Monday, September 17, 2007

Politik Ayam: Ayam, Bermacam Ayam!




Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
TERTARIK saya dengan kartun di sebuah akhbar lidah kerajaan semalam.. Menggambarkan 3 macam manusia…

Pertama
, seorang wanita bertudung mungkin maksudnya pengguna-pengguna Islam yang sedang menyambut puasa Ramadzan, bermuka sedih sedang membimbit bakul kecil berisi ayam, di atasnya tertulis, ‘YANG KENA TINDAS: Pengguna’.

Kedua, gambar seorang lelaki bermuka masam macam rupa buntut-buntut ayam yang sebaris di depannya. Dia sedang memotong ayam. Di sebelahnya tertulis tanda, ‘AYAM RM7 sekilo’.. Semua orang tahu harga siling ayam yang sudah diproses diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ialah RM6 sekilogram. Nampaknya orang itu tidak takut undang-undang, dia langgar terus. Dia jual dengan harga lebih RM1 dari yang ditetapkan. Di atasnya tertulis, ‘YANG KENA DENDA: Peniaga’.

Ketiga, gambar sebuah lori ayam sedang berlalu, dengan pemandunya bermulut lebar gembira sambil menyanyi-nyanyi, antara kata-kata lagunya ‘Ayam.. bermacam ayam’. Mungkin lagu yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Salleh Yaakob. Di atasnya tertulis ‘YANG KENA LOTERI: Pemborong’. Maknanya, pemboronglah sebenarnya yang mengaut keuntungan, dapat durian runtuh atau loteri, seperti yang disebutkan.

Kalau kita detailkan makna ‘loteri’ pula, iaitu suatu sistem perjudian yang memberi keuntungan kepada segolongan kecil tetapi merugikan golongan yang besar dan ramai. Ianya ditaja oleh kerajaan Malaysia sejak merdeka lagi, disebut ‘Loteri Kebajikan Masyarakat’. Hingga sekarang terdapat dalam berbagai bentuk seperti TOTO (2 kali TO ertinya 2 kali atau berkali-kali ‘tipu orang’), tawaran-tawaran istimewa atau menjadi jutawan dalam tv melalui SMS, empat nombor ekor dan sebagainya.

Dari segi hukum Islam, perjudian tersebut bukan durian runtuh dan hukumnya adalah ‘haram’. Tetapi dalam hukum kerajaan, boleh. Ianya tidak pelek, kerana Malaysia bukan kerajaan Islam tulin, bahkan kerajaan sekular. Mungkin, sebab itulah harga ayam boleh diekploitasikan. Hingga boleh jadi suatu permainan dan perjudian bagi pemborong-pemborong ayam. Sebab itu kartun tersebut kata 'kena loteri'.

Mengapa saya kata begitu?

Pertama.. Cuba lihat, kenapa harga ayam cuma naik pada bulan Ramadzan dan Hari Raya orang Islam sahaja, tidak pada Tahun Baru Cina? Kalau betul harga terpaksa naik, mengapa harga daging-daging lain seperti lembu, kambing dan lain-lain tidak naik? Harga ayam naik begini, berlaku setiap tahun. Tetapi tidak pada Tahun Baru Cina, bahkan turun pula. Contohnya, pada Tahun Baru Cina awal Januari lalu Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengumumkan penurunan harga ayam di seluruh Malaysia antara 80 sen hingga RM1.06 tiap satu kilogram.

Kedua.. Kenapa kerajaan jadi bengap macam tak boleh buat apa-apa? Tidak menasabah langsung pihak berkuasa sudah takde kuasa, tidak boleh bertindak? KPDNHEP sudah khianati amanah rakyat ke? Atau bahagian pengguna, hanya pegang kuasa tak tahu nak guna? Kalau nak halang ceramah pembangkang seperti yang berlaku baru-baru ini di Terangganu, atau di lain-lain tempat sebelumnya mereka cepat bertindak.

Ketiga.. Adakah mereka tidak bertindak kerana kebanyakan pemborong atau persatuan penternakan ayam adalah bukan dari kalangan orang Melayu? Hingga perniagaan ayam terpaksa dipolitikkan? Kalau bertindak, mereka akan dituduh perkauman, hingga menyebabkan kedudukan parti pemerintah tergugat? Apakah ianya juga seperti yang berlaku pada operasi babi di Paya Mengkuang, Ayer Molek dan Bukit Beruang Melaka baru-baru ini, tidak mampu dilaksanakan walau Unit Simpanan Persekutuan (FRU), rela dan lain-lain dikerahkan ke sana?

Hanya semata-mata kerana 120,000 ekor babi milik orang bukan Melayu? Tetapi kalau kepada setinggan-setinggan Melayu Kampung Berembang Selangor sanggup mereka lanyak habis-habisan? Apakah orang-orang Melayu Islam sudah menjadi warga kelas dua di bumi sendiri??

Akhirnya dalam kes ayam ini, tukang-tukang kipas kerajaan, hanya mampu menyalahkan pengguna-pengguna Islam yang guna ayam lebih di hari perayaan. Itu lagi bengap! Sanggup menyalahkan dan tangkap peniaga-peniaga kecil orang Islam saja. Taukeh-taukeh judi pengekploit harga ayam (pemborong) tak kena apa-apa pun. Inilah jadahnya bila lantik pemimpin-pemimpin yang tidak boleh buat apa-apa.. pemimpin bengap!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 17-09-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails