Wednesday, July 04, 2007

Pulau Pinang: Sekuntum Bunga Seroja..


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI


SEKUNTUM bunga seroja, mekar segar terapung-apung di permukaan air kolam, tasik atau sawah. Disebut juga bunga telipuk, teratai, dan banyak lagi sebutan mengikut tempat masing-masing. Bunga seroja, rupanya menjadi rahsia dalam tulisan saya yang lalu (Lihat TranungKite Jun 07 ‘Pulau Pinang:Balik Pulau Bayan Lepas’, Siasah 6-12-Jun 07 ‘Sana Terpelau, Sini Terlepas’ atau ibnuhasyim.blogspot.com.)


Ada juga yang memberi respon. Antaranya:

[Break this code if you can. Guess what?? I bet 100% some of us in here ada yang tak tahu ‘apa itu bunga seroja?’ segelintir muda-mudi hanya tahu bila sebut bunga seroja, mereka cuma tahu ‘lagu bunga seroja’ yang dinyanyikan semula oleh Mawi, lagu yang ditulis oleh S. Effendi, nyanyian Jamal Abdillah. Apa itu bunga seroja? dan kenapa bunga seroja? 1786 yang membawa kita kepada sejarah one of the super bollock British Captain who like to invade other peoples land and easily pitch their Union Jack flag at 'Pulo Ticosse’ (Pulau Tikus). (komen Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman & Dr M. Hassan – anak Balik Pulau.]


Nyanyian rakyat sebenarnya bukan sahaja hiburan semata-mata, bahkan ianya media massa waktu itu, bertujuan untuk meluahkan perasaan rakyat di kalangan mereka, dan kadang-kadang ada juga tiupan suara perjuangan secara simbolik.


Contohnya, adalagi nyanyian rakyat anak-anak kecil Pulau Pinang… Saya teringat, semasa saya berumur di bawah 10 tahun, semasa bermain-main dengan rakan-rakan sebaya di pasir tepian pantai Teluk Bahang, sambil bernyanyi kecil.. antara lagunya:


Gham gham pisang, pisang masak layu, Jatuh dalam kubang, sambak bapak yu. Susu lemak manis, santan kelapa muda, Adik jangan menangis, mak nak pi kegja.’


Bila dan mengapa lagu-lagu rakyat ini diciptakan?


Bila kita lihat sejarah, gerakan Islam masuk ke Tanah Melayu dikembangkan oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi dan Haji Abbas Taha, berpusatkan di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Di Singapura, diterbitkan majalah Al-Imam (1906), dan di Pulau Pinang diterbitkan majalah Al-Ikhwan (1926), Idaran Zaman (1925) dan Saudara (1928).


Mai kita lihat tulisan dalam majalah Al-Ikhwa bertulisan jawi, Jil 1.Bil 1. September 1926 antaranya dituliskan..

“… wahai sekalian ikhwan kami yang sedang nyenyak dalam tidurnya… yang sedang lena bersedap-sedap dalam ke elokan mimpinya, memadailah… memadailah tidurmu itu kerana telah melampau sempadan mengambil kesenangan… hampir-hampir pula masuk kamu kepada bilangan pengsan atau orang mati yang bernafas. Bangunlah segera … kemudian lihat alam yang baru di keliling… bermula sekalian manusia yang lain daripada bangsa kamu ini telah berubah.. menurut kehendak-kehendak peredaran alam…”


Majalah Saudara 10.7.1930.

“… bahawa anak Sultan Lela Mahkota dan anak Wak Foyotoma… sama saja pihak keMelayuannya dengan putera jati Semenanjung, bahasanya, pakaian, makanannya sama-sama mengharamkan babi, resam, agama dan seumpamanya mengaku bertuankan raja kepada raja-raja di mana saja mereka menumpang, tetapi sebaliknya Mr Chong Cheong Chan tidak sama malah hatinya bulat ke Tongsan selama-lamanya… walaupun moyangnya telah diperanakkan di Melaka pada zaman Sultan Ahmad sebelum zaman Portugis dan Belanda. Begitu juga Mr Panabalan atau Mr Tambayah Manikam, hati dan resamnya atau kulitnya tidak mudah berubah dari resam moyangnya, walaupun diperanakkan dia di kemuncak Gunung Babu sekalipun…”

Dari dua tulisan-tulisan di atas menggambarkan masyarakat Melayu dan Islam waktu itu sedang digerakkan supaya jangan leka dan tidur, bangun menyaingi bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India yang bukan Islam. Majalah Saudara di atas, mempunyai satu pendirian politik mengenai hak-hak kaum bukan Melayu di Tanah Melayu. Mereka yang bukan Melayu, terus menuntut supaya diberikan hak istimewa oleh penjajah. Mereka tentunya bukan beragama Islam, memang boleh menjadi kawan penjajah, sebab kedatangan penjajah ke Asia ini bukan sahaja bertujuan ekonomi tetapi adalah lanjutan Perang Salib di Eropah melawan Islam.


Walaupun dikatakan orang bukan Islam itu sudah menguasai ekonomi di negeri bawah jajahan, namun mereka mahu menuntut kuasa politik pula! Contohnya, seorang ahli majlis mesyuarat Negeri-negeri Selat bernama Lim Chin Yan, telah menyuarakan hak-hak orang Cina di Tanah Melayu dalam suatu perjumpaan Persatuan Cina Hu Yew Seah pada 6.2.1931. Lim mengatakan Negeri-negeri Selat bukan negeri-negeri Melayu. Semasa Francis Light datang ke Pulau Pinang tiada kampung-kampung Melayu. Orang-orang Cinalah yang datang tinggal menetap, bekerja kuat, tidak hantar duit balik ke negeri China hingga dapat membangunkan Pulau Pinang.
Lim meminta supaya Orang Cina Peranakan di Tanah Melayu dijadikan rakyat British dan diberi kemudahan sosial seperti pelajaran.


Reaksi ucapan Lim itu amat memberangsangkan. Intisari ucapannya disiarkan oleh Al-Ikhwan (16.2.1931) dan Saudara (14.2.1931).. Akhbar Straits Echo bersetuju dengan Lim, Malayan Daily Express (10.2.1931) mahu Orang Cina Peranakan buktikan mereka berhak mendapat kerakyatan British. Al-Ikhwan(16-2-31) dan Saudara (28-2-1931) tidak bersetuju kerana boleh mengancam hak-hak orang Melayu.


Dalam masa dan keadaan sosio-politik seperti inilah maka lagu-lagu rakyat seperti di atas dilahirkan, dengan mempunyai maksud yang tersirat di balik yang tersurat.. Contoh tersiratnya…


'Gham(ram) gham(ram) pisang, pisang masak layu’, boleh ditafsirkan sebagai seruan supaya Orang Melayu terus berusaha, dan pilih jalan singkat mendahului orang lain untuk sampai ke matlamat. Untuk percepatkan proses masaknya semayang pisang, hendaklah di ‘ram’ dulu, seperti disimpan dalam tong berisi padi yang habanya mempercepat proses kemasakan tersebut.. ‘masak layu’ ertinya masak tidak mengikut proses tradisional biasa yang agak lambat. Jadi, perlukan proses luar biasa yang cepat waktu itu.


‘Susu lemak manis, santan kelapa muda. Adik jangan menangis, mak nak pi kegja (kerja)’ Membentangkan satu fenomena kehidupan rakyat, di mana ibubapa terpaksa pergi bekerja kukuhkan ekonomi. Mereka tinggalkan anak-anak di rumah, di mana si kakak sentiasa membujuk si adik supaya jangan menangis, walaupun berbekalkan ‘susu lemak manis’ . Sudah tentu bukan susu ibunya, yang ada cuma santan atau susu kelapa muda.. kerana kelapa muda itupun memang tidak banyak bersantan.


Bagaimana pula dengan baris kedua, ‘Jatuh dalam kubang, sambak (sambar) bapak yu’ ??. Kalau orang Melayu tidak kuat berusaha dengan berbagai teknik dan taktik untuk percepatkan kemajuan menandingi bangsa lain, maka ia akan terjatuh ke dalam ‘kubang’ atau lubuk dan akhirnya akan disambar atau ditelan oleh ‘bapak yu’. Sudah tentu ‘bapa yu itu bukan ikan besar yang boleh menelan mangsanya terjatuh ke lubuk. Kerana itu hanya simbolik!


Siapa pula ‘bapak yu’ itu sebenarnya??


Pertama, boleh jadi kuasa penjajah, iaitu Inggeris yang berkuasa waktu itu.



Kedua, bolehjadi bangsa-bangsa saingan orang Melayu, bangsa Cina umpamanya. Selepas merdeka, kita lihat dua buah bekas jajahan Negeri-negeri Selat dipimpin oleh dua ‘yu’. Iaitu Ketua Menteri Singapura pertama Lee Kuan Yew dan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Dr Lim Chong Eu. Sama-sama ‘ yu’. Memang semua Ketua-ketua Menteri negeri-negeri tersebut tidak pernah ada yang berbangsa Melayu. Semuanya berbangsa Cina dari dulu hingga sekarang.


Begitu juga kisah bunga seroja dalam pantun nyanyian rakyat terdahulu seperti yang dikomenkan. Iaitu "Pulau Pinang bandar baharu, Kapten Light menjadi raja. Bagaimana hati tak haru, melihat bunga kembang seroja.” Bagaimana hati boleh terharu dan kesal sewaktu melihat bunga kembang menawan? Apalagi bila yang kembang itu adalah bunga seroja? Bunga yang hidupnya terapung-apung di permukaan air, tanpa tunjang menjejak bumi. Bunga yang akarnya mudah tercabut dan musnah, bila banjir kecil melanda!


Bolehjadi bunga seroja itu adalah simbol bangsa Melayu, yang tidak tetap dan terapung-apung tanpa kuasa di bumi sendiri. Atau juga simbol pembangunan Pulau Pinang yang maju dan indah, tetapi tidak banyak memberi manfaat kepada bangsa Melayu. Seperti kata seorang ulama, “Umat Islam (di Persekutuan Tanah Melayu) tidak akan dihambat melalui muncung senapang, tetapi akan dihimpit tersepit sedikit demi sedikit melalui pembangunan, hingga ke hutan belantara…”


Akhirnya saya sangat-sangat berterima kasih atas komen-komen anda! Wallahu ‘aklam. Sekian.

Catatan santai: Pulau Pinang Siri 2
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com).
04-07-2007

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails