Sunday, October 07, 2007

Peluang Berniaga Di China..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“SUDAH 3 siri saya baca kisah mula berniaga dari depan Masjid Negara hingga ke China, saya masih belum nampak peluang-peluang berniaga di sana..” Kata seseorang kepada Syukri melalui telefon dan Syukri memberitahu saya. Boleh encik terangkan lebih lanjut? Dia tanya Syukri lagi.

“Saya pun susah nak jawab pertanyaan itu!” Kata saya pada Syukri. “Apa barangan China yang encik bawa balik ke Malaysia, untuk diniagakan?? Apa pengalaman encik Syukri menyebabkan encik pilih barangan tersebut.. Itulah yang sepatutnya encik terangkan, kalau ianya tidak menjadi rahsia atau strategi perniagaan!”

“Oo. Biar saya terangkan sekarang, supaya pembaca yang bertanya itu tahu..” Kata Syukri. “Sebelum pulang, saya minta kawan saya membawa saya ke tempat membeli kasut dan seliper di Guangzhou. Satu lorong terdapat kedai-kedai dan bangunan tinggi yang dipenuhi jutaan kasut dan seliper. Tiada jual benda lain di situ... Kerana terlampau banyak jenis, saya tak sempat memilih dan membandingkan harga. Dengar pula, ada tempat lain yang lebih murah.. di Yiwu, kira-kira 2 jam perjalanan dengan kereta dari situ pula.

Akhirnya saya tak jadi beli barang niaga tersebut, memandangkan kesuntukan masa dan wang yang tinggal beberapa ribu sahaja. Apalagi, bila penghantarannya memakan masa kira-kira sebulan. Saya fikir lebih baik saya cari barang yang mudah dibawa balik terus dengan penerbangan, dan boleh dijual sebelum menjelang Hari Raya Puasa ini. Kalau langganan laris boleh datang beli lagi sebelum Raya.

Saya masuk pula ke kawasan yang menjual handphone. Hampir ribuan jenis handphone ada. Dari yang berjenama terkenal seperti Nokia, Motorola hingga yang tiada jenama langsung, termasuk yang original dan tiruan.. macam-macam ada. Maka saya beli handphone dan MP4 secukup modal saya, untuk dijual di Malaysia.”

“Tak salah ke??” Saya tanya.

“Tak. Asal bayar cukai.”

“Bagaimana jualan barangan tersebut di Malaysia sekarang?”

“Bagus! Handphone sudah habis, tinggal MP4 saya. Siapa yang nak beli atau jadi ajen jualan untuk akan datang, sila hubungi saya.” Jelasnya dengan bersemangat.

Terfikir-fikir saya tentang peluang berniaga.. Teringat saya puluhan tahun lepas, sebelum China; waktu itu Thailand menjadi tumpuan beli barang murah seperti baju dan lain-lain. Saya pernah berkunjung ke Bangkok menemui kawan saya orang Sudan yang berniaga pakaian dan memasarnya di Dubai. Sebelumnya; dia sentiasa memikirkan apakah bentuk pakaian kanak-kanak yang diminati oleh orang-orang Afrika. Dia buka pejabat di Bangkok dan mengupah penjahit-penjahit di Bangkok membuat pakaian menurut citarasa yang dia kehendaki. Akhirnya dia berjaya memasarnya berkontena-kontena ke Dubai.

Hujung tahun 90an lepas sewaktu saya berada di Phnom Penh, saya bertemu seorang peniaga (orang Melayu Cham) yang sentiasa berulang-alik Malaysia-Kemboja. Dia mengupah kedai-kedai jahit di Phnom Penh membuat baju Melayu dengan harga RM3 sahaja sehelai. Modal kain untuk sehelai baju itu kira-kira RM5 (satu meter kain yang lebar asal China) di bandar tersebut. Upah bawa ke Malaysia lebih kurang RM0.5. Bererti modalnya RM8.50 sehelai, boleh dijual borong RM15 di Malaysia, sekurang-kurangnya.

Itulah perniagaan yang menjadi punca pendapatan hariannya. Apalagi kalau ditempah dengan jumlah banyak dari kilang-kilang terus di negeri China, tentu lebih murah lagi. Dengar khabarnya, dalam pilihan raya umum lepas ada poster-poster BN yang dicetak di negeri China. Begitu juga pakaian-pakaian sekolah negara ini yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat tertentu, dibuat di Negara China.

Seorang lagi kawan menemui saya setahun dua lepas, berhasrat mencari peluang berniaga, dan dia pilih melawat negeri China. Baru-baru ini dia jumpa saya, dan sudah berjaya mengimport pakaian sukan buatan China di Malaysia. Semasa persidangan UMNO di PWTC baru lalu, dia memperkenal pakaian ‘jeket korporat’ buatan China di ruangniaga bangunan tersebut. Bahkan dia menubuhkan sebuah syarikat miliknya di Eropah dan memasarnya ke seluruh dunia. Kini 70% pasarannya sekarang, adalah di luar negara.

“Inilah tok guru saya dalam bisnes..” Kataguraunya, memperkenalkan saya kepada rakannya.

“Kenapa?” Saya tanya dia macam terperanjat.

“Abang ingat tak, abang yang memotivasi saya untuk cari peluang niaga di Negara China? Saya masih ingat abang menceritakan kisah seorang petani Cina di Sarawak yang banyak menghasilkan tanaman pisang memenuhi pasaran, hingga harganya jatuh...” Jelasnya.

“Bila dia sebut nak pasarkan pisang ke China, kawan-kawannya tertawa. Tak mungkin! Sesuatu yang lucu bagi mereka. Hal itu seolah-olah mencabarnya membuat dia berfikir bersungguh-sungguh. Akhirnya dia berjaya membina rangkaian penjual goreng pisang di bandar-bandar di China, menyebabkan harga pisangnya berkali-kali ganda untungnya dari dahulu!” Jelasnya lagi.

“Berniaga goreng pisang boleh jadi kaya, bahkan akan jadi jutawan!” Sambut kawannya pula, membuat yang lain-lainnya pun sama-sama tertawa.

Itu sebabnya, Nabi SAW pernah menyebutkan 90% rezeki adalah dalam perniagaan. Oleh itu mulakan dengan cari peluang berniaga!!

Inilah antara jawapan kepada seseorang yang bertanya Syukri tadi.
Perhatian: Penulis telah menerima beberapa e-mail dari pembaca-pembaca, ramai yang tanya cara-cara dan peluang berniaga di China, ekoran dari tulisan lepas ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..’, ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Guagzhou’ & ‘Antara Masjid Negara KL & Masjid Huai Sheng China..’ Lihat Tranungkite.net atau blog penulis ini sendiri. Untuk mudahnya anda terus menghubungi: Sdr Syukri Tel: 019 6190145 atau datang ke Gerai Niaga Halaman Masjid Negara pada tiap hari Jumaat sebelum atau selepas sembahyang Jumaat. O ya. maaf kalau penulis tak sempat jawab e-mail anda!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 07-10-07

1 comment:

  1. Salam 'Aidil Fitri kpd Tuan sekeluarga dari bakaq a.k.a. ~penarik beca a.k.a. sang kutu sekeluarga.. من العائدين والفائزين

    ReplyDelete