Tuesday, February 12, 2008

Polemik Zuhud Dalam Perjuangan...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


BEBERAPA tahun sebelum 1990 saya selaku Ketua PAS kawasan Balik Pulau pernah menjemput Allahyarham Ustaz Amaludin Darus memberikan kuliah politik bulanan di markas PAS Pulau Betong Balik Pulau. Kuliah tertutup untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Kawasan sahaja. Kebetulan anak perempuannya sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau waktu itu, dan beliau menziarahinya setiap bulan.

Suatu hari saya pergi menjemputnya di maktab tersebut. Anaknya bertanya beliau, “Mana kawan ayah yang nak ambil ayah itu, tak nampak keretanya pun?”

“Tu!” Tunjuk ayahnya. Waktu itu saya pakai kereta Datsun Blue Bird terbaru.

“Orang PAS pun pakai kereta mewah juga?” Dia macam terkejut. Biasanya, kawan-kawan ayahnya pejuang-pejuang PAS dulu tidak memiliki kereta mewah.

“PAS sekarang, bukan PAS peringkat awal waktu ayah dulu, nampak dhaif!” Kata beliau, juga orang asal Kedah yang mula-mula bawa masuk PAS ke Kelantan.

Apabila PAS tawan Kelantan dan Terengganu selepas pilihan raya umum 1999, dalam muktamar akhir PAS pimpinan Ustaz Fadzil Noor di PUTIK Kelantan, saya lihat sebuah kereta mewah jenis Mercedes meredah melawan arus jalan sehala dalam kawasan PUTIK itu waktu muktamar… Seorang pengawal keselamatan PAS menghalangnya, dia berdiri di tengah jalan sambil menjerit, “Aku tak peduli, walaupun kamu pemimpin top ten, kereta besar macam mustakbirin UMNO,.. tugas aku mengawal jalan. Aku tak beri lalaun. Sila berundur!”

Akhirnya, Mercedes itu terpaksa berundur walaupun tiada sahutan mohon maaf di balik cermin tingkap keretanya yang tidak dibuka. “Pergi mampus le, macam ni pemimpin PAS??” Dia merungut buang geram.

Begitulah dua fenomena telatah kepimpinan PAS dahulu dan sekarang, walaupun tidak semua begitu. Ya. Mari kita renung ayat Al-Qur’an surah At-Taubah ayat 34 & 35.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya kebanyakan dari guru-guru dan pendita-pendita, mereka telah memakan harta-benda manusia dengan jalan yang batil, dan merekapun telah menghambat daripada jalan Allah. Dan orang-orang yang telah menumpuk emas dan perak, dan tidak mereka belanjakan pada jalan Allah, maka beri ingatlah mereka dengan azab yang pedih.” (Ayat 34)

(Yaitu) Pada hari yang akan dipanggang (harta-harta itu) dalam api neraka jahannam, lalu diseterikakan dengan dia kening mereka dan rusuk mereka dan pungung mereka. “Inilah apa yang telah kamu tumpuk-tumpukkan untuk diri kamu itu. Lantaran itu rasakanlah apa yang telah kamu tumpuk-tumpukkan itu.” (Ayat 35)

Menurut riwayat dari Ibnu Abbas, ketika ayat (Ayat 35) ini turun, orang Islam jadi pelik, agak canggung, cemas dan terkejut. Tak boleh kumpul harta? Bagaimana persiapan untuk waris dan anak-anak? Maka Umar bin Khattab dan sahabat bernama Thauban mengadap Rasul SAW minta penjelasan. “Ya Nabi Allah! Berat sungguh bagi kawan-kawanmu, ayat ni.”

“Sesungguhnya, tidak Allah telah wajibkan zakat kecuali supaya menjadi baiklah harta yang ada padamu. Dan Allah telah wajibkan pembahagian waris untuk harta yang akan kamu tinggalkan.” Jawab Nabi.

Umar pun takbir… kerana gembira mendengar jawapan yang jelas itu.

Kata Nabi lagi, “Engkau suka tak, aku beritahu engkau apa simpanan yang paling baik? Iaitu perempuan yang solih, bila engkau melihatnya, hati engkau pun senang. Dan bila dia disuruh, diapun menurut, dan bila dia ghaib (tiada di rumah), dia tetap memelihara (kesetiaan).”

Itulah jawapan yang menghilangkan musykil orang ramai. Rupanya boleh mengumpul harta, asalkan dari yang halal dan bayar zakat. Sistem faraidh dan warisan juga menghapuskan penumpukan harta. Sebab itu Abdullah bin Umar (Ibnu Umar) mengatakan, harta-benda yang telah dizakatkan tidaklah dinamai harta ditumpuk, walaupun banyaknya sampai menyundak langit dan bumi. “Aku tak peduli, walaupun hartaku sebesar bukit Uhud dari emas, asal telah aku zakatkan menurut mestinya.” Kata Ibnu Umar lagi.

Itu satu pandangan mengenai pengumpulan harta dalam Islam. Pandangan yang dipegang oleh Ibnu Umar, ayahnya Umar bin Khattab tadi dan sahabat-sahabat lain. Apa lagi bila pernah seorang A’rabi (Arab dusun) bertanya kepada Nabi SAW (Hadith riwayat Thalhah), “Adakah lagi kewajipanku yang lain (iaitu lain dari zakat)?”

“Tidak ada!” Jawab Nabi, “…kecuali kalau engkau suka bertathauwuk.” Iaitu sedeqah sukarela seperti wakaf, hibah dan hadiah. Dikuatkan pula dalam Surah Al-Baqarah ayat 129, bahawa kalau ada orang bertanya engkau mengenai perbelanjaan, jawablah, “selebih dari yang perlu”. Al’Afwa.

Tetapi pandangan ini amat berbeda dengan seorang lagi sahabat Nabi SAW As-Sabiqun Al-Awwaluna (termasuk angkatan pelopor Islam yang mula-mula dari Mujahirin) bernama Abu Dzaar Al-Ghifari yang terkenal, disegani dan dihormati sahabat-sahabat besar Nabi SAW. Sifat-sifat zuhudnya telah dilihat oleh Rasulullah SAW sendiri waktu hidupnya. Sebab itu Rasul pernah menasihatinya agar jangan mendekat-dekat kepada urusan pemerintahan, meminta atau menerima jawatan apa juapun dalam kenegaraan.

Diapun memang seorang yang patuh kepada kekuasaan negara. Di zaman pemerintahan Saidina Usman RA, dia tinggal di Syam (Damaskus). Gabenor di sana waktu itu ialah Mu’awiyah bin Abu Sufian. Dia terus berani kemukakan pendapatnya, walaupun timbulkan kontroversi. Mungkin kerana waktu itu rakyat Islam sudah banyak kumpulkan harta kekayaan bertumpuk-tumpuk dengan luasnya kekuasaan Islam, dan pesatnya berkembang perniagaan, ramai yang sudah kaya raya.

Pada Abu Dzaar, menumpuk-numpuk harta benda emas perak, dinar dirham dan tidak membelanjakan pada jalan Allah, adalah suatu dosa besar. Segala keperluan berlebih dari yang akan dimakan-pakai, lebih dari sebuah rumah tempat tinggal dan keperluan pelayan, semuanya wajib dikeluarkan untuk tegakkan Jalan Allah. Tidak boleh simpan yang lebih itu, kerana harta itu bukan haknya lagi tapi hak fakir miskin dan Sabilillah. Itu adalah harta-benda tumpukan, yang dilarang oleh ayat (surah At-Taubah) di atas. Pandangan begini pernah dikaitkan oleh golongan-golongan tertentu pada suatu masa, dengan nama ‘sosialisme Islam’.

Abu Dzaar pernah diajak bermuzakarah oleh Mu’awiyah sebagai Penguasa Tertinggi Wakil Khalifah di Syam. Menurut Mu’awiyah, ayat di atas hanya khas untuk Ahlul Kitab, kerana awal ayat menerangkan perangai kebanyakan tok-tok guru agama Yahudi dan pendeta Nasrani, sedangkan pegangan Abu Dzaar ialah hujung atau lanjutan ayat. Tapi bagi Abu Dzaar, ayat itu bukan sahaja untuk mereka (Yahudi dan Nasrani), tetapi untuk kita umat Islam juga!

Pernah pula Shuhaib bin Salmah, amir bawahan Mu’awiyah di Syam mengirim wang bantuan 300 dinar kepada Abu Dzaar. Tetapi ditolak, katanya, “Bukankah engkau dah tahu, tak ada orang yang lebih dari kami dalam hal girah pada Allah? Kami cuma perlu sebuah rumah tempat lindung dari panas, 3 ekor kambing untuk diambil manfaatnya dan seorang khadimah (pelayan) yang dermakan tenaganya… kerana takut akan berlebih-lebihan.” Ertinya semuanya sudah ada, buat apa terima 300 dinar itu lagi, pada hal ramai lagi orang lain yang perlukannya?

Ada lagi riwayat lain. Satu masa antara magrib dengan isyak, Mu’awiyah kirim wang ribuan dirham kepada Abu Dzaar, nak uji pendiriannya. Kali ini hadiah itu diterima. Dia cepat-cepat bahagikan kepada orang yang layak terima, hingga habis licin. Menjelang waktu sembahyang subuh utusan Mu’awiyah itu datang lagi, memberitahu telah tersalah beri wang tersebut. Dengan tegas Abu Dzaar menjelaskan semuanya telah habis diagih-agihkan kepada yang berhak, disebut siapa-siapa orangnya.

Peristiwa ini membuktikan bahawa Abu Dzaar tetap teguh pendiriannya, tidak terima langsung bantuan kerajaan kerana tiada sedikitpun wang tersebut tinggal di tangannya, dan memang dia tidak boleh dibeli pun. Sebagai negarawan ulung, mungkin Mu’awiyah mulai nampak jika pendirian ini dibiarkan berkembang terus, akan berlaku pertembungan antara golongan hartawan dengan golongan yang tidak mampu atau miskin tegar.

Maka segeralah Mu’awiyah mengirim laporan bersurat ke kerajaan pusat Khalifah Usman bin Affan di ibunegara, iaitu Madinah. Abu Dzaar pun dipanggil ke Madinah. Katanya, ketika dia sampai orang-orang di Madinah melihatnya ganjil, macam orang baru yang belum dikenal. Khalifah Usman mencadangkan supaya dia terus tinggal di luar kota Madinah (mungkin bahasa sekarang disebut buang daerah). Dipilihnya sebuah desa bernama Ribzah, terletak antara Makkah dengan Madinah, di sanalah akhirnya dia wafat.

Waktu timbul kemelut tak puas hati dengan Khalifah Usman, ada yang datang menziarahinya sanggup jadi pengikut kalau dia mahu memberontak. Namun dengan tegas dia menolak. Katanya, tatkala Rasulullah SAW masih hidup, pernah menyebutnya sebagai ‘khalil’(iaitu sahabat terlalu karib), juga pernah berwasiat padanya supaya taat-setia pada pemerintah, jangan membantah walaupun pemerintah itu seorang hamba Habsyi yang kepalanya macam anggur kering.

… Dan Rasulullah SAW pun pernah berwasiat, walaupun sedang naik kuda, lalu jatuh cambuknya, hendaklah dia sendiri turun memungutnya jangan minta tolong orang lain. Sebab itu ajakan memberontak tersebut tidak diterima. Namun dia tetap tunduk pada Khalifah dengan ridha walaupun dia dibuang daerah seperti disebutkan, dan takdir Allah rupanya yang menghantar ke tempat pembuangan itu adalah seorang hamba hitam Habsyi yang kerinting rambutnya macam anggur kering juga!

Kesimpulan…

Pertama: Terdapat 2 aliran pendapat salufush sholihin mengenai ayat di atas tentang tumpukan atau lunggukan harta. Satu, pendapat Umar dan anaknya, diikuti sahabat-sahabat teramai. Boleh kumpul harta dengan syarat sumbernya halal dan bayar zakat. Maka lahirlah orang kaya seperti Abdul Rahman bin Auf, sehingga kerajaan dan orang ramai pun dapat menikmati keberkatan hartanya.

Satu lagi, pendapat Abu Dzaar… iaitu, lebih dari perlu tak boleh simpan, kena keluarkan semua untuk jalan Allah. Abu Dzaar tak suka mempunyai harta, tidak pandai berniaga dan tidak perlu menerima hadiah.

Kedua: Walaupun terdapat 2 pendapat, tetapi dasar berfikirnya tetap satu. Iaitu taat kepada Allah, dan berjihad pada jalan Allah dengan harta-benda atau jiwa-raga. Bukan berdasarkan kepada faham kebendaan atau materialisme dengan meninggalkan kepercayaan kepada Allah SWT… dan juga menjadi bukti hidupnya roh ijtihad di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Contohnya dalam kes Abu Dzaar dibuang daerah seperti kisah di atas. Mungkin Khalifah Usman juga berpendapat seperti Mu’awiyah, fahamannya boleh membawa kepada perpecahan. Tetapi beliau tidak mengISAkan (dalam konteks Malaysia) atau menzalimi kawannya yang tidak sependapat dengannya itu. Abu Dzaar juga menerima dengan patuh, kerana kerajaan itu direstui oleh Rasulullah SAW. Bukan kerajaan warisan penjajah kuffar.

Ketiga: Apa lagi bila Abu Dzaar dibenarkan memilih kehidupan di dusun sunyi tidak mengganggu hidupnya sebagai seorang yang zuhud. Bukan sahaja rakyat perlu berzuhud bahkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan perjuangan Islam, atau parti Islam pun perlu berzuhud juga. Dikatakan Presiden Iran sekarang juga seorang yang berzuhud, begitu juga pemimpin Hamas dan lain-lain.

Di Malaysia, anda boleh lihat rumah Tok Guru Nik Aziz dan rumah Tok Guru Haji Hadi, begitu rumahnya 10 tahun dulu, dan begitu juga sekarang. Rumah mereka macam biasa, yang cepat membesar dan membangun ialah masjid di tepi rumah mereka! Begitulah sepatutnya, semua pemimpin-pemimpin tertinggi gerakan Islam, khususnya PAS di Malaysia.

Ada ke pemimipin-pemimpin tertinggi UMNO yang zuhud macam tu?? Wallahu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 12-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails