Friday, November 30, 2007

Orang Melayu Kemboja.

 Ibnu Hasyim CATATAN PERJALANAN

Dari Tebing Sungai Mekong.. (1)
ANGIN sepoi-sepoi bahasa bertiup dari Sungai Mekong sungguh menyegarkan. Sungai yang membelah dan merentasi bumi negara Kemboja, dari Laos mengalir menuju ke Phnom Penh lalu terus ke Laut Teluk Siam. Di pinggir sungai sebelum sampai ke Phnom Penh itu, terdapat antaranya sebuah bandar ibu negeri Kampung Cham, salah sebuah negeri dalam negara Kemboja.
 Senja Di Sungai Mekong
Dari atas tebing sungai itu jelas nampak kapal-kapal dagang sedang berlabuh. Beberapa buah bot kecil dan feri sedang hilir mudik mengambi penumpang. Pekerja-pekerja sibuk mengangkut barang. Di daratan, gerai-gerai pacak berderetan di pinggir jalan, walaupun ada kedai-kedai batu yang tetap. Pengunjung-pengunjung bergegas ke distinasi masing-masing.

Di antara yang ramai itu, sekali-sekala melintas wanita bertudung sopan, gaya Melayu trasional. Lelakinya berkain sarung, kepala berkupiah lebai, ada yang dibelit dengan serban. Ada juga yang menyangkut di bahunya sahaja. Sudah tentu mereka adalah orang Melayu Cham, walaupun ramai lagi yang tidak berpakaian seperti itu, terutama yang sudah keluar dari kampong tinggal di bandar.
Orang Melayu Kemboja.
Begitulah juga kawan saya orang Cham yang sama-sama kami hendak pergi ke Perik Aji di negeri Kampung Cham. Cham atau Champa adalah nama penduduk negeri itu, satu masa dulu pernah mendirikan kerajaan sepanjang pantai antara gunung-gunung Annam atau sekarang disebut Vietnam. Kerajaan yang pernah terkenal pada kurun ke7 masehi dahulu.

Kampung Cham adalah negeri paling ramai penduduk Islamnya di Kemboja. Jumlah semua penduduk,termasuk pelbagai agama di sana ialah kira-kira 10,000 orang. Pada waktu itu (sekitar tahun 2,000 masihi), dikatakan jumlah masjid dianggarkan 300 buah yang sentiasa bertumbuhan bagai cendawan musim hujan sepanjang masa.

Teringat saya sewaktu mula bertemu dengan kawan saya itu depan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.

“Ustaz orang Malaysia?” Dia tanya dalam bahasa Melayu loghat Kemboja.

Bila saya mengangguk, kami saling berkenalan. Dengan tanpa syak buruk, dia terus mengajak saya ke rumahnya di Perik Aji atau Parit Haji itu. Memang saya minat sangat hendak berziarah ke Kampung Cham. Minat saya timbul baru semalam, selepas solat Jumaat di Masjid Besar Phnom Penh, di mana khutbahnya dalam bahasa Melayu. Imamnya ‘berkhutbah’ bukan ‘baca khutbah’ macam di kebanyakan masjid-masjid di Malaysia.

“Mengapa Tuan Imam beri khutbah dalam bahasa Melayu, sedangkan kebanyakan pendengarnya orang Kemboja, atau lain-lain bangsa seperti India, Pakistan dan Arab yang tidak faham bahasa Melayu?” Tanya saya semasa saya berada di rumahnya lepas solat Jumaat.

Rumahnya di suatu sudut kecil di bawah masjid tersebut. Masa pemerintahan komunis dulu, masjid tersebut dirampas dan dijadikan restoran tempat askar-askarnya minum arak. Bila pemerintahan beralih kepada demokrasi, masjid tersebut dibeli semula oleh dermawan-dermawan dari Kuwait, dan dijadikan masjid semula.

“Islam datang ke sini, antaranya dibawa oleh orang Melayu, terutama dari negeri Kelantan.” Jawab beliau.

“Namun, kita tidak menafikan pandangan pengkaji-pengkaji sejarah yang berpendapat, Islam tersebar ke nusantara pun mula dari arah selatan negara China. Hal ini terbukti hasil penemuan batu bersurat di Phan Rang, Vietnam Selatan bertarikh 416/431 Hijrah. Selain itu, beberapa buah batu bersurat lain turut ditemui di sepanjang jalan laut dari pantai Indo-China ke Terengganu. Itu dulu. Yang saya maksudkan sekitar abad satu dua abad yang lalu.” Sambungnya.

Beliau mendapat didikan agama Islam di Mesir. Semasa pemerintahan komunis beliau pernah dipenjara beberapa tahun.

“Jadi untuk belajar Islam, maka lebih mudah dalam bahasa Melayu... Banyak persamaan dari segi sosio-budaya dan rupa-bangsa, terutamanya bahasa. Contohnya, perkataan ‘kelantan’, dalam bahasa kami (Melayu Cham) maknanya ‘ular besar’ atau ‘ular banyak hingga bertindih-tindih’. ‘Melaka’ ertinya ‘perhentian’. Bagaimana cerita Parameswara berhenti di bawah sepohon pokok … pokok melaka seperti dalam buku Sejarah Melayu.

"Begitu juga perkataan ‘kampung’ yang masih dipakai di sini. Nama tempat Pengkalan ‘Cepa’ di Kelantan menurut loghat Kelantan, sedang asalnya dari perkataan ‘Champa’ atau Cham, dan banyak lagi.… Saya juga masih ingat di peringkat ayah atau nenek saya dulu, bagaimana kegigihan ulama-ulama yang memperjuangkan agama Islam di sini, seperti ayah saya dari Kelantan, Tuan Guru Haji Saleh dari Tanah Melayu, ada dari Pattani, Indonesia dan lain-lain!” Jelas beliau lagi.

“Sehingga sekarang, ada sebuah kampong di Kemboja, yang penduduknya membahasakan diri mereka dengan istilah ‘jawaku’. Ini menunjukkan betapa dekatnya jiwa mereka dengan Orang Jawi atau Orang Melayu dari Tanah Jawa. Tapi sayang…” Katanya agak mengeluh. “Mereka tidak menganut agama Islam.”

“Kenapa boleh jadi begitu?” Saya tanya tidak sabar-sabar lagi.

“Boleh jadi juga mereka datang tidak bersama-sama agama Islam. Hanya atas nama bangsa Jawa sahaja.”
Feri di Sungai Mekang.
Hal-hal beginilah menyebabkan minat saya melonjak-lonjak untuk pergi berziarah ke Kampung Cham, mengikut kawan saya yang baru kenal itu.

(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)

Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com 
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
25-11-07.

Ke Kampung Perik Aji (2)

MAKA meluncurkan bot laju di atas air permukaan Sungai Mekong petang itu. Kami bertolak dari pekan Kampung Cham ke Perik Aji memilih bot laju, supaya jangan sampai malam di sana. Dalam perjalanan mengasyikkan itu, kami melintasi kumpulan-kumpulan nelayan kecil di tengah sungai yang arusnya laju. Mereka sedang menjala ikan. Ada juga yang sedang menahan bubu ikan bilis.

Di tengah-tengah sungai kekadang terdapat kumpulan-kumpulan pulau kecil berpenghuni. Terlihat dari jauh beberapa ekor lembu sedang meragut rumput. Beberapa ekor kuda sedang menarik pedati dari ladang biji lenga tanaman popular penduduk. Banyak penempatan-penempatan penduduk di kepulauan tersebut. Terdapat rumah-rumah dan masjid-masjid yang kebanyakannya hampir tidak siap, dan masih dalam pembinaan.

Di bibir sungai, kelumpuk-kelumpuk penduduk tempatan sedang mandi-manda dengan meriahnya. Bagaikan ada pesta air. Ramai wanita-wanita mandi berkemban, walaupun masih ada jarang-jarang wanita yang mandi berpakaian menutup aurat bertudung. Sudah tentu mereka yang bertudung itu adalah muslimah yang kuat memegang teguh ajaran agamanya. Rumah-rumah mereka sekitar pinggiran sungai. Dari jauh nampak rumah-rumah mereka agak tinggi-tinggi. Macam rumah tradisi orang Melayu Kedah. Berbumbung atap. Mungkin atap nipah atau rumbia.

Kira-kira dua tiga jam perjalanan, baru kami sampai di pengkalan berhampiran rumah kawan saya. Baru nampak jelas, tiang rumah itu di ambil dari batang nibung pejal yang bulat-bulat setelah dibuang durinya. Berlantaikan papan atau batang pinang yang dibelah-belah. Di rumah inilah saya menginap pada malamnya.
“Malam ini ustaz dijemput berceramah agama lepas magrib di masjid kampong ini.” Katanya sambil tersenyum, matanya merenung tepat pada mata saya. Tanda ikhlas dan memang begitu pun amalan Nabi Muhammad.

“Tapi..”

“Aah! Tak payah tapi-tapi lagi..” Beliau terus memotong. “Saya imam di masjid ini. Di sini tak perlu minta permit untuk berceramah, macam di negara ustaz..” Bunyinya seperti menyindir saya, tapi memang betul pun.

“Nah! Pakailah serban ini, kerana orang sini lebih sejuk matanya bila melihat penceramahnya berserban atau mengimami solat.” Katanya sambil menghulurkan kain serban dan ketayap lebai pada saya.

Saya berceramah agama dalam bahasa Melayu. Kerana masih ramai orang-orang tua yang boleh cakap Melayu, kecuali kebanyakan anak-anak mudanya. Kerana telah berlaku penghapusan etnik waktu rejim komunis berkuasa. Pol Pot yang anti agama dan golongan intelektual, telah membunuh umat Islam Kemboja terutama guru-guru agama. Umat Islam turut dilarang menunaikan solat di masjid. Pol Pot atau Khmer Rouge juga menghina Islam dengan melepaskan babi ke dalam masjid. Jika ada sesiapa yang membantah akan dibunuh tanpa bicara.

“Pak cik masih ingat, waktu itu sesiapa yang diketahui beragama, ternampak sedang solat dan berdoa, terus sahaja dibunuh. Masjid-masjid di sini dijadikan kandang babi. Kami orang Cham menjadi mangsa kekejaman paling teruk.” Jelas seorang tua dalam sessi soal jawab semasa saya berceramah.

“Muslimat kita dipaksa mengikut cara berpakaian perempuan Khmer. Mereka merobohkan institusi keluarga, dengan menjadikan golongan pemuda Kemboja sebagai penyeksa dan pembunuh yang tidak berhati perut.

Majoriti tentera Khmer Rouge yang teridiri dari golongan remaja belia telah ditugaskan bersama-sama tali barut untuk menangkap, menembak pegawai dan tentera kerajaan sebelumnya, Lon Nol. Sistem pos, kebebasan bergerak, pertukaran maklumat dan perhiasan diri turut disekat. Dari segi pakaian, hanya pakaian hitam yang melambangkan petani miskin sahaja dibenarkan, konon untuk membebas rakyat dari sistem feudal kapitalis sejak 2,000 tahun lalu.

Rakyat hidup dalam ketakutan akibat penindasan dan slogan yang berbunyi ‘Hidupmu tak bagi untung, matimu pun tak rugi apa-apa.’ Mukim ditadbir oleh anak muda robot yang tidak kenal belas kasihan. Pangkat naik jika dapat menghukum ibubapa atau keluarga sendiri!”

Seorang tua lain menambah, “Untuk merenggangkan tali persaudaraan, rakyat dikerah makan beramai-ramai. Mereka tidak dibenarkan mempunyai dapur sendiri. Bercampur antara orang Islam dan bukan Islam, makanan yang disediakan kadangkala mengandungi bahan haram seperti babi. Diwujudkan sistem kerja paksa dan catuan makanan. Ada yang diberi beras sesudu seorang tiap hari. Buat bubur, makan ramai-ramai, hingga ada yang mati kebulur.

Orang Islam juga dihalau ke kawasan pedalaman dan tidak dibenarkan berada dalam satu kelumpuk. Hubungan keluarga dihapuskan. Dipisahkan suami, isteri dan anak-anak. Lelaki dihimpun setempat, begitu juga wanita. Ada anak-anak yang sudah tidak kenal siapa ibubapanya. Ada yang tersalah berkahwin dengan ibu sendiri! Lahaulawala quwata illabillah!!”

Masing-masing geleng kepala dan menitiskan airmata mendengarnya.

Dikatakan juga mertua kepada anak Mufti Kemboja, Ustaz Kamarudin Yusof, turut menjadi mangsa tetak semasa menunaikan solat. Ustaz Kamarudin adalah penduduk Kampung Speu yang asalnya dihuni oleh 1,050 keluarga. Setelah perang tamat, hanya tinggal 50 keluarga sahaja di situ. Beliau tidak berhijrah keluar negara kerana bimbang keluarganya akan menjadi mangsa keganasan komunis.

Tentera Khmer Rouge juga memusnahkan banyak masjid, Al-Quran dan kitab agama. Tamat perang, hanya cebisan al-Quran dan kitab sahaja yang tinggal. Ustaz Kamaruddin pernah menyalin semula keseluruhan Al-Quran, Kamus Marbawi dan kitab-kitab lain, untuk menyelamatkan ilmu Islam. Beliau juga terpaksa mengajar agama tanpa Al-Quran serta kitab lain selama kira-kira 5 tahun, hanya berdasarkan ilmu di dada. Aktiviti ceramah di majlis-majlis kahwin, pembukaan masjid dan sebagainya sentiasa diadakan untuk menghidupkan kembali Islam di Kemboja.

“Masalahnya sekarang, kami kekurangan wang untuk membina masjid dan sekolah agama yang menjadi tunjang kekuatan aqidah. Kami hanya mengharapkan bantuan dari luar.” Kata seorang lagi yang agak bertokoh di kalangan mereka.

Seolah-olah minta simpati. “Setiap tahun banjir melanda kawasan kami, memusnahkan segala tanaman dan ternakan. Apa pendapat ustaz??” Dia mengarahkan soalan pada saya.

“Memang bantuan itu salah satu caranya. Tetapi kita perlu fikirkan supaya ada sumber sendiri. Orang di sini mungkin kaya dengan masa dan tanah. Ada orang Islam dari negeri lain yang ada wang, tapi tiada sumber tenaga manusia dan tanah.” Jawab saya secara spontan.

Lampu dalam masjid itu terus menyala walaupun agak separuh terang, kerana tiada talian letrik. Cuma guna bateri kecil sahaja. Renung untuk melihat bulu roma di tangan sendiri pun tak nampak. Nampak muka ahli-ahli jamaah di depan lampu sahaja. Yang lain nampak samar-samar.

“Jadi, usaha pertemukan dua golongan ini amat perlu untuk wujudkan suatu kekuatan. Barulah boleh difikirkan masalah kewangan, kemahiran pengurusan atau teknologi canggih. Kita boleh mulakan dari yang kecil untuk membuktikan kemampuan kita. Banyak khazanah Sungai Mekong boleh dipasarkan di luar negara.” Itulah teori penyelesaian saya.

Memang teknologi pertanian masih belum canggih dan perlu dipertingkatkan supaya bertambah pengeluaran. Banyak perniagaan perkhidmatan belum selesai seperti teksi, bas atau feri. Saya lihat beratus-ratus bas dari Pulau Pinang Malaysia sedang beroperasi perkhidmatannya di Phnom Penh. Apalagi bila Menteri Pengangkutan Kemboja adalah orang Islam yang perlu sangat kerjasama dari orang Islam lain untuk membangunkan negaranya.

Malam itu lepas solat isyak, kami pun pulang। Tiada makan-makan seperti kebiasaan masjid-masjid di Malaysia. Saya dijamu makan malam di rumah ustaz yang saya tumpangi. Tiada kegiatan apa-apa lagi selepas itu. Maka, kelambu pun digantung sebagai isyarat suruh tidur. Tiada tv, tiada VCD. Cuma radio kecil terngiang-ngiang di telinga menggantikan nyamuk sebelum terlelap.

Besok pagi sebelum subuh, saya telah bangun dan merayap-rayap ke tepian sungai dengan lampu picit untuk mandi serta berwuduk. Lepas makan pagi pula, kami pergi berziarah ke kampong berhampiran. Di perjalanan kami sentiasa berselisih dengan kumpulan wanita-wanita berpurdah. Sesampai di kampong tersebut, kami disambut oleh penduduk kampong yang keluar beramai-ramai terdiri dari lelaki dan kanak-kanak, kerana wanita berkumpul menunggu di dalam rumah.

Ditunjukkan kepada saya, sekolah agama yang baru didirikan dengan serba kekurangan. Gurunya cuma beberapa anak kampong yang tidak bergaji tetap. Akhirnya saya sampai ke sebuah masjid yang sudah agak lama dibina. Tapi bumbungnya hanya menutupi bahagian imam sahaja. Yang lain terbuka nampak langit.

“Bagaimana nak solat? Kalau panas takpe le. Kalau hujan turun masa solat…” Terloncat tanya gurau dari mulut saya।

“Tak apa-apa bagi kita.” Jawab seorang yang mengiringi saya. Jarinya menuding pula kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang mengerumuni kami dengan gembira, “Tapi bagi mereka…”

“Lari!!!” Sambut kanak-kanak itu ramai-ramai, sebelum dia habis bercakap. Ya, bila hujan datang, kalau tidak sanggup tunggu dalam hujan, mereka cabut lari.

(Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim ini disalin semula dari makalah SERASI terbitan Planet Hijau Media/2001.)

Blogger: ibnuhasyim. blogspot.com 
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 
25-11-07.

Lihat lagi..
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
E-Buku IH-13: Catatan Perjalanan
Orang Melayu Kemboja

10 comments:

Anonymous said...

salam.... saya irfan, asal dari kelantan. saya merupakan generasi pertama keturunan melayu champa di malaysia. atok n ayah saya org champa yg bhijrah ke malaysia masa perang saudara di sana dlu.... bila baca cerita ibnu hashim, saya rasa teruja untuk bjumpa dgn saudara mara yang mungkin masih berada di sana....

Anonymous said...

assalamualaikum ibnu hashim..
saya rasa saya mengenali saudara irfan...mungkin dia sepupu saya.. saya keturunan melayu champa dan tak tau generasi yang keberapa... kadang-kadang teringin jugak untuk balik ke kampung halaman datuk dan nenek saya. mungkin dapat mencurahkan sedikit bakti kepada saudara islam kat sana..

Anonymous said...

waktu kecil dahulu pernah nenek saya menceritakan kepada kami asal usul mereka adalah dari kampong cham,ron dan non begitulah bunyinya.inshaallah marilah kita bangunkan dari runtuhan kota demi akidah mereka.islam itu bersaudara,islam itu kebajikkan serta indah buat semua.

Belajar Forex said...

terima kasih sudah mau berbagi disini, pengalaman yang sangat menarik

Anonymous said...

salam...itu la tak mahu belajar baca tulis..lastly samapi sekarang orang champa mundur.

Anonymous said...

err .. assalam .. cuma nak minta pendapat , saya bukan lah orang cham , tp saya di takdir kan berjumpa dan bercinta dengan orang cham ,
bg saya tiada masalah , dan hubungan kami sememangnya serious dan tanpa aral melintang insyaallah kami akan di ijab kabul kan ,, cuma y menjadi keraguan saya ,, bagaimana saya nak bgtau family tentang dia ?
*dia warganegara malaysia , lahir di sini dan menetap disini cuma mak ayah dia je dr sana ,, mcm mana ye ?
y kebimbangan : cik cahaya rahsia(fb)

Unknown said...

Terbaik..

Nuris. said...

Saya pun orang champ:)

Ibnu Hasyim said...

T.kasih kerana sudi menjengok blog ini.. Lama sudah saya tak ke Kampong Cham. Dulu saya selalu ke sana.

Anonymous said...

Seronok membaca tulisan Tuan. Suami saya adalah orang Cham berasal dari Chaudoc,Vietnam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails