Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya: Jangan Lupa Cat Rumah Baru!


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SAYA terima kad ucapan Hari Raya di tahun-tahun kebelakangan ini makin sedikit. Tahun ini baru dua keping kad saya terima. Mungkin zaman berhari raya dengan kad akan berakhir, disebabkan teknologi maklumat makin canggih. Boleh pakai e-mail atau apa-apa mail lagi yang seolah-olah tidak perlu duit; walau banyak mana dan ke mana dihantar sekali pun, berbanding kad yang dalam Malaysia saja dah kena upah pos 30 sen sekeping. Belum kadnya lagi, apalagi kalau pos keluar negara. Begitu juga dengan SMS melalui telefon bimbit, fax dan lain-lain, lebih mudah dan menjimatkan.

Istimewanya, bila diteliti salah satu dari kad-kad yang saya terima..

Muka depannya, tertulis ‘SALAM AIDILFITRI 1428 Hijrah’ berlatar belakang warna hijau tua. Terdapat lakar gambar rumah berbumbung warna orange, tetapi bumbung bahagian depannya berwarna biru muda lambang warna Parti Keadilan Rakyat. Tingkap-tingkap dan pintunya berwarna coklat, tapi di atas pintu depan rumah itu ada lambang bulan penuh sedang mengambang. Itulah lambang PAS.

Seluruh dinding rumah itu berwarna hijau, kecuali di sebelah kanan pintu bahagian atas masih tinggal sedikit lagi warna biru tua Barisan Nasional (BN) yang masih belum habis ditutupi dengan cat hijau. Terdapat gambar seseorang sedang mengecat untuk menghabiskan sama sekali warna biru BN itu. Di bawahnya tertulis perkataan ‘CAT RUMAH BARU Syawal ini’.

Muka belakangnya juga berwarna hijau tua, ditengah-tengahnya ada kotak kecil, di dalamnya terdapat lambang PAS yang dibawahnya tertulis ‘UNTUK SEMUA’.

Ertinya, mulai Syawal ini rakyat Malaysia diseru supaya berusaha tukarkan warna rumah atau warna kerajaan mereka dengan PAS, kerana PAS bukan parti suatu bangsa, tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Ingat, tukar cat saja, bukan tukar rumah!

Saya selak ke muka dalam kad itu pula..

Muka 2, tertulis ‘SALAM PERJUANGAN’. Di bawahnya terdapat 2 gambar pemimpin PAS yang sedang tersenyum, iaitu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku MURSYIDUL AM dan YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden berserta tanda tangan mereka. Tertulis perkataan di bawahnya “Berilah Islam Satu Peluang”. Seterusnya tertera AMAN- ADIL-SEJAHTERA-BERAKHLAK.

Di bawahnya ada lambang PAS dengan tanda X (pangkah) dan akhirnya ‘dari kami Parti Islam SeMalaysia (PAS)’.

Bermakna, 2 Tok Guru ini berharap sangat supaya rakyat Malaysia yang menyambut Hari Raya tahun ini memberi peluang kepada Islam untuk melaksanakan slogan ‘aman,adil, sejahtera & berakhlak’ dengan mengundi PAS pada pilihan raya umum yang akan datang.

Akhirnya di muka 3, barulah tertera maksud asal ucapan iaitu ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.’ Dengan tanda logo di bawah sebelah kanan, PAS untuk semua. Kalau PAS untuk semua, bolehkah akan datang PAS keluarkan pula kad Krismas, Tahun Baru Cina dan kad Depavali?

Akhirnya.. Beginilah juga mesej kad ucapan Selamat Hari Raya saya kepada anda semua yang membaca Catatan Santai saya. Juga ucapan Selamat Hari Raya kepada Tranungkite Net, yang tidak jemu-jemu menyiarkan tulisan saya. Cuma kad saya ini berbentuk huraian dan penceritaan, bukan benar-benar kad. Saya juga nak gunakan kecanggihan teknologi maklumat untuk penjimatan tenaga dan wang! Ya, tulisan inilah kad saya…

Kalau ada jarum patah, jangan simpan dalam peti,
Kalau ada silap salah, jangan simpan dalam hati.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 11-10-07

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails