Friday, July 27, 2007

Lelaki Asli. Tiup Seruling Dengan Hidung



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


DIA, nun jauh nampak sedang turun dari curaman Bukit Kala Gombak kawasan perumahannya, melintasi sungai melalui jambatan sementara, kerana jambatan baru sedang dibina. Di kiri kanan jambatan itu, ramai anak-anak mereka sedang bermain-main, bermandi air sungai jernih separas dada, bertelanjang bulat melengging tak kira lelaki atau perempuan. Anak-anak ikan seluang berlarian di air, terkejut dengan ledakan terjunan mereka ke dalam air sungai.

Dia terus melangkah longgokan pakaian kanak-kanak itu di tengah jambatan, antaranya termasuk pakaian sekolah, kerana ada yang baru pulang dari sekolah, tidak terus ke rumah tetapi singgah mandi-manda dulu. Di tangannya, ada sebuah bakul berisi beberapa biji durian yang dikutip pagi itu, juga ada bakul galas di belakang berisi kulit-kulit kayu untuk dibuat pakaian. Dia menuju ke sebuah rumah pondok yang bumbung dan dindingnya dari daun-daun atau batang kayu hutan melambangkan rumah tradisional mereka.

Rumah pusat kebudayaan Orang Asli yang sedang dibina sempena perasmian oleh wakil-wakil kerajaaan baru-baru ini. Terdapat di Kilometer 24, jalan lama ke Pahang dari Gombak.

“Cik, banyak durian hari ni?” Sapa saya yang pergi menemuinya. Saya, yang kebetulan sedang menunggu Tok Batin (sebenarnya pemangku) yang telah pergi ke Kuala Lumpur belum balik-balik lagi.

“Ada le sikit-sikit, takat nak makan tu..” Jawabnya sambil mempelawa saya makan. Bila saya menolak dia mula meneruskan kerja-kerjanya.

Di lantai tinggi dalam pondok itu terdapat banyak barangan kraf tangan orang Asli. Ada sumpit, contoh kain dibuat dari kayu, barangan anyaman dari mengkuang, bakul, bubu, simpal dibuat dari belahan rotan, barangan dari buluh seperti serunai dan banyak lagi, kebanyakannya dibuat sendiri oleh penduduk kampung orang Asli tersebut, terutamanya ibu tunggal.

“Inilah kerja harian aku, sambil tolong-tolong orang kampong jual barang ini. Aku tak makan gaji. Tapi, aku ada dijemput main muzik di hotel-hotel dan pusat kebudayaan orang asli.” Katanya selamba saja.

“Muzik? Muzik apa? Tentu ada istemewanya. Kalau tidak, takkan hotel nak jemput?”

“Ya le. Untuk dapat layanan istimewa, mesti buat sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Maka dia pun mengambil seruling meniupnya. “Ini lagu tradisional orang Asli sewaktu ibu-ibu mendodoikan anaknya..”
Hah! Terkejut saya. Dia meniupnya dengan hidung. Guna angin hidung, bukan dari mulut Itulah istimewanya. Agak sedap didengar juga. Katanya dengan bangga, “Aku orang Asli pertama di dunia yang meniup seruling dengan angin hidung! Dua minggu lagi aku dijemput meniupnya oleh persatuan peguam di sebuah hotel terkemuka di KL!”

Belum sempat bercerita panjang, tiba-tiba seseorang memanggil saya mengatakan Tok Batin sudah sampai, beliau menyegerakan tugasnya kerana saya sedang menunggu. “Jom kita pergi ke rumah Tok Batin yang satu lagi di hujung sana (beberapa kilometer lagi arah ke Pahang).Nak jamu encik makan durian!” Katanya.

Kereta kami terus berlalu bersamanya. Akhirnya, masuk sebelah kiri menuruni lembah dalam bersebelahan jalan lama Gombak-Bentong itu. Menuju rumah Tok Batin yang satu lagi.

“Tok Batin mana?” Tanya Tok Batin setelah kami sampai ke muka pintu rumahnya.

“Tok Batin pergi ke kebun kutip durian!” Jawab isteri Tok Batin yang satu lagi itu.

“Buka la durian-durian yang ada tu, tamu kita ni nak makan!” Kata Tok Batin. Arahan yang mungkin sudah biasa bagi mereka. “Aku datang ni nak bagi tahu suruh siap kira-kira 40 biji durian cantik-cantik nak hantar ke bos kita orang kerajaan? Aku nak beli…”

“Buat apa bagi kepada wakil rakyat tu? Rumah kami ni dah dekat 50 tahun merdeka pun tak dapat letrik lagi, walaupun duduk sebelah jalan raya..” Kata isteri Tok Batin dengan lantang. Macam mengugut. Tapi dia terus menghidangkan durian kepada kami. “Ingat, kali ini kami tak mahu keluar mengundi lagi…”

“Jangan macam tu. Kita minta rumah-rumah PPRT pun dapat.” Sambil menunjuknya berhampiran rumah itu. “Kita minta baharui surau kampong ni pun dapat. Ni kita nak minta letrik pula, kita bagi la sesuatu yang istimewa kepada orang yang boleh tolong kita. Tapi bukan kepada wakil rakyat sini, dia tak pernah jenguk kita pun!” Jelas Tok Batin lagi.

Walaupun Tok Batin yang bersama kami ini masih pemangku, tetapi beliau menguasai sebuah kampung yang besar. Kira-kira 2,500 orang, tinggal di Bukit Kala yang seluas 10 ekar. Terdiri dari 474 keluarga dan berbagai etnik, berbanding dengan kampong ini yang cuma kira-kira puluhan keluarga. Kalau dipilih jadi Tok Batin pun, beliau Tok Batin gred A, kerana pentadbirannya luas.

Sebenarnya, Orang Asli terdiri dari 18 etnik. Di bahagikan kepada tiga kumpulan besar. Iaitu kumpulan Senoi, Melayu Asli dan Negrito. Kumpulan Senoi contohnya, terdapat enam etnik di bawahnya, seperti Timia, Semei, Jahut, Mahmeri, Che Wong dan Smoqberi. Begitu juga 12 etnik dalam dua kumpulan lagi.

“Untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Jelas Tok Batin lagi. Mungkin itu sebabnya beliau pilih durian yang cantik dan istimewa untuk dihadiahkan. Macam juga pemuda yang meniup seruling dengan hidung tadi, ada sesuatu yang istimewa darinya.

“Bagaimana dengan kegiatan Islam di sini?” Saya tanya.

Dia terus bangun dari duduknya dengan jari telunjuk menuding ke atas, terus berkata, “Ini satu lagi masalah.. Ada beberapa perkara yang aku nak luahkan tentang JAIS dan JAKIM (jabatan-jabatan agama Islam di Selangor atau Malaysia). Aku nak minta tolong encik tuliskan dalam internet mengenai hal ini. Bolehkan?”

“Insya Allah!!” Saya mengangguk.

Terfikir di fikiran, apakah ini juga hasil dari ‘untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain’ ?? Saya sudah termakan durian istimewa mereka??
Bersambung…

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Gombak
27-07-2007.

1 comment:

noorbaizura mazlan said...

sila layari laman web ini http://ads4bucks-baizura1989.blogspot.com untuk ketahui rahsia jana pendapatan harian sehingga rm500 sehari!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails