▼
Thursday, January 17, 2008
Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”
“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.
Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.
BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.
Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.
Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).
Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.
Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.
Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?
Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.
Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.
Itulah secara ringkas jawapan saya.
“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.
“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.
“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.
“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”
“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”
“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08. KL.
Ibnu Hasyim
Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan - saya pernah dengar dulu; apa ceritanya kini?
ReplyDeleteTtg tajuk buku itu bunyi agak militen sikit - adakah ianya boleh menarik minat orang atas pagar utk membacanya nanti?