Tuesday, October 16, 2007

Pulau Pinang: Pi Mai Pi Mai, Tang Tu!


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

BALIK Pulau, adalah sebuah daerah di baratdaya pulau di mana antaranya terdapat sebuah pekan kecil bernama Kongsi. Pernah dulunya seorang penulis menyebut sebagai ‘pekan cowboy’. Mungkin kerana pada waktu itu pekan yang terletak agak di hujung pulau itu menjadi pekan mati dari pengunjung. Di tengah-tengah pekan Kongsi terdapat sebuah bulatan jalanraya.
Di situ ada satu pancutan air, bekas tempat minum kuda-kuda atau lembu, yakni kenderaan yang digunakan pada waktu itu [La ni saya tak pasti lagi, tak dan (sempat) nak tengok, ada ka, takdak? Tapi beberapa tahun lepas saya tengok masih ada!]. Penduduk tempatan hendak ke Tanjung (George Town) waktu itu merentasi bukit-bukit (sekarang disebut Bukit Baru) dengan menunggang kuda atau berjalan kaki.

Dari pekan Balik Pulau atau Kongsi ini saya bertolak untuk pusing Pulau Pinang dengan kereta.. Naik bukit ke Teluk Bahang. Jalannya berbelit-belit, berlengkar-lengkar macam ular kena palu. Seperti juga jalan nak ke Bukit Frazier dari pekan Kuala Kubu Baru.

Bila sampai di pekan Teluk Bahang kira-kira waktu tengahari, kawan saya mengajak, “Jom pekena nasi kandaq!”.

“Jaga kot-kot tesandaq!” Saya bersetuju. “Sat (kejap) lagi kot tak boleh bawak kereta pulak…”

Lepas makan kami terus melintasi Pekan Batu Feringgi, dan singgah sembahyang di masjidnya.
Mengingatkan kepada cerita kawan saya, kisah dia sembahyang di masjid itu sebelum ada pagar seperti sekarang, puluhan tahun lalu.

Katanya, “Lepas aku bagi salam sembahyang, paling kanan, paling kiri dan ke kanan lagi.. Masya Allah, aku terpaksa tutup muka aku dengan tangan!!”

“Kenapa?”

“Kerana di sebelah aku sembahyang balik sana dinding masjid yang jarang itu, jarak beberapa kaki saja dari aku, ternampak beberapa perempuan pelancung pakai baju mandi lepas mandi, sedang lalu pulang melalui kawasan masjid (yang belum berpagar) dari pantai ke hotel.. hee!”

“Ya la. Hang tutup muka dengan tangan, tapi jari-jarinya; hang renggangkan, mata; hang beliakkan, mesti la nampak!!” Yang lain mencelah bergurau.” Sebut Al-hamdulilah saja la..”

Namun kereta kami terus berlalu melalui pekan Tanjung Bunga dan Tanjung Tokong. Teringat pula kenyataan akhbar Mingguan Wasilah 7 Oktober 2007 yang menyebutkan, Tanjung Tokong adalah ‘Perkampungan Melayu terakhir di George Town’.

Di akhir artikel disebutkan ‘Oleh kerana kawasan asal perkampungan yang masih tinggal mengekalkan ciri rumah kampung yang tidak tersusun dan kian dihimpit pembangunan, inisiatif daripada pemaju untuk menyediakan rumah pangsa seluas 850 kaki persegi kepada 830 penduduk di situ yang jauh lebih selesa, bersih dan terancang.’

“ Inilah contoh kampung Melayu terakhir di George Town. Orang Melayu hanya boleh memiliki tanah tempat tinggalnya tiap seorang cuma dapat satu kaki persegi lebih sikit sahaja.” Kata saya. “Itukah hasil dari perjuangan UMNO yang jadi parti pemerintah di Pulau Pinang tetapi tidak berkuasa membangunkan bangsa Melayu di buminya sendiri? Apakah UMNO Pulau Pinang jadi macam UMNO Singapura dulunya? Pemimpinnya, kokoknya sahaja berderai-derai (berdegar-degar), ekornya bergelumang dengan tahi.”

Apa pula kata PAS Pulau Pinang?

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man berkata di Bukit Mertajam, UMNO sepatutnya merasa bersalah kerana gagal membawa perubahan terhadap bangsanya sendiri berbanding bangsa lain negeri ini. Hal ini terbukti, kedudukan orang Melayu sejak merdeka sehingga kini makin teruk dan terabai..

“Di awal 1990an waktu itu saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS pernah terlibat dengan penganjuran program Persidangan Umat Melayu Pulau Pinang di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar). Di waktu itu wakil PAS ialah Dr Mohamad Hashim, Parti Semangat 46 (S46), Haji Sulaiman Palestin dan Umno di wakili Dato' Seri Dr. Ibrahim Saad (Timbalan Ketua Menteri masa itu). Walaupun banyak desakan namun tiada perhatian sehingga kini," kata Ustaz Saleh kesal.

Selepas sahaja persidangan itu, PAS menghantar resolusi kepada Dr. Ibrahim Saad untuk perhatian atau memperbaiki kelemahan pengtadbiran demi kepentingan Melayu tapi semuanya bagaikan menuang air ke daun keladi (Harakah 6 Julai). Jelas beliau lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak pula menjawab (8 Julai juga di Bukit Mertajam), UMNO sentiasa berpegang kepada politik realiti dengan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang diterajui oleh pemimpin parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN).

“Di Pulau Pinang, kita ada sepakat, kita ada persefahaman, kita ambil kira realiti politik. Ini kontrak sosial yang dituntut oleh Melayu Pulau Pinang..” Kata Dato’ Seri lagi.

Selain dari program yang disebutkan Ustaz Saleh itu, saya juga pernah dijemput berforum mengenai Melayu Pulau Pinang di UKM Bangi sekitar tahun-tahun tersebut, bersama seorang wakil UMNO Pulau Pinang dan Dr Sanusi Osman mewakili ahli akademik.

“Maknanya dah lama kita bercakap fasai ni.. Cuma UMNO saja yang telinga kuali! Nampaknya, pi mai pi mai, tang tu juga.” Ada yang mengeluh.

Tanpa disedari, sesudah beberapa jam berkeliling Pulau Pinang, kami pun sampai di Balik Pulau semula.

“Itupun pi mai pi mai tang tu juga.” Sambut seorang dari kawan kami.

Ada pula yang berpantun,

“Pulau Pinang laut keliling
Pelancung asing bersyurga-loga,
Macam mana Melayu tak runsing
Pi mai pi mai, tang tu juga!”

Catatan santai: Pulau Pinang siri 3
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
14-10-07


Untuk tambahan selanjutnya sila lihat tulisan sebelum ini:

(i)Pulau Pinang: Balik Pulau Bayan Lepas …
(ii)Pulau Pinang: Sekuntum Bunga Seroja..


No comments:

Post a Comment