Sunday, June 24, 2007
Jangan Salahkan Peniaga Bundle Saja...
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
SEBUAH akhbar hari ini menyiarkan ulasan mereka yang cuma menyalahkan peniaga-peniaga bundle (beragama Islam), mengenai penjualan baju lambang salib dan isyarat lucah yang amat mendapat sambutan hangat di Kuala Terengganu. Mereka dikatakan telah ketepikan hukum agama..
“Kalau diikutkan rasa bersalah (perasaan berdosa) memang saya rasa, tetapi disebabkan baju seperti ini boleh dijual dengan harga yang mahal, saya terpaksa juga menjualnya.” Kata seorang dari peniaga-peniaga tersebut macam dalam keadaan serbasalah.
‘… setiap kali penghantaran baru, mesti ada baju tidak bermoral dalam ratusan baju yang diperoleh daripada pembekal luar negara seperti Amerika Syarikat, Korea dan Jepun.’ Tambah seorang lagi.
Seorang imam surau, dilapurkan amat kecewa mengenai sikap tersebut. ‘(Mereka) perlu bertaubat dan berhenti menjualnya.’ ‘… ia boleh merosakkan moral remaja Islam kerana cara pemakaian seseorang itu menunjukkan keperibadiannya.’ Komennya lagi, ‘Guru dan ibubapa seharusnya memberi pendedahan dan didikan kepada pelajar dan anak mereka supaya tidak terbabit dengan budaya yang melanggar etika kehidupan dan keagamaan.’ Juga kerana ‘pengetahuan agama yang cetek menyebabkan pemakaian baju tertera lambang salib dan ada isyarat lucah menjadi sesuatu yang dibanggakan.’
Sebenarnya salah siapa??
Pertama: Sikap ketepikan dosa pahala kerana nak untung lebih, itu adalah sikap yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia dan diturunkan kepada kerajaan negeri anakdidiknya seperti Terengganu dan lain-lain negeri. Contohnya, wujud kilang-kilang arak, pusat perjudian, dan persundalan dengan bersembunyi di balik topeng perlancungan, hiburan, pembangunan dan perekonomian. Semuanya itu berlaku dengan meng’ketepikan hukum agama’ atau pandangan para ulama oleh pemerintah.
Terbarunya, boleh dilihat pada projek Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, ada yang mensifatkan sebagai jual negara tanpa mengira keuntungan agama. Atau bahasa mudahnya jual agama kerana untung benda semata-mata, tetapi sebenarnya adalah rugi di dunia dan di akhirat. Sikap seperti inilah yang tersemai kepada kepada peniaga-peniaga tersebut, hasil dari tarbiah kerajaannya. Memarahinya macam meludah ke langit.
Kedua: Atas dasar itulah juga, berlaku pengimportan barangan luar negara tanpa ditapis lebih dulu. Apa nak diherankan dengan buju-baju tidak bermoral, pada hal budaya lucah dan tak bermoral pun diimport oleh Kementerian Penerangan masuk terus ke ceruk dapur rumah ustaz-ustaz Islam melalui siaran tv Malaysia (nilai lucah dan tak bermoral perlu dilihat dari sudut Islam)! Bagaimana boleh anak gadis Malaysia berpakaian macam orang berkemban hendak pergi mandi, naik ke pentas ramai dalam majlis rasmi siaran media negara RTM??
Apa hendak diherankan mengenai salib pula, orang murtad dan mencabar agama dalam negara pun, kerajaan tak boleh buat apa-apa… konon nak ikut Islam?? (Islam hadhari atau Islam Liberal bolehlah!!) Contoh dulu-dulu sebelum merdeka di bawah penjajah, ialah dalam kes remaja Nathrah yang cuba dimurtadkan. Begitu hebat penentangan masyarakat orang Islam waktu itu. Kini sesudah merdekapun ada lagi kes-kes seperti itu, terbarunya ialah kes Lina Joy. Kerajaan boleh buat apa?
Ketiga: Memang akibatnya ramai imam-imam, ustaz dan tok-tok guru rasa kecewa melihat perkembangan yang berlaku terutama kepada remaja bakal menjadi pemimpin masa depan negara. Tapi mereka lupa, mereka cuma menyalahkan remaja itu saja, menyalahkan anak-anak mereka, menyalahkan guru dan ibubapa. Mereka macam tak nampak ‘kepala’ kepada bapa-bapa mungkar itu, iaitu kerajaan. Kerajaan yang paling berkuasa mencorakkan segala-galanya.
Kerajaan juga bertanggung jawab merosakkan moral dan peribadi remaja Islam melalui medianya. Kerajaan juga bertanggung jawab memberi pendedahan dan didikan kepada pelajar dan anak mereka supaya tidak terbabit dengan budaya melanggar etika kehidupan dan keagamaan. Kerajaan juga bertanggung jawab mengajar remaja menari, menyanyi dan mendedahkan aurat melalui medianya. Kerajaan juga tidak lepas dari tanggung jawab ke atas rakyatnya ber ‘pengetahuan agama yang cetek menyebabkan pemakaian baju tertera lambang salib dan ada isyarat lucah menjadi sesuatu yang dibanggakan.’ seperti disebutkan itu.
Itulah kepala bapak yang patut bertanggung jawab kerana mereka dilantik memegang amanah Allah kepada rakyat sebenarnya.
Apakata, kawan-kawan kita peniaga-peniaga bundle di Chow Kit dan Belakang Mati??
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 24-06-2007.
Negara Kebajikan: Bukan Islam Sokong.. Dapat Apa?
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
SEBUAH teksi berhenti di hadapan saya.
“Chow Kit!” Kata saya setelah masuk dalam teksi.
Teksi itu terus berlalu. Pemandunya seorang Cina. Setelah berbual seketika, sampailah kepada pertanyaan saya meminta pandangannya mengenai PAS.
“Yang saya tau, PAS itu parti Melayu. Nak buat undang-undang Islam, nak suruh semua masuk Islam.. mana boleh? Maaf.. betul ke saya cakap ni!?” Dia pula tanya saya.
“PAS itu parti kebajikan..” Jawab saya. Dia macam terkejut. “…parti suruh orang buat baik. Buat baik dari kacama Islam. Bukan untuk bangsa Melayu saja, tapi untuk semua bangsa. PAS atau parti Islam memang untuk semua. Tak kira Melayu, Cina, India, orang putih dan lain-lain. Tak paksa orang masuk Islam pun.. jangan salah faham! Dah puluhan tahun dia perintah Kelantan, tak sorangpun orang bukan Islam yang kena aniaya! Waktu negara dilanda tragedi perkauman 13 Mei 1969, Kelantan di bawah PAS tak berlaku apa-apa gaduh pun? Takde seorang pun Cina yang kena sembeleh??”
Dia mengangguk, lalu bertanya lagi, “Kebajikan? Apa yang PAS tolong pada orang susah?”
“Contoh terbaru, kalau ada warga emas atau orang-orang tua yang meninggal dunia di Kelantan, pada hari mati itu warisnya akan menerima wang sebanyak RM500, sebagai sumbangan kebajikan atau bayaran pampasan. Bakinya sebanyak RM2,000 lagi akan dibayar dalam tempoh dua bulan dari tarih hari kematian tersebut..”
“Tak dengar ceritapun? Banyak ke yang dah dapat??” Beliau tanya lagi.
“Pembayaran seperti ini telah berlaku kepada 1,051 orang warga emas yang meninggal dunia di Kelantan, iaitu daripada 98,000 warga emas berdaftar di bawah Skim Insurans Takaful Kifaalah yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan awal tahun ini.” Saya jawab. “Baru tahun ini (hingga Jun 2007).. dan Kelantan sahaja.. Bagaimana kalau PAS perintah Malaysia?”
Hal ini mengingatkan saya sebulan dua lepas, sewaktu pilihanraya kecil Ijok. Malam itu dalam suasana sibuk-sibuk berkempen, saya bersama-sama Cikgu Rosdi dari Kelantan, seorang gurubesar sebuah sekolah di Selangor (yang tak mahu namanya disebutkan) dan beberapa lagi, bersama-sama seorang tauke Cina pembuat parang di Selangor dalam suatu majlis..
“Sebenarnya, selepas beberapa bulan Kerajaan Kelantan melancarkan Skim Insurans Takaful Kifaalah, seorang pegawai skim takaful tersebut dipanggil oleh seorang Menteri Besar sebuah kerajaan BN di pantai barat, bertanyakan mengenai perjalanan skim tersebut.” Kata Cikgu Rosdi kapada kami. “Menurutnya skim itu begitu mendapat sambutan di kalangan rakyat miskin, mampu menaikkan imej PAS serta menjejas dan menurunkan beberapa peratus pengaruh UMNO di Kelantan buat masa ini.”
“Itulah parang panjang yang mampu menyembeleh habis pengaruh UMNO Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.” Sambut tauke Cina pembuat parang itu. “Skim-skim seperti inilah yang perlu diperbanyak dan diperluaskan secepat mungkin..”
“Apa maksud ‘diperluaskan’??” Tanya kawan kami guru besar sekolah itu.
“Maaf ya. Kalau tak jadi kesalahan, saya nak cadangkan supaya skim itu diperluaskan hingga tanpa batasan negeri, kaum dan agama. Ertinya, orang Islam dan bukan Islam di luar Kelantan pun dapat manfaatnya!” Tegas tauke Cina itu lagi.
“Itu bukan kerja mudah?” Kata Cikgu Rosdi.
“Walaupun bukan kerja mudah, tapi kalau PAS (mungkin Lajnah Kebajikan PAS Pusat) atau Kelantan boleh buat juga, barulah meyakinkan orang bukan Islam, bahawa PAS mampu memberi kebajikan kepada mereka dan mungkin kini baru sampai masanya untuk PAS perintah Malaysia!” Kata gurubesar itu, disambut dengan tepukan dan ketawa ceria bersama-sama kawan-kawan lain.
Kepada pemandu teksi yang saya tumpangi ini, saya beri satu lagi contoh kebajikan kerajaan PAS kepada rakyat, iaitu Program Pembangunan Ladang Rakyat. Program yang diwujudkan sejak tahun lepas melibatkan 2,025 penduduk miskin. Tiap seorang dibayar sebanyak RM200 sebulan dan sehingga kini (Jun 2007)lebih RM4 juta telah dibelanjakan kepada mereka.
“Oleh itu, bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat dari PAS, maka PAS perlukan sokongan dari orang-orang bukan Islam seperti encik!” Jelas saya kepada pemandu teksi itu lagi.
“Macam mana nak sokong?”
“Kerana teksi inipun sudah sampai di Chow Kit, dan saya pun tak sempat sembang panjang lagi, encik boleh dapatkan maklumat lanjut melalui Encik Hu Pang Chaw Pengerusi Kelab Penyokong PAS peringkat pusat, di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dekat Belakang Mati atau belakang Chow Kit ini!”
“Kalau saya sokong PAS saya boleh dapat apa??” Beliau tanya lagi.
“Sila beri kad bisnes encik, kita akan jumpa lain kali, saya akan terangkan sekadar termampu, insya Allah!.” Saya bayar tambang teksi, kami bertukar-tukar kad dan bersalaman dengan harapan akan bertemu lagi.. kerana ibukota tidaklah seluas mana.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 23-06-2007.
PAS Kuasai Ibukota? Buktikan dengan...
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
PAS Kuasai Ibukota? Buktikan dengan …
‘PAS Untuk Semua’ akan disemarakkan, kata Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Sebelum ini Dato’ Husam Musa Naib Presiden pula mahukan parti itu muncul sebagai pemimpin tindakan berkesan menangani isu dan masalah warga kota, pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan dengan tema ‘PAS Kuasai Ibukota’
Sewaktu Muktamar Tahunan PAS ke 53 baru lalu saya sempat hadir ke majlis makan malam di Kota Bharu bersama Encik Hu Pang Chaw Pengerusi Kelab Penyokong PAS, dan Ustaz Mujahid Haji Yusuf Rawa yang mengetuai Lajnah Perpaduan Nasional. Nampaknya agak memberangsangkan, dan peranan kelab tersebut amat penting demi masa depan PAS untuk kuasai negara majmuk ini.
