Friday, January 25, 2008

Datuk A.Samad Said Sebenarnya Mula Menentang Kerajaan...

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

DATUK A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara yang tidak mahu lagi guna gelaran itu, kini mengambil sikap ‘tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Kompenan Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas)’ kecuali atas nama peribadi.

Penentangan ini terpaksa dilakukan ‘…demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir.’

Difahamkan, baru-baru ini Kementerian Pelajaran telah mengumumkan untuk menukarkan teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar dan Sharifah Abu Salem.

Antara alasan yang dikemukakan ialah sebahagian teks yang sedia ada ‘terlalu berat dan tidak sesuai’ di peringkat pelajar sekolah menengah. Sebaliknya karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan 'tekanan dan kebosanan’ pelajar.

Beliau yang lebih 4 dekat bergelumang dengan dunia kreatif menyebutkan, pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka… Seorang pengarang tidak hanya tahu menulis, tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa dan negara, samada melalui karya kreatif atau sebaliknya.

Beliau meluahkan perkara tersebut di majlis bacaan puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau seolah-olah memberi amaran, pemilihan ‘karya-karya picisan’ sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru. Contohnya, seperti penggunaan bahasa Melayu ‘bersifat rojak’ (diselang seli bahasa Inggeris) dan bahasa pasar. Begitu juga mengenai 'mesej remaja’ dalam karya-karya tersebut boleh membawa kepada impak negatif.

Ada yang menyebutkan beliau cuma ‘merajuk’ saja. Tetapi pada saya tidak. Apabila beliau mula melihat mesej remaja yang boleh membawa kepada kesan-kesan negative, maknanya beliau mula memperluaskan perjuangannya kepada membela kebenaran dan menentang kemungkaran.

Bererti beliau akan menolak dasar negatif dan mungkar seperti yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan BN hari ini.

Bolehkah jadi begitu? Kalau kepada Prof Shahnon Ahmad boleh, kenapa kepada orang lain tidak. Akhirnya A.Samad Said menutup majlis tersebut dengan bacaan puisi ‘Suara Dari Dinding Madrasah’ yang mengangkat tema mengenai isu sekolah-sekolah agama di negara ini.

Wabillahi taufik wal hidayah, assalamu ‘alaikum!


Catatan Santai: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 24-01-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails