Tuesday, November 06, 2007

Matinya Raja Dadah, Arak dan Judi…


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

LEMBAH hutan Segitiga Emas, dalam kawasan bersempadan Myanmar, Thailand dan Laos telah dibina sebuah ‘Empayar Narkotik’. Empayar yang dilengkapi televisyen satelit, sekolah dan peluru berpandu pemintas pesawat tempur. Ketuanya digelar ‘Raja Kematian’ oleh ejennya di seluruh dunia kerana kegiatannya yang banyak menyumbang kepada pembunuhan, keganasan, dan rasuah.

Lelaki raja dadah itu adalah Khun Sa (ertinya ‘raja yang berjaya’), antara penjenayah paling dikehendaki di dunia yang baru-baru ini meninggal dunia pada 28 Oktober 2007 dalam usia 74 tahun. Washington pernah menganggarkan 60% ganja di Amerika Syarikat (AS) adalah dari sana. AS juga menawarkan 2 juta dolar (AS) terhadap penahanannya. Namun dia menganggap dirinya sebagai ‘Pejuang Ulung’ yang menuntut wilayah outonomi etnik Shan, di salah satu negeri utara Mynmar dari negara Myanmar (dulunya Burma).

Lelaki yang dilahirkan sebagai Chang Chi-fu atau Zhang Qifu memang dianggap hero oleh golongan minoriti Shan kerana sumbangannya kepada kaum yang melarat itu. Dia juga dikatakan guna kekayaan hasil dadah tersebut untuk membiayai pembangunan di sekitar Rangoon.

“Orang kata saya ada tanduk dan taring. Tetapi sebenarnya saya hanya raja tanpa mahkota.” Katanya kepada wartawan Associated Press dalam satu temuramah suatu masa dulu. Dia juga pernah berkata, “Orang-orang saya tanam popi dan buat kerja ni bukan suka-suka… Mereka buat begitu untuk dapatkan wang beli pakaian dan makanan!”

Ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) di Myanmar sekitar 80an Donald Ferrarone pernah menyebutkan, kekuatan Khun Sa dalam menghasilkan candu adalah berganda tiap sepuluh tahun. “Dia bukan pejuang pembebasan, dia adalah pengedar dadah. Dia mempunyai ramai askar peninjau terdiri dari etnik pemberontak lain dan beberapa organisasi penyeludup di negeri Shan. Mereka lengkap dengan senjata M16, AK47, peledak dan juga mortar.” Komen Donald Ferrarone.

Khun Sa, masa mudanya pernah berkhidmat dengan Koumintang (KMT), tapi telah meninggalnya dan menubuhkan tentera sendiri dengan nama Ka Kwe Ye, yakni tentera tempatan yang taat kepada kerajaan Burma pada tahun 1963. Ka Kwe Ye mulanya menerima wang, pakaian dan senjata sebagai balasan untuk bertempur dengan pemberontak Shan, tetapi bila sudah kuat (terdapat 800 tentera) dia mengambil alih kawasan besar di negeri Shan dan Wa. Operasi pengeluaran candunya terus dikembangkan.

Pada tahun 1967 dia kalah bertempur dengan saki baki pengikut KMT di negeri Shan dan 2 tahun kemudian dia ditangkap oleh kerajaan Burma. Namun 4 tahun selepas itu dia dibebaskan dengan pertukaran tahanan 2 doktor Rusia yang diculik oleh ‘Orang Nombor 2’nya. Lepas dibebaskan, ditubuhnya pula pengkalan operasi candunya di Ban Hin Teck, utara Thailand. Kumpulannya disebut Tentera Bersatu Shan (SUA), berjuang menuntut hak outonomi Shan. Akhirnya dia dikalahkan oleh Tentera Diraja Thai (RTA) dan pengkalannya dimusnahkan.

Dia bangkit lagi pada tahun 1985, dengan menyertai pasukan keselamatan bersama Majlis Revolusi Tai Moh Heng. Kali ini dia berjaya menguasai seluruh kawasan sempadan Thai-Myanmar dari Mae Hong Soon ke Mei Sai. Waktu itulah dia yang pernah didakwa di Mahkamah New York (atas tuduhan cuba mengimport 1,000 tan ganja ke AS), menjadi antara orang utama dalam penyeludupan candu di Segitiga Emas. Pada Januari 1996 dia menyerah diri kepada pihak berkuasa Myanmar tetapi tetap tidak mahu menyerah kepada dakwaan mahkamah AS itu.

“Saya pernah melawat ke kawasan itu sekitar awal tahun 2000 lalu..” Saya mula membuka perbualan santai, setelah kami melihat berita kematian ‘raja dadah’ itu di akhbar. Kami sama-sama dalam kereta melalui jalan ke Genting Highland.

“Pada aku le, taukeh Genting yang mati baru-baru ni pun sama saja kegiatannya dengan raja dadah itu, cuma dia ni aku gelar ‘raja arak dan raja judi’… kerana dia membina pusat kegiatan minum arak dan main judi di pergunungan atau tanah tinggi Genting ni..” Jawab kawan kami yang sedang memandu itu. “Bezanya, dia memilih pendekatan berkerjasama dengan mertua 2 Perdana Menteri Malaysia yakni jalan damai, sedangkan raja dadah di Myanmar menggunakan kerjasama untuk menentang kerajaan melalui jalan kekerasan.

Raja dadah Myanmar mengedar dadah kepada bukan rakyatnya, yakni merosakkan rakyat AS, barangkali fasal itu AS marah sangat.. Sedangkan raja arak dan judi merosakkan generasi Malaysia, apa lagi kalau generasi Islam, AS peduli apa? Istimewanya pula.. pemerintah Myanmar tidak tunduk mengampu AS hingga sanggup menyerahkan rakyatnya sendiri untuk dihakimi seperti yang berlaku di beberapa negara kecil lain.”

Seorang ustaz yang bersama-sama kami menambah, “Kalau dilihat dalam Al-Qur’an surah Al-Maidah ayat 90, disebutkan ‘arak dan judi’ adalah antara kerja-kerja kotor dari syaitan, yang memang dilarang di dalam Islam. Sedangkan dadah adalah sebahagian dari arak. Mengapa dalam kempen-kempen kerajaan Malaysia terlalu menekankan penghapusan dadah melebihi dari arak dan judi? Pengedar dadah dihukum mati, sedangkan pengedar arak dan judi tidak. Dadah pun disebut ‘penyalahgunaan dadah’ ertinya masih boleh kalau tidak disalahguna!”

Yang lain pula beri komen, “Sebab kerajaan kita ikut negara-negara barat bukan ikut Al-Qur’an. Kerana itu taukeh pembuat tempat minum arak dan berjudi yang mampus hari tu di sanjung-sanjung melebihi kematian seorang ulama! Bagaimana kerajaan nak haramkan arak dan judi, atau nak hukum pengedarnya, sedangkan dia yang buat kilang arak dan menaja perjudian macam negara-negara barat? Bagaimana acuan, begitulah kuehnya. Apa nak dihairankan?!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-10-2007.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails