Wednesday, January 23, 2008

Kerdipan Sebelah Mata Pelacur...


CATATAN PERJALANAN
IBNU HASYIM


SATUN atau Setoi, adalah sebuah bandar di Selatan Thai, bersempadan dengan negeri Perlis. Sebuah pelabuhan, yang kadang-kadang orang Malaysia pergi ke sana malalui jalan laut dari Kuala Perlis, atau Langkawi, walaupun ada sempadan daratnya di Wang Kelian, Padang Besar dan lain-lain.

Majoriti penghuni di wilayah selatan ini ialah orang Islam berbangsa Melayu. Bahasa pertuturan harian mereka adalah bahasa Melayu dan Thai.

Dari pekan inilah aku menaiki bas untuk ke Hatyai. Bas biasa sahaja. Aku melangkah naik mengambil tempat duduk. Tempat duduk untuk dua orang, tapi aku cuma baru duduk seorang.

“Di sini masih kosong?” Seorang wanita muda bertanya berbisik kepadaku. Jarinya menunjuk ke tempat yang kosong di sebelahku itu.

Aku mengangguk.

Dia terus duduk di sebelahku itu. Wajahnya agak muda dan cantik juga. “Nak ke mana bang?” Sapanya.

“Pattani.” Jawabku. Aku lihat ramai lagi penumpang sedang naik bas ini, dan memilih tempat yang masih banyak kosong lagi. Tapi fasal apa dia pilih duduk di sebelahku?

“Adik juga mahu ke Pattani…” Dia memulakan perbualan, walaupun aku tak tanya. “…kerana mak adik sakit, adik terpaksa pulang segera walaupun tergesa-gesa…”

Baru aku dapat menangkap maksudnya. Pasti dia akan minta wang, kerana orang luar yang datang ke sini biasanya bawa banyak wang. Maklumlah biasanya kota Hatyai terkenal dengan kota pelacuran.

Dia kenal aku orang luar. Terkenal pelancung-pelancung datang ke Hatyai biasanya kerana pelacuran. “Tapi… adik tak cukup duit.” Sambungnya dengan suara lembut. Terputus-putus, bagaikan dalam kesedihan.

Namun aku masih membisu.

“Adik orang susah. Perlu duit. Adik terpaksa buat apa saja untuk membantu mak adik yang sakit. Bagaimana kalau kita tidur bersama malam ni? Tak salah bantu adik kan??”

Berderau darahku bila dengar cetusan kata-katanya. Aku tidak mahu terperangkap. Bukan pertama kali aku hadapi ini dalam pengembaraan dan perjalananku. Kenanganku mula melangkau batasan negeri.

Teringat aku semasa mula-mula sampai di Manila beberapa tahun lalu. Dalam teksi dari airport menuju ke hotel, aku sudah diiklan dengan wanita-wanita genit Filipina dikatakan amat menarik dan memikat pelancung. Sampai di hotel bertalu-talu serangan pertanyaan bagaikan memaksaku memiliki teman tidur.

“Tidak ada lelaki yang tidak mahu perempuan di sini. Sini syurga lelaki asing di Asia. Kecualilah kalau lelaki itu berpenyakit atau tak ada wang!!” Kata wanita penjaga hotel itu macam megejek dan tidak percaya bila aku beritahu, aku tidak mahu. Dia beri kunci bilik dan kunci kotak kecil keselamatan.

“Nah! Lihat ini…” Sambil menunjukkan satu ruang kecil terletak di bahagian pendaftaran.

“Tempat simpan barang-barang penting seperti passport dan wang supaya selamat... kerana kadang-kadang ada juga wanita nakal yang suka curi wang pelanggan. Juga nak elakkan tuan kehabisan wang tunai sebab terlanjur berseronok-seronok.” Katanya sambil tertawa.

Sewaktu melintas ke bilik penginapan aku terserempak gambar bogel besar sama tinggi denganku terpampang di dinding, “Gambar siapa ini??”

“Gambar seorang artis Filipina…” Jawabnya dengan megah. Disebut namanya, tapi aku tak ingat.

Petang itu, aku turun dari hotel, merayau-rayau mencari kedai makan orang Islam. Aku terserempak sebatang jalan yang dipenuhi kelab-kelab hiburan. Dari jauh ternampak wanita-wanita muda berpakaian bikini.

Hanya tutup ‘perkakas-perkakas dalam’ tertentu saja dengan pakaian berjurai-jurai macam daun kelapa, yang orang kampong buat ketupat. Mereka berhimpun depan pintu masuk menunggu pelanggan.

Baru pelanggan mendekat, mereka datang berkerumun tarik tangan pelanggan masuk ke kelab masing-masing. Ramai pelanggan dari negara-negara Barat dan Arab.

Macam juga di Belakang Mati Chow Kit Road, belakang Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur… mereka juga berebut-rebut menarik pelanggan. Maknyak-maknyah dengan pakaiannya menjolok mata dan menjijikkan tetapi mampu menarik pelanggan.

Bahkan mampu bersaing bersama pelacur-pelacur berbagai gred. Ada pelacur murahan gred tua! Macam-macam ada! Begitukah negara Islam seperti yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia?? Buat malu saja. Kalau negara Thai dan Filipina kita faham le...

“Bagaimana?? Boleh tidur dengan adik malam ini?” Pertanyaan itu menyentak dan memutuskan lamunan yang membuat aku lupa pada wanita disebelahku.

Aku jadi serba salah. Aku cuba jelaskan dengan baik. “Begini adikku… Bukan itu tujuanku kemari. Terus terang aku katakan, aku tak bawa banyak duit.” Aku cuba gambarkan keikhlasan yang sungguh-sungguh. “Lebih-lebih lagi aku seorang Islam. Islam sungguh-sungguh. Tak mahu buat dosa besar itu… Itulah yang sebenarnya!”

Dia nampak tersinggung. Kecewa dengan tembakan kata-kataku. “Terima kasih saja le, bang! Tak pernah adik dengar jawapan yang macam ni!!” Dengan tidak buang masa dia terus bangun, mencari tempat duduk yang lain… Memasang perangkap baru yang lain pula.

Catatan Perjalanan: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-01-2008. KL



Kerdipan Sebelah Mata Pelacur… II


“LEBIH-LEBIH lagi aku seorang Islam. Islam sungguh-sungguh. Tak mahu buat dosa besar itu…” Kata-kata yang hampir seperti inilah juga membuat aku berkenalan dengan seorang pemuda, pemandu motosikal tambang di pekan Sungai Kolok. Sebuah pekan di Thai sempadan dengan Rantau Panjang Kelantan.

“Abang nak perempuan ke?” Kata muqaddimahnya untuk mencari pelanggan. Kerjanya, disamping ambil upah bawa penumpang, juga dapat komisyen bila ada pelanggan yang nak perempuan, dari taukeh-taukeh niaga perempuan atau hotel-hotel.

“Perempuan di sini muda-muda belaka, belasan tahun atau lebih sikit. Tak macam balik sana Malaysia, mahal dan tua-tua pula. Puluh-puluh RM saja sehari semalam, tak masuk sewa hotel. Boleh guna sini saja atau bawa keluar sebagai teman perjalanan.” Aku jumpa dia depan sebuah hotel di pekan itu.

Tiba-tiba sebuah jeep Land Rover baru berhenti di depan kami. Dalamnya dipenuhi dengan wanita-wanita muda. Bagaikan rombongan penuntut-penuntut sekolah menengah sedang bercuti hendak pergi berkelah di pantai. Mereka membimbit dan menggalas seorang satu beg pakaian. “Siapa mereka ni, nak ke mana pula??”

“Itulah perempuan cari makan, macam yang aku sebut tadi. Mereka dipanggil oleh taukeh hotel bila ada pelanggan nak lihat atau nak pilih mereka. Tu sebab mereka bawa beg pakaian, bila terpilih mereka terus ikut pelanggan, tak perlu balik ke tempat taukeh, ambil beg pakaian lagi.” Jelasnya lagi. “Eh. Abang tak nak perempuan ke?”

“Tidak. Aku orang Islam. Aku tidak mahu buat kerja dosa besar itu…” Kataku tegas. “Tapi kalau sekadar jalan-jalan melawat pekan Sungai Kolok ni, boleh le.” Aku tidak mahu kecewakannya.

“Moh!” Dia bersetuju. Aku membonceng di belakang motosikalnya berkeliling pekan. Melintasi kedai-kedai dan lorong. Ada kedai papan dan batu. Melintasi beberapa masjid, taman permainan dan lain-lain. Akhirnyanya kami berhenti disebuah deretan kedai-kedai lama berdinding papan yang sudah lusuh warnanya. “Nak masuk?” Dia mempelawa.

Aku pun turun motosikal terus mengikutnya, masuk dalam kedai itu. Terkejut aku, bila melihat dalam kedai itu berhias cantik. Lampu-lampu neon berwarna-warni, bagaikan dalam kelab-kelab malam di bandar-bandar besar.

Semasa melangkah masuk loceng isyarat berbunyi, tanda ada pelanggan datang. Wanita-wanita pelacur yang sedang berehat, berbual dan tidur-tidur ayam pun dikejutkan. Mereka bangun dan duduk berbaris dalam cermin. Bagaikan patung permainan yang dipamerkan dalam almari.

“Tuan mahu yang mana? Boleh pilih!” Kata penjaganya kepadaku.

Aku pura-pura merenung dan menggelengkan kepala, seolah-olah dagangannya tidak baik.

“Kenapa?” Tanya penjaga itu.

“Mereka tahu cakap Melayu?” Aku bertanya.

“Tidak!” Jawabnya.

“Cakap Inggeris??” Aku bertanya lagi mencari alasan untuk tidak mahu. Penjaga itu bertanya kepada mereka dalam bahasa Thai, ada dua dari wanita-wanita itu mengangkat tangan. Berdebar juga dadaku takut ada yang tahu bahasa Inggeris, jadi aku terpaksa mencari alasan lain pula untuk tidak melanggani mereka…

Tapi katanya, “Yang itu boleh cakap Cina bukan cakap Inggeris.” Selamat aku. Aku pura-pura merungut, akhirnya keluar dari situ.

Sambil berjalan, kawanku pemandu motosikal sewa itu menjelaskan, “Sebenarnya puak-puak betina cari makan ni, bukan nak sangat kerja tu, mereka terkurung dalam cermin siang malam, tak boleh keluar.

Lainlah kalau ada pelanggan yang bawa keluar. Barulah bebas sikit, macam burung keluar dari sangkar. Barulah boleh lihat dunia bebas. Kadang-kadang ada yang cuba lari, tapi ditangkap semula oleh taukehnya.”

“Tapi, bagaimana boleh sampai sini kalau tidak dengan rela sendiri?” Aku minta penjelasan.

Dia terus bercerita dengan rasa terharu… “Pada suatu malam, aku terdengar suara ratap tangis dengan hibanya dari satu keluarga. Mereka datang dari jauh untuk menyerahkan kedua anak gadisnya menjadi pelacur di sini.

Mereka terpaksa serah untuk dapatkan pinjaman kira-kira RM10,000 dari taukeh pelacur itu. Sebagai bayar baliknya, 1/3 dari hasil pendapatan kerja anak gadisnya itu akan dipotong. 2/3 lagi, boleh guna sendiri atau bantu adik beradik di kampong.

Mereka bukan nak kerja macam ni, tetapi terpaksa! Kerana terlalu miskin dan sempit hidup. Kebanyakannya, didatangkan dari utara Bangkok seperti Chiang Mai, Chiang Rai dan lain-lain.”

“Berapa lamakah baru habis bayar hutang?”

“Bergantung pada perniagaan. Kalau maju, cepat le habis. Biasanya 4 atau 5 tahun. Lepas tu kalau nak sambung lagi pun boleh, jika masih ia muda, cantik dan kuat kerja. Tapi kalau dah layu, lembek… tak lakulah!” Dia terus bercerita, “Ada juga taukeh-taukeh perniagaan yang pergi menjelajah kampung-kampung utara Thai, janjikan kerja pendapatan lumayan seperti ini dan beri pinjam kepada mak bapa mereka. Di sana barulah boleh pilih yang cantik-cantik belaka.”

Tiba-tiba berselisih dengan kami di jalan raya beberapa bas melintas laju. Di dalamnya dipenuhi wanita muda. “Ke mana mereka dibawa pergi?” Aku tanya.

“Seminggu 2 kali mereka dibawa ke Hatyai untuk dirawat dari penyakit. Memang tempat macam ni mudah dijangkiti penyakit.

Kalau tidak dikawal ia boleh membimbang dan menakutkan pelancung luar untuk datang. Tiada pelancung luar bererti boleh menjejaskan pendapatan ekonomi negara.” Jelasnya macam pakar ekonomi.

Memang kerana ekonomi manusia boleh terjerumus ke lembah hina. Sanggup menjual anak kandungnya sendiri. Mana pejuang-pejuang hak asasi dan pembebasan wanita yang kononnya berjuang untuk kesejahteraan manusia-manusia seluruh dunia?

Di situlah perlunya negara yang berpaksikan agama dan akhlak, mampu memberikan kehidupan kepada rohani dan jasmani insan, sesuai dengan naluri dan tabii insan itu sendiri.

Tanpa disedari, bas yang ku naiki dari Satun tadi sudah sampai ke Hatyai. Penumpang-penumpang sudah mulai turun. Wanita yang tadinya duduk di sebelahku tapi berpindah ke tempat duduk lain pun turun juga. Turun bersama seorang lelaki pelancung sambil berbual mesra. Dia menoleh kepadaku, aku bertanya, “Nak ke mana pula?”

“Ke mana lagi…” Jawabnya, sambil mengerdip sebelah matanya padaku tanpa disedari oleh teman pelancung yang baru dikenali itu, “…ke hotel le!!”

“Selamat jalan!” Ucapku, kerana aku sudah terlepas dari perangkapnya yang sudah membidas mengenai orang lain. Dia sudah dapat apa yang dia mahu, malang sungguh… dan aku sudah selamat darinya. Al-hamdulillah!


Catatan Perjalanan: www.ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 01-01-2008. KL

1 comment:

Anonymous said...

Kalau ada peluang ke Hatyai lagi intai-intailah Nasi Minyak ( Khau Mok ) yang di jual oleh Muslim. Kalau tuan tinggal di daerah tengah2 town memang ada 2 dan 3 kedai makan muslim dekat trafic light jalan dari market hatyai atau bila malam sikit ada yang didepan jalan ke Butterfly. Dekat roundboard pun ada banyak nasi ayam muslim jalan ke arah hospital. Kalau suka pedas tuan boleh mencicip Keng Som iaitu asam pedas resepi Thailand.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails