Wednesday, September 05, 2007

Pertahan Kelantan Dengan Darah?


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“KINI di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, PAS cuma lebih 1 kerusi sahaja, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi sahaja!” Saya mencelah dalam suatu perbincangan kedai kopi di Setiawangsa baru-baru ini. “Bolehkah kita katakan PAS perintah Kelantan dengan kelebihan 2 undi sahaja??”

Hal ini berlaku dalam kawasan Parlimen Macang (P029) di DUN Kemuning (N02935) di mana calun PAS (dapat 6,078) mengalahkan calun BN (6,076) dengan 2 undi sahaja. Undi rosak 190 dan peratus keluar mengundi ialah 77.96%. Di DUN yang dua lagi dalam parlimen Macang juga iaitu DUN Temangan (N02934) PAS (dapat 5,603) mengalahkan calun BN (dapat 5,523) dengan majoriti 80 undi. Undi rosak 145 dan peratus keluar mengundi ialah 82.1%. Begitu juga di DUN Pulai Chondong (N02933) PAS (dapat 5,965) mengalahkan calun BN (dapat 5,760) menang dengan 105 undi. Undi rosak 131 dan peratus keluar mengundi ialah 82.15%.

Kalau dijumlahkan undi PAS mengalahkan BN dalam 3 DUN dalam kawasan parlimen Macang hanya berjumlah 187 undi. Di kesemua DUN undi rosak berjumlah 466 undi. Tetapi amat berbeza dengan undi parlimennya, calun BN (dapat undi 17,464) mengalahkan calun PAS (dapat undi 17,329) dengan majoriti 135 undi. Undi rosak 599 dan peratus keluar mengundi adalah 80.67%. Begitu juga di parlimen Kota Bharu, BN mengalahkan PAS sedang di ketiga-tiga DUNnya di menangi oleh PAS.

“Itulah yang dikatakan telur di hujung tanduk, tunggu masa untuk hancur berkecai jatuh ke bumi!” Sambut seorang kawan kami lagi anak Kelantan di perantauan KL.

“Aku dengar khabar pihak lawan PAS sedang berusaha memasukkan 30,000 pengundi hantu ke Kelantan.. tak hairanlah bila ada yang mengesyakinya dengan terjumpa 70 orang Mynmar berada di pejabat Pendaftaran Negara, Kota Bharu, baru-baru ini.. dan mungkin ramai lagi akan dijumpai selepas ini, termasuk orang Bangladesh, Thailand, Indonesia dan lain-lain!” Kata seorang lagi pula.

“Jadi apa yang boleh kita buat?”

“Kalau perkara itu benar-benar berlaku dan pihak berkuasa (terutamanya Pejabat Pendaftaran Malaysia) sudah tidak mampu menggunakan kuasanya mengawal kebersihan demokrasi, maka rakyat Kelantan (atau rakyat Malaysia umumnya) kena bantu kerajaan mengawalnya dengan apa cara sekalipun hatta dengan darah!!” Kata anak Kelantan di perantauan itu. “Kelantan mesti dipertahankan kebersihan demokrasinya, supaya pilihanraya berjalan lancar, bebas dari pengundi hantu dan yang terpilih benar-benar dari pilihan rakyat!” Sambungnya dengan lantang.

Naik seram bulu roma saya mendengarnya. Bukan kerana takut hantu tetapi nampak kawan kita ini macam ‘naik hantu’ dibuatnya.

Tapi, lepas itu dia nampak tenang balik, katanya dengan sindiran yang cukup tajam, “Sebenarnya, kita rasa sedih, sudah 50 tahun kita merdeka masalah hantu-hantu yang menyelinap masuk dalam bilik undi masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak berwajib. Begitu juga masalah undi pos yang dibantah pembangkang dengan sebab-sebab menasabah. Mereka tidak peka bahkan ‘pekak’kan telinga, jadi telinga kuali. Tanda pentadbiran yang tidak profesional.. sembang saja lebih. Jangan sampai semua rakyat menganggap, merekalah penjamu-penjamu hantu atau bapa-bapa hanturaya itu!”

“Jadi apa tindakan lanjut kita??” Sekali lagi berulang pertanyaaan yang sama.

“Pertama..” Jawabnya ringkas. “Kalau ada adik beradik, sanak saudara atau kawan-kawan kita yang layak mengundi di Kelantan, usahakan supaya mereka dapat mengundi. Yang dah cukup umur atau berada diperantauan. Masih ada masa lagi, kita nak selamatkan Islam di Kelantan, satu-satunya negeri yang dipimpin oleh Tok Guru, seperti juga saranan Dr Mahathir mantan PM Malaysia. Usahakan seberapa banyak yang kita mampu, tak kira berapa orang yang dapat. Isya Allah, amal jariah kita akan dikira di akhirat.
Kedua.. Kalau ada pihak-pihak yang cuba mengimport pengundi hantu dan syaitan ke Kelantan, untuk mengotorkan domokrasi, maka menjadi tugas kita sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia untuk menyekat dan menggagalnya, supaya tidak wujud hantu-hantu yang bertopengkan manusia memerintah negeri Serambi Mekah tersebut. Ini adalah satu pengorbanan yang juga akan dikira di akhirat.”

Itulah sebuah nukilan dialog di Setiawangsa untuk catatan santai buat kali ini, supaya pembaca boleh nilaikan patutkah kesucian demokrasi Kelantan dipertahankan dengan darah??. Wallahu ‘aklam.

Untuk lanjutnya, sila lihat juga catatan ‘Hantu Global Di Belakang Masjid Merah…’ dalam blog saya yang lepas-lepas, juga ada kaitan sikit-sikit mengenainya.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 04-09-2007.

No comments:

Post a Comment