Wednesday, August 15, 2007

Imbauan 1: Harakah 20 Tahun..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SAYA terima masej jemputan ke majlis makan malam ‘20 tahun Harakah’ di Hotel Grand Season KL pada 19 Ogos ini. Saya sungguh gembira, kerana rupanya masih ada orang-orang di Harakah (akhbar PAS) yang mengingati saya, walaupun saya tidak pernah makan gaji hanya berjiran dan bantu membantu bersama Harakah peringkat awalan, atau peringkat baru nak naik. Pernah sekali dulu, waktu Zukifli Yahaya jadi Presiden persatuan kebajikan Harakah, beliau menjemput saya merasmikan mesyuarat agung tahunannya. Lepas itu saya tak pernah dijemput apa-apa lagi.

Tapi maaf kebetulan pada tarikh 19 Ogos itu saya berada di Malaysia Timur, tidak dapat hadir. Walaupun begitu, jemputan ini menghimbau kembali kenangan lama mengusik jiwa bersama harakah. Teringat saya, waktu Harakah mula-mula ditubuhkan. Harakah, tulisan tajuknya berwarna hijau sempat keluar 3 keluaran, kononnya tanpa kelulusan KDN.. keluaran terakhir dirampas penyebarannya di Baling Kedah sekitar tahun-tahun awal 80an, walaupun akhbar tersebut cuma untuk ahli sahaja, hanya disebar dari tangan ke tangan, tidak dijual di kedai-kedai.

Penjual-penjual dan pengedarnya adalah dari ahli atau mujahidin-mujahidin PAS yang sanggup menerima sebarang resiko, tidak cari duit semata-mata. Waktu itu keluarannya (kalau tak salah) di bawah Agensi Media Islam (AMI) bersama Majalah Al-Muslimah (atas nama Syed Muhammad Syed Hassan), yang dikendalikan oleh pimpinan Penerangan PAS (Mohd Nakhaie Hj Ahmad). Malangnya AMI di bawah pengurusan Wan Muhammad bin Wan Saladin (baru pulang dari luar negara terus berkhidmat dengan AMI/PAS) tidak dapat bertahan lama. Tingallah kedai itu kosong di bawah pejabat PAS tingkat 1,2 & 3 waktu itu.

Bangunan itu sebenarnya di miliki penuh oleh Syarikat Muslimah, yang ditubuhkan oleh gabungan isteri-isteri pemimpin-pemimpin PAS sebelum dan waktu itu, supaya ada sebuah pejabat PAS di Wilayah Persekutuan yang bebas milik orang PAS (puluhan tahun selepasnya Syarikat Muslimah dijual kepada Harakah termasuk bangunannya sekali). Pengurusnya syarikat tersebut adalah Ustazah Hayati (Allahyarham), Ketua Muslimat Wilayah, isteri kepada Ustaz Uthman Hamzah yang waktu itu menjadi pegawai pejabat agung PAS.

Saya, yang pernah berkhidmat di beberapa jabatan dalam kerajaan, telah melepaskan jawatan dan menumpukan sepenuh masa dalam penyebaran media Islam termasuk kaset-kaset dan buku-buku PAS, yang amat ketandusan waktu itu. Tidak ramai pula penerbit-penerbit bersendirian yang berani mencetak dan menyebar bahan-bahan media PAS. Saya mengeluarkan kaset-kaset berjenama ‘Ad-Dakwah’ terbitan Gedung Gua KL, mulanya beroperasi di Gombak, Kampung Baru KL dan akhirnya pindah di sebuah kawasan perumahan di Keramat Ulu Klang. Di Jalan Pahang dinamakan GG Edar.

Saya pernah berunding dengan Ustaz Mohd Nakha’ie (Ketua Penerangan PAS) untuk memasukkan perusahaan saya di bawah Jabatan Penerangan PAS waktu itu, tetapi tidak jadi kerana Akta Kaset KDN boleh membabitkan PAS, yang dirasakan tidak sesuai waktu itu. Akhirnya Mohd Nakha’ie dengan AMInya berjalan terus, tetapi akhirnya menemui jalan buntu. AMI terpaksa keluar dari menyewa kedai di bawah pejabat PAS itu kerana tak mampu bayar sewa.

Pada suatu hari, Ustazah Hayati memberitahu saya bahawa Syarikat Muslimah berada di dalam tenat tak mampu bertahan dan kedai bawahnya pun masih kosong tiada penyewa. Maka saya pun menyewanya, hanya kerana hendak menolong PAS walaupun tidak duduk di situ hampir setengah tahun. Terngiang-ngiang di telinga saya kata-katanya, “Hang bayarlah ikut harga semasa dan duduklah berapa lama hang nak duduk, saya takkan minta hang keluar, kecuali kalau hang nak keluar sendiri…” Perjanjian tanpa tulis dan surat menyurat. Maka bermulalah saya bertapak di bawah pejabat agung PAS Jalan Sarikei off Jalang Pahang KL.

Jabatan Penerangan PAS di bawah Mohd Nakha’ie, setelah tidak dapat menerbitkan harakah sudah beralih kepada membuat buku kecil mengulaskan isu semasa, tiap minggu. Antara judulnya yang saya ingat ialah ‘Percikan Darah Syuhada’, ‘Sebat’, ‘Afganistan’, kira-kira puluhannya jumlahnya. Isu surat khabar harakah makin menjadi besar dan bangkit di parlimen, di mana akhirnya telah diberi kelulusan untuk 2 keluaran se minggu. Maka bermulalah akhbar ‘Harakah’ ke haribaan pembaca. Bermula dengan tidak cukup duit.

Pekerja-pekerja dan pengedarnya lebih kepada kerja-kerja sukarela dan tidak penting untung duit sangat. Lahirlah mujahid-mujahid PAS saperti seperti Ishak Surin (Sekarang YDP Batu), Subky Latif (tak payah perkenalkan lagi), Yusuf Jalil, Rahim Kassim, Bakar Haq (saya tak ingat nama sebenarnya), Wan Azman, Ahmad Lutfi, Husam Musa (sekarang Dato’ Naib Presiden), Zin Mahmud (keluar dari Utusan masuk Harakah dan sekarang masuk Utusan semula, naik pangkat pun), Md Noor Baling, Luqman, Muhamad Anang (Allahyarham), Mohd Yusof Sulaiman (Allahyarham), Hj Najib Kedah dan ramai lagi. Maaf, saya yakin banyak lagi nama-nama yang tertinggal, tak ingat…

Nama yang paling saya ingat ialah Cik gu Ishak Surin. Ini kerana beliau adalah seorang pekerja gigih, bila tak cukup wang untuk cetak Harakah dia cari saya. Saya pernah beri pinjam padanya (untuk cetak Harakah) hingga ribuan RM. Waktu itu sangat besarlah nilainya, bagi kami yang tiada duit ini. Pernah pencetak takut nak cetak harakah kerana ugutan pihak-pihak tertentu, saya terpaksa sembunyi-sembunyi cetak di Pulau Pinang. Waktu itu Harakah belum ada kenderaan sendiri lagi, van dan kereta syarikat sayalah (GG Edar) bahkan kadang-kadang dengan pekerja-pekerja sekali terpaksa digunakan. Hatta untuk menghantar pemimpim-pemimpin berceramah sekalipun.

Pernah satu masa beliau mengarahkan saya pergi ke Singapura bersama Rahim Kassim dengan kereta saya sendiri demi kerja-kerja PAS dan Harakah. Saya juga teringat kepada Saudara Yusuf Jalil dan Rahim Kassim, mereka sering bekerja tidak tidur malam kerana menyiapkan mengikut ‘dateline’ yang ditentukan. Saudara Yusuf Jalil memang special fasal memilih tajuk berita atau buku. Kadang-kadang saya merujuk kepadanya dalam memilih judul buku terbitan GG Edar. Lepas itu, barulah masuk kumpulan pekerja dan pentadbir baru ke dalam Harakah.

Oleh itu saya sangat berbesar hati atas jemputan menyambut 20 tahun Harakah. Jika ada kesempatan, saya akan sambung imbauan ini lagi… Isya Allah!

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 15-08-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails