Wednesday, November 21, 2007
Strategi Politik 'Kueh Bulan' Dalam Pilihan Raya
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
PADA hari ke15 bulan lapan dalam kalender Cina (Disebut juga kalender Lunar, kalender Imlek atau kalender Qamariah) macam juga kalender Islam terdapat 12 bulan setahun, orang-orang Cina di mana-mana di seluruh dunia merayakan ‘Pesta Bulan’. Pesta tersebut sudah wujud kira-kira 1,000 tahun dulu, bermula di zaman kerajaan Tang di Negeri China. Kueh Bulan (kueh much), lampu-lampu tanglong dan buah-buahan disediakan pada malam perayaan waktu bulan mengambang penuh itu.
Apa rahsia dan strtegi politik, yang terdapat di dalamnya?
Menurut sejarah pada tahun 1271 Masehi Negeri China jatuh di bawah pemerintahan Kerajaan Yuan dipimpin oleh Hu Pi Lie, seorang berketurunan Mongolia. Orang-orang Cina dari keturunan Han menurut undang-undang di bawah pemerintahannya sentiasa ditindas, dihina dan dizalimi oleh puak keturunan Mongolia. Kaum Han tidak boleh memegang jawatan tinggi, kalau melawan akan dikenakan hukuman berat. Tetapi kalau orang Mongolia membunuh orang Han, hanya didenda dengan nilai se ekor kaldai sahaja.
Setiap 20 keluarga orang Han diletakkan dibawah seorang ketua bangsa Mongolia. Ketua itu perlu dipelihara dan dilayani dengan baik oleh kaum tersebut walaupun mereka dianaiaya. Mereka tidak boleh membantah atau melawan. Kerana takut kebangkitan golongan mustad’afin (tertindas) tersebut, kerajaan mustakbirin (penindas) Monggolia telah melarang orang-orang Han menggunakan alatan buatan dari besi. Contohnya pisau dapur.. Sebilah pisau cuma dihadkan kepada 3 keluarga sahaja menggunanya. Orang-orang Han juga dilarang guna lampu dan keluar waktu malam tak tentu fasal.
Sudah menjadi tabiat alam, tiap yang ditekan, ditindas dan dizalimi itu, akan memberontak atau bangun meletup juga akhirnya. Begitu juga kaum Han, mereka memulakan penentangan dengan gerakan bawah tanah, dipimpin oleh Chu Yuan Chang. Seterusnya, beliau dan tenteranya menyerang kota Chu Chou, tetapi gagal kerana benteng pertahanan Mongolia itu amat kukuh . Kukuh kerana tentera Mongolia ramai dan bekalannya pun cukup.
Chu Yuan Chang bersama penasihatnya Liu Po Wen merancang semula strategi penaklukan kota tersebut. Kini, Liu Po Wen masuk ke kota itu dengan menyamar sebagai ‘seorang ahli bertapa’, dan berjaya mempengaruhi pemimpin kongsi-kongsi gelap supaya menentang kerajaan. Esoknya isu-isu bertiup kencang bahawa:
“… Raja Syurga telah menitahkan Dewa Penular Wabak Penyakit datang menularkan wabak penyakit di Kota Chu Chou. Tetapi mujurlah ada seorang pertapa yang murah hati telah tiba di kota itu berusaha menyelamatkan mereka. Maka berduyun-duyunlah penduduk kota tersebut pergi menemui orang bertapa itu meminta pertolongan.” Demikian ditulis oleh Tuan Mei Jing dalam bukunya ‘Pesta-pesta Dalam Masyarakat Tionghoa’.
Menurut Tuan Mei Jing lagi, Liu Po Wen yang dianggap orang bertapa itu berpura-pura mengadakan upacara sembahyang dan berdoa selama 3 hari 3 malam berturut-turut di kota itu. Orang-orang Han disuruh memasang bendera dan tanglong. Memalu gong dan gendang pada tengah malam hari ke15 bulan lapan.. supaya penularan wabak yang disebutkan dapat ditolak. Selain itu, Liu menghadiahkan sekeping kueh yang disebut ‘Kueh Bulan’ kepada setiap keluarga Han.
Dikatakan dalam kueh itu ada selembar azimat. Kueh itu mesti dipotong dan dimakan pada tengah malam hari ke15 bulan lapan yang akan menjelang tidak lama lagi. Lepas makan hendaklah melakukan sesuatu menurut arahan azimat tadi. Dengan berbuat demikian semua jiwa penduduk kota tersebut akan terselamat. Bila ramai penduduk kota itu percaya segala kata-katanya, Liu pun pulang meninggalkan mereka. Kembali menemui ketuanya Chu Yuan Chang semula untuk melaksanakan gerakan penyerangan.
"Bila tiba hari ke15, orang-orang Han di Kota Chu Chou merayakan Pesta Bulan. Sampai waktu tengah malam mereka pun memasang bendera-bendera, tanglong-tanglong di hadapan rumah masing-masing serta memalu gong dan gendang seperti pesanan Liu. Mereka memotong kueh yang diberi Liu dan jumpa sepucuk surat berbunyi, ‘Bunuhlah orang-orang Tartar (keturunan Mongolia itu) pada hari ke15 bulan lapan!’” Tulis Mei Jing lagi.
Bangsa Han yang selama ini dianiaya merasa amat gembira bila membaca surat tersebut, mereka mengambil pisau dapur dan batang kayu terus membunuh ketua kaum masing-masing, lalu keluar menyerang tentera dan bangsa Mongolia di kota itu dari dalam. Di luar kota pula tentera Chu Yuan Chang sudah merempuh masuk menyebabkan tentera Mongolia tersepit antara dua serangan dan melarikan diri. Kerana strategi yang bijak, kota Chu Chou berjaya ditaklukkan dengan mudah. Itulah sebabnya kaum Cina merayakan Pesta Bulan setiap tahun, menurut Mei Jing lagi.
Apakah strategi begini boleh digunakan oleh PAS bagi menumbangkan lawannya dalam pertarungan melalui peti undi semasa pilihan umum akan datang ini? Siapa golongan mustakbirin dalam kes ini? Di mana peranan Lajnah Perpaduan Kaum dan Kelab Penyokong PAS? Cuba fikir-fikirkan!
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Nov21, 2007.KL.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Tulisan yang baik hasil dari sumber bacaan yang banyak
assalamualaikum...
saya inginmeminta kebenaran utk copy cerita wak dukun dan post kat forum pelintah...
wassalam...
adi@imagna
http://pelintah.9.forumer.com/
Post a Comment