Monday, June 18, 2007

Pulau Pinang: Balik Pulau Bayan Lepas...

Kartun politik ini diambil dari akhbar 'Majlis ' 6 Sept 1947. 10 tahun sebelum merdeka, bertajuk 'Malaya Hak Melayu'

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

SUARA azan subuh berkumandang memecah kesunyian pagi di masjid sebuah kampong di Balik Pulau, Pulau Pinang. Selepas solat, kami bersembang-sembang dibalai lintang masjid tersebut.

“Banyak perubahan sejak Tuan Aji tidak kerap balik kampung macam setahun dua dulu?” Kata imam masjid itu kepada saya. Saya kebetulan pulang melihat orang tua saya sakit. Orang tua saya dulu imam dan khatib di situ, beliaulah penggantinya, kini.

“Dulu, kampong kita ini terkenal dengan kampung yang penghuninya100% Melayu dan kebanyakan tanahnya milik orang Melayu.. tapi sekarang banyak tanah-tanah milik kita terlepas ke tangan bangsa asing yang pastinya bukan orang Islam..” Kata beliau, dengan menyebut beberapa nama dan tanah-tanah yang terlepas itu, dengan nada agak sedih..

Kampung ini bernama Kampung Perlis. Kampung yang asalnya dibuka oleh orang-orang dari negeri Perlis, berhijrah ke Pulau Pinang… Terdapat 3 Kampung Perlis, iaitu di Seberang Perai, Bayan Lepas dan Balik Pulau, dalam negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis. Dari segi geografi Pulau Pinang terbahagi kepada 2 bahagian. Iaitu Pulau Pinang , sebuah pulau dengan keluasan 293 km persegi, dan Seberang Perai , sejalur tanah seluas 760 km persegi bersempadan dengan Kedah di utara dan timur, juga Perak di selatan.

Ibu negeri dan bandar terbesar di Pulau Pinang ialah Georgetown. Ianya dibuka, atau boleh juga disebut dijajah pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light. Kini, Georgetown adalah bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Ianya menjadi bandaraya tertua di Malaysia apabila Ratu Elizabeth II menganugerahkan taraf bandaraya pada 1 Januari 1957.

Hal ini mengingatkan saya, semasa kecil-kecil dulu ibu saya mengajarkan lagu rakyat berbunnyi…

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
Bagaimana hati tak haru,
Melihat bunga kembang seroja.

Bila besar saya terfikir. Bagaimana hati boleh jadi ‘haru’ atau terharu bila melihat ‘bunga kembang’?? Takkah pelik?

Mai kita lihat sejarah! Pulau Pinang memang asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah. Tetapi telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah. Penyerahan sebagai gantian untuk dapat perlindungan pihak British dari serangan Siam dan Burma.

Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormati Raja Muda penjajah dari Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya ‘Georgetown’, iaitu sempena nama Raja George III dari Britain.

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka membangkit minat Syarikat Hindia Timur British menggunanya sebagai pelabuhan untuk kapal-kapal dagangnya, dan juga sebagai pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah tersebut Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan tentera tanpa kebenaran Syarikat Hindia Timur British.

Apabila syarikat tersebut gagal membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba ambil balik pulau tersebut pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal, bahkan berlaku sebaliknya, Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah Pulau Pinang kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan serahan tambahan pula Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah. Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India.

Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963. Pulau Pinang menjadi sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969.

Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, namun Zon Perdagangan Bebas di selatan pulau, menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di wilayah Asia. Hal ini berlaku dari 1970an sehingga akhir 1990an, walaupun pada tahun 2004, telah berlaku kemerosotan ekonomi.

Jadi, perkembangan yang begitu pesat dan rancak (‘Pulau Pinang bandar baharu’), tidak banyak memberi manfaat kepada kaum bumiputera asal dan agama anutannya ( kerana kesan penjajah musuh Islam ‘Kapten Light menjadi raja’).Walau bunga-bunga di taman Pulau Pinang berkembang, tapi ianya layu atau melayu pada warga Melayu.. Mungkin itulah sebabnya hati warga Melayu jadi ‘haru’ biru..

Begitu juga dilihat dari segi bilangan penduduk. Asalnya memang tinggi peratus Melayunya. Lama kelamaan makin berkurangan. Kini, Pulau Pinang mempunyai penduduk ke 9 terbanyak di Malaysia. Dengan kepadatan penduduk paling tinggi, iaitu 2,031.74 penduduk sekilometer persegi di pulau, dan 865.99 penduduk sekilometer persegi di Seberang Perai.

Komposisi kaum mengikut bangsa pada 2006 ialah Cina: 635,500 (42.5%), Melayu: 612,300 (41.0%), India: 148,000 (9%) dan lain-lain: Bumiputra Bukan Melayu: 5,600 (0.38%) serta Bukan Warganegara: 91,200 (6.1%). Negeri Pulau Pinang juga adalah negeri yang mempunyai peratusan etnik Melayu dan penganut Islam terendah di Semenanjung Malaysia. Bangsa Melayu cuma 41.1% sahaja dari keseluruhan penduduk!

Belum lagi kalau kita lihat dan perincikan dari segi pemilikan hartanah.. Terutama sejak akhir-akhir ini seperti yang disebut oleh Tuan Imam tadi.

Kata pula seorang lagi yang berada di sebelah imam itu, “Kegelisahan rakyat Balik Pulau perlu di ambil kira. Kepada pemimpin-pemimpin Melayu-Islam Pulau Pinang kita berseru, jangan cuma nampak kuman di seberang lautan saja, tetapi gajah di depan mata tak nampak pun!!”

“Datuk nenek kita dulu telah memberi amaran dalam sebuah Pantun Melayu lama Pulau Pinang, antaranya menyebutkan… ‘Balik Pulau Bayan Lepas, sana terpelau sini terlepas’!!” Jawab saya pula.

Cahaya matahari pagi kurniaan Ilahi mulai memancarkan cahayanya, menerjang kegelapan, menerangi alam maya. Begitulah juga yang diharapkan pada penghuni-penghuninya di pulau ini…

Catatan santai: P.Pinang siri 1
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com).
Balik Pulau 28-05-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails