Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
SEMALAM, sewaktu berada di Puterajaya bersama kawan saya, kami sama-sama lihat acara perasmian jambatan Bukit Bunga Jeli-Ban Buketa Narathiwat Thailand, oleh Perdana Menteri di kedua negara Malaysia dan Thailand, disiarkan oleh tv Malaysia.
Hal ini mengingatkan saya pada pertengahan 1990an, saya pernah memasuki Thailand berpusing-pusing dengan kereta di selatannya, sampai di pekan kecil Ban Buketa. Dari tebing tinggi Sungai Kolok, seberang sana Bukit Bunga, ternampak seorang wanita berpayung sedang menuju ke arah kami, balik negeri Thai sini. Beberapa minit saja berjalan, dia sudah sampai dekat kami, melangkah dan memijak beberapa batu dalam sungai yang menjadi sempadan… Melalui sungai yang terdapat beberapa kanak-kanak sedang mandi-manda bermain bersama itek-itek sedang berenang girang.
Saya tanya tempat cop paspot sebelah sempadan Thai untuk masuk ke Bukit Bunga. Saya ditunjukkan seorang wanita Melayu bertudung dari imigresen Thai duduk bawah pokok dengan sebuah meja dan bangku berserta cop rasminya. Entah pejabat sementara, atau telah berlaku apa-apa hal, tak tahu le. Di situlah kini dibuat jambatan merintangi Sungai Kolok dikatakan menelan kos RM9.2 juta yang disiapkan dalam masa 11 bulan.
Beberapa tahun selepas itu, saya bersama-sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Wan Rahim pernah berjumpa dengan Wan Muhammad Noor Matha, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Thailand (beragama Islam) yang baru dilantik dan Speaker Parlimen Thai. Perbincangan kami di pejabatnya di Bangkok, lebih tertumpu sekitar permasalahan umat Islam, khususnya di selatan Thai dan sekitarnya.
“Adalah amat baik jika Malaysia dapat membantu pembelanjaran orang Islam Kemboja, seperti juga kami yang menerima mereka belajar di Thailand.” Kata Mohammad Noor dalam bahasa Melayu Pattani.
Beliau adalah salah seorang dari 3 menteri penuh dan 1 timbalan menteri yang dilantik dari kalangan Parti Harapan Baru. Parti Harapan Baru bergabung dengan 2 parti lain termasuk Thai Rak Thai pimpinan Thaksin yang menjadi Perdana Menteri. Hal ini berlaku sebelum tragedi pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Selatan Thai beberapa tahun kemudian, yang juga angkara Thaksin
Dalam hal ini, teringat saya kepada ucaptama Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor Presiden PAS dalam Majlis Dialog Gerakan Islam Serantau 27 Mac 2001 di Kuala Terengganu, menyarankan:
‘Mewujudkan MOU di antara institusi-institusi pendidikan gerakan Islam supaya saling mengukuhkan antara satu sama lain di bidang kajian agama, perubatan, pengurusan, teknologi dan sebagainya. …. Begitu juga dari sudut strategik seperti geo-politik, kejuruteraan sosial, alam sekitar, sinergi penyelidikan dalam teknologi mapping dan forecasting. Kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan dua hala. Kerjasama dalam bidang kewangan Islam perbankan dan pembiyaan aktiviti ekonomi. Kerjasama dalam menubuhkan syarikat untuk memajukan perladangan seperti kelapa sawit, atau eksploitasi sumber alam, contohnya, pembalakan, minyak, gas dan lain-lain.’
Menurut Wan Muhammad Noor, langkah awal ke arah tersebut ialah dengan memudahkan hubungan umat Islam antara 3 negara yang berjiran itu. Antaranya perlu dihidupkan semula khidmat keretapi Sungai Kolok-Kelantan yang terbiar bagi pengguna-pengguna dari Thai terus ke Kuala Lumpur. Wujudkan khidmat feri Kota Bharu (Malaysia)–Pattani (Thai)-Kampung Som (Kemboja), yang kebetulan Menteri Perhubungan Kemboja (waktu itu) adalah orang Islam, dan beliau sendiri sanggup bantu bina pelabuhan di Pattani. Beliau juga mencadangkan pembinaan jambatan Tak Bai-Tumpat dan pembinaan jambatan Ban Buketa-Bukit Bunga yang sudah pun dipersetujui bersama.
“Tetapi mengapa hingga waktu ini masih belum dibuat apa-apa?” Beliau bertanya. Kami tidak jawab apa-apa.
Kini bila jambatan ini sudah siap dirasmikan, baru jelas jawapannya. Mungkin kerana selepas berlaku persetujuan bersama Malaysia-Thai dulu, tiba-tiba Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya di Jeli, Tetapi bila menang semula barulah jambatan itu disiapkan. Kalau betul begitu, maka BNlah sebenarnya yang menghalang pembangunan di Kelantan dan pembinaan jambatan tersebut adalah lambang keangkuhan juga pengkhianatan kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan!
“Apa pendapat hang mengenai pembinaan jambatan ini??” Saya tanya kawan saya yang sama-sama menonton tv di Putrajaya ini.
“Kalau berlaku peperangan, jambatan-jambatan seperti inilah yang memudahkan penyerangan dari musuh-musuh negara ini melalui negara jiran…” Suatu jawapan ganjil dari Dr Zubair yang juga pengendali sebuah laman web.
1 comment:
He was a great man & he has influenced many people with his dedication & contribution to the public, not only this but he also became a great example of personal finance assignment help for the students in the United Kingdom.
Post a Comment