Sunday, August 19, 2007

Imbauan 2: Sebelum adanya Harakah..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI



LEPAS catatan santai ‘Harakah 20 Tahun’ saya tulis pada 15-08-07, kira-kira jam 10.30 malam saya dapat berita mengenai ayah saya sedang sakit telah meninggal dunia di kampung saya di Balik Pulau, Pulau Pinang. Saya terus pulang ke kampung se keluarga, waktu itu juga. Orang tua saya meninggal dalam umur 83 tahun. Nama sebenar ayah saya ialah Ustaz Hashim bin Sulaiman bin Bidin bin Icik bin Hanoi.

Agak lain sikit salsilah keluarga saya. Nama ibu saya adalah Fatimah binti Man bin Taib... setakat itu yang saya tahu. Ibu saya telahpun pergi mendahului beberapa tahun sebelumnya. Ibu saya dikatakan berasal dari Perlis, yang juga berasal dari Thailand. Melihat nama Icik dan Hanoi, ada kemungkinan, ayah saya juga berasal dari Thailand, Kemboja atau Vietnam. Itu sebab rupa anggota keluarga saya 13 beradik (satu meninggal semasa kecil) itu, tiada macam anak mami atau anak mamak, yang juga disebut nana tanjung.

Atau disebut juga Jawi Peranakan, iaitu anak yang lahir dari hasil perkahwinan lelaki berketurunan dari benua India atau Arab berkahwin dengan wanita Melayu tempatan, dikatakan cantik-cantik kerana hidungnya mancung bagaikan seludang kelapa. Ayah saya berpendidikan sekolah ‘pondok’ di Kubang Semang, Seberang Perai, dan jadi guru agama di sekolah agama rakyat Kampung Perlis Balik Pulau. Dia dikatakan terlibat dengan politik PAS, waktu itu menggunakan lambang ‘bulan bintang’, di bawa masuk oleh seorang yang bernama Omar Din di Balik Pulau.

Atas tekanan-tekanan parti pemerintah dia terpaksa berhenti atau diberhentikan mengajar. Dia berpindah pula ke Kampung Keling Teluk Bahang, mengajar di Madrasah Al-Masakin, yang memberi pengajaran agama kepada penduduk-penduduk nelayan miskin, terutamanya kepada golongan majoriti Jawi Peranakan di daerah tersebut. Di situlah saya dan keluarga belajar agama, hingga ada di kalangan kami yang berjaya melanjutkan ke sekolah Menengah Agama Al-Mashhor Pulau Pinang, terus ke Arab Saudi (King Abdul Aziz University), India dan Mesir.

Saya teringat bagaimana ayah saya mengajar murid-muridnya secara tradisional. Saya pernah disebat dengan rotan dari rumah saya (berhampiran madrasah tersebut) hingga ke dalam madrasah. Kanak-kanak nakal yang pernah dihantukkan sesama kepala-kepala mereka. Dan macam-macam hukuman.. seperti pesan ibubapa mereka kepada guru agama yang mengajar itu ‘hukumlah apa saja kepada anak kami, jangan sampai capek dan buta saja!’.

Tetapi, sekolah itu tidak bertahan lama, kerana mengutip yuran bulanan RM0.5 (50sen) pun amat sukar kepada anak-anak nelayan kecil yang hidupnya kais pagi makan pagi. Disebabkan kemiskinan, saya sendiri pernah menjadi penarik beca di bandaraya Pulau Pinang kerana hendak menyambung pelajaran sekolah sewaktu umur masih hujung belasan tahun. Kini di tempat madrasah itu, telah berdirinya Hotel Mutiara berhampiran pekan Teluk Bahang, setelah madrasah tersebut terbakar (mungkin dibakar) beberapa kali.

Mungkin atas asas didikan seperti itulah membuat jiwa saya cinta kepada perjuangan Islam. Pada awal tahun 1980an melalui kawan saya Mohd Shuib Osman, saya diperkenalkan menjadi ahli PAS dan menghantar borang PAS kepada Ustaz Othman Hamzah di pejabat agung PAS, Kuala Lumpur. Saya anggap Ustaz Uthman Hamzah dan isterinya Ustazah Hayati sebagai tempat rujuk bagaikan ibubapa saya sendiri, di perantauan. Kami sama-sama menubuhkan PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar (PAS Kawasan Bukit Bintang sekarang) yang saya dilantik sebagai Ketua Pemuda pertama, dan akhirnya menjadi Bendahari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Tidak ketinggalan juga kuliah pengajian pagi minggu di rumah Pak Yazid di Kampung Baru memainkan peranan penting dalam menarik ahli-ahli baru menyertai PAS. Waktu itu majlis-majlis usrah dan pengajian begitu mendapat sambutan dan bertumbuhan bagai cendawan di musim hujan. Begitu juga dengan perkembangan dakwah Darul Arqam, tetapi ianya kurang membantu perkembangan PAS. Waktu itu saya amat berbangga dapat berkenalan dengan Haji Subky Latif yang baru lepas menjadi calun PAS di Setapak, walaupun saya pernah kenalnya sudah lama melalui tulisan-tulisannya.

Akhirnya kami menjadi kawan, dan saya menerbit buku tulisannya bertajuk ‘PAS Masuk Lubuk Merbau’ yang mededahkan kisah pembunuhan Saudara Osman Talib beberapa bulan sebelum Peristiwa Berdarah di Memali, Kedah. Buku itu kemudiannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama risalah ‘Peristiwa Berdarah di Lubuk Merbau’ tulisan Suhaimi Said, peguam PAS waktu itu. Juga beberapa kaset bertajuk ‘Syahid Di Lubuk Merbau’ oleh …. saya tak ingat penceramhnya. ‘Syahid Di Tanjung Periuk’ dan ‘Syahid II Di Tanjung Periuk, kedua-duanya ceramah Abdul Kadir Jealani Indonesia.

Denda kesalahan memiliki dan menyimpannya adalah RM5,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Hal ini berlaku, sebelum bermulanya penerbitan Harakah walaupun yang berwarna merah atau hijau seperti yang disebut dalam catatan santai terdahulu. Dan banyaklah lagi buku yang telah saya terbitkan atas nama GG Edar, sebelum terbitnya Harakah, seperti ‘PAS 1951-1991 Tercabar dan Mencabar’, ‘ ISA Mengapa Perlu Dihapuskan? Kedua-dua tulisan A K Hidayah.

‘PAS: Tuntutan Kebangkitan Ummah’ Koleksi Ucapan Dasar PAS dari mula tubuh PAS (hasil pemberian koleksi Ustaz Uthman Hamzah). Buku Tulisan Mohd Nakha’ie Hj Ahmad seperti Fiqh Sirah 1 (menjadi teks usarah PAS), dan kira-kira puluhan buku-buku kecil politik Islam, mengenai Fatwa Peristiwa Memali dan sebagainya. Buku kisah penahanan Suhami Said di penjara ISA. Buku terjemahan gerakan-gerakan Islam Asia Barat seperti Ikhwanul Muslimin.. Tulisan Ustaz Abdul Hadi Awang saperti Muqaddimah Aqidah Muslimin (juga menjadi teks usrah PAS), Konsep Negara Islam dan lain-lain.

Penerbit Buku-buku PAS dan gerakan Islam masa itu selain GG Edar ialah seperti Dewan Pustaka Fajar, Gedung Ummah Di Rusila, Pustaka Ikhwan dan sebagainya. Sebab itulah pada muktamar PAS baru lalu di Kelantan saya sempat bersalaman dengan Dato’ Husam Naib Presiden PAS, beliau berbisik kepada saya disamping mengingati Saudara Yusuf Jalil pengarang Harakah yang sedang sakit sekarang, katanya, “anda juga berperanan menjadi orang yang terawal menerbit bahan-bahan media PAS. Syabas!!”

Bersambung lagi, insya Allah!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) Kuching. 18-08-2007.


No comments:

Post a Comment