▼
Sunday, June 24, 2007
Negara Kebajikan: Bukan Islam Sokong.. Dapat Apa?
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
SEBUAH teksi berhenti di hadapan saya.
“Chow Kit!” Kata saya setelah masuk dalam teksi.
Teksi itu terus berlalu. Pemandunya seorang Cina. Setelah berbual seketika, sampailah kepada pertanyaan saya meminta pandangannya mengenai PAS.
“Yang saya tau, PAS itu parti Melayu. Nak buat undang-undang Islam, nak suruh semua masuk Islam.. mana boleh? Maaf.. betul ke saya cakap ni!?” Dia pula tanya saya.
“PAS itu parti kebajikan..” Jawab saya. Dia macam terkejut. “…parti suruh orang buat baik. Buat baik dari kacama Islam. Bukan untuk bangsa Melayu saja, tapi untuk semua bangsa. PAS atau parti Islam memang untuk semua. Tak kira Melayu, Cina, India, orang putih dan lain-lain. Tak paksa orang masuk Islam pun.. jangan salah faham! Dah puluhan tahun dia perintah Kelantan, tak sorangpun orang bukan Islam yang kena aniaya! Waktu negara dilanda tragedi perkauman 13 Mei 1969, Kelantan di bawah PAS tak berlaku apa-apa gaduh pun? Takde seorang pun Cina yang kena sembeleh??”
Dia mengangguk, lalu bertanya lagi, “Kebajikan? Apa yang PAS tolong pada orang susah?”
“Contoh terbaru, kalau ada warga emas atau orang-orang tua yang meninggal dunia di Kelantan, pada hari mati itu warisnya akan menerima wang sebanyak RM500, sebagai sumbangan kebajikan atau bayaran pampasan. Bakinya sebanyak RM2,000 lagi akan dibayar dalam tempoh dua bulan dari tarih hari kematian tersebut..”
“Tak dengar ceritapun? Banyak ke yang dah dapat??” Beliau tanya lagi.
“Pembayaran seperti ini telah berlaku kepada 1,051 orang warga emas yang meninggal dunia di Kelantan, iaitu daripada 98,000 warga emas berdaftar di bawah Skim Insurans Takaful Kifaalah yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan awal tahun ini.” Saya jawab. “Baru tahun ini (hingga Jun 2007).. dan Kelantan sahaja.. Bagaimana kalau PAS perintah Malaysia?”
Hal ini mengingatkan saya sebulan dua lepas, sewaktu pilihanraya kecil Ijok. Malam itu dalam suasana sibuk-sibuk berkempen, saya bersama-sama Cikgu Rosdi dari Kelantan, seorang gurubesar sebuah sekolah di Selangor (yang tak mahu namanya disebutkan) dan beberapa lagi, bersama-sama seorang tauke Cina pembuat parang di Selangor dalam suatu majlis..
“Sebenarnya, selepas beberapa bulan Kerajaan Kelantan melancarkan Skim Insurans Takaful Kifaalah, seorang pegawai skim takaful tersebut dipanggil oleh seorang Menteri Besar sebuah kerajaan BN di pantai barat, bertanyakan mengenai perjalanan skim tersebut.” Kata Cikgu Rosdi kapada kami. “Menurutnya skim itu begitu mendapat sambutan di kalangan rakyat miskin, mampu menaikkan imej PAS serta menjejas dan menurunkan beberapa peratus pengaruh UMNO di Kelantan buat masa ini.”
“Itulah parang panjang yang mampu menyembeleh habis pengaruh UMNO Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.” Sambut tauke Cina pembuat parang itu. “Skim-skim seperti inilah yang perlu diperbanyak dan diperluaskan secepat mungkin..”
“Apa maksud ‘diperluaskan’??” Tanya kawan kami guru besar sekolah itu.
“Maaf ya. Kalau tak jadi kesalahan, saya nak cadangkan supaya skim itu diperluaskan hingga tanpa batasan negeri, kaum dan agama. Ertinya, orang Islam dan bukan Islam di luar Kelantan pun dapat manfaatnya!” Tegas tauke Cina itu lagi.
“Itu bukan kerja mudah?” Kata Cikgu Rosdi.
“Walaupun bukan kerja mudah, tapi kalau PAS (mungkin Lajnah Kebajikan PAS Pusat) atau Kelantan boleh buat juga, barulah meyakinkan orang bukan Islam, bahawa PAS mampu memberi kebajikan kepada mereka dan mungkin kini baru sampai masanya untuk PAS perintah Malaysia!” Kata gurubesar itu, disambut dengan tepukan dan ketawa ceria bersama-sama kawan-kawan lain.
Kepada pemandu teksi yang saya tumpangi ini, saya beri satu lagi contoh kebajikan kerajaan PAS kepada rakyat, iaitu Program Pembangunan Ladang Rakyat. Program yang diwujudkan sejak tahun lepas melibatkan 2,025 penduduk miskin. Tiap seorang dibayar sebanyak RM200 sebulan dan sehingga kini (Jun 2007)lebih RM4 juta telah dibelanjakan kepada mereka.
“Oleh itu, bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat dari PAS, maka PAS perlukan sokongan dari orang-orang bukan Islam seperti encik!” Jelas saya kepada pemandu teksi itu lagi.
“Macam mana nak sokong?”
“Kerana teksi inipun sudah sampai di Chow Kit, dan saya pun tak sempat sembang panjang lagi, encik boleh dapatkan maklumat lanjut melalui Encik Hu Pang Chaw Pengerusi Kelab Penyokong PAS peringkat pusat, di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dekat Belakang Mati atau belakang Chow Kit ini!”
“Kalau saya sokong PAS saya boleh dapat apa??” Beliau tanya lagi.
“Sila beri kad bisnes encik, kita akan jumpa lain kali, saya akan terangkan sekadar termampu, insya Allah!.” Saya bayar tambang teksi, kami bertukar-tukar kad dan bersalaman dengan harapan akan bertemu lagi.. kerana ibukota tidaklah seluas mana.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 23-06-2007.
No comments:
Post a Comment