Friday, July 06, 2007

Musuh Baru Dalam Selimut KeADILan??


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:



“KAMI sedih dan kasihan melihat Dato’Seri Anwar. Beliau tidak dapat membebaskan dirinya dari ‘kongkongan politik tradisi’nya. Cara hidupnya tidak dapat dipisahkan dari kepolitikannya.” Kata seorang anak muda yang mengaku dirinya seorang ahli Parti KeADILan Rakyat (PKR) pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (walaupun Dato’ Seri bukan presiden dan berjawatan sebagai Penasihat KeADIlAN sahaja).

“Kongkongan politik tradisi pada Datok Seri?” Seolah-olah suatu perkara baru dalam PKR, pada saya.

“Ya!” Katanya tegas. “Kami tidak suka pemimpin politik kami terikat dengan kehidupan harian tradisi. Kami kasihan melihat kehidupan Dato’ Seri dikongkong oleh ideologi politik tradisionalnya. Kami mahu cara hidupnya terpisah dari politik anutannya. Itu sebabnya, ada diantara kami, walaupun berada dalam politik KeADILan, tapi kami tidak ikut cara hidup Islam tradisi, seperti juga orang bukan Islam yang bebas mengikut haluan dan cara masing-masing...”

“Apakah yang anda maksudkan itu ialah sekularisasi atau sekularisme?. Pemisahan antara politik dengan kehidupan harian??” Saya tanya. “Anda bersetuju dengan pemikiran Drs Nurcholis Madjid di Indonesia yang meninggal dunia baru-baru ini?”

Mereka mengangguk.

“Baru-baru ini kami dihantar berkursus perkaderan politik PKR, setelah peserta mengemukakan pelbagai aliran pendapat yang bertentangan dari pelbagai bangsa, kaum dan agama, maka akhirnya pengerusi bengkel forum tersebut merumuskan, ‘..disitulah istimewanya parti kita, mempunyai pelbagai aliran dan fahaman..’ dengan tidak pula menentukan dan menjelaskan satu aliran pemikiran mana yang perlu diikut.” Jelas seorang dari mereka. “Sebab itu, kami pilih keadilan, yang memang bebas dan adil!”

“Tapi, dalam pemilihan PKR baru-baru ini, orang yang kami tonjol tidak banyak yang menang bertanding mengisi jawatan-jawatan penting dalam parti.” Sampuk kawannya yang seorang lagi. “Namun, kami akan terus cuba pada pemilihan akan datang.”

Ya. Saya baru dapat mengagak.. Hal sekularisasi seperti ini, telahpun dibawa oleh Drs Nurcholis sejak awal tahun 70an lagi, semasa dia menjawat Ketua Umum Pengurus Besar Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Indonesia (Ucapannya pada 2 Januari 1970 bertajuk ‘Keharusan Pembaharuan Pemikir Islam dan Masalah Integrasi Umat’ dan artikelnya ‘Sekali Lagi Tentang Sekularisasi’ . Pimikiran yang diciplaknya dari pemikiran Harvey Cox, seorang pemikir Kristen mengkritik agamanya dalam bukunya ‘The Secular City’ (New York:The Macmillan Company -1965) yang menjadi best seller di Amerika pada tahun 1965. Sila rujuk buku ‘Koreksi Terhadap Drs Nacholis Madjid Tentang Sekularisasi’ oleh Prof Dr H.M. Rasjidi (Jakarta: Bulan Bintang-1977).

Penulis Barat yang menyebutnya dengan ‘Islam Liberal’adalah seperti seperti Leonard Binder (‘Islamic Liberalism’ Chicago: The Unversity of Chicago Press-1988) dan Charles Kurzman (‘Liberal Islam’ New York: Oxford University Press-1998). Buku khusus di kalangan pemikir Indonesia ditulis oleh Greg Barton pada tahun 1995 (‘The Emergence of Neo Modernism’ Liberal Movement of Islamic Though-1995), yang asalnya adalah disertasi Ph.D di Monash University, Australia.

