Thursday, July 12, 2007

Botak.. Tak Halang Kemajuan??


Penjelasan Ibnu Hasyim: Botak.. Halang Kemajuan??


BILA timbul isu artis wanita berkepala botak yang sengaja dicukurnya, orang tanya tokoh-tokoh agama yang layak memberi pendapat.. Tetapi pendapat mereka dipermain-mainkan. Sehingga ada yang menyindir, apakah botak itu boleh menghalang kemajuan ummah? Terutamanya dibidang ekonomi?

Kita patut tanya mereka balik, adakah dengan botak itu ummat Islam boleh jadi maju? Adakah terdapat dalam sejarah, wanita-wanita botak telah memajukan sesuatu tamadun atau ummah, terutama dalam sejarah Islam? Kalau adapun, mungkin bukan kerana semata-mata botaknya sahaja, tentu ada sebab-sebab lain.

Walaupun ada yang menganggap, hal ini sebagai isu untuk iklankan filem yang dilakunkan oleh pelakun tersebut, terikut-ikut dengan kerenahnya adalah masuk perangkapnya, namun kita kena jelaskan juga dengan tujuan baik untuk menjernihkan kekeliruan yang sengaja ditimbulkan itu.

Bagaimana penjelasannya?


Pertama: Bila manusia di dunia ini memilh agama Islam, bererti dia telah memilih sebuah pakej cara hidup. Di dalam pakej tersebut terdapat peraturan-peraturan panduan atau undang-undang yang patut diikuti oleh penggunanya. Manusia bebas memilih pakej mana yang dia mahu, pakej Islam, pakej Kristian, pakej Atheis atau mana-mana saja sebagai menghormati hak asasi manusia. Walaupun mereka bebas memilih pakej, tetapi mereka mesti bebas pula melaksanakan peraturan-peraturan yang ditentukan dalam pakej tersebut.

Sepatutnya tidak ada kuasa lain yang menghalang pengguna-pengguna menggunakan pakej yang mereka sendiri pilih. Jika ada juga, itulah kuasa yang cuba merampas hak asasi orang lain. Mereka tidak boleh memilih peraturan dalam pakej lain, apa lagi bila bertentangan dengan peraturan-peraturan pakej yang mereka pilih sendiri itu. Enggan mematuhinya, sama dengan mereka isytiharkan, di mana mereka tidak mahu lagi guna pekaj tersebut. Kecuali kalau mereka tidak mampu bukan enggan, tetapi tidak ada tenaga dan kuasa hendak melakukannya.

Tegasnya, bila anda pilih agama Islam, anda mesti ikut ajaran-ajarannya tidak boleh tidak. Kalau sengaja tidak mahu ikut juga, baru disebut ingkar. Orang lain pula tidak berhak menyekat anda melaksanakan ajaran agama anda.


Kedua: Mengapa kita pilih Islam? Antaranya ialah kerana kita yakin di mana cara hidup Islam itu, mampu membawa manusia kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Bergerak ke depan menuju bahagia itu disebut maju, tetapi kalau undur makin jauh dari kebahgiaan tersebut dikatakan mundur. Di situlah lahirnya konsep kemajuan dan kemunduran, samada dari segi rohani atau jasmani. Maju dalam bidang ekonomi juga termasuk dalam menuju kebahagiaan, walaupun kadang-kadang terpaksa membangunkan kekuatan ummah dengan menempuh berbagai halangan.

Kalau ada yang mengatakan, ‘jika kita mengikut ajaran Islam sepenuhnya, dengan menyesali itu haram ini haram sebagai menghalang kemajuan’, tandanya anda telah menganut ajaran sesat. Kalau ada yang hendak pilih unsur-unsur dalam Islam yang baik sahaja, bererti anda mengakui dalam agama Islam ada unsur-unsur atau pengajaran yang tidak baik. Bermakna anda menganggap agama Islam itu tidak sempurna kerana ada yang tidak baik… Na‘auzubillah!

Artis Wanita Botak

Kalau anda membeli sebuah kereta, anda mesti ikut peraturan menggunanya yang disediakan oleh pembuat kereta itu. Tiba-tiba kereta itu tak boleh jalan, anda siasatlah, tentu ada yang tak kena atau tak betul aturan gunanya. Begitu juga dengan agama Islam, kalau ummah atau pengamalnya dikatakan tidak maju, siasatlah tentu ada yang tak kena dengan ummah itu, mungkin tidak konsisten dan istiqamah dengan penghayatan Islam seluruhnya, di samping faktor-faktor lain.

Apa yang tak kena dengan artis wanita membotakkan kepala??

Pertama: Memang ada, hadith-hadith Nabi yang melarang wanita membotakkan kepala kerana tidak mahu nampak menyamai lelaki, berkaitan dengan musibah, merubah wajah dan yang paling jelas untuk menjaga aurat perempuan kepada yang dilarang. Memang tujuan sebenarnya mereka botakkan kepala ialah untuk pamerkan auratnya kepada umum walaupun melalui filem. Hal itu memang menyalahi aturan agama.

Mereka sanggup korbankan maruah kewanitaan dan keIslaman mereka kerana nak publisiti murah, nak filem lakunan mereka box office! Kalau filem mereka box office orang akan kata ummat Islam Malaysia maju! Kasihan mereka.. mereka tidak faham makna maju dalam Islam seperti yang telah disebutkan tadi.


Kedua: Sikap segolongan pembela-pembela artis bila berhadapan dengan golongan agama, ustaz-ustaz dan mufti dalam berbagai kes seperti khalwat, minum arak di khalayak ramai dan sebagainya, hingga ada mufti yang diberhentikan, gara-gara fatwa pengharaman ratu cantik. Merekalah yang merangsang golongan-golongan artis dan sebangsanya supaya terus melanggar peraturan agama dengan bersembunyi di balik lebel kemajuan.

Merekalah yang berusaha mengimport budaya luar untuk meranapkan budaya Islam yang menjadi pegangan ummat sekarang. Mereka bangunkan industri nyanyi dan lakun melalui media negara, mereka hamburkan hadiah dan pangkat, walaupun kepada artis yang sudah meninggal dunia untuk mengembangkan maksiat jariah mereka. Mereka lahirkan dan korbankan ribuan calun-calun artis tiap tahun yang akhirnya kecundang, hanya kerana melihat beberapa idola mereka yang menjadi jutawan segera.

Apakah begini bentuk kemajuan ummah yang mereka mahu?? Kalau begini padanlah, suruhlah ramai-ramai artis Malaysia kita jadi botak! Pada kita kemajuan begini, bukan kemajuan menuju kebahagiaan sejati dan syurgawi.. Kalau tak syurga di akhirat, ke mana lagi??

Ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 07-2007 . Penjelasan dalam majalah ‘Al-Muslimah Ogos 2007’.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails