Monday, July 30, 2007
Jangan Me'Melayu'kan Orang Asli..
CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
NAMANYA Hussein dan adiknya Hassan, macam cucu Nabi, katanya. Tapi beliau masih belum beragama Islam, walaupun kini sudah berumur kira-kira 56 tahun, dan memangku jawatan Tok Batin di Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor. Kampung terdiri dari 2,500 orang penduduk 30% beragama Islam, 10% Kristian dan bakinya 60% lagi beragama ajaran nenek moyang orang Asli, iaitu ‘Anamisme’, atau disebut juga belum beragama..
NAMANYA Hussein dan adiknya Hassan, macam cucu Nabi, katanya. Tapi beliau masih belum beragama Islam, walaupun kini sudah berumur kira-kira 56 tahun, dan memangku jawatan Tok Batin di Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor. Kampung terdiri dari 2,500 orang penduduk 30% beragama Islam, 10% Kristian dan bakinya 60% lagi beragama ajaran nenek moyang orang Asli, iaitu ‘Anamisme’, atau disebut juga belum beragama..
“Walaupun nama encik Hussein bin Ngah Yin, macam nama cucu Nabi orang Islam tetapi encik masih belum menganut Islam? Bagaimana boleh jadi begitu?” Saya pernah tanya beliau sebelum ini.
“Bila kami (orang Asli) nak daftarkan anak kami di pejabat pendaftaran, orang pejabat itu cadangkan guna perkataan ‘bin atau binti’, walaupun kami bukan Islam. Orang kami pun memang suka nama yang digunakan oleh orang Melayu. Jadi orang kami pun pakai nama-nama Islam yang dipakai oleh orang-orang Melayu. Tak ada masalah!” Kata Hussein, berasal dari Kampung Orang Asli Ulu Chen Nien, Lasah Sungai Siput Utara, Perak, negeri tempat nama beliau didaftarkan. Isterinya bernama Ameh bt Amar dan mereka mempunyai 7 orang anak.
“Apa pandangan encik atau kaum encik mengenai agama selain dari agama nenek moyang encik sekarang? Tak kira le, Kristian ke, Islam ke..”
“Mengenai orang Asli yang beragama Kristian, mereka masuk Kristian kerana kebijaksanaan dan keupayaan penyampai mempersembahnya.. Itu saja. Tapi bila orang-orang kampung tanya pendapat aku, aku cadangkan supaya mereka pilih Islam, kerana Islam adalah agama rasmi negara, dan kebudayaan orang Asli lebih dekat dengan kebudayaan orang Melayu yang beragama Islam. Cuma aku tak setuju me‘Melayu’kan orang Asli melalui agama Islam.”
“Memelayukan orang Asli?”
“Kami tak mahu bangsa kami larut dalam bangsa Melayu, walaupun kita sama-sama bumiputera. Bahkan kami lebih lagi, dua kali bumiputera.. dan rupa paras pun hampir sama!!” Jawabnya sambil tertawa.
“Ada lagi ke masalah mengenai agama Islam??”
“Satu lagi masalah, penyampai-penyampai Islam menerangkan agama Islam dalam bahasa yang susah nak faham, walaupun mereka tu baik-baik belaka. Misalnya. Semasa saya naik teksi pergi ke Selayang, pemandu teksi itu menceritakan kisah dakwah kepada orang Asli. Orang Asli bertanya kepada seorang penceramah mengenai ‘ada’nya Tuhan. Penceramah itu jawab, ‘Tuhan itu wajib ada, mustahil tiada dan tidak menyerupai segala sesuatu denganNya’.
Orang Asli yang dengar jawapan itu makin tak faham, makin berbelit-belit... Dia akhirnya tanya lagi, ‘Ustaz, cakap betul-betul ustaz! Tuhan itu ade ke takde??’ Itulah contohnya.”
Beliau meneruskan katanya, “Memang ada orang-orang dari pejabat agama datang. Tapi mereka cuma datang mengIslamkan orang yang nak masuk Islam. Lepas masuk Islam, dah tak dengar berita lagi. Mana kelas fardhu ainnya, mana kelas muqaddamnya, mana buku-buku agama yang nak dibaca, mana ustaz-ustaz yang mengajar di kampung ini?? Kami juga ingin anak-anak kami masuk musabaqah baca Al-Qur’an..
Di kampung kami sekarang terdapat 42 orang ibu tunggal yang perlukan pembelaan. Mereka perlukan bimbingan untuk bangun dan maju dalam serba segi. Kami perlukan kursus-kursus motivasi dan bantuan khidmat nasihat untuk menjadi usahawan. Kami perlukan kelas-kelas pengajian agama, atau bantuan lanjutkan pelajaran walaupun keluar negara. Juga kami perlu apa-apa saranan dari perbagai pihak seperti jabatan agama, kementerian wanita, usahawan, badan-badan berkanun dan lain-lain yang dirasakan perlu..”
Mungkin itulah sebabnya, bila saya tanya mengenai kegiatan Islam (seperti dalam tulisan sebelum ini ‘Lelaki Asli, Tiup Seruling Dengan Hidung’ lihat ibnuhasyim. blogspot.com atau Tranungkite.Net 27-07-07), beliau macam melenting, nak luahkan sesuatu tentang JAIS dan JAKIM, nak minta tolong tuliskan dalam internet mengenai hal ini.
Akhirnya saya terus berbincang dengan beliau dan sama-sama membuat rumusan dan cadangan ringkas kepada pihak bertanggung jawab seperti JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
Draf Cadangan: Percepatkan Orang Asli Masuk Agama Islam.
Kami melihat perkembangan orang-orang Asli Malaysia lebih menjurus dan meminati agama Islam.. Juga di kawasan ini seolah-olah menjadi kawasan contoh atau pusat tumpuan bagi orang-orang Asli di seluruh Malaysia lebih-lebih lagi di bidang kesihatan..
Maka saya sebagai sebahagian dari orang Asli Malaysia, mewakili Kampung Orang Asli Bukit Kala, Gombak Selangor dan kampung-kampung sekitarnya, memohon jasa baik jabatan yang berkaitan dengan Agama Islam di Malaysia seperti JAIS, JAKIM dan lain-lain atau badan kebajikan seperti ABIM, PERKIM dan lain-lain, supaya memberi perhatian lebih berat serta mengambil tindakan sewajarnya kepada kami.
Antaranya:
i.Mengadakan kursus pemahaman Islam secara teori dan praktikal di tempat kami yang masih belum Islam dan yang telah Islam secara berterusan samada setiap minggu atau bulan seperti pelajaran muqaddam, pertandingan membaca Al-Qur’an, belajar bahasa Arab, dan ilmu-ilmu Islam yang lain.
ii.Memilih dan menghantar anak-anak kami berkursus di dalam dan di luar negara dengan percuma samada di bidang agama atau lain-lain yang bersesuaian dengan kehendak Islam, samada bidang agama, ekonomi, usahawan dan lain-lain.
iii.Mengagihkan wang zakat kepada orang-orang Asli yang layak menerimanya (8 kumpulan yang layak menerima zakat seperti fakir, miskin, muallaf, musafir, jihad sabilillah, orang berhutang, amil dan sebagainya yang terdapat di kalangan orang-orang Asli) atau memberi kursus-kursus haji kepada layak dan meminatinya.
iv.Projek anak angkat di kalangan anak-anak orang Asli.
Itulah antara cadangan-cadangan dan program-program yang boleh mempercepatkan supaya orang-orang Asli memilih agama Islam, yang menjadi Agama Rasmi bagi negara ini. Kita boleh sama-sama perincikan lagi program-program tersebut dari masa ke masa.
Cadangan asal oleh Hussein bin Ngah Yin, pemangku Tok Batin Bukit Kala.
Alamat: Kampung Orang Asli Bukit Kala, Kilometer 24, Gombak, Selangor.
Dipanjangkan oleh Ibnu Hasyim.
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment