▼
Wednesday, July 18, 2007
Masjid Merah Berdarah, Samakah Dengan Memali?
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
MASJID Lal atau Masjid Merah di Islamabad Pakistan, disebut begitu kerana bahan binaannya dibuat dari bata-bata merah. Saya pernah berada di sana pada tahun 1984. Waktu itu Pakistan di bawah pemerintahn Presiden Zia ul-Haq. Beliau dianggap cenderung kepada Islam, walaupun merupakan sekutu Amerika Syarikat. Beliau dikatakan ada hubungan dengan Maulana Abdullah, imam masjid tersebut yang bermazhab Sunnah Waljamaah.
Masjid ini dibina pada tahun 1965 mendapat naungan pegawai-pegawai tentera dan kerajaan. Sepanjang kira-kira 40 kewujudannya ia dikenali sebagai pusat ajaran Islam berbentuk radikal dan fundamental. Radikal maksud saya ialah yang mahu perubahan besar secara mengejut, dan fundamental ialah yang berpegang kepada asas asal ajaran agama secara teliti. Di dalamnya terdapat madrasah yang menampung ribuan pelajar lelaki dan wanita.
Abdul Aziz Ghazi dan Abdul Rashid Ghazi, anak-anak kepada Maulana Abdullah imam Masjid Merah yang dibunuh pada tahun-tahun 1990an mengambil-alih teraju kepimpinan ayahnya. Mereka dikatakan berpegang kuat kepada fahaman Sunni Deobandi, merujuk kepada madrasah Deoband India, yang melahirkan ramai ulama-ulama demi kebangkitan Islam sejak belum merdeka lagi. Masjid Merah terus memupuk semangat jihad dan melatih mujahidin bagi perjuangan menentang penjajahan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan dari 1979 hingga 1989. Perjuangan yang disokong oleh negara-negara barat menentang komunis, dan negara-negara dunia Islam.
Tetapi segala-galanya telah berubah setelah berlaku peristiwa 11 September 2001. Kerajaan Pakistan yang sebelumnya menyokong Taliban di Kabul telah mengubah pendirian mengisytiharkan menentang Taliban dan rangkaian Al-Qaeda. Dalam buku ‘In The Line Of Fire A Memoir Pervez Musharraf’ dicatat oleh Pervez Musharraf Presiden Pakistan sekarang, panggilan telefon dari Jeneral Collin Powell Setiusaha Negara Amerika yang memberitahu, “You are with us or again us.”
Musharraf menulis, “Saya menganggapnya sebagai kata dua.”
Menguatkan amaran itu ialah Richard Armitage, Timbalan Ketua Setiausaha Negara, “Bahawa kami mesti memilih samada memihak kepada Amerika atau para pengganas. Bahawasanya jika kami memilih pihak pengganas, maka kami mesti bersedia menghadapi kemungkinan dibom hingga ranap.”
Pada 13 September 2001, Duta Besar Amerika ke Pakistan, Wendy Chamberlain menyerahkan kepada Musharraf 7 tuntutan, antaranya: Pakistan mesti menahan anggota-anggota Al-Qeada di sempadan, mengizinkan pesawat-pesawat Amerika terbang di mana saja dan mendarat untuk segala gerakan tentera, serta membantu Amerika dalam gerakan-gerakan untuk membinasakan Osama bin Laden dan rangkaian Al-Qaeda.
Akibat dari tindakan-tindakan Musharraf selanjutnya, kepimpinan Masjid Merah mula menentang dasar kerajaan mereka, bahkan menghalalkan darah Presiden Pervez Musharraf itu sendiri. Suasana menjadi lebih buruk lagi, apabila berlaku penyiasatan pengeboman 7 Julai 2005 di London, Musharraf yang kian terdesak dan didesak oleh pihak-pihak barat terus menyerang masjid ini. Tetapi tindakannya berjaya dihalang oleh pelajar-pelajar wanita yang bersenjatakan kayu. Maka sejak setahun lalu dikatakan Masjid Merah secara terang-terang memberontak terhadap Islamabad.
Mereka dikatakan cuba buat kerajaan berasingan dengan menubuhkan Mahkamah Syariah sendiri. Pelajar-pelajarnya dikatakan melakukan pelbagai kegiatan mencabar pihak berkuasa seperti penculikan, pembunuhan dan kerosakan harta benda. Maka pada 3 Julai lalu, bermulalah pertempuran antara kedua belah pihak. Esoknya, apabila diisytiharkan pengampunan dikatakan 1,000 pelajar menyerah diri dan Abdul Aziz Ghazi yang cuba melepaskan diri telah ditangkap. Pada 5 Julai, Operasi Senyap dilancarkan, di mana Abdul Rashid Ghazi pula terbunuh bersama-sama ratusan umat Islam.
Apakah peristiwa ini sama dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali pada 19 November 1985? Di mana kerajaan pimpinan Barisan Nasional menggunakan 4,000 pasukan bersenjata menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya di rumahnya di Kampung Memali, Mukim Siong Baling Kedah, yang tidak bersenjata. Seramai 14 ahli dan penyokong PAS yang tidak berdosa gugur syahid, 8 cedera parah dan 161 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan. Wang kebajikan PAS antara RM15,000 ke RM20,000 juga turut dirampas.
Jika diteliti balik, Musharraf bertindak atas desakan masyarakat antarabangsa dipelupori Amerika dengan lebel kempen ‘anti pengganas’ ciptaannya untuk menghapuskan musuh tradisinya iaitu agama Islam. Sedangkan kerajaan BN bertindak atas desakan Persidangan Agung UMNO beberapa kali sebelum berlaku tragedi tersebut, untuk menunjukkan kepada dunia terutamanya barat, di mana Malaysia mampu menundukkan ‘golongan pelampau agama’ di negaranya sendiri (sila rujuk buku ‘Percikan Darah Syuhada’ terbitan Jabatan Penerangan Dan Penyelidikan PAS Pusat), walaupun perkara ini berlaku sebelum 11 September 2001.
Adakah tindakan Musharraf dan BN sama, yakni hendak menunjukkan kekuatan serta kemampuan terhadap sesama Islam demi menjaga hati ‘tuan’nya yang jelas menjadi musuh kemanusiaan dan musuh Allah itu?? Mengapa Musharraf tidak sedar di mana barat menggunakan Pakistan serta mujahidin-mujahidin seperti Taliban menentang musuh mereka Kesatuan Soviet, dan bila Beruang Merah Rusia itu rebah tersungkur mereka kembali melagakan sesama umat Islam yang membantu mereka dulu? Menjadikan kerajaan-kerajaan orang Islam sebagai kuda tunggangan sahaja?
Ada pula penulis sebuah akhbar nasional menyebutkan, di mana peristiwa yang lebih dahsyat seperti ini pernah berlaku dalam sejarah Islam pada awal pemerintahan Khalifah Umayah. Disebutkan pula sebagai perang saudara di mana pemerintahan Khalifah Damsyik pernah menyerang hingga masuk ke dalam tempat ibadat di Masjidil Haram Makkah, yang tentu jauh bezanya dari Masjid Merah atau rumah Ibrahim Mahmud.... seolah-olah hendak membenarkan tindakan ganas kerajaan yang mengaku Islam sekarang.
Kita ingin tahu adakah sama pula pemerintahan awal Khalifah Umayah itu dengan kerajaan Musharraf atau kerajaan BN di Malaysia? Adakah Khalifah Umayah itu bertindak di atas desakan mana-mana kuasa besar waktu itu, seperti Musharraf yang diberi kata dua?? Bayangkan, bagaimana pula pemimpin-pemimpin Malaysia kalau berada seperti kedudukan atas bara seperti Musharraf (belum macam kedudukan Musharraf pun sudah bertindak hampir-hampir macam Musharraf)?
Belum lagi kalau dilihat dari sudut dasar pemerintahan atau perlembagaan negara, di mana dasar Khalifah Umayah mewarisi dasar pemerintahan Islam sepenuhnya Khulafa Ar-Rasyidin, sedangkan dasar sekular kerajaan Malaysia dan yang sama dengannya mewarisi undang-undang penjajah laknatullah! Islam menjadi agama ‘resmi’ atau ‘rasmi’ sebagai tempelan kepada induk perlembagaan tidak Islamik, yang membenarkan perjudian, persundalan, kilang arak dan macam-macam maksiat lagi. Samakah??
Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
18-07-2007.