Thursday, October 04, 2007

Rahsia Kueh Bulan Diedar Pada 11 September..


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


BERITA Rakyat Semasa, adalah laman web PAS berbahasa Cina yang dilancarkan berserta pengedaran Kueh Bulan dan DVD. Soalnya mengapa pelancarannya diadakan pada 11 September 2007 baru lalu? Mengapa encik Hu Pang Chaw sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS pilih tarikh yang sama dengan hari ranapnya Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York (11 September 2002)?

Lord Azaab menulis, ‘PAS telah memilih hari tersebut untuk mengambil langkah dengan memberi imej baru kepada parti terutamanya kepada orang-orang bukan Islam mengenai matlamat dan perjuangan mereka.’ (web Tranugkite Net Okto 02)

Ulasan saya..


Pertama. Bila diteliti.. dikatakan penyerang WTC itu adalah satu aliran gerakan Islam yang dianggap sesat, melampau dan disebut-sebut menjadi ancaman kepada dunia, di bawah pimpinan Osama Laden atau Al-Qaeda. Serangan tersebut telah mengorbankan ribuan nyawa orang awam. Kononnya gerakan itu secara keganasan, yang ditampilkan melalui kegiatan Al-Qaeda dan Taliban.

Seterusnya dikaitkan pula dengan Jamaah Islamiah (JI) di Indonesia, Abu Sayyab di Filipina, pengeboman keretapi di Eropah dan lain-lain yang sejenis dengannya. Gerakan yang kononnya menculik, menyembelih sambil bertakbir, dan mengugut orang awam seperti pekerja-pekerja, pemberita dan lain-lain. Apakah rahsia yang tersirat sebenarnya dibalik pemilihan tarikh tersebut? Apakah PAS juga menyahut seruan Al-Qaeda yang memperingati peristiwa tersebut tiap tahun?

Apakah untungnya PAS jika digambarkan seperti gerakan Al-Qaeda dalam suasana sekarang, apalagi terhadap orang yang baru menyokong PAS? Pada pengamatan saya, yang lepas-lepas PAS sentiasa mengelak daripada dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda dan Taliban, kerana PAS memilih perjuangan melalui peti undi bukan melalui senjata dan kekerasan. Apakah PAS yang sudah dikenali perjuangannya melalui demokrasi memilih ‘imej baru’ kepada kekerasan? Haus darah manusia? Atau PAS hanya bersetuju dengan robohnya rangkaian penindas?

Ataupun pemilihan tarikh tersebut boleh dianggap dan ditafsirkan sebaliknya? Supaya jangan berlaku begitu.


Kedua. Kalau mahu ditafsir sebaliknya, lebih baik kita pilih tarikh 13 Mei. Kerana 13 Mei 1969 terkenal dengan peristiwa pergaduhan perkauaman antara Cina dengan Melayu. Kita tidak mahu berlaku seperti itu, yang kita mahu berlaku sebaliknya.

Melihat kepada kenyataan ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa, ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, “Tujuan utama Kelab Penyokong PAS itu ditubuhkan ialah untuk merobohkan tembuk-tembuk pemisah perkauman dan asabiah yang menjadi tabiat politik Malaysia..” , maka pemilihan tarikh tersebut adalah amat sesuai dipilih.

Apalagi bila Ustaz Mujahid menambah. “Supaya ada atau diwujudkan penjelas-penjelas Islam sebenar dari kalangan orang bukan Islam sendiri…”, maka ianya lebih mudah menerangkan Islam sebagai anti perkauman, dari menerangkan Islam melalui apa yang dianggap ‘keganasan’. Tapi tarikh 13 Mei itu sudah lepas agak lama.


Ketiga. Pembagian kueh-kueh bulan kepada orang ramai terutama kepada penyokong-penyokong PAS bukan Islam, walaupun kueh bulan itu pernah dijadikan upacara tradisional tahunan Bon Odori atau pesta hantu di kalangan kaum Cina. Kalau kueh bulan dipilih sempena nama ‘bulan’ sebagai lambang PAS, samakah dengan jalur gemilang sebagai lambang kerajaan Malaysia yang dibuat dalam bentuk kek?

Ada laman-laman web yang memuatkan gambar orang makan dan memamah kek jalur gemilang, sama seperti musuh-musuh negara meratah atau memamah Negara Malaysia.. Apakah hal ini juga berlaku pada PAS yang akan diratah, juga dimamah oleh orang bukan Islam di Malaysia? Bagai menepuk air didulang!


Keempat. Ada yang menganggap pemilihan tarikh 11 September dan pembahagian kueh bulan kepada orang ramai itu adalah sebagai gimik atau kempen politik. Kalau betul begitu, maka tulisan ini juga adalah kesinambungan darinya...

Wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 04-10-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails