TENTERA-tentera berpakaian hitam dengan kain lilit kepala merempuh masuk ke bandar Phnom Penh, ibu negara Kemboja pada 17 April 1975. Mereka adalah tentera komunis yang digelar Khmer Merah atau Khmer Rouge, oleh Raja Sihanouk Kemboja. Khmer Rouge atau Angkar Padevat (Organisasi Revolusioner) telah menghalau penduduk Phnom Penh dan mengosongkan bandar itu, 3 bulan sebelum Phnom Penh dirampas.
Ketika itu Kemboja di bawah kerajaan Lon Nol. Antara pemimpin Khmer Rouge yang kejam iaitu Pol Pot dan kuncu-kuncunya. Kini antara mereka yang masih hidup, sedang dihadapkan ke mahkamah untuk dapatkan hukuman sewajarnya. Dianggarkan hampir tiga juta rakyat Kemboja mati dibunuh oleh tentera Khmer Rouge. Pol Pot memulakan kempen pembersihan Kemboja dari golongan agama dan intelektual dengan cara menangkap, menembak sami Buddha dan guru agama Islam beserta keluarga mereka.
Rakyat miskin.
Wanita kecil berpakaian hitan, ini juga jentera Khmer Rouge
Larangan menyimpan kitab agama juga berkuatkuasa. Sembahyang, puasa, zakat dan pelaksanaan haji dikatakan turut terhenti antara 1975 hingga 1979. Asalnya terdapat 400,000 penduduk Islam di Kampuchea, tapi telah berkurangan tinggal 350,000 pada tahun 1975 kerana terkorban ketika pemberontakan Khmer Rouge tersebut. Sebahagian yang terselamat sempat berhijrah ke sempadan dan tidak kembali lagi.
“Saya bersama kaum keluarga saya kira-kira 50 orang yang tidak berdaya, telah menyusup lari ke sempadan Thailand untuk mencari perlindungan di luar negara. Ramai antara kami yang kena jerangkap samar, mati atau putus kaki sahaja, ada yang ditangkap dan dibunuh.. Akhirnya kami yang selamat sampai disempadan hanya tinggal 15 orang sahaja. Waktu itu.. rasa macam mati hidup semula..” Kata Mad Li yang turut berhijrah keluar dari tanahairnya sendiri ketika itu.
Saya menemuinya di rumahnya sendiri di Kampung Kemboja di Selangor baru-baru ini.
“Kami berjalan kaki sampai Bangkok. Apabila ada yang mengetahui kami orang Islam, tiba-tiba kami dibantu. Kami disediakan rumah dan diberikan makanan secukupnya tiap hari. Saya nak beri wang pada mereka, tapi mereka menolak!
"Untuk lebih selamat mereka mencadangkan supaya kami menuju ke selatan, kerana di sana ramai orang Islam. Kami bersetuju dan mereka menyediakan tiket bas untuk ke sana. Saya nak bayar balik kerana sudah terlalu banyak mereka berkorban, juga mereka menolak.
“Sesampainya kami di Selatan Thai, kami bertemu ramai orang Islam. Ada yang mencadangkan lagi supaya kami melintasi sempadan ke negara yang ramai lagi orang Islam, iaitu Malaysia. Di sana, golongan-golongan muhajirin ini akan disambut dengan baik, kata mereka.
"Memang betul. Akhirnya kami sampai di Kelantan, antara setesyen tempat kami bertolak ke seluruh negara Malaysia membina perkampungan-perkampungan Islam Kemboja, seperti di Selangor, Perak, Johor dan lain-lain, macam yang ada sekarang. Antara kumpulan awal yang berhijrah macam saya ini ialah Ismail Sasakul orang Kemboja bekas pelakon bintang filem Hong Kong. Khabarnya, dia berada di Kelantan sekarang.” Dia menambah lagi,
Selepas tahun 1979, Kemboja didatangi penasihat Rusia dan Vietnam yang mengambil alih pentadbiran menerusi kepemimpinan Hun Sen, yang ada sekarang. Namun waktu itu, perang masih tidak dapat dihentikan. Senjata api dari China, Rusia dan Amerika dibekalkan kepada rakyat jelata dan berbunuhanlah mereka sesama sendiri. Pertelingkahan hanya dapat dihentikan apabila termetrainya Perjanjian Damai 1991 antara pihak yang bertelingkah.
Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah mengawasi keselamatan negara Kemboja sehingga pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1993 dan rakyat jelata kembali mendapat kebebasan termasuk masyarakat Islam di sana. Melalui Persatuan Islam Kemboja, kerajaan membuat aktiviti untuk kepentingan Islam Kemboja, di luar negara. Masyarakat Islam juga telah diberi peluang untuk membangunkan Kemboja dengan memberi idea yang bernas.
Pada tahun 1997, ahli parlimen dari kalangan umat Islam berjumlah tiga orang dan terdapat lebih dari 200 buah masjid di Kemboja. Dikatakan penduduk Islam paling ramai di negara itu ialah di kalangan Melayu Champa atau Cham, iaitu sekitar ke 95%. Negeri Kampung Cham adalah antara kawasan terbesar bilangan penduduk Muslim iaitu sebanyak 35% semenjak tahun 1975 dan 30,000 orang Islam boleh didapati di sekitar Phnom Penh. Selain itu kampung yang majoriti penduduk Islamnya ialah seperti Kampung Cheram Chemerai dan Kampung Pok Bahau berhampiran dengan bandar Phnom Penh, Kampung Pok Serah, Pok ‘An dan Pok Cerah.
Saya pernah ke sana sekitar tahun 2,000. Saya dipanggil berceramah dalam bahasa Melayu di Perik Aji (Parit Haji) dalam Kampung Cham. Selepas berceramah saya bertemu orang-orang tua di sana, dan banyaklah cerita-cerita menarik yang saya dapati. Antaranya ialah mengenai keberanian orang Cham, penduduk Kampung Koh Pohl dalam mempertahankan akidah Islam.
Dikatakan kampung tersebut adalah kampung pertama yang bangun berjihad menentang kekejaman rejim Khmer Rouge. Kampung Koh Pohl atau Pulau Koh. Pohl adalah bermaksud ‘pulau yang telah menjadi pulau abu, apabila rumah penduduknya dibakar’.
Penolong imamnya, Muhammad Doth Arif bercerita…
“Petang 12 Ramadhan 1975, sekumpulan 20 askar Khmer Rouge bersama ketuanya memanggil seluruh penduduk kampung berkumpul di masjid. Dalam perjumpaan tersebut mereka dikehendaki mematuhi 5 perkara.
- Pertama mengumpulkan al-Quran untuk dibakar.
- Ke2, wanita diminta memotong rambut panjang yang biasanya disanggul.
- Ke3, hendaklah berkahwin dengan orang Khmer yang bukan beragama Islam.
- Ke4, dilarang berpuasa
- dan yang ke5 disuruh memelihara babi serta memakannya sekali.
Namun tentera Khmer Rouge tidak berdiam diri, akhirnya pada hari ke9 dari periswtiwa itu, mereka telah menyerang dan menembak kampung tersebut, tetapi tiada siapa yang terkena sasaran. Setelah dua hari bertahan, orang kampung membalas serangan. Berlaku serang menyerang dan 48 nyawa penduduk terkorban. Akhirnya ada yang tertawan dan menyusup lari berhijrah ke Vietnam.
Selain kampung itu, Kampung Svay menjadi kampung kedua bangun berjihad terhadap Khmer Rouge. Berikutan itu, tentera Khmer Rouge terus mengambil tindakan lanjut ke atas seluruh umat Islam Kemboja.”
Mereka yang mati mempertahan agama Allah itu adalah Mati Syahid. Mereka bagaikan bunga-bunga yang mekar segar di taman Syurga diakhirat. Begitu juga mereka yang syahid di negara Kemboja. Kemboja asalnya adalah nama bunga. Pohonnya yang sentiasa didapati tumbuh di atas pusara… Kemboja menjadi pusara kepada syuhadak-syuhadak.
Tiba-tiba Mad Li sahabat saya yang sudah saya kenal lama itu bertanya, “Maaf bang, boleh saya tahu sikit??”
“Apa dia??” Jawab saya.
“Bagaimana dengan isteri abang yang di Kemboja dulu??”
Tergamam saya. “Syhht! Nanti ada yang salah faham. Biar saya terangkan lain kali…”
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-2007. KL.
Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
4 comments:
bahagian yang akhir tu ....perlu dihuraikan. Mungkin ianya lebih menarik lagi
Assalamualaikum,trima kasih sbb slurkan byk mtlumat pasal kemboja ti klau bleh banyakkan lagi berita pasal kemboja.
Alhamdulillah, daripada blog ustaz ini dapat saya mengenali masyarakat Islam Kemboja dengan lebih dekat..
Semasa belajar dulu ada seorang rakan Melayu Cham yang saya sudah lupa namanya..tapi saya masih ingat nama panggilan kpdnya 'Abu Hurairah'.
Beliau sangat menyayangi kucing, sepanjang 6 tahun belajar di PPP, Telong, Kandis, Bachok banyak sekali kucing2 datang tinggal berhampiran asrama yang kami tinggal kerana jinak dengan beliau.
Setiap kali selepas waktu makan beliau tidak pernah lupa memberikan kucing2 itu makan. Setiap kali selepas waktu makan dia akan balik ke asrama membawa sisa makanan dari kantin, semasa itu dari jauh lagi kucing2 yang banyak itu berlari kpd beliau dan mengekori hingga ke tempat biasa makanan diberikan...
Kemudian saya mengenali pula beberapa orang kenalan Melayu Cham (Sdr. Amir & En. Rahman) di Kampung Kanchong Darat, Banting semasa berkerja di sebuah kilang di Klang pada tahun 1997 dulu.
Semasa itu tidak banyak yang saya dapat kenali tentang masyarakat Melayu Cham, cuma sedikit yang saya tahu;
1. Mereka tidak suka dipanggil sebagai orang Kemboja tetapi sebagai orang Melayu Cham, kerana bagi mereka orang Kemboja bermaksud orang2 Buddhist Kemboja.
2. Mereka gigih bekerja terutama berniaga.
Salam..
Atuk saya pn xbagi nenek n ank2 die ckp dlm bhs kemboja..kalau nk ckp dgn die mesti dlm bhs champa..
lwk pulak bile mak or pkck2/mkck2 kne mrh sbb tersasul ckp kemboja ngn atuk..
Post a Comment