Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI
KAMI, kini di Kota Bharu. Masuk ke sebuah medan selera, yang menghidangkan pelbagai jenis makanan rakyat. Dari kueh-kueh, pelbagai jenis me, laksa buyung, pelbagai jenis sup serta nasi, termasuk pulut durian dan macam-macam. Masing-masing pilih kegemaran masing-masing. Tapi saya pilih sub belut.. Mengapa dengan belut? Begini ceritanya…
“Dulu hang sebut teori Anwar nak cuba terajui semula politik Malaysia mengikut jalan dalam yang singkat… Pada aku itu satu kenyataan dan ulasan yang merbahaya.” Kata kawan saya dari Permatang Pauh. Kami sama-sama ke Kelantan mengikuti muktamar agung PAS. Dia hadir sebagai tetamu jemputan di muktamar tersebut. Di medan selera ini, dia pilih makanan pulut durian, tak macam kami yang pesan sub belut.
Memang saya ada menulis mengenai pilihan raya Ijok di Selangor hari tu, seolah-olah meragui Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dikatakan menyerang TPM sahaja tidak PM, serang Najib saja tidak serang anak buah Pak Lah lain, tidak serang dasar UMNO atau Barisan Nasional (BN) habis-habisan, yang secara kasarnya memang nampak macam menyerang semuanya. Mengapa pula beliau cuma pilih jadi Penasihat KeAdilan (PKR) saja, tidak jadi presidennya?
Kerana itu ada yang mengandaikan, beliau hanya menyerang kerusi TPM supaya tinggal kosong. Kalau kerusi TPM sudah kosong, dan pemecatan Anwar boleh diusahakan supaya ditarik balik, maka kerusi itu ada harapan jadi milik Anwar.. Saya tulis hal ini di bawah judul ‘Cubaan Anwar Terajui Malaysia’ dalam Catatan Santai: ibnuhasyim.blogspot.com. Suatu teori yang masih belum basi lagi.
“Pada aku pun macam tu juga.. kalau dibiarkan tak ulas hal itu aku anggap merbahaya! Begitu juga dengan isu yang diwarwarkan baru-baru ini, PKR mohon 50% kerusi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kelantan dari PAS, untuk bertanding mewakili Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya umum akan datang…” Saya jawab.
“Itu pun permintaan yang tak siuman..” Sampuk kawan seorang lagi (mungkin penyokong PAS) dengan pantas. “Buat syarat sebelum berunding, depa ingat PAS nak bagi??”
“Pasai apa hang kata macam tu??”
“Tunaikan permintaan tak menasabah PKR itu, sama dengan memberi sebiji ‘time bomb’ ke tangan Anwar, memberi kuasa penentu yang amat besar kepada beliau. Kalaupun PAS menang semua kerusi (50%) dipertandingkan dan PKR menang satu kerusi sajapun, PKR masih berkuasa penuh, kerana PAS tidak mampu tubuh kerajaan kecuali dengan bantuan PKR walaupun dengan satu kerusi ADUN.
Apa lagi kalau sasaran kemenangan PAS tidak tercapai 50%, sudah tentu PKR mampu menumbangkan kerajaan PAS Kelantan, dengan kerjasama parti-parti lain dari PAS yang menang.. Kalau PKR menang banyak kerusi ADUN dan PKR kekal bersama BA, belum tentu PKR dapat menjamin ADUN-ADUNnya ‘tidak dapat dibeli’, kerana harganya waktu itu terlalu mahal.
Sedangkan ADUN-ADUN PAS kini sudah teruji tidak dapat dibeli, walaupun dengan kelebihan satu kerusi ADUN seperti yang terbukti sekarang!”
“Pasai apa pula hang samakan kuasa penentu itu dengan time bomb yang sentiasa menunggu masa untuk meletup??”
“Tuan-tuan semua tentu tahu, Parti KeADILan ditubuhkan setelah Dato’ Seri Anwar dipecat dari UMNO. Dasarnya lebih kurang macam UMNO dan BN juga, cuma mereka nakkan keadilan dengan mengembalikan hak Anwar ditempatnya. Kalau dah dapat, nak lawan UMNO dan BN buat apa lagi??
Sejarah menunjukkan parti-parti serpihan dari UMNO takkan dapat bertahan lama. Bermula dengan Parti Negara atau IMP ditubuhkan September 1951 oleh Dato’ Onn Jaafar yang keluar meninggalkan UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman (UMNO ditubuhkan 1946). Begitu juga parti serpihan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan UMNO pimpinan Dr Mahathir, yang akhirnya bersama PAS menawan Kelantan pada 1990.
Kini Parti Keadilan pula, walaupun dah bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia, jadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, namun statusnya tetap disebut ‘parti serpihan’. Mungkin Anwar sedar hal itu (parti serpihannya tidak akan tahan lama). Beliau menunggu peluang baik untuk kembali memimpin Malaysia bersama UMNO. Tetapi beliau perlu ada kekuatan di tangannya dan kuasa dari orang dalam UMNO itu sendiri (aku yakin sekarang sudah ada!). Kalau kuasa sebuah Kelantan ada di tangannya, barulah dirinya menjadi mahal dan ada kekuatan untuk berunding dengan Pak Lah (termasuk menantunya) atau UMNO.
Dalam perundingan, mungkin ada 2 pilihan di depannya waktu itu. Satu, wujudkan politik kerjasama atau Kerajaan Campuran seperti yang berlaku selepas 13 Mei 1969 di zaman pemerinthan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke2. Kedua, kembalikan haknya dalam UMNO seperti dulu, dengan itu beliau akan tinggalkan BA yang akan bertukar menjadi lawannya pula. Itulah maksud aku bom jangka atau ‘time bomb’ yang akan meletup bila-bila masa sahaja di tangan Anwar.
Ooo, ada lagi pilihan ketiga bagi Anwar, tak payah runding-runding lagi beliau akan menjadi pembangkang, yang tidak tentu entah bila akan menangnya, macam parti-parti pembangkang yang lain.” Jelas kawan yang pro PAS itu.
“Hang jangan cuba merendah-rendahkan rakan se BA kita, hang tak tau ke Anwar tu sudah dikenali sebagai pemimpin Islam di negara Arab dan seluruh dunia??” Kawan saya yang dari Permatang Pauh itu membidas balik.
“Aku tidak rendahkan sesama kawan.. Kalau rakan-rakan kita boleh sindir PAS, suruh gugurkan konsep negara Islamnya jika nak diterima oleh orang bukan Islam, takkan la aku nak kata sikit macam ni pun tak boleh?? Aku bukan tak hormat perjuangan Islam Brother Anwar, bos aku dulu dalam ABIM, tapi kebelakangan ini aku tengok beliau dah lain sikit... Kalau takat menari tu (seperti yang disiarkan dalam tv Malaysia) aku tak kisah la, tapi dalam soal murtad tu dia nampaknya membisu seribu bahasa.. Nak tunjuk politik belut sangat?!!”
“Dah la tu.. Sekarang kita sudah bincangkan satu lagi teori cubaan Anwar terajui politk Malaysia.” Saya memotong cakap mereka. Makanan dan minuman yang kami pesan pun sudah sampai. “Licik-licik belut pun, boleh dibuat sup! Mai kita makan sup belut!!”
“Ooo.. pasai apa hampa (anda) pilih sub belut??” Tanyagurau si pemesan makanan pulut durian tadi.
“Sup belut khasiatnya macam tongkat ali, kalau pulut durian tak tau la..”
“Tak kira belut atau pulut, yang penting semuanya masuk mulut!!”
Sama-sama tertawa kecil.
Catatan santai:
ibnuhasyim.blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
10-06-2007.