Saturday, February 02, 2008
Bukti Sejarah, UMNO Lanjutkan Perjuangan Hapuskan Islam...
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
KIRA-KIRA 94 tahun lalu, iaitu pada 3 Rejab 1335, Pejabat Setiausaha Kerajaan Trengganu mengeluarkan surat ‘Isytihar Kerajaan’ dalam tulisan jawi berbunyi:
Ketahuilah oleh sekalian mereka di dalam negeri Trenggau dan jajahan takluknya, maka pada dan kemudian dari isytihar ini, tidak dibenarkan sesiapa memotong dan menebas hutan-hutan di atas tanah kerajaan kerana bertanam-tanaman dan sebagainya melainkan terlebih dahulu mereka yang hendak memperbuat pekerjaan yang tersebut itu mendapat surat kebenaran daripada Pejabat Tanah atau daripada cawangannya dalam daerah itu. Dan bila didapati sesiapa yang memotong dan menebas hutan yang tersebut itu tak dapat, tiadalah menjadi salah akan didenda dari $10.00 hingga $25.00, demikianlah adanya. Dengan titah perintah, Setiausaha Kerajaan.’
Maka dengan alasan itu, kerajaan British yang menjajah negeri Trengganu waktu itu pun menghantar ejen-ejen dan talibarutnya mengintip ulama-ulama Islam di Trengganu seperti Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Sagof dan Tok Janggut (Lebai Deraman), walaupun gerakan Islam tersebut asalnya dimulakan oleh Sultan sendiri.
Contohnya, laporan (boleh jadi juga tuduhan) Tuan Embong ejen kerajaan, mengatakan Haji Musa Abdul Ghani menyebut dalam kitabnya ‘barang siapa membayar pas (surat kebenaran) dan hasil-hasil tanah akan termasuk golongan kafir’.
(satu hari) [sic] lepas orang sembahyang jamaah Magrib dan Isya di Kampung Bukit Gemuroh, Haji Musa berucap, “adakah kamu suka mengikut Hakim Syarak atau suka mengikut hakim kafir.” Tiada jawapan. Kemudian beliau membaca Hadith Perang. Bila orang-orang itu dengar, “Barang siapa yang tak mahu mengikut Hukum Syarak, Nabi tidak mengaku umatnya.” Orang Kampong berkata, “Tak mahu ikut Hakim Kafir.”
(Sila rojok ‘Pemberontakan Tani 1928 Di Trengganu, Satu Kajian Ketokohan Dan Kepimpinan Haji Abdul Rahman Limbong’ Oleh Timah Hamzah, Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia -1981)
Begitu juga di Kelantan, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang mengenai cukai dan hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh. Di Pahang pula, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan semangat jihad (disebut juga oleh ulama-ulama tersebut ‘Sabil’) melawan British.
Penentangan Naning (1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Begitu juga berlaku penentangan di Perak. Itulah perjuangan orang-orang Melayu sebelum merdeka, yakni melanjutkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tetapi bila Malaya dihadiahkan kemerdekaan tanpa tumpah darah pada 31 Ogos 1957, undang-undang penjajah ciptaan Lord Ried ‘made in England’ yang ditentang oleh ulama-ulama pejuang berbangsa Melayu itu, tetap dipaksakan jadi Perlembagaan Persekutuan.
Si UMNO yang buta agama inipun terima, walaupun ulama-ulamanya membantah. Inilah bukti jelas, sehingga akhirnya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama, dengan kedudukan Islam yang ditempel sebagai agama rasmi saja. Ini diperjelas lagi oleh Perdana Menteri pertama Malaysia pada tahun 1983, beliau menegaskan:
“…Pernah adanya percubaan oleh segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi”. (ucapan semasa menyambut harijadi beliau yang ke 81 pada 1983.)
Sebenarnya walaupun sudah merdeka zahirnya, tetapi otak-otak mereka masih dijajah lagi. Tiba-tiba TPM Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini pula berkata:
…Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara… (UM 18/07/07).
Macam mana ni Najib? Tak tahu sejarah ke, atau saja buat-buat tak tahu nak tipu orang Melayu? Atau dah termalu kerana suku-sakatnya terpaksa melutut ikut penjajah! Rakan komponennya sendiri pula terpaksa betulkan. Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada 27/09/1956 yang berbunyi:
“Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya Negara Sekular”.
Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,
“Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia).
“Kedudukan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas
Wong lagi. (The Star 19/07/07)
Perlembagaan telah memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan bertentangan dengan Perlembagaan, maka secara otomatik akan terbatal. Dengan itu, peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah atau lebih rendah dari Perlembagaan. Maka dengan sendirinya, hal ini menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi dan satu-satunya undang-undang bagi negara.
Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut).
Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah demokrasi berparlimen, sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang) hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan demokrasi-sekular.
Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Apakah ini tidak ‘…meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara…’ macam kata Najib tadi?? Itulah sebabnya saya tegaskan, bahawa UMNO melanjutkan perjuangan menghapuskan Islam seperti yang dimahukan penjajah… yang penjajah juga datang ke tanah air kita adalah lanjutan dari perang Salib di Eropah!! Perang Salib bagi mereka dan Perang Sabil bagi ulama-ulama kita.
Allahu akbar!
(Sila rojok juga buku penulis ‘Konflik UMNO-PAS Satu Penyelesaian Menurut Islam’, terbitan GG Edar 1993 & ‘1950-2000 PAS Kuasai Malaysia?” terbitan GG Edar 1993)
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 02-02-08. KL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment