Friday, August 24, 2007

Imbauan 3: Orang Harakah Tolong Saya


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI


“APA khabar anda yang hazir ke majlis makan malam ‘20 tahun Harakah’ hari tu??” Saya tanya kepada seorang bekas pengarang lama Harakah, kerana saya baru pulang dari Sarawak, tak dapat hazir ke majlis tersebut.

“Semuanya berjalan baik, Alhamdulillah. Cuma.. orang-orang yang lama betul, termasuk pengasas kerja-kerja awal Harakah masih belum dapat penghargaan lagi seperti Mohd Nakha’ie, Rahim Kassim, Yusuf Jalil, Wan Azman, Cikgu Sahak.. kecuali Haji Subky dan Pak Hussien Yaakob (Ibnu Muslim) antara yang dapat penghargaan pada hari itu.” Jawabnya. “Ya! Jasa orang-orang ini perlu dikenang, walaupun kadang-kadang ada di antara mereka yang mempunyai rekod sedikit titik hitam dalam perjuangan PAS dan Harakah.

“Bagaimana dengan Zulkifli Sulong?? Beliau juga orang lama yang bekerja semasa Nakha’ie jadi ketua Harakah lagi. Sekarang beliau juga termasuk bos di Harakah..” Saya tanya.

“Kenapa anda tanya begitu??”

“Kerana beliau pernah menolong saya. Suatu pertolongan yang amat berharga pada saya, entah beliau tahu atau tidak. Saya belum mengucapkan terima kasih lagi kepada beliau.”

“Tolong apa?”

“Panjang ceritanya..” Kata saya. “Kira-kira dalam tahun 90an, waktu itu kedai buku GG Edar (milik saya) terpaksa pindah dari bawah pejabat Harakah ke belakang lagi di Pekeliling Bussiness Centre, tempat Harakah bahagian iklan sekarang, yang masih di dalam kawasan Islamic City... Waktu itu saya sedang bercakap telefon dengan kawan saya. Antara perbualan saya..

‘Ya. Betul. Pihak FINAS telah merampas video ceramah pemimpin-pemimpin PAS yang saya jual puluhan banyaknya, di kedai bawah pejabat Harakah. Hal ini menyebabkan saya diseret ke mahkamah. Saya cuba berunding di luar mahkamah dengan pihak Finas, tapi ‘ini kes politik’, kata mereka, ‘kami tak boleh campur!’ Saya telah menyatakan dengan tegas di mahkamah, saya tidak bersalah. Saya mengaku tidak bersalah. Kini saya sedang berusaha menjadi peguam sendiri membela diri. Saya dah jumpa banyak pihak. Saya pun sudah membuat kesimpulan untuk sedia dan nekad masuk penjara kalau kalah, di mana kalau dendanya melebihi RM10,000 ke atas. Hanya setakat itu yang mampu saya bayar.’

Rupanya dengan tidak disedari perbualan saya telah didengari oleh seorang lelaki yang datang membeli buku-buku agama di kedai saya, untuk kesatuan kebajikan di jabatannya. Beliau bertanya, ‘benarkan apa yang anda sebutkan di telefon tadi?’ Saya jawab, ya. ‘Benarkah anda tidak mengaku salah?’ Juga saya jawab, ya.

‘Kalau begitu mungkin saya boleh tolong anda.’ Katanya. ‘Anda tulis surat kepada saya (beliau memberi nama dan alamat jabatannya), nyatakan dengan terperinci, detik-detik dan apa sebenarnya berlaku, yang penting motifnya adalah kerana politik parti, dan hantarkan kepada saya dengan segera.’

Saya laksanakan semuanya. Bahkan saya juga beristikharah, sembahyang hajat dan memohon Allah SWT berikan laluan yang baik pada saya. Mungkinkah pertolongan Allah sudah datang?? Tetapi kadang-kadang ada juga rasa ragu-ragu, benarkah orang yang saya tidak kenal ini nak bantu? Apa muslihatnya??

Akhirnya sampailah saya ke tarikh hari pembicaraan seterusnya. Malangnya dengan tidak disangka-sangka, saya sampai lambat kira-kira satu jam di mahkamah. Saya pergi ke bilik pembicaraan, semuanya sudah tiada. Saya bertanya pegawai berkenaan, katanya ‘pihak Finas telah menarik balik kes tersebut!’. Habis.. apa patut saya buat?? ‘Pulanglah.. kes awak sudah selesai, jelasnya.’

Alhamdulillah! Cukup mudah, kalau Allah SWT yang turun tangan.” Jawab saya kepada bekas pengarang Harakah yang di depan saya ini.

“Apa pula kena mengena dengan Zulkifli Sulong?”

“Melalui beliaulah orang itu datang kepada saya dan berlaku seperti yang berlaku.. Itulah jasa beliau pada saya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau.” Saya menjelaskan.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu cerita anda ini, termasuk saya. Mengapa anda tidak beritahu Harakah waktu itu? Kalau Harakah boleh bela keadilan kepada orang lain, kenapa kepada ahli sendiri tidak? Kenapa biarkan anda pertahankan diri bersendirian? Apalagi bila kes ini ada kaitan dengan perjuangan PAS? Apa bedanya kes anda dengan kes ‘Pak Din Hancur’ yang dapat liputan meluas dalam harakah? Mengapa kes anda langsung ramai orang tak tahu?”

“Pertanyaan seperti anda ini telahpun diajukan kepada pimpinan Harakah waktu itu, ada yang menjawab, ..mengenai hal ini, ia adalah special kes!.. ”

“..Special kes.. macam mana??” Lagi kuat dia bertanya.

“Oh.. Hal ini lagi panjang ceritanya. Saya akan jelaskan di waktu yang lain pula, insya Allah.”

Tunggu catatan santai Imbauan 4, berikutnya...

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 24-08-2007.

No comments:

Post a Comment