Wednesday, September 26, 2007

Imbauan 6: Pak Din Hancur, Pak Amjal & Badarudin


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

(gambar: Pak Amjal, berdepan dengan polis dalam demontrasi biasa baginya..)


“SUDAH 5 siri anta tulis fasal Harakah, anta tak sebutpun fasal peniaga-peniaga Harakah peringkat awalan yang menjual Harakah bukan kerana nak untung duit sangat, tapi kerana nak dakwah dan sampaikan perjuangan parti Islam…”Kata sesorang pada saya.

“Siapa.. contohnya??”

“Oh, ramai.. Allahyarham Pak Din Hancur bersama rakan karib mereka Pak Amjal, Badarudin.. dan juga Allahyarham Haji Sani serta lain-lainnya di KL, ramai lagi kalau di luar KL..”

“Ya. Ya. Memang saya kenal Pak Din. Dia dan PAS Parit pernah menjemput saya ceramah motivasi di markas yang baru diwakafnya dalam kawasan Parit. Saya dah pergi ke sana tetapi malangnya tak sempat seperti dirancang, kerana ada sesuatu perkara yang menghalang. Saya sangat memohon maaf kepada mereka, kerana ramai yang sudah menunggu.. hampa.” Jelas saya pula. “Beliau sendiri mengeluarkan wang kira-kira RM30,000 untuk wakaf buat bangunan PAS di atas tanahnya itu. Satu pengorbanan besar bagi seorang yang tiada kerja tetap hanya jual surat khabar Harakah dan keset-keset ceramah PAS, terutama yang diedarkah oleh Syariakt GG Edar. Segala barang-barang ibadah dan dakwah beliau tidak segan-segan menjualnya.. apa lagi untuk lelong..murah-murah!”

“Mengapa orang panggil Pak Din Hancur?” Seorang lagi kawan kami bertanya.

Jelas kawan saya yang satu lagi, “Ada yang special dari allahyarham Pak Din.

Pertama, bila pemimpin berceramah, bukan saja disambut dengan slogan Allahu Akbar, bahkan ditambah dengan ‘Hancur UMNO!’ Kalau yang berceramah itu YB Mohd Sabu, responnya dari penceramah mungkin menggalakkan terhadap celahan Pak Din semasa berceramah tersebut. Pernah semasa Allahyarham Ustaz Fadzil berceramah di Taman Jasa Gombak pula, Ustaz Fadzil menyindirnya setelah rasa terganggu dengan celahan Pak Din itu, ‘Kalau nak ceramah, mai naik le ke pentas!’

Kedua, bila dia jumpa kita, dia beri salam dan ada tambahannya, ‘As-salamu ‘alaikum? Hancur UMNO!’, ..dengan tangan yang mengenggam penumbuk. Jadi macam wirid baru dalam budaya politik kepartian di Malaysia. Itu sebab orang panggil dia Pak Din Hancur.”

“Eh, orang tak marah ke??” Ada kawan yang tanya.

“Nabi sendiri pernah menyebut Musailamah ‘Al-Kazzab’, atau Musailamah ‘Penipu’, kerana Musailamah mencipta agama baru. Begitu juga gelaran Abu Lahab (Melayunya Pak Nyala) dalam Al-Quran. Termasuk juga, ada yang menambah perkataan ‘Laknatullah’ bila disebut UMNO, kerana pada mereka UMNO berkhianat kepada perjuangan menegakkan agama Allah, dan berparti asabiah..” Yang lain menjelaskan.

“Bagaimana dengan UMNO pula? Tak marah ke?”

“UMNO nak marah macam mana,. dia sendiri pernah menggelar PAS macam-macam. Antaranya, PAS lebih bahaya dari komunis, parti kampong, pencetus dua imam dan macam-macam. Tok Guru Nik Aziz juga diperli bagaimana nak perintah Malaysia dengan pakai kain pelikat? Allahyarham Ustaz Fadzil pernah disebut tak larat angkat pelupuk mata.. dan macam-macam hal dihinakan. Pemimpin-pemimpin BN juga bila sebut Osama Laden dan Al-Qaeda secara aotomatik mengaitnya dengan pengganas. Umpamanya .. Pertubuhan pengganas Osama Laden … Pada hal pengeboman WTC 11 September dulupun masih belum boleh dibuktikan di mahkamah sepenuhnya ada kaitan dengan Al-Qaeda.”

Yang lain menambah, “Pak Amjal juga ada specialnya. Kalau semasa demontrasi, dia tidak pernah berundur, terus ke depan. Pernah beberapa kali ditahan polis. Dia terus berdemontrasi sejak dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi pembangkang (dalam ABIM 1970an & awal 80an) dia sokong demontrasi Anwar. Sejak Anwar jadi menteri dia demontrasi lawan Anwar dan sampai jadi pembangkang semula dia berdemontrasi bersama Barisan Alternatif atau PAS sekarang. Pak Amjal tidak pernah serek-serek. Kalau nak jumpa dia sekarang, sila ke kedai makan berhampiran bulatan depan pintu masuk Universiti Malaya KL.. bersama regunya Sulaiman Bujang itu.”

“Begitu juga dengan Ustaz Badarudin, kawan rapat Pak Din itu.” Giliran saya pula bercerita.

“Beliau pernah jual keset-keset ceramah PAS di bangunan PWTC puluhan tahun lalu semasa mesyuarat Agung UMNO sedang berjalan. Dalam mesyuarat tahun tersebut, berdegar-degar perwakilan UMNO mencadangkan supaya Ustaz Hadi pemimpin PAS, yang keset-keset ceramahnya paling laris dijual itu ditangkap atau ditahan saja di bawah ISA. Merbahaya.. kata mereka. Bahkan pada suatu ketika keset itu diperdengarkan dalam mesyuarat tersebut.

Ustaz Badarudin menjual barang-barang ibadat, termasuk keset dan buku, yang diletakkan di atas meja jualan. Tapi tiada keset ceramah Ustaz Hadi di atas meja itu. Kalau ada yang menghampirinya, dia berbisik di telinga mereka, ‘Keset ceramah Ustaz Hadi ada.. nak ke?’ Rupanya ramai yang nak. Mula-mula jual sorok-sorok, kerana ramai perwakilan dan pemerhati yang minta maka dia terus pamerkan atas meja. Jualan terus laris hingga ke petang.

Tiba-tiba seorang perwakilan bercakap dan mendedahkan dalam mersyuarat itu, ‘..sedang kita sibuk-sibuk suruh tangkap Ustaz Hadi dan haramkan kesetnya, dibawah sana dalam bangunan ini keset tersebut sedang laris dijual!’. Maka melurulah pegawai keselamatan datang merampas dan menangkap Ustaz Baharudin. Sesudah beberapa jam ditahan di bilik keselamatan hingga masuk waktu asar, beliau minta nak sembahyang asar.

Jawab pegawai itu, ‘Sebenarnya kami bukan nak tahan encik. Encik tak salah, keset-keset itu belum digezetkan sebagai barangan salah. Barang itu pun bukan barangan merbahaya seperti senjata. Cuma kami diarahkan supaya tahan encik buat sementara hingga perwakilan pulang. Ya, encik pergilah sembahyang dulu, lepas itu encik bebas dan boleh bawa balik barang-barang encik!

Beliaupun pergi sembahyang di bilik sembahyang, mulanya seorang diri, lepas beri salam, rupanya ramai pemimpin-pemimpin agama UMNO menjadi makmum di belakangnya. Alhamdulillah, takde apa-apa.. ’ Begitulah yang pernah diceritakan Ustaz Badarudin kepada saya.”

Merekalah antara regu yang gigih dan berani dalam usaha menjual dan membangunkan Harakah, apalagi di saat-saat ramai orang lain masih belum boleh menerima penyebaran akhbar rasmi PAS itu. Itu mereka yang tidak boleh saya dan kita lupakan.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 26-09-07

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails