▼
Friday, January 04, 2008
Bantu Anda Bebas Dari Hutang...
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
“ANDA terjebak dalam hutang? Sudah karam dalam hutang? Hutang kereta, rumah, hutang belanja kahwin, personal loan, consumer loan, kad kredit, koperasi, hutang keluarga, beli perabut, bil tv berbayar, along, ceti haram atau tak haram dan macan-macam lagi! Kami sedia bantu anda! Bagaimana? Ya, sila lihat ini…”
Katanya sambil memegang dan menunjuk-menunjukkan sekeping kad saiz biasa macam kad kredit, ada ‘logo AmBank’ atas sebelah kiri, tertulis ‘AmBank NexG’ atas kanannya dan di kanan bawah pula tertera 2 bulatan bercantum lambang ‘MasterCard’. Disebut juga ‘AmBank NexG Prepaid MasterCard’. “Kad ini dari AmBank… Siapa tak kenal AmBank di Malaysia? Tak payah diperkenalkan lagi…”
Sambungnya, “AmBank bersama GDI dan XXSB (XX Sendirian Berhad - tidak dipaparkan nama sebenar) ingin bantu anda bebaskan dari hutang!” Dia bercakap dengan gaya ekslusif di depan sekumpulan pendengar-pendengarnya, di dalam sebuah restoran mamak di Setiawangsa KL. Ada beberapa komputer bimbit di depan mereka.
“GDI pula adalah syarikat yang kukuh, maju pernah diiktiraf sebagai syarikat cepat berkembang di Amerika Syarikat (AS), 37 dari 500 syarikat yang terpilih. Pelanggannya menggunakan ‘domain name dan web hostingnya’ termasuk Yahoo, Bank Of America, Intel, Cisco dan banyak lagi!...” Katanya dengan bangga. “…walaupun tujuan kita hanya nak bayar hutang, tapi ini satu peluang perniagaan!”
“Macam mana nak dapat duit bayar hutang? Apa yang kami perlu buat??” Timbul pertanyaan seorang dari mereka. Pertanyaan yang ditunggu-tunggu.
Jawabnya…
Pertama: Cuma kena langgan ‘domain name dan web hosting’ saja. Contohnya ‘www.namaanda ws’, hanya dengan membayar USD10 setiap bulan iaitu RM35. (USD1= RM3.5). Iaitu, membayar RM25 untuk AmBank NexG Prepaid MasterCard dan RM10 yuran buka fail. Pihak XXSB sedia uruskan untuk anda. Anda akan diberi 10 e-mail dan web side percuma.
“Saya sendiri anggap USD10 itu macam ‘overhead’ perniagaan yang dijalankan. Bayaran tiap bulan boleh guna kad debit (kad prepaid), kad kredit atau Paypal.” Katanya lagi.
Kedua: Jika anda sudah jadi ahli kad servis ini, GDI akan beri ganjaran 10% dari USD10, sewa bulanan kawan-kawan yang anda taja, iaitu sebanyak USD1-00 atau RM 3.50 tiap seorang. GDI guna system ganjaran Uni Level hingga 5 level atau 5 tingkat.
Contohnya, anda yang di Level 1 perkenal 5 rakan. Maknanya di level itu, ada 5 orang. Komisyen anda dapat ialah USD5-00 (USD1.00 X 5). 5 rakan itu perkenal pula 5 orang dalam Lebel 2, jadi 25. 25 rakan itu perkenal pula 5 orang lagi, dalam Level 3, jadi 125. Begitulah seterusnya perkenal 5 dan 5, hingga ke Level 5 menjadikan 3,125 orang pelanggan atau ahli yang menyertainya. Komisyen anda terus meningkat kepada USD3,125.
Itu jika rakan anda perkenalkan 5 orang, kalau lebih maka komisyennya lebih lagi. Kita cuma kira 5 saja. Jadi, jumlah seluruhnya dari Level 1 hingga 5 yang cukup syaratnya setelah ditolak dan ditambah apa yang patut, komisyen anda adalah USD3,905 atau RM13,667.50. Kalau nak tahu Level 6 dan seterusnya hingga ‘infiniti’ sila lihat laman web GDI.
