▼
Sunday, September 02, 2007
Imbauan 4: Harakah Sebagai Unversiti.
Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI
“SETELAH membaca tulisan anda, ‘Imbauan Harakah 20 Tahun, Imbauan 2 & 3’ maka saya ingin beritahu anda bahawa pada saya Harakah adalah universiti tempat latihan, mengutip dan mengembangkan ilmu.” Kata seorang bekas pengarang Harakah yang saya temui baru-baru ini. “Anda ingat atau tidak, anda juga ada membantu saya hingga terbitnya buku sulung saya, selepas PAS baru mengambil alih negeri Kelantan 1990, berjudul ‘Kelantan: Mampukah Ulama Mentadbir?’ ”
“Ya, saya ingat! Anda pernah dihantar Harakah untuk membuat liputan menjelang kemenangan ANGKATAN (Angkatan Perpaduan Ummah) di Kelantan, dan saya melihat tulisan anda adalah bahan sejarah yang perlu dikumpulkan dan dijadikan buku. Bila anda mengumpulkan, sayalah yang memilih tajuk dan mengeditnya, walaupun masih belum sempurna dan nampak kelam kabut isinya. Tetapi buku itu masih agak berjaya di pasaran.” Jawab saya.
Beliau adalah saudara Tarmizi Mohd Jam berasal dari Parit Perak. Dalam buku seterusnya, beliau mengucapkan kata penghargaan kepada saya dan mengiktiraf saya sebagai guru kepada penulisannya. Puluhan buku-buku diterbitkannya, akhirnya menjadikan penulisan buku sebagai sumber pendapatan sepenuh masa beliau. Hanya beliau seorang diri menulis, mengedit, menerbit dan memasarnya. Pada tahun-tahun 90an, beliau banyak menerbitkan buku-buku isu berbentuk majalah tak berkala. Mungkin pendapatan waktu itu agak lumayan, hingga boleh pakai kereta mewah.
Saya tak ingat judul-judul buku tulisannya, kerana agak banyak. Seingat saya juga, beliau ada melanjutkan pelajaran penulisannya di Universiti Malaya. Bukan setakat menjadi penulis, bahkan beliau berkecimpung dalam politik PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya di Perak sebagai calun PAS. Saya sedar, banyak wang ringgit dan masa yang dihabiskan untuk perjuangan, kerana sering berulang-alik ke kawasannya, bagi menghidupkan perjuangan PAS di sana. Hal ini kita semua sedia maklum di saat PAS parti yang miskin dan masih belum menang banyak kerusi dalam pilihan raya kecuali Kelantan, amat perlukan sokongan ahli-ahlinya.
Saya juga sedar hal ini kerana saya juga begitu, waktu nak menghidupkan PAS di kawasan saya (PAS Kawasan Balik Pulau di mana saya jadi YDPnya) dari pertengahan 80an hingga pertengahan atau hujung 90an. Banyak pengorbanan yang perlu kita curahkan. Begitu juga saudara Ahmad Lutfi Othman anak Kedah, yang banyak menerbitkan buku-buku dan majalah (termasuk majalah Detik) semasa berkerja atau menjadi pengarang Harakah. Beliau yang dengan beraninya pernah bertembung dan berlawan dengan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri), begitu banyak menerbitkan buku-buku politik.
Semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru dipecat dari UMNO, saya pernah bersama-sama beliau berceramah di Markas PAS Kampung Pandan. Waktu itu ada sebuah buku tulisan beliau begitu laris dan cetakannya dikatakan menjangkau 80,000 naskah, tidak termasuk puluhan syarikat yang mencetaknya secara haram (cetak rompak). Begitu juga Ustaz Mashudi (sekarang masih berkerja di Harakah) walaupun tidak menulis buku, tetapi beliau adalah orang yang awal menulis semula ucapan atau kuliah Tok Guru Nik Aziz dijadikan buku dan diterbitkan oleh pihak Harakah. Sambil menulis beliau seolah-olah sedang belajar agama di universiti..
Begitu juga Saudara Zulkifli Sulong anak Terangganu menulis buku mengenai PAS tawan Terengganu sebelum PAS benar-benar tawan Terangganu, Saudara Rashidi Hassan mengenai perjuangan Islam di Bosnia, Saudara Yusri Yusof anak Kelantan mengenai isu Palestin, Saudara Rahim Kassim buku mengenai UMNO & S46, bekas pelakon L.Man Kadir Shamsi yang memakai nama samara juga pernah berkerja sekejab dengan Harakah, Saudara Zin Mahmud dengan majalah Dunia Islamnya, Saudara Nasir Awang dan ramai lagi yang saya belum ingat semasa menulis artikel ini.
“Soalnya sekarang mengapa ramai juga orang yang asalnya datang untuk berbakti kepada perjuangan Islam melalui Harakah seperti pelajar-pelajar yang baru keluar universiti, terpaksa keluar meninggalkan Harakah seolah-olah lari dari perjuangan? Mengapa orang-orang yang terlatih di Harakah, ramai yang keluar meninggalkan Harakah atau pergi berkhidmat kepada bukan jamaah yang sealiran dengan Harakah? Di mana salahnya tarbiah universiti Harakah seperti yang disebutkan??” Saya pula bertanya Tarmizi.
“Mereka yang baru keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi menganggap universiti Harakah itu sebagai lubuk kegiatan Islam yang bersih dari kekurangan, maka mereka pun terjun kedalamnya. Tetapi apabila sudah bergelumang di dalamnya, baru mereka tahu bahawa masih banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibetulkan, dan harakah Islamiah itu sendiri perlukan pentarbiahan.” Jelas Tarmizi. “Itu sebabnya ada juga hampir berlaku saman-menyaman sesama sendiri dan sebagainya. Mana yang mengalah, tak mahu berlawan atas dasar jamaah terpaksa keluar membawa diri. Kadang-kadang bila keluar dari Harakah mereka jadi lebih terkenal!!”
Contoh seperti Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Wan Johari, JJ Perak, (saya tak ingat nama sebenarnya), Zin Mahmud, Rizal dan lain-lain.
Bersambung, insya Allah.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 02-09-2007.
No comments:
Post a Comment