Thursday, November 01, 2007

Espranto: Bahasa Penghalang Perkauman & Penyatu Manusia Se Dunia?


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


“SEMASA saya berada di London baru-baru ini, di sebuah hostel saya bertemu dengan dua lelaki Mexico. Tiba-tiba seorang Spanish datang. Lelaki Mexico itu membantu Spanish tersebut, tolong buka hostel. Mereka menggunakan bahasa Sepanyol bahasa lelaki itu, bahasa kebanyakan bangsa penjajah Eropah yang pernah menjajah Amerika Selatan termasuk Mexico, satu masa dulu.” Seorang anak muda Malaysia bercerita.

“Lelaki Mexico itu berbisik kepada saya, katanya, ‘Lihat! Si Spanish itu menjadi ego dan sombong bila kami menggunakan bahasanya..” Sambung anak muda Malaysia itu lagi. “Jadi, tidak semua bahasa menjadi penyatu manusia, bahkan kebanyakan bahasa menjadi punca ego dan perkauman manusia. Bahasa Arab umpamanya, dimusuhi oleh bangsa-bangsa Eropah yang bukan Islam. Bahkan bahasa Inggeris sendiri dimusuhi oleh bangsa Perancis, walaupun sama-sama Eropah. Bahkan peniaga-peniaga di Perancis lebih selesa menggunakan bahasa Melayu atau bahasa lain selain bahasa Inggeris. Begitu juga antara bahasa-bahasa seperti Jepun, China dan lain-lain yang berbangga dengan ego bahasa dan bangsa masing-masing.”

“Betul tu. Malaysia dan Indonesia pun pernah berusaha menyatukan bahasa Melayu manjadi satu bahasa (Malindo) di dua negara-negara ini, tetapi gagal.. walaupun sama-sama dari kepulauan Melayu.” Jawab saya.

“Itu sebabnya saya jumpa abang malam ni, nak tanya pandangan abang mengenai pembelajaran Bahasa Esperanto, iaitu bahasa buatan antarabangsa bukan milik mana-mana bangsa, yang dikatakan ditutur dengan meluas di seluruh dunia.” Jelas anak muda itu lagi, yang setahu saya beliau sudah menguasai beberapa bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, India, China, Jerman dan terakhir bahasa Rusia.

‘Espranto’ berasal daripada perkataan Doktoro Esperanto, nama samaran Dr. Ludovic Lazarus Zamenhof. Zamenhof mengguna bahasa tersebut ketika menerbitkan ‘Unua Libro’ pertama kali pada tahun 1887. Matlamatnya ialah untuk mewujudkan sebuah bahasa yang mudah dan fleksibel sebagai bahasa kedua sejagat untuk menggalakkan keamanan dan persefahaman antarabangsa. (Sila lihat ↑http://www.ethnologue.com/show_language.asp?code=epo )

“Apakah benar bahasa itu dicipta agar mudah dipelajari, boleh jadi penyatu manusia dan elakkan perkauaman?”

“Ya. Saya sendiri baru mula belajar bahasa Espranto ini melalui internet (Free Esperanto Course – Lesson One). Saya lihat grammarnya cukup mudah berbanding bahasa-bahasa lain yang telah saya pelajari. Boleh jadi usaha ini selaras atau tidak bertentangan dengan agama Islam (seperti firman Allah SWT Hujurat ayat 13; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’), dimana bahasa ini dicipta hanya sebagai bahasa penyatu atau bahasa kedua bagi sesuatu kaum, bangsa, atau kumpulan agama, selepas bahasa utama mereka. Bahasa yang mampu membantu manusia ‘supaya kenal mengenal’ dan hindari permusuhan kaum.” Jelas anak muda itu lagi.

Menurut sejarah, Esperanto dikembangkan oleh Dr tersebut sejak akhir dekad 1870an dan awal 1880an lagi. Bilangan penuturnya bertumbuh dengan begitu cepat. Mula-mula berkembang di Empayar Rusia Eropah Timur, dan kemudiannya di Barat Eropah, Amerika, China, dan Jepun. Pada tahun-tahun awal, penutur-penutur bahasa Esperanto berhubungan melalui surat-menyurat dan terbitan berkala, tetapi pada tahun 1905 Kongres Dunia pertama untuk penutur-penutur bahasa Esperanto diadakan di Boulogne-sur-Mer, Perancis.

Sejak itu, kongres-kongres dunia telah diadakan di 5 benua setiap tahun kecuali semasa kedua-dua perang dunia, dan telah dihadiri oleh sehingga 6,000 orang (biasanya 2,000-3,000). Bahasa Esperanto tidak mempunyai taraf rasmi di sebarang negara, tetapi merupakan satu mata pelajaran pilihan dalam kurikulum bagi beberapa sistem pendidikan negara. Pada awal abad ke 20, suatu rancangan untuk menubuhkan Moresnet sebagai negeri Esperanto pertama, dan Pulau Rose, sebuah pulau buatan (berhayat pendek) menggunakan bahasa Esperanto sebagai bahasa rasminya pada tahun 1968.

Di negara China, bahasa Esperanto telah dicadangkan sebagai gantian untuk bahasa Cina selepas Revolusi Xinhai pada tahun 1911 sebagai cara yang dramatik untuk membawa negara ke abad 20. Bagaimanapun, dasar ini tidak dapat dipertahankan. Pada musim panas 1924, Liga Geganti Radio Amerika mempergunakan bahasa Esperanto sebagai bahasa perantaraan antarabangsa dengan rasminya, dan berharap bahasa itu akan digunakan oleh amatur-amatur radio dalam komunikasi antarabangsa (tetapi penggunaan bahasa itu sebenarnya untuk komunikasi radio tidak banyak).

Bahasa Esperanto merupakan sebuah bahasa kerja untuk beberapa ‘pertubuhan bukan untung’ antarabangsa seperti Sennacieca Asocio Tutmonda. Sedangkan kebanyakan pertubuhan lain merupakan pertubuhan bahasa Esperanto khas, antara yang terbesarnya ialah Persatuan Dunia Esperanto, mempunyai perhubungan perundingan dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta UNESCO. Bilangan penutur bahasa Esperanto di Eropah dan Asia Timur adalah lebih banyak berbanding di benua Amerika, Afrika, dan Oceania. Lebih banyak di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar.

Bahasa Esperanto kini tersebar luas terutama di negara-negara Eropah utara dan timur, China, Korea, Jepun, dan Iran di Asia. Di Brazil, Argentina, dan Mexico di benua Amerika, juga di Togo serta Madagascar di Afrika.

“Bagaimana pula perkembangan bahasa ini ke atas agama??” Tanya saya.

“Dikatakan agama Oomoto menggalakkan penggunaan bahasa Esperanto di kalangan pengikutnya. Agama Bahai juga menggalakkan penggunaan bahasa itu sebagai suatu bahasa perantaraan antarabangsa tambahan... Iran dikatakan telah lama membenarkan rakyatnya mempelajari bahasa ini. Lebih-lebih, sewaktu dibawah pemimpin revolusinya Ayatullah Khomeini yang mahu menggantikan kegunaan bahasa Inggeris dengan bahasa Espranto. Tetapi selepas tahun 1981 suasana berubah di mana bahasa Esprando tidak digalakkan lagi di Iran.” Jawab anak muda itu. “Apa pandangan abang dalam hal pembelajaran bahasa ini??”

“Kalau atas tujuan menyampaikan Islam melalui bahasa ini, bermakna anda boleh berdakwah kepada 100,000 hingga 2 juta penuturnya sekarang. Itulah kebaikannya. Tapi kita mesti kaji mengapa bahasa ini kurang dapat sambutan dari negara-negara umat Islam, atau kurang diperbahaskan oleh ulama-ulama Islam. Juga kurang dapat sambutan dari agama-agama besar dunia seperti Kristian dan lain-lain.

Adolf Hitler menulis dalam ‘Mein Kampf’ bahawa beliau memperlihatkan sebuah bahasa sejagat sebagai suatu alat yang mungkin untuk mendominasikan dunia Yahudi dan menyebut bahasa Esperanto sebagai contoh untuk bahasa-bahasa itu. Katanya..‘Asalkan orang Yahudi belum menjadi tuan orang-orang lain, dia mesti bertutur dalam bahasa-bahasa mereka, baik dia suka atau tidak, tetapi secepat mereka menjadi hamba-hambanya, mereka semua dikehendaki mempelajari satu bahasa sejagat (bahasa Esperanto, umpamanya!), supaya dengan cara tambahan ini, orang Yahudi lebih mudah mendominasi mereka!’ Itulah pandangan Adolf Hitler.” Jawapan saya, yang baru muqaddimah...


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) Gombak 01-10-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails