Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya: Jangan Lupa Cat Rumah Baru!


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


SAYA terima kad ucapan Hari Raya di tahun-tahun kebelakangan ini makin sedikit. Tahun ini baru dua keping kad saya terima. Mungkin zaman berhari raya dengan kad akan berakhir, disebabkan teknologi maklumat makin canggih. Boleh pakai e-mail atau apa-apa mail lagi yang seolah-olah tidak perlu duit; walau banyak mana dan ke mana dihantar sekali pun, berbanding kad yang dalam Malaysia saja dah kena upah pos 30 sen sekeping. Belum kadnya lagi, apalagi kalau pos keluar negara. Begitu juga dengan SMS melalui telefon bimbit, fax dan lain-lain, lebih mudah dan menjimatkan.

Istimewanya, bila diteliti salah satu dari kad-kad yang saya terima..

Muka depannya, tertulis ‘SALAM AIDILFITRI 1428 Hijrah’ berlatar belakang warna hijau tua. Terdapat lakar gambar rumah berbumbung warna orange, tetapi bumbung bahagian depannya berwarna biru muda lambang warna Parti Keadilan Rakyat. Tingkap-tingkap dan pintunya berwarna coklat, tapi di atas pintu depan rumah itu ada lambang bulan penuh sedang mengambang. Itulah lambang PAS.

Seluruh dinding rumah itu berwarna hijau, kecuali di sebelah kanan pintu bahagian atas masih tinggal sedikit lagi warna biru tua Barisan Nasional (BN) yang masih belum habis ditutupi dengan cat hijau. Terdapat gambar seseorang sedang mengecat untuk menghabiskan sama sekali warna biru BN itu. Di bawahnya tertulis perkataan ‘CAT RUMAH BARU Syawal ini’.

Muka belakangnya juga berwarna hijau tua, ditengah-tengahnya ada kotak kecil, di dalamnya terdapat lambang PAS yang dibawahnya tertulis ‘UNTUK SEMUA’.

Ertinya, mulai Syawal ini rakyat Malaysia diseru supaya berusaha tukarkan warna rumah atau warna kerajaan mereka dengan PAS, kerana PAS bukan parti suatu bangsa, tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Ingat, tukar cat saja, bukan tukar rumah!

Saya selak ke muka dalam kad itu pula..

Muka 2, tertulis ‘SALAM PERJUANGAN’. Di bawahnya terdapat 2 gambar pemimpin PAS yang sedang tersenyum, iaitu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku MURSYIDUL AM dan YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden berserta tanda tangan mereka. Tertulis perkataan di bawahnya “Berilah Islam Satu Peluang”. Seterusnya tertera AMAN- ADIL-SEJAHTERA-BERAKHLAK.

Di bawahnya ada lambang PAS dengan tanda X (pangkah) dan akhirnya ‘dari kami Parti Islam SeMalaysia (PAS)’.

Bermakna, 2 Tok Guru ini berharap sangat supaya rakyat Malaysia yang menyambut Hari Raya tahun ini memberi peluang kepada Islam untuk melaksanakan slogan ‘aman,adil, sejahtera & berakhlak’ dengan mengundi PAS pada pilihan raya umum yang akan datang.

Akhirnya di muka 3, barulah tertera maksud asal ucapan iaitu ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.’ Dengan tanda logo di bawah sebelah kanan, PAS untuk semua. Kalau PAS untuk semua, bolehkah akan datang PAS keluarkan pula kad Krismas, Tahun Baru Cina dan kad Depavali?

Akhirnya.. Beginilah juga mesej kad ucapan Selamat Hari Raya saya kepada anda semua yang membaca Catatan Santai saya. Juga ucapan Selamat Hari Raya kepada Tranungkite Net, yang tidak jemu-jemu menyiarkan tulisan saya. Cuma kad saya ini berbentuk huraian dan penceritaan, bukan benar-benar kad. Saya juga nak gunakan kecanggihan teknologi maklumat untuk penjimatan tenaga dan wang! Ya, tulisan inilah kad saya…

Kalau ada jarum patah, jangan simpan dalam peti,
Kalau ada silap salah, jangan simpan dalam hati.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 11-10-07

Imbauan 7: Terkenang-kenang Mohd Anang.


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


PAGI tadi sebelum menanti waktu sahur di Restoren Taqwa cawangan Taman Melewar, pelanggan-pelanggannya penuh meja di dalam dan luar kedai.. Ada yang menegur saya, menjemput duduk dan mengajak minum. Antara puluhan orang yang duduk di suatu kelompok meja luar kedai itu terdapat YB Salahuddin Ayub, juga Ketua Pemuda PAS wakil rakyat parlimen Kubang Kerian Kelantan, orang Johor kini berada di Selangor.

“Saya lihat anta, saya teringat kepada satu lagi Mohd iaitu Allahyarham Mohd Anang…” kata YB Salahuddin kepada saya.

Saya kenal Salahuddin sudah lama.. Sejak dalam pilihanraya kecil Tambatan di Johor, beliau masih belum jadi Ketua Pemuda lagi. Waktu itu saya menjadi pengarang majalah UMMAH yang memilih gambar Tengku Razaleith menghiasi kulit majalah. Majalah yang diedarkan menjelang pilihanraya tersebut.

“Dua Mohd yang orang kurang tahu ayah mereka. Satu anta, Mohd Hasyim dan lagi satu Mohd Anang… kerana orang menyebut nama dan ayah mereka serentak.” Jawab Tarmizi Mohd Jam, bekas pengarang Harakah yang kebetulan ada di situ. “Sebenarnya nama ayah mereka ialah Hasyim dan Anang. Jadi Mohamad bin Hasyim dan Mohammad bin Anang.”

Antara sahabat yang agak lama tak jumpa ada di situ, ialah Bakar Hak (Abu Bakar Rashid yang laman webnya ‘Penarik Beca’) antara orang kuat yang membantu Harakah sejak zaman pentadbiran Mohd Nakha’ie dulu, Wan Johari juga pekerja Harakah dulunya, laman webnya ‘Ahli Parlimen PAS’ dan ‘Jiwo Kelate’, Md Zin bekas penjual gigih Harakah di Taman Melewar, Amin yang isterinya bekerja dengan pejabat PAS sejak dulu, ada pekerja Harakah dan kawan-kawan lain yang saya tak ingat nama mereka.

Teguran YB Salahuddin, mengenangkan saya kepada Allahyarham Mohd Anang, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan jalanraya. Beliau selalu ulang-alik Johor-KL termasuk kerana tugas parti. Beliau adalah satu-satunya orang yang bersimpati dengan saya, menderma sebanyak RM500 sewaktu saya disaman dan diseret ke mahkamah oleh FINAS, kerana menjual dan menyebarkan video ceramah-ceramah politik PAS. (lihat Catatan Santai Ibnu Hasyim ‘Imbauan 3: Orang Harakah Tolong Saya’).

Waktu itu beliau antara pembuat dan penyalin video yang sentiasa diburu polis.. Tidak semua peniaga-peniaga sanggup menanggung risiko sepertinya. Beliau termasuk antara orang yang berani menyebarnya demi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Begitu juga semasa hujung tahun 1987 (kalau tak salah, saya ingat waktu itu saya baru pulang dari Mekah kira-kira 6 bulan berada di sana), ramai pemimpin-pemimpin PAS ditahan di bawah ISA.

Mereka, termasuk Mohd Sabu (KL), Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob (Kelantan), Suhaimi Said (Pahang), Ir Khalid Samad (KL), Kamaruzaman (Kelantan- dikatakan antara pemimpin kecil PAS yang dikatakan terlampau laju akhirnya terkeluar dari PAS. Lambang PAS dimarkasnya ditambah dengan parang bersilang di bawah bulan,), Tuanguru Hj Md Arif (Perak), Mahfuz Omar (Kedah) dan mungkin ada lagi tapi saya tak ingat.

Cikgu Sahak sebagai ketua di Harakah waktu itu mengarahkan saya bersama dua pekerja saya Elias Md Lazim dan L Man Kadir Shamsi (bekas pengarah & pelakon), serta Mohd Anang, mengelilingi lebih dari separuh Malaysia Barat bagi mengutip tandatangan isteri-isteri mangsa ISA, dengan kereta beliau. Dalam tugas itu di Kelantan kami hadapi masalah, sehingga Tok Guru Nik Aziz turun tangan melalui Wan Rahim (sekarang Dato’) dan Ustaz Halim (sekarang Dato’) yang membantu kami.

Akhirnya isteri-isteri mangsa ISA berjaya berhimpun dan membuat tunjuk perasaan membantah penahanan ISA suami-suami mereka di depan rumah Perdana Menteri di Seri Perdana, Kuala Lumpur. Allahyarham Mohd Anang juga pernah dihantar oleh Harakah pergi ke Peshawar dan Afghanistan membuat liputan perjuangan mujahidin Afghanistan melawan Tentera Beruang Merah Rusia waktu itu.

Beliau pergi kira-kira 2 tahun selepas Osama Laden berada di sana. Suatu perjuangan yang sungguh mencabar. Bayangkan bagaimana hendak ke Afghanistan sedangkan pintu masuk ke negara tersebut telah ditutup. Tidak melalui jalan biasa yang kadang-kadang perlu berjalan kaki puluhan batu sehari. Saya rasa begitu, kerana saya juga pernah ke sana beberapa tahun sebelum itu. Saya pergi sebelum kedatangan Osama Laden lagi. Pergi bersendirian sebelum wujudnya Harakah lagi.

Kata YB Salahuddin selanjutnya mengenai Mohd Anang, “Saya teringat selepas beberapa jam bermesyuarat dengan Allahyarham, tiba-tiba saya mendapat telefon dari isterinya sambil menangis memberitakan tentang pemergiannya. Pemergian yang tidak disangka-sangka dalam suatu kemalangan jalanraya… Begitulah mudah perginya seorang mujahid!”

Akhirnya..

“Siapa yang nak bayar ni?” Kata Wan Johari sambil membetulkan gelas-gelas di meja, setelah selesai berbincang dan masing-masing hendak beredar. Mata masing-masing tertumpu kepada YB Salahuddin yang disebut-sebut berjiwa rakyat itu, sudah tentu dia juga seorang yang pemurah… boleh bayar. No problem.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL.
10-10-2007.

Sunday, October 07, 2007

Peluang Berniaga Di China..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“SUDAH 3 siri saya baca kisah mula berniaga dari depan Masjid Negara hingga ke China, saya masih belum nampak peluang-peluang berniaga di sana..” Kata seseorang kepada Syukri melalui telefon dan Syukri memberitahu saya. Boleh encik terangkan lebih lanjut? Dia tanya Syukri lagi.

“Saya pun susah nak jawab pertanyaan itu!” Kata saya pada Syukri. “Apa barangan China yang encik bawa balik ke Malaysia, untuk diniagakan?? Apa pengalaman encik Syukri menyebabkan encik pilih barangan tersebut.. Itulah yang sepatutnya encik terangkan, kalau ianya tidak menjadi rahsia atau strategi perniagaan!”

“Oo. Biar saya terangkan sekarang, supaya pembaca yang bertanya itu tahu..” Kata Syukri. “Sebelum pulang, saya minta kawan saya membawa saya ke tempat membeli kasut dan seliper di Guangzhou. Satu lorong terdapat kedai-kedai dan bangunan tinggi yang dipenuhi jutaan kasut dan seliper. Tiada jual benda lain di situ... Kerana terlampau banyak jenis, saya tak sempat memilih dan membandingkan harga. Dengar pula, ada tempat lain yang lebih murah.. di Yiwu, kira-kira 2 jam perjalanan dengan kereta dari situ pula.

Akhirnya saya tak jadi beli barang niaga tersebut, memandangkan kesuntukan masa dan wang yang tinggal beberapa ribu sahaja. Apalagi, bila penghantarannya memakan masa kira-kira sebulan. Saya fikir lebih baik saya cari barang yang mudah dibawa balik terus dengan penerbangan, dan boleh dijual sebelum menjelang Hari Raya Puasa ini. Kalau langganan laris boleh datang beli lagi sebelum Raya.

Saya masuk pula ke kawasan yang menjual handphone. Hampir ribuan jenis handphone ada. Dari yang berjenama terkenal seperti Nokia, Motorola hingga yang tiada jenama langsung, termasuk yang original dan tiruan.. macam-macam ada. Maka saya beli handphone dan MP4 secukup modal saya, untuk dijual di Malaysia.”

“Tak salah ke??” Saya tanya.

“Tak. Asal bayar cukai.”

“Bagaimana jualan barangan tersebut di Malaysia sekarang?”

“Bagus! Handphone sudah habis, tinggal MP4 saya. Siapa yang nak beli atau jadi ajen jualan untuk akan datang, sila hubungi saya.” Jelasnya dengan bersemangat.

Terfikir-fikir saya tentang peluang berniaga.. Teringat saya puluhan tahun lepas, sebelum China; waktu itu Thailand menjadi tumpuan beli barang murah seperti baju dan lain-lain. Saya pernah berkunjung ke Bangkok menemui kawan saya orang Sudan yang berniaga pakaian dan memasarnya di Dubai. Sebelumnya; dia sentiasa memikirkan apakah bentuk pakaian kanak-kanak yang diminati oleh orang-orang Afrika. Dia buka pejabat di Bangkok dan mengupah penjahit-penjahit di Bangkok membuat pakaian menurut citarasa yang dia kehendaki. Akhirnya dia berjaya memasarnya berkontena-kontena ke Dubai.

Hujung tahun 90an lepas sewaktu saya berada di Phnom Penh, saya bertemu seorang peniaga (orang Melayu Cham) yang sentiasa berulang-alik Malaysia-Kemboja. Dia mengupah kedai-kedai jahit di Phnom Penh membuat baju Melayu dengan harga RM3 sahaja sehelai. Modal kain untuk sehelai baju itu kira-kira RM5 (satu meter kain yang lebar asal China) di bandar tersebut. Upah bawa ke Malaysia lebih kurang RM0.5. Bererti modalnya RM8.50 sehelai, boleh dijual borong RM15 di Malaysia, sekurang-kurangnya.

Itulah perniagaan yang menjadi punca pendapatan hariannya. Apalagi kalau ditempah dengan jumlah banyak dari kilang-kilang terus di negeri China, tentu lebih murah lagi. Dengar khabarnya, dalam pilihan raya umum lepas ada poster-poster BN yang dicetak di negeri China. Begitu juga pakaian-pakaian sekolah negara ini yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat tertentu, dibuat di Negara China.

Seorang lagi kawan menemui saya setahun dua lepas, berhasrat mencari peluang berniaga, dan dia pilih melawat negeri China. Baru-baru ini dia jumpa saya, dan sudah berjaya mengimport pakaian sukan buatan China di Malaysia. Semasa persidangan UMNO di PWTC baru lalu, dia memperkenal pakaian ‘jeket korporat’ buatan China di ruangniaga bangunan tersebut. Bahkan dia menubuhkan sebuah syarikat miliknya di Eropah dan memasarnya ke seluruh dunia. Kini 70% pasarannya sekarang, adalah di luar negara.

“Inilah tok guru saya dalam bisnes..” Kataguraunya, memperkenalkan saya kepada rakannya.

“Kenapa?” Saya tanya dia macam terperanjat.

“Abang ingat tak, abang yang memotivasi saya untuk cari peluang niaga di Negara China? Saya masih ingat abang menceritakan kisah seorang petani Cina di Sarawak yang banyak menghasilkan tanaman pisang memenuhi pasaran, hingga harganya jatuh...” Jelasnya.

“Bila dia sebut nak pasarkan pisang ke China, kawan-kawannya tertawa. Tak mungkin! Sesuatu yang lucu bagi mereka. Hal itu seolah-olah mencabarnya membuat dia berfikir bersungguh-sungguh. Akhirnya dia berjaya membina rangkaian penjual goreng pisang di bandar-bandar di China, menyebabkan harga pisangnya berkali-kali ganda untungnya dari dahulu!” Jelasnya lagi.

“Berniaga goreng pisang boleh jadi kaya, bahkan akan jadi jutawan!” Sambut kawannya pula, membuat yang lain-lainnya pun sama-sama tertawa.

Itu sebabnya, Nabi SAW pernah menyebutkan 90% rezeki adalah dalam perniagaan. Oleh itu mulakan dengan cari peluang berniaga!!

Inilah antara jawapan kepada seseorang yang bertanya Syukri tadi.
Perhatian: Penulis telah menerima beberapa e-mail dari pembaca-pembaca, ramai yang tanya cara-cara dan peluang berniaga di China, ekoran dari tulisan lepas ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..’, ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Guagzhou’ & ‘Antara Masjid Negara KL & Masjid Huai Sheng China..’ Lihat Tranungkite.net atau blog penulis ini sendiri. Untuk mudahnya anda terus menghubungi: Sdr Syukri Tel: 019 6190145 atau datang ke Gerai Niaga Halaman Masjid Negara pada tiap hari Jumaat sebelum atau selepas sembahyang Jumaat. O ya. maaf kalau penulis tak sempat jawab e-mail anda!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 07-10-07

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails