Friday, November 16, 2007
Kisah Wak Dukun Lintah..
Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
KERETA kami, merempuh hujan lebat disertai kilat sabung menyabung॥ petang itu। Beberapa pokok tumbang merintangi jalan dan ranting-ranting yang patah terpokah. Kami melalui Jalan Hulu Langat arah ke Pansun, untuk mencari tempat ternak lintah. Beberapa syarikat ternakan lintah kami temui papan tandanya di tepi jalan, terpaksa masuk ke dalam hutan dan kampong. Tetapi kerana cuaca terlalu tidak sesuai dan tidak mengizinkan, kami tak jadi masuk.
Kami singgah di sebuah kedai minum berhampiran। Di sini, kami berkenalan dengan seorang lelaki disebut Wak. “Sudah lama Wak kerja mengubat penyakit manusia dengan haiwan lintah॥” Katanya.
“Lintah baik untuk ubati penyakit apa Wak?”
“Begini..” Jawabnya. “Wak gunakan lintah sebagai alat untuk bekam. Bekam ada banyak jenis. Ada bekam guna tanduk, toreh di kepala, dikatakan Nabi Muhammad pernah guna cara ini. Ada yang guna gelas, dikosongkan gelas dengan api supaya tiada udara di dalamnya, ditekup pada badan pesakit. Mungkin juga akupuncur Cina menggunakan tusukan jarum termasuk konsep bekam.”
“Ya! Semasa saya berada di Kemboja beberapa tahun lalu, saya lihat bekam melalui gelas, amat popular di kalangan rakyat, bersaing dengan kelinik perubatan biasa. Hampir semua penyakit mereka gunakan bekam sebagai pengukurnya. Demam panas pun mereka guna bekam. Saya juga pernah mencubanya. Badan saya hampir bertukar ke warna lebam, menurut mereka kerana banyak penyakit. Kalau tiada warna, tandanya kurang atau tiada penyakit.” Saya mencelah.
Sambung Wak lagi, “Wak sering guna lintah jenis Boboy। Lintah besar. Boboy menghisap darah mereka yang menghidap penyakit seperti gout. Setiap kali proses rawatan mengambil masa antara dua hingga tiga jam.”
Dr Zaleha Kassim, Pensyarah Institut Akuakultur Tropika, Universiti Malaysia Terengganu, pernah menyebutkan, penggunaan lintah dalam perubatan bukan perkara baru, kerana antara 1830-1850 haiwan ini digunakan dengan meluas। Antara kelebihan lintah ialah mempunyai hirudin, iaitu bahan antipembeku yang kini dimajukan sebagai bahan anti pembekuan sistemik. “Kajian Profesor K Diakonov pada 1809 mendapati darah manusia yang dihisap dan berada dalam perut lintah tidak membeku, manakala keadaan sel darah merah adalah baik। Penyelidikan Highcraft pada 1884 mendapati ekstrak lintah menghalang darah dalam tabung uji membeku dan ini memulakan penemuan hirudin,” kata Dr Zaleha. Katanya lagi, lintah kini banyak digunakan dalam pembedahan plastik, manakala mengikut laporan, antara kegunaan lintah termasuk merawat mata dan telinga tengah yang bengkak।
“Proses bekam sebenarnya berfungsi untuk melancarkan perjalanan darah। Di zaman Nabi Muhammad dikatakan habbatus saudak (bijirin hitam hasil dari sejenis tumbuh-tumbuhan) yang boleh mengubati semua penyakit, adalah berfungsi seperti tersebut. Kalau di Malaysia, tongkat ali. Bila darah berjalan lancar berbagai penyakit boleh dihindari. Diabetes berlaku hasil peningkatan gula yang tinggi dalam darah, menyebabkan perjalanan darah tersumbat. ‘Mati pucuk’ penyakit yang ditakuti oleh lelaki (juga perempuan) berlaku hasil dari tersumbatnya perjalanan darah yang memberi kesan pada anggota seks. Begitu juga penyakit-penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain.” Kata Wak macam seorang doktor. Doktor itulah bomoh atau dukun dalam bahasa Melayu klasik.
“Hee! I tengok lintah saja pun naik geli-geleman॥ macam mana nak berubat?” Sampuk seorang yang sedang mendengar celoteh Wak itu।
“Oo। Itu mudah saja. Kalau encik geli melihatnya, Wak tutupi lintah itu dengan tuala kecil, pesakit tak nampak pun, cuma rasa berdenyut-denyut saja॥ kadang-kadang tak sedar, ianya dah selesai.” Jelas Wak.
“Kalau kami nak berbekam lintah dengan Wak bagaimana?”
“Nah! Ini dia kad bisnes Wak। Sila buat temujanji dan datang ke rumah Wak.” Katanya sambil menghulurkan kad bisnesnya. “Sikit hari lagi Wak akan buka premis terapi lintah di AU2, Keramat Permai Kuala Lumpur. Di samping itu Wak tambah dengan pengubatan resdung secara tradisional, urut tradisional untuk seluruh badan, urut kelakian, urut diabetes, darah tinggi dan lain-lain॥”
“Lintah kini sudah dikomersialkan। Macam juga gamat, burung layang-layang (sarangnya dijadikan ubat), lebah dan sebagainya. Lintah dijadikan pelbagai produk kesihatan dan bahan kosmetik (terutama dalam industri kosmetik di luar negara seperti Amerika dan Eropah).” Kata kawan saya itu. “Saya dapat tahu melalui internet di mana perusahaan menternak lintah mula berkembang di Malaysia.
Penternak-penternaknya berpendapatan agak lumayan (belum dapat maklumat lengkap lagi)। Dari 10 kolam yang bersaiz 6 X 18.18 meter (dalam kira-kira 1 meter), hasil tuaiannya menjangkau RM60,000 dalam masa 6 bulan. Itu sebab kami datang nak tinjau-tinjau ni. Nak tahu berapa modalnya. Kalau boleh nak tambahkan pendapatan atau cari peluang perniagaan dan perusahaan, paling kurang untuk anak-anak…”
“Oo। Itu pun mudah juga. Saya tahu syarikat itu, sebuah syarikat bumiputera. Ikuti kursusnya beberapa hari, boleh jadi vendor syarikat tersebut. Boleh buat projek sambilan belakang rumah. Boleh cuba satu kolam dulu. Cara beri makannya mudah sangat. 2 minggu, sekali beri makan.” Jawab Wak.
“Lintah makan apa Wak??”
“Hisab darah le! Beberapa kilogram belut hidup dimasukkan dalam kolam ternakan। Lintah-lintah itu akan mengeronyok belut-belut itu pula. Menghisap darahnya hingga mati. Hal ini berlaku di dalam air, kalau di daratan penghisap darah seperti ini dipanggil ‘lintah darat’. Penghisap darah di daratan adalah penzalim-penzalim, penindas-penindas, atau pemerah keringat manusia॥” Kata Wak dengan gaya lucu.
“Minta dijauhi Allah, jangan kita tergolong menjadi lintah darat, walau di sebalik dukun lintah atau pusat ternak lintah!!” Akhirnya, itulah pesan Wak kepada diri kami masing-masing। Wallahu aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 14-11-2007.
Subscribe to:
Posts (Atom)