Ketiga: Komisyen anda yang tersimpan di Bank AS, akan dimasukkan ke kad prepaid (kad debit) bank anda di Malaysia.
Itulah secara ringkas isi promosinya, samada dalam percakapan, tulisan, animasi movie, DVD dan sebagainya.
Pada saya…
Pertama: Dalam suasana sekarang di mana pemimpim kerajaan yang buminya ada minyak, tidak mampu atau tak larat fikir lagi untuk tahan kenaikan harga tersebut, telah menyebabkan semua barang dan khidmat lain naik. Rakyat miskin dan papa kedana semakin gelisah. Yang cukup-cukup makan pun bajetnya lari, terpaksa menyahut model-model cari wang begini. Apalagi yang sudah karam dan lemas dalam laut hutang, kalau bangkai khinsir busuk hanyut terapung dekat mereka sempat dicapai, mereka mungkin terpaksa berpaut juga!
Kedua: Mengapa masih biarkan api model niaga begini membesar, sehingga berbilion-bilion diangkut keluar negara baru nak bertindak? Mengapa tidak padamkan api itu waktu kecil, tapi nak tunggu padam bila sudah besar membakar bangunan? Atau sengaja nak membuncitkan perut beberapa kerat korperat di atas belakang ramai orang awam yang tertipu menderita. Mengapa perlu dipagut ular berpuluh-puluh kali dari lubang yang sama? Terlalu bodoh sangat kalau ada yang berfikir pihak kerajaan tidak tahu betapa pesatnya perkembangan perniagaan begini.
Ketiga: Kalau Allahyarham Pak Man Telo boleh ditangkap dan dibuang daerah, mengapa syarikat sebangsa Swiss Cash tidak boleh diambil tindakan ke akar umbi dan masih ada yang terlepas? Masih belum ada pembentangan maklumat terpenci mengenainya… Jangan sampai rakyat ragu mengenai ketelusan pemimpin-pemimpinnya!
Keempat: Golongan-golongan agama dalam kerajaan perlu jelas dan tegaskan tentang hukum perniagaan berantai yang menguntungkan golongan paling kecil di atas kebinasaan golongan paling besar dan ramai. Keluarkan fatwa untuk membela keadilan dan menolak kemungkaran.
Mengapa saya kata begitu?
Contohnya seperti perniagaan di atas, kalau nak dapat untung seperti disebutkan itu (USD3,125), seorang peniaga (atau yang berhutang ingin membayar hutangnya) perlu mendapat langganan sebanyak 3,125 langganan. Kalau 1 juta rakyat Malaysia jadi ahli atau sebagai peniaga, mereka perlu beroleh 3,125 juta langganan. Satu pelanggan biasanya cuma guna 1 kad prepaid bank sahaja, sedangkan seluruh rakyat Malaysia pun tak sampai 30juta, nak cari rakyat mana lagi nak bagi cukup?
Bererti syarikat-syarikat model begini tidak boleh bertahan lama, akan mati atau sengaja akan dimatikan sekerat jalan. Cuma seorang berjaya bayar hutang di atas ribuan yang gagal. Yang jelas taukeh-taukehnya saja yang untung. Hal ini suatu penganiayaan yang perlu dibetulkan. Teringat saya kepada cerita dalam filem P Ramlee ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Ada seseorang menelefon Ketua Penyamun menyuruh samun hartanya sendiri. Mungkinkah taukeh-taukeh syarikat begini pun bersikap begitu dengan pihak berkuasa kerajaan??
Cuma bezanya, orang itu menelefon Ketua Penyamun kerana nak lari dari bayar hutang, tak ada harta kononnya tak boleh bayar. Tetapi taukeh-taukeh ini pula, mahu supaya syarikatnya disita oleh pihak kerajaan tak boleh beroperasi, nampak macam dia tak salah, kerana dia sendiri boleh larikan duit orang yang nak bayar hutang!.
Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
04-01-08. KL.
Tuesday, January 01, 2008
Wanita Muda Kehausan
Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
Wanita Muda Kehausan I
MENYUSURLAH sebuah lori pagi itu keluar dari kota Medan. Melalui beberapa pekan kecil. Melintasi sawah ladang, semak samun dan dusun. Sungai-sungai dan ngarai. Terasa lelah dan penat badanku dihentak lori angkut agak kuat lagi keras springnya, melikui jalan yang seolah-olah tidak sempurna itu.
Bukan aku nak cari sakit naik lori dalam udara panas tiada penghawa dingin, tapi nak tahu realiti kehidupan rakyat.. menyebabkan tekakku cepat terasa haus nak minum. “Berhentilah di mana saja, asal dapat berehat dan basah tekak sikit!!” Kataku.
Kawanku orang Medan yang memandu disebelahku itu terus berhentikan lorinya. “Tempat ini kurang baik, tapi elok juga untuk ambil tahu..” Jawabnya, membuat aku saspen.
Lori berhenti di tepi jalan kawasan ladang yang pokok getahnya tinggi-tinggi. Ada gerai-gerai ringkas tiada berdinding di bawah redupan bayang yang sejuk menyegarkan. Tempat duduk pengunjung-pengunjungnya cuma di hamparan tikar mengkuang atas rumput, nampak telus terus dari tepi jalan. Kami singgah di salah satunya.
Dua wanita muda berada di situ. Satunya terus membuat minuman, satu lagi melayani kami. Agak pelek juga cara layannya, bukan macam peniaga gerai makanan. Lagak yang mahu menarik perhatian… Pakaian menjolok, bibir merah tebal dan aksi-aksi yang mengghairahkan.
“Saya akan layani bapak bukan hanya untuk yang haus minuman bahkan haus semuanya!” Pelawanya dengan gaya duduk separuh terlentang atas tikar, menampakkan bentuk dada yang menonjol membukit. “Kalau nak, kita buat temujanji!”
“Kalau nak sekarang boleh??” Mulutku menjadi capul, bila melihat keadaan keliling yang lapang agak tidak menasabah bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Boleh!!” Sambutnya, mungkin sangkanya pancing sudah hampir mengena. “Mana tempat gomolnya?” Tanyaku terus terang.
“O.. Sini pun boleh.. di belakang-belakang, ada tempat yang agak terlindung sedikit! Kalau agak tak selesa, ada bilik-bilik sewa segera di rumah lama sana. Ayuh, mari sama-sama pergi!?”
Hal ini mengingatkan aku peristiwa yang berlaku tengah malam tadi di depan tempat hotel tempat aku menginap, sekitar Masjid Raya Medan. Hotel tempat kutumpangi itu ada tertulis di depan kaunternya, melarang lelaki wanita bukan muhrim bersekedudukan atau tidur di situ. Maknanya tiada pelacuran di hotel itu. Aku sengaja makan Sate Minang dan lama juga bercerita dengan tukang sate di situ, ambil-ambil angin malam.
Ramai wanita muda datang ke situ mencari langganannya silih berganti, katanya juga ‘untuk lelaki yang haus layanan istimewa wanita’. Berbagai helah digunakan memerangkap mangsa. Inilah dikatakan penyakit sosial yang tertua di dunia. Itu sebabnya perlu ada suatu kuasa pemerintahan berteraskan agama wahyu dari langit dan hari pembalasan di akhirat…
“Hampir di sepanjang perjalanan ke Tanjung Balai Asahan ini terdapat pelacuran model kampungan begini.” Kata kawanku semasa kami akan meneruskan perjalanan itu semula. “Bahkan di tempat-tempat makan lain, warung atau gerai buah-buahan pun dijadikan tempat booking dan iklan.. Hingga terkenal di kalangan pemandu-pemandu lori di sini ‘Gerai Durian Bibir Merah’ terdapat berhampiran jalan keretapi lepas Pekan Kisaran yang akan kita lalui sebentar lagi..”
“Ooo. Bukan isi durian tu berwarna merah, tetapi bibir mulut penjual diri di gerai durian itulah yang ranum merah-merah.” Sambutku.
“Lebih malang lagi, kerana ramai juga gadis-gadis pelajar yang terbabit. Di pinggir-pinggir kota pula pihak pemerintah terlibat dalam penempatan- penempatan khas pelacuran kelas rendah begini bagaikan wujudnya perkampungan baru, walaupun di hotel-hotel tengah bandar sudah sarat dengan pelacuran kelas menengah dan atasan. Bahkan di dalam bandar Medan sendiri pun terdapat pelacur-pelacur yang beropersi hanya dengan menunggu di setesyen bas saja menarik pelanggan di siang hari waktu pejabat! ” Dia berceramah lagi.Menurut statistik 2006, lebih 80.7 juta dari 245.4 juta penduduk Indonesia adalah terdiri dari wanita berunur 15 tahun ke atas. Penjualan anak melalui pelacuran bagi mengatasi masalah kemiskinan ibubapa seperti yang dilaporkan oleh rangkaian tv Al-Jazeera, dikatakan telah berleluasa sejak 10 tahun lalu bila Indonesia teruk dilanda krisis ekonomi.
Dalam sebuah laman web, Bro Ricky pula menambah, “…saya rasa di Malaysia, ada juga perbuatan sebegini berlaku, tapi cuma kesnya tidak banyak.. Tapi tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga menjadi sarang pelacuran, jika tidak dibendung dari awal...”
“Wanita-wanita pelacur seperti inilah yang perlukan air penawar agama yang benar. Bukan haus air, tetapi haus petunjuk agama. Kita yang bimbang mereka mati kehausan dari petunjuk Ilahi itu.” Kata kawanku lagi.
“Sebenarnya, di Malaysia juga..” Kataku. “Jika terpampang tulisan di dahi pelacur tanda ‘aku seorang pelacur’ pun tiada menyalahi undang-undang negara, kerana suka sama suka. Kalau kita cuba menegurnya, kita yang bersalah, bukan dia! Sama dengan kita membuat laporan polis bila berlaku kecurian, bukan pencuri itu ditangkap, tetapi kita pelapor itulah yang ditangkap! Semuanya sama, kerana dasar negara-negara kita pun sama, bukan negara Islam sebenar mengikut Al-Quran dan Hadis.”
“Kami tidak haus, kau yang haus!!” Jawab kawanku itu.
Di gerai sebelah, beberapa wanita muda bersorak ketawa menyindir bergurau kepada wanita yang melayani kami itu, “Pancing tidak mengena.. kerana umpanmu tidak bagus!!” Sama-sama ketawa ramai-ramai.
Wanita Muda Kehausan II
“MEMANG lelaki perlukan wanita…” Kataku. Aku layangkan ingatanku kepada peristiwa malam tadi di depan hotel sekitar Masjid Raya, Medan. “Tetapi perlu secara halal dan dibenarkan agama. Tidak ikut agama bererti sendiri terjun ke dalam lubang kebinasaan!”
Itu jawapanku pada 2 gadis antara ramai wanita-wanita muda yang datang silih berganti ke tempat aku makan Sate Minang. Gadis-gadis itu mempelawa aku melangganinya ‘untuk lelaki yang haus layanan istimewa wanita’.
Aku tanya mereka, “Kenapa kau pilih Sate Padang ini? Tentu kerana masakan orang Islam??” Mereka mengangguk. “Ertinya kau pilih yang baik lagi halal bukan?? Begitu juga aku!”
“Susahlah… Bapak ini agak lain orangnya.” Mereka mencari helah lain untuk memerangkapku.
Sambil melihat jam yang sudah melepasi tengah malam.“Sebenarnya, kami berdua tidak boleh pulang selepas jam 12 malam, kerana tuan rumah sewaan kami tidak benarkan. Bolehkah kami tumpang tidur di kamar bapak sementara menunggu pagi?”
“Di hotel ini tidak boleh bawa perempuan yang bukan muhrim masuk.” Jelasku. “Bagaimana hotel nak maju kalau tak boleh bawa perempuan lain masuk??” Rungut seorang darinya.