“Jangan jadi macam CCC, akhirnya tinggal ‘C’ saja. (C dalam bahasa Cina yang ertinya mati).” Sindir kawan saya yang sama hadir dalam majlis itu. Tetapi kini kami berada di ibukota Kuala Lumpur.
CCC adalah Chinese Concultative Council atau Majlis Perundingan Cina, yang ditubuhkan oleh PAS sekitar tahun 80an juga berperanan menarik sokongan orang bukan Islam menyokong PAS. Politik Malaysia waktu itu dikejutkan dengan pendekatan baru PAS di kalangan bukan Islam tersebut. Saya sendiri mewakili PAS pernah bertanding merebut kerusi ADUN Teluk Bahang Pulau Pinang pada tahun 1986 yang pengundi Cinanya agak tinggi.
Waktu itu mungkin pertama kali PAS dijemput berceramah di kuil-kuil orang Cina, selain di kedai-kedai kopi, dewan dan rumah-rumah orang Cina. Kami turun padang berceramah dan menyertai makan malam menemui masyarakat Cina, hingga menjadi isu besar kepada penentang-penentang PAS, menuduh dan memburukkan PAS, kata mereka, ‘PAS masuk ke rumah berhala dan tempat makan babi’, ‘PAS nak buang hak istimewa Orang Melayu’ dan lain-lain.
“Anda jangan pandang rendah pada kejayaan CCC. Ramai orang-orang Cina Islam sertai PAS waktu itu, dan orang-orang bukan Islam mula meneliti perkembangan politik PAS.” Saya jelaskan. “Kalau kita katakan CCC gagal tarik orang bukan Islam sokong PAS, kita kena kaji sebab-sebab kegagalan dan cara mengatasinya.. Mungkin hasil dari kaji selidik tersebut melahirkan Kelab Penyokong PAS sekarang. Oleh itu PAS kena berhati-hati supaya jangan sampai dianggaap gagal lagi!”
“Kalau PAS nak tawan ibukota, PAS kena buat tumpuan kepada bukan Islam di KL ini. Sudahkah kelab penyokong PAS di KL ini beropersi?” Tanya saudara Yusri, bekas pengarang Harakah yang kini menjadi pengarang sebuah akhbar tempatan. “Sudahkah ditubuhkan PAS cawangan Belakang Mati atau PAS Lorong Haji Taib atau Chow Kit tempat wajudnya bangunan baru PAS sekarang??”
“Semasa saya berada di Jalan Pahang atau Pekeliling Business Centre dekat ibupejabat PAS atau pejabat Harakah Jalan Pahang dulu, saya pernah menubuhkan PAS Cawangan Islamic City.” Saya jelaskan. “..dan kini.. saya juga amat tertarik dengan pendedahan Pemuda PAS Wilayah mengenai kegiatan di Belakang Mati, bagaimana ada individu-individu yang berbuat kebajikan cuba mengatasinya. Sekarang tiba masanya untuk kita wujudkan pusat kegiatan kebajikan di Belakang Mati melalui penubuhan cawangan PAS atau Kelab Penyokong PAS…”
“Kita kena tunjukkan kepada masyarakat ibukota, di mana Belakang Mati yang menjadi simbol kehitaman ‘pelacuran kelas bawahan’ di pusat bandar seperti yang anda tuliskan (Lihat TranungKite Online Mei bertajuk ‘Mengapa Bangunan PAS Di Belakang Mati?’),
maka dengan wujudnya pejabat PAS di sini menjadi simbul pemutihan dan kebajikan rakyat kepada mereka!” Selah pula saudara Syukri yang juga pernah bekerja di Harakah.
PAS Kawasan Batu dikatakan telah bertindak menubuhkan Akademi Penerangan bagi menggerak dan memperkasakan parti sebagai menyahut saranan Naib Presiden agar PAS menguasai ibukota, seperti yang pernah dinyatakan Ketua Penerangannya Saudara Tarmizi Mohd Jam, yang juga bekas pengarang Harakah. Apa pula tindakan Saudara Tarmizi dan PAS Wilayah bagi menyemarakkan ‘PAS Untuk Semua’, yang mungkin ada hubungan dengan penubuhan kelab atau cawangan Belakang Mati ini??
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-6-2007.
Subscribe to:
Posts (Atom)