Buku ini diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan tajuk: ‘Gagasan Islam Liberal di Indonesia: Pemikiran Neomerniodsme Nurcholis Madjid, Djohan Effendi, Ahmad Wahib dan Abdurrahman Wahid’, diterbitkan atas kerjasama Paramadina, Yayasan Adikarya Ikapi, dan Ford Foundation pada tahun 1999. Pemikiran Islam Liberal itu, mulanya disingkatkan sebagai ‘Islib’, kemudian dipopularkan oleh sekumpulan pemuda dengan menubuhkan rangkaian kerjasama ke peringkat antarabangsa dengan nama ‘Jaringan Islam Liberal’ atau JIL.

Makin bertambah jelas lagi ‘Islam Liberal’ kawan-kawan yang berada di depan saya ini, bila salah seorang mereka menyebut Syeikh Ali Abdul Raziq sebagai idola mereka.

Katanya, “Abdul Raziq menyimpulkan bahawa sistem khilafah bukanlah sebuah kemestian bagi kaum Muslimin untuk mendirikannya, bahkan ia bukan sama sekali sebagian dari agama Islam.(Ali Abdul Raziq menulis dalam kitabnya ‘Al-Islam wa Ushul Al-Hukm’: Cairo Cetakan pertama 1342/1925). Dengan itu kami tetap bersetuju dengan Perlembagaan Malaysia yang sekular sekarang. Tak perlu ditukar sekularnya..”

Sebenarnya, Sheikh Ali Abdul Raziq hidup sezaman dengan Mustafa Kamal Ataturk, tokoh sekularisme Turki. Kedua tokoh ini memiliki ideologi politik yang hampir sama. Ataturk mengumumkan penghapusan sistem khilafah (1924) dan menyatakan pemisahan urusan agama dari negara (1925), maka Abdul Raziq menerbit buku yang menyokong Ataturk. Syed Rasyid Ridha tokoh gerakan pembaharuan dan murid-muridnya seperti Hassan Al-Banna pendiri gerakan ‘Ikhwan Muslimin’, telah menolak pandangan yang amat berbahaya ini.

Begitu juga PAS di Malaysia. Teringat saya kepada ceramah-ceramah mantan Presiden PAS Allahyarham Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang menyerang habis-habisan faham sekular yang dipanjangkan oleh Abdul Raziq itu, pada tahun-tahun 80an. Ustaz Fadzil pernah bersama-sama Dato’ Seri Anwar menggerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum beliau aktif dalam PAS. ABIM pernah menerbitkan buku penjelasan ‘Islam and Secularism’ oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (ABIM 1978 & ISTAC 1993).

Faham Sekularisme telah menjadi kunci pembuka bagi penganut-penganutnya mengamal banyak lagi faham-faham sesat yang lain atas nama ‘kebebasan berfikir’. Contohnya Pluralisme Agama (menyamakan semua agama), isu Al-Qura’an Edisi Kritis (edit semula), Hermeneutika (merombak atau merubah orientasi tafsir yang sedang digunakan oleh ulama turun-temurun), Feminisme (‘gender equality’, samakan lelaki dengan perempuan, seperti perempuan berkuasa ceraikan suami, jadi imam sembahyang kepada lelaki dan lain-lain), dan macam-macam kesesatan yang dimodenkan sepanjang masa. Adakah ia termasuk Islam Hadhari? … perlu dibincangkan pada kesempatan yang lain!

Sebuah kertaskerja bertajuk ‘Fakta dan Data Liberalisasi Islam di Indonesia’ telah dibentangkan dalam seminar Ancaman Islam Liberal di Kota Bharu Kelantan pada 3 Jun 2006. Pembentangnya, Adian Husaini MA dari Institute For The Study Of Islamic Though And Civilization (INSISTS), Jakarta Indonesia, telah menyenaraikan 16 antara organisasi-organisasi di Indonesia dari 30 organisasi-organisasi yang dibiayai oleh The Asia Foundition antara organisasi-organisasi talibarut US yang beroperasi sejak 1970an lagi hingga kini.

David E. Kaplan (Hearts, Minds and Dollars, www.usnews.com 4-25-2005) menyebutkan, dimana jutaan dollar US telah dipersetujui oleh White House secara rahsia untuk dihamburkan bagi kempen mengubah masyarakat Islam dan agama Islam itu sendiri di dalam sekurang-kurang 24 negara umat Islam seluruh dunia. Donald Rumsfeld, atas alasan membendung pengganas telah mengumumkan pada 16 Oktober 2003…

“AS (Amerika Syarikat) perlu menciptakan lembaga donor untuk mengubah kurikulum pendidikan Islam yang radikal menjadi moden. Lembaga pendidikan Islam biasa lebih cepat menumbuhkan teroris baru, lebih cepat dibandingkan kemampuan AS untuk menangkap dan membunuh mereka.”(Harian Republika 3-12-2005).

Jadi tidak heranlah bila ada di antara kawan anak-anak muda yang di depan saya ini, telah ditawarkan pergi belajar atau berkursus Islam Liberal di Indonesia dengan tanpa mengeluarkan apa-apa biaya satu sen pun! Bahkan dikatakan ada di antara mereka yang sanggup minum arak dan yang sepertinya, sebagai lambang ‘kebebasan’ dari agama tradisi mereka. Mungkin sebab itulah mereka sedih dan kasihan kepada pemimpin-pemimpin mereka yang terpaksa mengikut tradisi tidak mengamalkan ‘kebebasan’ (sebenarnya kebabasan) seperti mereka.

“Adakah pemimpin anda juga dapat apa-apa dana dari luar??” Saya tanya main-main.

“Ssyytt!!” Jari telunjuk salah seorang dari mereka diletakkan ke bibir. “Merbahaya. Jangan sampai kami dianggap musuh baru dalam selimut PKR!!”


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 28-06-2007.

Wednesday, July 04, 2007

Pulau Pinang: Sekuntum Bunga Seroja..


Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI


SEKUNTUM bunga seroja, mekar segar terapung-apung di permukaan air kolam, tasik atau sawah. Disebut juga bunga telipuk, teratai, dan banyak lagi sebutan mengikut tempat masing-masing. Bunga seroja, rupanya menjadi rahsia dalam tulisan saya yang lalu (Lihat TranungKite Jun 07 ‘Pulau Pinang:Balik Pulau Bayan Lepas’, Siasah 6-12-Jun 07 ‘Sana Terpelau, Sini Terlepas’ atau ibnuhasyim.blogspot.com.)


Ada juga yang memberi respon. Antaranya:

[Break this code if you can. Guess what?? I bet 100% some of us in here ada yang tak tahu ‘apa itu bunga seroja?’ segelintir muda-mudi hanya tahu bila sebut bunga seroja, mereka cuma tahu ‘lagu bunga seroja’ yang dinyanyikan semula oleh Mawi, lagu yang ditulis oleh S. Effendi, nyanyian Jamal Abdillah. Apa itu bunga seroja? dan kenapa bunga seroja? 1786 yang membawa kita kepada sejarah one of the super bollock British Captain who like to invade other peoples land and easily pitch their Union Jack flag at 'Pulo Ticosse’ (Pulau Tikus). (komen Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman & Dr M. Hassan – anak Balik Pulau.]


Nyanyian rakyat sebenarnya bukan sahaja hiburan semata-mata, bahkan ianya media massa waktu itu, bertujuan untuk meluahkan perasaan rakyat di kalangan mereka, dan kadang-kadang ada juga tiupan suara perjuangan secara simbolik.


Contohnya, adalagi nyanyian rakyat anak-anak kecil Pulau Pinang… Saya teringat, semasa saya berumur di bawah 10 tahun, semasa bermain-main dengan rakan-rakan sebaya di pasir tepian pantai Teluk Bahang, sambil bernyanyi kecil.. antara lagunya:


Gham gham pisang, pisang masak layu, Jatuh dalam kubang, sambak bapak yu. Susu lemak manis, santan kelapa muda, Adik jangan menangis, mak nak pi kegja.’


Bila dan mengapa lagu-lagu rakyat ini diciptakan?


