Friday, November 23, 2007

Bulan.. Pandangan Tradisional Masyarakat Cina


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI: 

KUEH Bulan adalah sejenis kueh tradisonal Cina. Dibuat dari tepung gandum, berintikan kacang atau daging, termasuk ayam, itek dan sebagainya. 

Kueh Bulan antara barangan lain seperti lampu tanglong dan buah-buahan (buah lai, limau manis, limau besar, ubi keledek atau kacang tanah) disediakan dalam menyambut tradisi Pesta Bulan. Pesta yang dirayakan pada hari ke15 bulan lapan menurut kalender Cina, pada waktu malam di bawah sinaran bulan mengambang penuh yang terang benderang itu. 

Mungkin kita dapat bayangkan, betapa syahdunya suasana hening malam. Pada waktu-waktu sebegitu, pemuda pemudi Cina didalam Pesta Bulan mengambil kesempatan mencari pasangan hidup mereka. Biasanya selepas berlalunya pesta tersebut akan ada pasangan-pasangan remaja Cina berjaya mendirikan mahligai rumahtangganya. 

Untuk memeriahkan pesta itu, pada malam tersebut diadakan pula pertunjukan pentas terbuka bagi menarik kunjungan generasi mudanya. Dalam tulisan lalu dicatatkan Pesta Bulan dari segi sejarah। Kini kita lihat pula dalam cerita-cerita klasik mereka, seperti yang ditulis oleh Tuan Mei Jing dalam bukunya ‘Pesta-pesta Dalam Masyarakat Tionghoa’. Lebih kurang begini kisahnya.

 Hou Yi, adalah seorang pemburu muda professional di bidang ilmu pemanahan pada zaman purbakala. Tiap binatang yang dibidek panahnya, tetap mengenai sasaran. Itulah lambang kegagahannya. Hal itu menyebabkan seorang gadis jelita Cina bernama Chang Ge telah jatuh cinta padanya, dan berakhir dengan perkahwinan. Adalah diceritakan, pada suatu petang di musim panas, tiba-tiba kelihatan 10 buah matahari di langit tinggi. Panasnya mengcengkam hebat dan dahsyat. Tanah-tanah menjadi retak-rekah dan tumbuh-tumbuhan menjadi layu-kuyu, hingga air sungai pun mendideh-dideh. 

Penduduk-penduduknya lari lintang-pukang mencari perlindungan di gua. Pada suatu hari, Chang Ge isterinya yang baik budi itu meminta suaminya memanah dan menggugurkan 9 dari 10 matahari-matahari itu, supaya orang ramai terlepas bebas dari kepanasan dahsyat itu. Akhirnya, walaupun menghadapi pelbagai masalah dan memakan masa lama, namun Hou Yi berjaya menyelesainya, sehingga keadaan menjadi normal, sejahtera seperti biasa. 

Kerana jasanya itu, kini Hou Yi disanjung dan dijunjung tinggi sebagai hero oleh penduduk di situ. Tetapi rupanya orang ramai itu salah sangka. Hou Yi sebenarnya seorang yang tamak dan kejam! Belangnya sudah nampak. Dia bercita-cita hendak jadi kaya dan senang macam seorang raja. Lalu dipaksanya penduduk yang menyanjungnya itu berkerja bersungguh-sungguh untuknya. Hal inilah yang membuat isterinya terasa pilu dan sedih. Berkali-kali dipujuk suaminya supaya menghentikan perbuatan kejam itu, tetapi tidak memberi kesan langsung. 

Sehingga orang ramai mulai membenci dan enggan menurut perintahnya lagi. Kerana tiada jalan lain untuk mengatasinya, Hou Yi terpaksa menemui Datuk Dewi meminta ubat dewa untuknya। Ubat yang jika dimakan akan dapat masuk syurga dan kekal dalam kesenangan selama-lamanya. Permintaan itu dikabulkan juga akhirnya, tetapi dengan syarat mestilah dimakan pada hari ke15 bulan lapan. 

Maka dia pun pulang menemui isterinya. Wah! Terkejut besar isterinya bila dapat tahu hal itu. Padanya, suaminya Hou Yi yang tamak dan kejam memang tidak layak menjadi Dewa Yang Maha Mulia. Bila sampai hari ke15 seperti disebutkan, isterinya lebih dahulu mencuri ubat itu, mematahkan busar panah suaminya dan keluar meninggalkan rumah. Bila tersedar, suaminya cepat-cepat mengejar isterinya. Sesampai didekat isterinya, ubat yang dalam gengaman tangan isterinya itu terus ditelan isterinya… 

Tiba-tiba ketika itu juga, diri Chang Ge bertukar menjadi seperti awan, lalu naik menuju ke langit tinggi. Tinggal suaminya Hou Yi terkial-kial hendak memanahnya tetapi gagal kerana busarnya telah dipatahkan awal-awal lagi. Chang Ge terus naik ke langit menuju ke Istana Bulan. Disambut oleh Dewa Bulan dengan melantiknya sebagai salah seorang dari dewi-dewi petugas penyala tanglong hablor di Istana Bulan itu, supaya cahayanya lebih terang lagi indah. 

Tinggallah penduduk kampungnya yang sentiasa merindu dan mengenangnya, mengenang kemurahan hatinya dulu. Lalu mereka pun menyembah dan berdoa kepada bulan yang terbit pada malam hari ke15 bulan lapan tiap tahun, iaitu ‘Malam Chang Ge Naik Ke Langit’, ke Istana Bulan… Sekian. 

 Dalam kisah dongeng Orang Melayu dari mulut ke mulut juga, terdapat cerita-cerita seperti ini. Teringat pula kepada cerita nenek saya, semasa saya kecil-kecil dulu… 

Terdapat dua remaja adik beradik, kakaknya perempuan bersama adik lelakinya. Suatu malam sedang mereka berehat-rehat dalam Istana Bulan, sambil memandang ke bumi, Kata adik kepada kakaknya. “Nun, di perdu pokok kelapa yang melambai-lambai di bumi sana, terdapat bunga-bunga putih berhamburan diatasnya. Sungguh cantik. Aku nak pergi ambil!” 

“Jangan adikku! Ingat pesan ibu kita. Takut engkau tak dapat naik balik” Larang kakaknya. Tapi rupanya, adiknya sudah pergi turun ke bumi. Tak boleh buat apa-apa lagi. Sesampai di bumi, dilihatnya diperdu kelapa itu rupanya bukan bunga seperti yang disangkakan. Tetapi hampas kelapa, sisa buangan kegunaan manusia. Betapa hampanya dia, hendak naik ke Istana Bulan semula sudah tidak boleh lagi. 

Nasihat orang tua tidak diikuti. Apa hendak dikata, sesal kemudian tidak berguna lagi. Maka pada waktu malam bulan mengambang penuh, dia menjelma menjadi seekor burung pungguk, keluar merayau dari pokok ke pokok, frust kecewa, menyeru, merayu yang dirindui, melihat keindahan bulan, tergambar wajah kakaknya di sana… Berserulah dia dengan suara sayu merindu dan merintih seperti bunyi burung pungguk, 

“Kakak Oooo! Kakak Oooo! Kakak Oooo!! Kakak Oooo!!!” Hingga wujudlah pepatah ‘Bagai pungguk rindukan bulan’. Dan menjadi adat atau pantang larang orang Melayu dulunya, supaya jangan buang hampas kelapa di perdu pokok kelapa! Sekian. 

Melihat kisah Tuan Mei Jing di atas dan tulisan saya yang lalu, terdapat suatu budaya penghormatan orang-orang Cina kepada makhluk atau objek bulan, samada melalui Kueh Bulan, Pesta Bulan atau Istana Bulan...  Di kalangan orang-orang Melayu pun hampir sama juga seperti cerita klasik saya di atas. Dikatakan lagu ‘Negaraku’ lagu kebangsaan Malaysia, konon asalnya diambil dari sebuah lagu Melayu bernama ‘Terang Bulan’. 

Betul tak betul, saya masih belum pasti lagi. Kini ada sebuah parti Islam di Malaysia berlambangkan bulan purnama. Sebelumnya berlambangkan bulan sabit, tetapi kerana dituduh oleh lawannya parti pemerintah di zaman Perdana Menteri Malaysia ke 2, ‘menggunakan lambang Islam bagi mengelirukan orang ramai’, maka ditukarkan kepada lambang bulan purnama penuh, seperti yang ada sekarang. 

Khabarnya, ada lagi parti-parti luar negara juga menggunakan lambang bulan penuh seperti di Bangladesh dan negara-negara Asia Barat lain. Bendera negara Jepun, bentuknya pun bulat macam bulan atau bola pimpong, tetapi bukan lambang bulan. Pada saya penukaran dari bulan sabit ke bulan purnama dalam lambang parti Islam di Malaysia adalah baik, kerana dapat menggambarkan peningkatannya yang terus mara ke arah menawan atau menjadi pembangkang berkesan di negara ini. Bulan.. yang tadinya masih sabit, kini sudah penuh purnama!! 

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 23-11-2007. KL.

No comments:

Post a Comment