“Cara kamu berfikir itu salah…” Aku terus memangkah. “Sebenarnya, hotel perlu bersih… termasuk bersih dari kotoran maksiat. Kalau hotel penuh dengan perempuan lacur, itu bukan hotel namanya, itu sarang pelacuran. Orang-orang baik tidak mahu pergi ke hotel seperti itu. Ternyata hotel bersih seperti yang saya tumpangi ini masih bisa beroperasi, kerana masih ramai orang baik-baik berkunjung ke kota ini.” Kataku mungkin agak keras sikit, tapi masih boleh tersenyum.
“Bapak tuduh kami tidak bersih? Takkan tindakan kami salah!? Bapak tidak tahu, kami dari keluarga miskin, tiada ayah. Hanya ini satu-satunya jalan yang kami nampak untuk dapat rezeki. Takkan inipun salah?” Jawabnya.
Tukang sate itu dah nak tutup jualannya, hari sudah pagi. Perbualan kami bersambung ke gerai lain.
“Begini, anakku.” Mataku tepat merenung wajahnya, kami sudah duduk berhadapan se meja. Dengan tenang aku menerangkan, “Dari raut wajah, tubuh dan pertuturanmu, kau bukan orang melarat. Aku yakin ibubapamu masih ada. Kau jadi begini dengan rela, bukan dipaksa. Aku yakin ada sesuatu yang tak kena dengan cara berfikirmu.” Kataku tertuju kepada yang seorang.
Yang agak macam keluarga golongan pertengahan. Menurutnya berasal keluarga Islam Permatang Siantar, arah jalan menuju ke Danau Toba dari Medan. Setahu ku, di Indonesia, prevalensi pelacuran kanak-kanak bawah 18 tahun (ESKA= Esksploitasi Seksual Komersial Anak) dianggarkan mencapai 30% dari seluruh pekerja seks komersial di semua wilayah negeri (UNICEF, 1999:102). Ini bererti telah mencapai angka 40,000 ke 70,000, bahkan dikatakan juga lebih dari 150,000 (1997).
Beberapa daerah di Indonesia telah dikategorikan menjadi daerah sumber, daerah transit, dan daerah penerima kanak-kanak yang dilacurkan. Di Jawa Barat, contohnya, pada tahun 2003, jumlah pelacur 22,380 orang. Dari jumlah tersebut kanak-kanak yang dilacurkan berjumlah 9,000, adalah berusia antara 14 ke 18 tahun. Kanak-kanak yang dilacurkan di daerah dekat-dekat sini seperti Deli Serdang, Medan, Belawan, Serdang Bedagai dan Simalungun, kebanyakannya berasal dari Provinsi Sumatra Utara, contohnya Medan, Deli Serdang, Serdang Bedagai, Simalungun, Asahan, Langkat, Tebing Tinggi, Labuhan Batu, Tapanuli Selatan, Dairi, Binjai serta Permatang Siantar tempat datangnya wanita itu.
Daerah transit mereka adalah di Belawan, Medan, Padang Bulan, Deli Serdang, Serdang Bedagai, Asahan, Tanjung Balai (Medan), Kebupaten dan Labuhan Batu. Dikatakan pada bulan Mei … Julai 2005, telah dijumpai 173 kanak-kanak yang menjadi korban pedofilia (ESKA) di provinsi Nusa Tenggara Barat …tersebar di daerah Nusadi Praya, Sengigi, Kute, Tiga Gili dan Senaru. Pelakunya berjumlah 17 orang berasal dari Australia, Belanda, Jerman, Amerika Syarikat, dan Afrika (Maklumat; Yayasan Tunas Alam Indonesia, 2005).
Aku meneka wanita di depanku itu lagi, “Tentu kau baru beberapa tahun keluar sekolah. Mungkin dalam lingkungan umur 18 tahun, atau kurang sikit. Dalam usia muda ini, jiwamu sentiasa memberontak. Terpedaya dengan slogan ingin bebas, menyebabkan kau terbabas. Terpengaruh dengan teman-teman, ingin punya pacal, ingin punya cowok. Ingin bebaskan diri dari apa yang dianggap kongkongan keluarga. Akhirnya terbabas dan terlantar di sini!”
“Eh! Mana bapak tahu??” Dia agak terperanjat. “Sebenarnya, aku adalah seorang doktor perubatan. Aku sedang menumpukan pengajian di bidang psikologi manusia. Aku pernah datang berkursus kedoktoran di Universitas Sumatera Utara, di Padang Bulan sana.”
Dia mulai yakin dengan kata-kata ku. Dia mengeluarkan surat-surat cinta dari beg tangannya, juga gambar seorang lelaki kacak… Menunjukkan kepadaku. “Bapak seorang ahli psikologi… Cuba lihat, jujurkah cowokku ini?”
“Begini…” Aku membelek surat-surat tersebut. “Patutkah kau ketepikan dan tinggalkan ibubapamu? Ibubapa yang telah membesarmu sejak kakimu sebesar 2 jari ini hingga macam sekarang, boleh bergerak dan menendang? Bahkan kakimu itu boleh pergi keluar meninggalkan ibu kandungmu di rumahmu, semata-mata kerana turutkan lelaki pendatang yang baru dua tiga tahun menjelma dalam hidupmu? Besar sangatkah jasanya berbanding jasa ibubapamu hingga kau sanggup berbuat begitu??”
Dugaanku tepat, dari surat-surat cintanya aku dapat mengagak dua gadis ini lari dari rumah mengikut cowok atau teman lelakinya. Tanpa ku sedari, seorang tukang beca yang sedang minum bersama kami turut mengangguk-angguk. Mendengar dengan penuh perhatian. Kedua-dua wanita itu baru diam, tidak membantah lagi.
Tiba-tiba terdengar suara azan bergema, berkumandang dari Masjid Raya, tanda subuh telah menjelang. “Maaf anakku, aku terpaksa pergi menyahut seruan Tuhan. Cuma satu pesan akhir kalau kau nak terima, pulanglah anda berdua ke pangkuan ibubapamu. Mohon maaflah kepada mereka, selagi mereka ada di dunia ini. Supaya anda tidak menyesal kemudian. Supaya penderhakaan anda tidak diulang oleh anak-anak anda pada anda di kemudian hari. Ubahlah cara berfikir anda ke arah Islam. Carilah rezeki yang halal, kerana dunia rezeki tidak se sempit pemikiran kebendaan anda. Aku yakin kalau anda tidak terima pandangan ini sekarang, anda akan terima bila anda sudah berkahwin dan mempunyai anak sebesar anda ini! Anda sedang kehausan petunjuk Ilahi sekarang…”
Aku menoleh kepada tukang beca dekatku, “Bukan begitu Pak?”
“Ya, ya,ya. Betul ujar bapak Malaysia itu.” Sahut tukang beca. “Aku pun punya anak gadis sebesarmu, aku dapat rasakan saperti kata-katanya.”
Tanpa berlengah ku bayar semua makan minum.. dan beredar menuju ‘Hayya’alal falah!’
Catatan Perjalanan:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 01-01-2008. KL
Lihat lagi..
E-Buku IH-8 Catatan Perjalanan.'Medan-Tanjung Balai'
Bab I Bab II
- Ingatan Pada Wakil Rakyat.. Dari Sumut.
- Politik Mie Aceh
- Tanjung Balai, Kota Mafia Menuju Kamatian..
- Merentasi Selat Melaka Tanpa Pengenalan Diri..
- Asahan Turut Lahirkan Ulama Islam..
- Kisah Debat Dengan Ajaran Ahmadiyah..
- Kupu-kupu Malam.. Ella Memuji Pelacur?
- Rakyat Indonesia Sudah Beri Peluang Islam Memerint...
- Pengajaran Dari Pulau Simardan
- PKS: Bolehkah Perintah Indon?
- Bercakap Loghat Perlis M'sia, Di Pulau Perlis, In...
- Tok Guru! Jenguklah Kami.. Anak Turunan Kelantan d...
- Kota Medan Siapa Punya?