Bila kita lihat sejarah, gerakan Islam masuk ke Tanah Melayu dikembangkan oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi dan Haji Abbas Taha, berpusatkan di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Di Singapura, diterbitkan majalah Al-Imam (1906), dan di Pulau Pinang diterbitkan majalah Al-Ikhwan (1926), Idaran Zaman (1925) dan Saudara (1928).


Mai kita lihat tulisan dalam majalah Al-Ikhwa bertulisan jawi, Jil 1.Bil 1. September 1926 antaranya dituliskan..

“… wahai sekalian ikhwan kami yang sedang nyenyak dalam tidurnya… yang sedang lena bersedap-sedap dalam ke elokan mimpinya, memadailah… memadailah tidurmu itu kerana telah melampau sempadan mengambil kesenangan… hampir-hampir pula masuk kamu kepada bilangan pengsan atau orang mati yang bernafas. Bangunlah segera … kemudian lihat alam yang baru di keliling… bermula sekalian manusia yang lain daripada bangsa kamu ini telah berubah.. menurut kehendak-kehendak peredaran alam…”


Majalah Saudara 10.7.1930.

“… bahawa anak Sultan Lela Mahkota dan anak Wak Foyotoma… sama saja pihak keMelayuannya dengan putera jati Semenanjung, bahasanya, pakaian, makanannya sama-sama mengharamkan babi, resam, agama dan seumpamanya mengaku bertuankan raja kepada raja-raja di mana saja mereka menumpang, tetapi sebaliknya Mr Chong Cheong Chan tidak sama malah hatinya bulat ke Tongsan selama-lamanya… walaupun moyangnya telah diperanakkan di Melaka pada zaman Sultan Ahmad sebelum zaman Portugis dan Belanda. Begitu juga Mr Panabalan atau Mr Tambayah Manikam, hati dan resamnya atau kulitnya tidak mudah berubah dari resam moyangnya, walaupun diperanakkan dia di kemuncak Gunung Babu sekalipun…”

Dari dua tulisan-tulisan di atas menggambarkan masyarakat Melayu dan Islam waktu itu sedang digerakkan supaya jangan leka dan tidur, bangun menyaingi bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India yang bukan Islam. Majalah Saudara di atas, mempunyai satu pendirian politik mengenai hak-hak kaum bukan Melayu di Tanah Melayu. Mereka yang bukan Melayu, terus menuntut supaya diberikan hak istimewa oleh penjajah. Mereka tentunya bukan beragama Islam, memang boleh menjadi kawan penjajah, sebab kedatangan penjajah ke Asia ini bukan sahaja bertujuan ekonomi tetapi adalah lanjutan Perang Salib di Eropah melawan Islam.


Walaupun dikatakan orang bukan Islam itu sudah menguasai ekonomi di negeri bawah jajahan, namun mereka mahu menuntut kuasa politik pula! Contohnya, seorang ahli majlis mesyuarat Negeri-negeri Selat bernama Lim Chin Yan, telah menyuarakan hak-hak orang Cina di Tanah Melayu dalam suatu perjumpaan Persatuan Cina Hu Yew Seah pada 6.2.1931. Lim mengatakan Negeri-negeri Selat bukan negeri-negeri Melayu. Semasa Francis Light datang ke Pulau Pinang tiada kampung-kampung Melayu. Orang-orang Cinalah yang datang tinggal menetap, bekerja kuat, tidak hantar duit balik ke negeri China hingga dapat membangunkan Pulau Pinang.
Lim meminta supaya Orang Cina Peranakan di Tanah Melayu dijadikan rakyat British dan diberi kemudahan sosial seperti pelajaran.


Reaksi ucapan Lim itu amat memberangsangkan. Intisari ucapannya disiarkan oleh Al-Ikhwan (16.2.1931) dan Saudara (14.2.1931).. Akhbar Straits Echo bersetuju dengan Lim, Malayan Daily Express (10.2.1931) mahu Orang Cina Peranakan buktikan mereka berhak mendapat kerakyatan British. Al-Ikhwan(16-2-31) dan Saudara (28-2-1931) tidak bersetuju kerana boleh mengancam hak-hak orang Melayu.


Dalam masa dan keadaan sosio-politik seperti inilah maka lagu-lagu rakyat seperti di atas dilahirkan, dengan mempunyai maksud yang tersirat di balik yang tersurat.. Contoh tersiratnya…


'Gham(ram) gham(ram) pisang, pisang masak layu’, boleh ditafsirkan sebagai seruan supaya Orang Melayu terus berusaha, dan pilih jalan singkat mendahului orang lain untuk sampai ke matlamat. Untuk percepatkan proses masaknya semayang pisang, hendaklah di ‘ram’ dulu, seperti disimpan dalam tong berisi padi yang habanya mempercepat proses kemasakan tersebut.. ‘masak layu’ ertinya masak tidak mengikut proses tradisional biasa yang agak lambat. Jadi, perlukan proses luar biasa yang cepat waktu itu.


‘Susu lemak manis, santan kelapa muda. Adik jangan menangis, mak nak pi kegja (kerja)’ Membentangkan satu fenomena kehidupan rakyat, di mana ibubapa terpaksa pergi bekerja kukuhkan ekonomi. Mereka tinggalkan anak-anak di rumah, di mana si kakak sentiasa membujuk si adik supaya jangan menangis, walaupun berbekalkan ‘susu lemak manis’ . Sudah tentu bukan susu ibunya, yang ada cuma santan atau susu kelapa muda.. kerana kelapa muda itupun memang tidak banyak bersantan.


Bagaimana pula dengan baris kedua, ‘Jatuh dalam kubang, sambak (sambar) bapak yu’ ??. Kalau orang Melayu tidak kuat berusaha dengan berbagai teknik dan taktik untuk percepatkan kemajuan menandingi bangsa lain, maka ia akan terjatuh ke dalam ‘kubang’ atau lubuk dan akhirnya akan disambar atau ditelan oleh ‘bapak yu’. Sudah tentu ‘bapa yu itu bukan ikan besar yang boleh menelan mangsanya terjatuh ke lubuk. Kerana itu hanya simbolik!


Siapa pula ‘bapak yu’ itu sebenarnya??


Pertama, boleh jadi kuasa penjajah, iaitu Inggeris yang berkuasa waktu itu.



Kedua, bolehjadi bangsa-bangsa saingan orang Melayu, bangsa Cina umpamanya. Selepas merdeka, kita lihat dua buah bekas jajahan Negeri-negeri Selat dipimpin oleh dua ‘yu’. Iaitu Ketua Menteri Singapura pertama Lee Kuan Yew dan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Dr Lim Chong Eu. Sama-sama ‘ yu’. Memang semua Ketua-ketua Menteri negeri-negeri tersebut tidak pernah ada yang berbangsa Melayu. Semuanya berbangsa Cina dari dulu hingga sekarang.


Begitu juga kisah bunga seroja dalam pantun nyanyian rakyat terdahulu seperti yang dikomenkan. Iaitu "Pulau Pinang bandar baharu, Kapten Light menjadi raja. Bagaimana hati tak haru, melihat bunga kembang seroja.” Bagaimana hati boleh terharu dan kesal sewaktu melihat bunga kembang menawan? Apalagi bila yang kembang itu adalah bunga seroja? Bunga yang hidupnya terapung-apung di permukaan air, tanpa tunjang menjejak bumi. Bunga yang akarnya mudah tercabut dan musnah, bila banjir kecil melanda!


Bolehjadi bunga seroja itu adalah simbol bangsa Melayu, yang tidak tetap dan terapung-apung tanpa kuasa di bumi sendiri. Atau juga simbol pembangunan Pulau Pinang yang maju dan indah, tetapi tidak banyak memberi manfaat kepada bangsa Melayu. Seperti kata seorang ulama, “Umat Islam (di Persekutuan Tanah Melayu) tidak akan dihambat melalui muncung senapang, tetapi akan dihimpit tersepit sedikit demi sedikit melalui pembangunan, hingga ke hutan belantara…”


Akhirnya saya sangat-sangat berterima kasih atas komen-komen anda! Wallahu ‘aklam. Sekian.

Catatan santai: Pulau Pinang Siri 2
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com).
04-07-2007

Tuesday, July 03, 2007

Bertemu Gadis Rusia Bernama Olga...


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SAYA lihat seorang gadis berkulit putih agak tinggi lampai bersama kawannya,, sesampainya saya di sebuah restoran yang kebanyakannya dihadiri pengunjung-pengunjung luar negara Itulah Olga, nama seorang gadis Rusia yang belum Islam dipanggil Azizah di kalangan kawan-kawannya. Dia pernah mendapat johan pemidato terbaik bahasa Melayu antarabangsa, yang diadakan di Malaysia baru beberapa bulan lepas, mengalahkan calun dari Malaysia (mendapat tempat ke 2) yang pernah menjadi johan pemidato bahasa Inggeris di luar negara.

Mereka tersenyum menyambut saya yang juga bersama kawan saya. Setelah duduk dan memperkenalkan diri, “Apa perasaan cik, sebelum datang ke sini (dari Rusia) dan selepas sampai ke sini (di Malaysia)?” Kawan saya memulakan perbincangan.
Rusia (Bahasa Rusia:Rossiya) atau Federal Rusia (Bahasa Rusia: Rossiyskaya Federatsiya), adalah sebuah negara yang membentang luas di sebelah timur Eropah dan utara Asia. Dengan wilayah seluas 17,075,400 Km, Rusia adalah negara terbesar di dunia. Wilayahnya lebih kurang dua kali wilayah Republik Rakyat China, Kanada atau Amerika Serikat. Penduduknya menduduki peringkat ketujuh terbanyak di dunia setelah China, India, Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, dan Pakistan.

Negara ini dahulu pernah menjadi bagian terbesar dari Kesatuan Soviet (USSR). Rusia adalah negara waris utama Kesatuan Soviet, yang mewarisi 50% jumlah penduduk, 2/3 luas wilayah, dan lebih kurang 50% aset-aset ekonomi dan persenjataannya. Kini Rusia terus berusaha untuk meraih status sebagai negara terkuat, walaupun statusnya masih jauh jika dibandingkan dengan yang dulu..

“Saya pernah memberitahu hasrat saya untuk datang ke sini, tetapi ibubapa saya melarangnya kerana kata mereka, Malaysia adalah sebuah Negara Islam..” Kata Olga dalam bahasa Malaysia yang fasih.

Dia baru beberapa hari sampai semula di KL. Dia berasal dari Moskow (Moskwa), ibukota Rusia. Dia dan keluarganya pernah berhijrah beberapa tahun bekerja di Siberia dan kembali semula ke Moskow. Jika dilihat dari sudut sejarah, Rusia diawali dengan perpindahan bangsa-bangsa Skandinavia yang dikenal sebagai bangsa Varangia, pimpinan Rurik yang menyeberangi Laut Baltik serta memasuki kota Novgorod (862M).dan memerintah di sana. Ia menguasai Kiev (882M), kota Slavia yang berkembang menjadi pusat perdagangan antara Skandinavia dan Konstantinopel.

Pada tahun 989M Vladimir I meluaskan wilayahnya hingga Kaukasus dan Laut Hitam serta mengambil-alih ajaran Gereja Ortodoks Yunani. Kerajaan Kiev Rusia berakhir setelah serangan Mongol (1237) oleh Batu Khan, cucu Genghis Khan. Selanjutnya bangsa Mongol dikalahkan oleh Dimitri Donskoy (1380M) dengan kemenangan di Kulikovo. Kemudian daerah-daerah yang tercerai-berai itu disatukan kembali oleh Ivan IV; ia menaklukan Kazan (1552), Astrakhan (1516) serta menguasai Siberia.

Pemerintahan dilanjutkan oleh penerusnya sampai kepada Romanov naik tahta dengan pengangkatan Michael Romanov sebagai Tsar (1613). Dinasti Romanov berkuasa selama 304 tahun hingga tahun 1917 dengan Tsar Nikolai II sebagai tsar terakhir. Pada bulan Februari 1917 dibentuk Pemerintahan Sementara di bawah Pangeran Lyvov dan Alexander Kerensky sampai 25 Oktober 1917, di mana pemerintahan tersebut digantikan Revolusi Bolshevik oleh Vladimir Ilyich Lenin.

Pemerintahan dilanjutkan secara diktator oleh Josef Stalin (1922) yang mewujudkan Kesatuan Soviet (Soviet berarti Dewan) dengan bergabungnya negara-negara di sekitar Rusia. Pemerintahan Kesatuan Soviet berakhir pada 25 Desember 1991, di mana Presiden Mikhail Gorbachev mengundurkan diri serta berkibarnya bendera tiga warna Rusia di Kremlin.

“Mengapa pula Negara Islam menjadi halangan untuk anda datang ke sini?” Kami agak terkejut mendengar kata Olga itu..

“Bila disebut Islam, kebanyakan rakyat Rusia menggambarkan ianya suatu bangsa yang ganas, suka membunuh dan sebagainya. Wanita-wanita bertutup hitam, tidak bertamadun bagaikan makhluk penghisap darah yang menyeramkan.. membuatkan rakyat Rusia membenci Islam dan anti Islam… walau mereka belum kenal dan kebanyakannya tak mahu kenal pun!”
Pada hal terdapat juga ramai juga orang-orang Islam bermazhab Sunni di sana. Umpamanya di Republik Adygea, Bashkortostan, Dagestan, Ingushetia, Kabardino-Balkaria, Karachay-Cherkessia, Ossetia-Alania Utara dan Tatarstan. Walaupun agama Kristian paling dominan di Rusia, namun Islam adalah agama kedua terbesar. Agama-agama lainnya termasuk berbagai aliran Protestan, agama Yahudi, Katolik Roma, dan agama Buddha. Agama seseroang umumnya tergantung etnik masing-masing. Suku Rusia kebanyakan beragama Ortodoks sementara orang-orang keturunan kelompok Turki beragama Islam.

“Begitulah hebatnya dakyah musuh-musuh Islam, sehingga di zaman komunikasi canggih pun masih ramai yang ditutupi tempurung kedaerahan!” Tempelak kawan saya.

“Itu jauh, takpe lah! Ini dekatpun masih dapat gambaran salah juga. Contohnya parti Islam se Malaysia (PAS)… hingga perlu tubuh Kelab Penyokong PAS untuk menjelaskan keadaan sebenar PAS kepada yang bukan Islam.” Saya menjelaskan. “Jadi, hal ini bukan masalah PAS saja, bahkan menjadi masalah Islam internasinal!!”

Olga meneruskan ceritanya. “Tetapi, bila mereka (ibubapa Olga) bersama-sama saya datang ke Malaysia, melihat keadaan di sini, saya tak sangka perasaan anti Islam yang begitu kuat melekat itu boleh berubah. Mereka benarkan saya datang ke sini lagi.. bahkan saya dibenarkan berkawan dengan orang Islam. Sungguh sesuatu yang luar biasa!”

“Apa yang anda lihat baik di sini?”

“Banyak. Contohnya kempen budi bahasa, di sana tidak ada. Pada saya amat baik untuk menyelamatkan remaja kami yang di ambang kejatuhan moral.” Jelasnya lagi.

“Apa komen anda pada kami pula??” Saya tanya dia lagi.

“Akhirnya, saya nak tanya saudara sikit lagi.. Pada orang seperti saya, kami masih belum boleh terima di mana orang bukan Islam yang nak berkahwin dengan orang Islam mesti masuk Islam.. Dan saya kenal PAS melalui bacaan dan kenalan saya di sini.. setakat ini kami masih belum boleh terima konsep Negara Islam, yang saya tidak nampak modelnya di zaman sekarang. Adakah orang bukan Islam boleh jadi Presiden PAS? Apakah sikap PAS mengenai ‘hak istimewa Orang Melayu’ di Malaysia??”

“Insya Allah, bila ada kesempatan, kita akan bertemu dan bincang lagi…” Kami sama-sama bersurai kerana hari sudah hampir ke garis tengah malam.


Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 03-07-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails