Saturday, January 26, 2008

Menternak: Tak Perlu Beri Makan, Dia Beri Penternak Makan...





CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

"NAK tahu apa ternakan yang boleh kita pelihara, tak perlu kita beri dia makan, tetapi dia cari untuk kita dapat makan?” Saya tanya dalam satu majlis ceramah ekonomi kepada guru-guru pesantren (pusat pengajian Islam cara tradisional, kalau di Malaysia disebut ‘pondok’) di Pekan Kisaran, dalam kawasan Medan, Indonesia, kira-kira 10 tahun lalu.

Soalan ini saya lontarkan setelah berceramah kira-kira setengah jam mengenai pembangunan ekonomi di pesantren tersebut.

"Ha. Bagus tu Pak! Memang kami perlu tahu sangat. Pesantren kami pun butuhkan (perlukan) wang untuk biayai pengajian.” Jawab salah seorang dari mereka.

“Pesantren kami memiliki 20 hektar tanah perkebunan nyiur diselangi tanaman kopi yang kini sedang menampung pembiayaan pembelanjaran. Apa pendapat bapak yang boleh kami buat untuk tambah lagi pendapatan?”

"Ooo…” Saya jelaskan…


"Pertama… Jika ustaz naik kereta dari Kisaran ini menuju ke kota Medan, kira-kira beberapa kilometer di sebelah kiri jalan, ustaz akan jumpa suatu papan tanda tertulis di situ ‘bibit-bibit lebah untuk dijual’.

Di situlah ustaz boleh rundingkan untuk dapatkan bibit-bibit atau benih-benih, cara-cara menternak dan harga permulaan modal. Saya telah pun ke situ semalam, saya lihat tidak banyak sangat modalnya, boleh diternak secara sampingan di ladang nyiur pesantren dan hasilnya pun boleh tahan…

Untuk penerangan lanjut ustaz boleh beli buku cara menternak lebah, antara ratusan buku-buku pertanian di Pustaka Gramedia, tingkat 2, Medan (kalau tak salah ingatan saya).

Itulah antara ternakan yang kita tidak perlu beri dia makan, dia cari sendiri, tetapi madunya kita ambil sebagai sumber pendapatan kita.”

"Oo… Bapak lebih tahu dari kami anak tempatan sini!” Sampuk salah seorang dari mereka memuji.

"Kalau saya duduk sini macam ustaz pun, boleh jadi saya tak tahu juga!” Gurauan saya cuba mencuit hati mereka.


"Kedua… Telah saya terangkan di penerangan awal tadi bagaimana politik di Asia Barat, ulama-ulama Islam termasuk Syeikh Aminul Husaini waktu itu menfatwakan ‘haram’ menjual tanah pada orang Yahudi. Kerana orang Yahudi terus menindas umat Islam, bahkan kini mereka terus-menerus merampas tanah-tanah orang Islam dengan kekerasan. Rupanya setelah saya tinjau beberapa hari di sini, ‘perampasan tanah’ seperti ini juga berlaku terhadap orang Islam di sekitar pekan Kisaran di sini. Orang-orang Islam mula dihambat keluar dari pekan ini…”

Mereka nampak terkejut. “Bagaimana dan apanya?? Kami masih belum nampak…”

Teringat saya beberapa hari sebelum itu, saya naik beca berhampiran pasar di Kisaran kira-kira masa lepas waktu asar.

Terdengar bunyi bising dengungan kumpulan-kumpulan burung masuk sarang nak tidur. Saya lihat tak banyak pun, berbanding dengan bunyinya yang kuat macam banyak.

"Maaf Pak! Itu bukan bunyi burung langsung (terus dari burung)… Itu bunyi burung yang di 'tape’kan. Burung pun bisa ditipu Pak. Bunyi rakaman burung ramai-ramai itu, untuk panggil kawan-kawannya tidur di sarang rumah buatan manusia...” Jelas tukang beca yang membawa saya itu.

Rumah itu berbentuk rumah kedai batu 4 tingkat. Terdapat lobang-lobang untuk burung masuk tidur. Suatu yang agak ganjil, di pekan agak pendalaman tetapi terdapat banyak bangunan tinggi 4 tingkat. Rupanya, itulah rumah perusahaan sarang burung.

"Burung apa? Apa hasil dari burung itu?” Saya tanya.

"Burung walet (burung layang-layang). Dia buat sarang dengan campuran air liurnya.. Sarangnya dijual terlalu mahal, dieksport keluar negara. Buat ubat kononnya… ubat kuat tenaga batin, macam tongkat ali di Malaysia. Dulu ada hotel di stesyen keretapi Kisaran. Tetapi kerana banyak si walet buat sarang, dan harga sarang walet lebih lumayan dari bisnes hotel, maka hotel itupun ditutup. Itu sebab bapak lihat banyak sarang-sarang walet bertaburan di bekas bangunan yang masih bertulis hotel itu. ”

Kerana hal-hal begini, saya mula membuat tinjauan mengenainya. Hampir semua pengusaha-pengusaha walet adalah orang bukan Islam, yakni orang-orang Cina dan orang Melayu Indonesia yang beragama Kristian.

Kedudukan pekan Kisaran yang strategik untuk ternakan tersebut, menyebabkan tanah-tanah di situ menjadi mahal berkali-kali ganda. Akhirnya banyak tanah-tanah orang Islam terjual dan terlepas ke tangan orang bukan Islam.

Saya meneruskan ucapan saya kepada ustaz-ustaz dari pesantren itu, “Perampasan tanah di sini berlaku tidak dengan kekerasan, tetapi melalui jualbeli secara rela kepada orang bukan Islam.

Mereka membeli dengan harga yang mahal untuk ternakan burung walet. Sehingga orang Islam menjualnya dan terpaksa berpindah dari sini ke pendalaman lagi. Bank-bank pula sanggup memberi pinjaman kepada mereka.

Di Medan contohnya, ada syarikat-syarikat pembinaan menjual bangunan-bangunan yang dibuat khas untuk ternak walet dan boleh dibeli melalui pinjaman bank.

Kerana perusahaan ini amat menguntungkan. Apa tidaknya? Bukan penternak yang memberi makan padanya.. burung itu sendiri yang keluar pagi dan pulang petang dengan perut penuh berisi mencari makan di sungai dan laut, tapi akhirnya memberi pendapatan lumayan kepada penternak melalui sarangnya. Maka berlakulah perampasan tanah besar-besaran ke atas orang Islam.”

"Nampaknya berternak ini juga sebahagian dari jihad. Kita mulakan dengan ternak lebah dulu, mengikut kemampuan kita.” Cadangan salah seorang dari mereka. Masing-masing pun bersetuju.


Beberapa bulan selepas itu saya datang lagi. Apa yang mereka kata, rupanya mereka kotakan. Selepas mereka bawa saya melawat tempat-tempat ternakan lebah mereka, “Nah bapak! Inilah hasil diskusi kita dulu, nanti waktu mahu pulang bawalah madu-madu (berisi dalam botol) ini sebagai ole ole dari Kisaran.” Kata salah seorang dari mereka.

“Oh ya, lepas ini kalau ada kesempatan, kita bincang pula pasal pasaran. Kalau boleh kita nak tembusi pasaran Malaysia!”.

“Al-hamdulillah!” Saya jawab..

Catatan Santai:
http://www.ibnuhasyim.blogspot.com/
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
26-01-08. KL

4 comments:

Anonymous said...

Lebah dalam bahasa Indonesia di panggil 'tawon'. Menternak lebah bererti menternak tawon. Kisaran adalah majoriti terdiri dari kaum Jawa yang terkenal sebagai petani.Ramai pembantu rumah di Medan berasal dari Kisaran kerana Kaum Jawa terkenal sebagai pembantu yang baik tetapi tidak baik sebagai leader...kata kitab Jawa yang lama2...
Harga Madu Lebah atau madu tawon yang di ternak tergantung kepada jenis pohon yang di buat madu. Madu dari pohon mangga adalah baik untuk batuk dan perempuan hamil sedangkan madu dari pohon rambutan baik untuk paru2 dan TBC. Madu dari pohon Mangga biasanya agak sedikit kehitaman berbanding madu dari pohon rambutan. Sekiranya madu dari pohon kopi baik untuk menyembuh luka dalaman. Kalau ke Kisaran lagi jangan lupa makan kerang yang terkenal dari Kisaran.

Ibnu Hasyim said...

Maaf kerana lambat jawab..

Bagus komen anda,tambah ilmu saya lagi, kalau ada kelapangan saya perlu berkenalan dengan tuan lebih lanjut..
Insya Allah.

Ibnu Hasyim.

Anonymous said...

AssalammuA'laikum Wr.Wb...
*. Jika saya ingin menjual sarang Walet di malaysia, perusahaan mana yg membeli dengan harga tertinggi...?

Terima Kasih atas bantuan Pak Ibnu....
Wassalam

Muhajir Khairom
---------------
Email:Rampagoo@yahoo.com
Hp: +6281269548800

Anonymous said...

Ya.. Baru aku ingat bapak..
Pernah bapak berceramah mengenai niaga di suatu Majlis pertemuan Liga Muslim kira-kira 8 tahun lalu..

Kapan mahu ke Medan lagi? Kami sedang membina koperasi Muslimin di sini..

Adi,
Medan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails