Thursday, July 12, 2007
PAS Kuasai Ibukota: Patung Getah Orang Cina..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI
PETANG itu kami berada di sebuah pekan kecil lama Bukit Tinggi, antara jalan dari Genting Sempak ke Bentong, Pahang. Pekan yang hampir semua penduduknya berketurunan Cina, kecuali pegawai-pegawai kerajaan saja yang Melayu. Sebelum ada lebuhraya dulu, di tepi jalan lama itu pengunjung-pengunjung akan temui ramai penjual-penjual Cina menjual barangan makanan dan buah-buahan termasuk pisang mas, limau dan lain-lain. Ada juga yang menganggap di situ sarang pengganas komunis sebelum itu.
“Bolehkah PAS dapat undi di kawasan-kawasan begini dalam pilihan raya akan datang?” Tanya salah seorang dari kami. Maksudnya, kawasan yang padat dengan pengundi-pengundi Cina, seperti juga di bandar-bandar besar, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Seremban dan lain-lain.
“Maaf.. jauh panggang dari api!” Sampuk seorang pemandu teksi Melayu yang berada di depan kami dengan yakin. “Dah jelas buktinya dalam beberapa pilihan raya lepas.”
“Mengapa tuan kata begitu?” Saya tanya dia.
“Saya pernah tanya soalan seperti ini kepada seorang tauke Cina kilang pakaian di Balakong Selangor, yang amat minat bincang hal-hal begini. Namanya Louis Boon. Katanya, lu kena tau ini orang Cina punya perangai. Orang Cina sekarang sudah jadi macam ‘patung getah’ oo!! Boleh tarik kiri, tarik kanan, bengkok sana, bengkok sini. Boleh tarik atas bagi panjang dan tarik bawah!!”
“Apa maksudnya?” Saya kurang jelas dengan simbolik itu.
“Menurutnya, Orang Cina kini sudah hilang pegangannya, dan tiada pendirian jelas. Boleh ikut ke mana saja. Katanya, ‘ini kerajaan sudah kasi rosak Orang Cina, pasal duit punya hal..’ Ada duit boleh bagi undi! Tadak duit tadak undi! ” Jelas driver teksi itu lagi.
Jadi, boleh saya buat kesimpulan di mana faham kebendaan (materialistik) menjadi penghalang utama untuk orang Cina mengundi PAS, hasil dari tarbiah ‘politik wang’, perniagakan hiburan, sekolah, kesihatan dan lain-lain yang dikatakan amalan pemimpin kerajaan menjadi ikutan rakyat di negara ini. Maka undi pembangkang dianggap tidak boleh dapat duit. Itu sebab pertama mereka tolak PAS.
“Ada lagi. Sebab kedua..” Kata pemandu teksi itu. “Rakyat telah terpengaruh dan tertipu dengan sogokan media kerajaan yang memberi gambaran salah kepada parti-parti pembangkang musuh politiknya, terutamanya parti Islam, sehingga rakyat terkeliru dan bercelaru walaupun terhadap agama Islam itu sendiri.
Pernah saya membawa seorang wanita Muslim dari negeri Cina (menumpang teksinya) yang datang ziarah kawan-kawan bukan Islam di sini.. Katanya, ‘Kawan-kawan saya di sini anggap peristiwa perkauaman 13 Mei 1969 dulu sebagai cubaan paksa Orang Cina masuk Islam.’ Itu contoh gambaran salah tersebut.”
“Sebenarnya, politik perkauman inilah yang menjadi penghalang besar kepada sokongan kemajuan Islam dan parti Islam di negara ini.” Sambut kawan saya yang lain pula.
Semasa peristiwa 13 Mei 69 itu, saya masih bersekolah di Balik Pulau Pulau Pinang. Semangat kebangsaan asabiah telah ditiup masuk dalam pemikiran saya, walaupun saya masih berumur belasan tahun. Pemimpin-pemimpin yang dikatakan hebat, ialah pemimpin yang pandai menjuarai api perkauman kaum antara Cina Melayu, bahkan ada yang dikaitkan dengan ‘perang sabil’ tiruan itu.
Di pusat-pusat pengajian tinggi Kuala Lumpur berlaku asakan supaya Perdana Menteri (PM) pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman yang dikatakan ‘terlalu bertolak ansur’ dengan Cina itu turun menggelunsur … atau letak jawatan. Juara-juara (konon hero-hero Melayu) itulah yang mendalangi pimpinan negara berikutnya, seperti Menteri Besar Selangor waktu itu, PM ke 4, dan Timbalannya (beberapa tahun selepas 13 Mei), dan ramai lagi.
Kata kawan saya itu lagi, “Saya masih ingat lagi, peristiwa 13 Mei 69 di Kampung Pandan. Satu peristiwa, seorang lelaki tua, rumahnya dibakar dan diserang dari depan pada malam gelap itu (kerana semangat kebangsaan).. dia mendukung 2 cucunya, satu didudukkan di atas bahu dan satu lagi dikilik, terus terburu-buru ketakutan lari terjun ke lombong belakang rumahnya selamatkan diri…
Dalam peristiwa lain seorang kanak-kanak berumur kira-kira 6 tahun lari keluar dari rumahnya yang dijilat api (dibakar) tapi ditangkap semula dan ditolak ke dalam api tersebut. Jeritan kanak-kanak dalam api itu masih terngiang-ngiang di telinga pemuda yamg menolaknya (atas tiupan semangat kebangsaan), menjadi igauan misteri menyebabkan dia jadi gila, dan mundar-mandir di kawasan setinggan Kampung Pandan sekitar hujung 70an.”
Kawan saya itu membuat kesimpulan, “Semuanya itu adalah kerana fanatik kebangsaan (asabiah) Melayu, hingga menggerhanakan agama Islam yang mulia itu sendiri. Orang bukan Islam menuduh Islam, pada hal itu adalah angkara kedurjanaan nasionalisme. Hingga terbina kukuh tembuk-tembuk perkauman yang menimbulkan double standart dalam masyarakat. Menyebabkan orang bukan Islam takut pada Islam, yang PAS turut menerima akibatnya.”
Itulah sebab ketiga mengapa PAS tidak dapat undi Cina. Bagaimana mengatasinya? Antaranya, marilah kita sama-sama mengaminkan doa Tok Guru Nik Abdul Aziz supaya akan lahir pemimpin-pemimpin PAS di kalangan orang-orang bukan Melayu. Amin!!
Kami pun bersurai. Kereta kami menyusuri dari pekan lama ‘Cina Town’ Bukit Tinggi itu menuju arah ke Bentong dan beluk balik ke KL melalui lebuhraya. Di selekuh itu terdapat sebuah kuil Cina di kelilingi ‘Mini Tembok Besar Negeri Cina’ yang sedang di besarkan dari semasa ke semasa.
Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 09-07-2007.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment