambang salib dan isyarat lucah yang amat mendapat sambutan hangat di Kuala Terengganu. Mereka dikatakan telah ketepikan hukum agama..

“Kalau diikutkan rasa bersalah (perasaan berdosa) memang saya rasa, tetapi disebabkan baju seperti ini boleh dijual dengan harga yang mahal, saya terpaksa juga menjualnya.” Kata seorang dari peniaga-peniaga tersebut macam dalam keadaan serbasalah.

‘… setiap kali penghantaran baru, mesti ada baju tidak bermoral dalam ratusan baju yang diperoleh daripada pembekal luar negara seperti Amerika Syarikat, Korea dan Jepun.’ Tambah seorang lagi.

Seorang imam surau, dilapurkan amat kecewa mengenai sikap tersebut. ‘(Mereka) perlu bertaubat dan berhenti menjualnya.’ ‘… ia boleh merosakkan moral remaja Islam kerana cara pemakaian seseorang itu menunjukkan keperibadiannya.’ Komennya lagi, ‘Guru dan ibubapa seharusnya memberi pendedahan dan didikan kepada pelajar dan anak mereka supaya tidak terbabit dengan budaya yang melanggar etika kehidupan dan keagamaan.’ Juga kerana ‘pengetahuan agama yang cetek menyebabkan pemakaian baju tertera lambang salib dan ada isyarat lucah menjadi sesuatu yang dibanggakan.’

Sebenarnya salah siapa??

Pertama: Sikap ketepikan dosa pahala kerana nak untung lebih, itu adalah sikap yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia dan diturunkan kepada kerajaan negeri anakdidiknya seperti Terengganu dan lain-lain negeri. Contohnya, wujud kilang-kilang arak, pusat perjudian, dan persundalan dengan bersembunyi di balik topeng perlancungan, hiburan, pembangunan dan perekonomian. Semuanya itu berlaku dengan meng’ketepikan hukum agama’ atau pandangan para ulama oleh pemerintah.

Terbarunya, boleh dilihat pada projek Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, ada yang mensifatkan sebagai jual negara tanpa mengira keuntungan agama. Atau bahasa mudahnya jual agama kerana untung benda semata-mata, tetapi sebenarnya adalah rugi di dunia dan di akhirat. Sikap seperti inilah yang tersemai kepada kepada peniaga-peniaga tersebut, hasil dari tarbiah kerajaannya. Memarahinya macam meludah ke langit.

Kedua: Atas dasar itulah juga, berlaku pengimportan barangan luar negara tanpa ditapis lebih dulu. Apa nak diherankan dengan buju-baju tidak bermoral, pada hal budaya lucah dan tak bermoral pun diimport oleh Kementerian Penerangan masuk terus ke ceruk dapur rumah ustaz-ustaz Islam melalui siaran tv Malaysia (nilai lucah dan tak bermoral perlu dilihat dari sudut Islam)! Bagaimana boleh anak gadis Malaysia berpakaian macam orang berkemban hendak pergi mandi, naik ke pentas ramai dalam majlis rasmi siaran media negara RTM??

Apa hendak diherankan mengenai salib pula, orang murtad dan mencabar agama dalam negara pun, kerajaan tak boleh buat apa-apa… konon nak ikut Islam?? (Islam hadhari atau Islam Liberal bolehlah!!) Contoh dulu-dulu sebelum merdeka di bawah penjajah, ialah dalam kes remaja Nathrah yang cuba dimurtadkan. Begitu hebat penentangan masyarakat orang Islam waktu itu. Kini sesudah merdekapun ada lagi kes-kes seperti itu, terbarunya ialah kes Lina Joy. Kerajaan boleh buat apa?

Ketiga: Memang akibatnya ramai imam-imam, ustaz dan tok-tok guru rasa kecewa melihat perkembangan yang berlaku terutama kepada remaja bakal menjadi pemimpin masa depan negara. Tapi mereka lupa, mereka cuma menyalahkan remaja itu saja, menyalahkan anak-anak mereka, menyalahkan guru dan ibubapa. Mereka macam tak nampak ‘kepala’ kepada bapa-bapa mungkar itu, iaitu kerajaan. Kerajaan yang paling berkuasa mencorakkan segala-galanya.

Kerajaan juga bertanggung jawab merosakkan moral dan peribadi remaja Islam melalui medianya. Kerajaan juga bertanggung jawab memberi pendedahan dan didikan kepada pelajar dan anak mereka supaya tidak terbabit dengan budaya melanggar etika kehidupan dan keagamaan. Kerajaan juga bertanggung jawab mengajar remaja menari, menyanyi dan mendedahkan aurat melalui medianya. Kerajaan juga tidak lepas dari tanggung jawab ke atas rakyatnya ber ‘pengetahuan agama yang cetek menyebabkan pemakaian baju tertera lambang salib dan ada isyarat lucah menjadi sesuatu yang dibanggakan.’ seperti disebutkan itu.

Itulah kepala bapak yang patut bertanggung jawab kerana mereka dilantik memegang amanah Allah kepada rakyat sebenarnya.

Apakata, kawan-kawan kita peniaga-peniaga bundle di Chow Kit dan Belakang Mati??


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 24-06-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails