Monday, February 04, 2008

Sejarah PRU 1 Malaya (1955): Bagaimana Pertembungan UMNO-PAS? Siri 1


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

JAKARTA, menurut Berita APB no 94/th ke 8, pada 22 April 1953, di bawah tajuk ‘Alim Ulama Malaya Dan Soal Pemilihan Umum di Indonesia’. Berbunyi:

“Seluruh alim ulama Malaya dalam satu sidangnya yang diadakan di Selangor dan dikunjungi oleh para alim ulama Malaya dari berbagai tempat telah memutuskan, bahawa penyertaan umat Islam Indonesia di dalam pilihan raya umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya, dan adalah haram jika umat Islam Indonesia tidak ikutserta dalam pilihan raya umum nanti.”

Lebih jauh diterangkan bahawa keputusan alim ulama Malaya itu telah diperkuatkan pula oleh Majlis Syar’iyah atau Majlis Agama Islam di berbagai tempat di Malaya yang kedudukannya persis Mahkamah Islam Tinggi di Indonesia.

Begitu juga fatwa yang diputuskan oleh Muktamar Alim Ulama dan Muballigh Islam Se Indonesia pada 11-15 April 1953 di Medan, dan Keputusan Majlis Syura Pusat MASYUMI, melalui ketuanya K.H.A.Rahman Shihab dan sekretarisnya K.H.M.Saleh Saudi pada 24 Februari 1953 di Jakarta. MASYUMI ialah gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam seluruh Indonesia. Untuk detail lanjut tentang fatwa dan lain-lain sila lihat buku saya ‘Personaliti Muslim’ GG Edar KL (1991).

Sebagai sebuah parti politik yang jelas bercita-cita untuk menegakkan negara Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan rakyatnya, PAS menggunakan landasan pilihan raya sebagai salah satu cara untuk mencapai cita-cita tersebut.

PAS menyertainya, berdasarkan kaedah fiqh yang mengatakan:

“Apabila bertemu dua mudharat, maka hendaklah dipilih yang lebih ringan.”

Tanpa menyertai pilihan raya umat Islam akan lebih mudah dikuasai oleh musuh-musuh Islam dan kuncu-kuncunya, yakni ditimpa oleh mudarat yang lebih besar dan berat. Oleh itu PAS akan tetap menyertai pilihan raya samada menang atau kalah dan belum bercadang akan memboikotnya.

Ada juga yang mengatakan tujuan PAS menyertai pilihan raya persekutuan yang pertama, dengan harapan mempercepatkan langkah-langkah kemerdekaan Tanah Melayu sebagaimana yang diperjuangkan oleh UMNO pada masa itu. PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Tetapi hasilnya, PAS cuma dapat satu kerusi parlimen sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin.

PAS juga dapat satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut. Selebihnya di kerusi parlimen, dimenangi oleh Parti Perikatan melalui 34 calon Melayu UMNO, 15 calon Cina MCA dan 2 calon keturunan India MIC. PAS berjaya memperolehi 3.9% undi parlimen dari jumlah 84.46% pengundi yang keluar mengundi.

Maka tinggallah Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, sebagai satu-satunya wakil pembangkang tunggal di parlimen, atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan. Sebab-sebab kemenangann dan isu-isu yang dimainkan akan dihuraikan kemudian. Kita lihat dulu beberapa pandangan sebab-sebab kekalahan PAS dalam pilihan raya itu telah dikemukakan.

Menurut Ustaz Salehuddin Abdullah, “Adalah disebabkan oleh ketidak upayaannya menembusi kubu UMNO yang sudah begitu kuat, lebih-lebih lagi rakyat pada masa itu sedang mabuk dengan angin kemerdekaan yang secara kebetulan bersesuain dengan isu yang dibawa oleh UMNO.”

Clive S Kessler pula berpendapat “Kekurangan organisasi pembangunan yang sampai ke kawasan pendalaman di mana kebanyakan daripada pengundi tinggal. Lagipun, sebagai sebuah parti politik yang baru muncul, PAS belum lagi berkemampuan meluas dan belum mempunyai rancangan dan organisasi yang teratur.”

Ustaz Kheider Khatib pula berpandangan, “Kekalahannya adalah akibat daripada masalah kewangan.”

Di Kelantan PAS cuba rebut 3 kerusi parlimen atau Dewan Rakyat. Calonnya, Haji Mohd Asri bagi kawasan Pasir Puteh dan Bachok. Haji Mohd Nor bagi kawasan Macang dan Ulu Kelantan, dan Haji Mokhtar Haji Ahmad bagi kawasan Pasir Mas. Semuanya kalah belaka. Dua darinya hilang deposit, kecuali di Pasir Mas yang calonnya Haji Mokhtar.

Ustaz Amaluddin Darus mengulas… Dua perkara besar telah dijadikan isu oleh UMNO untuk mengalahkan PAS. Pertama: ‘Kita pun mahu Islam, tapi merdeka dulu!’ Kedua: ‘Masalah orang Cina yang berkongsi menyokong UMNO, itu adalah syarat Inggeris untuk memberi kemerdekaan pada Tanah Melayu. Kerana itu orang-orang Cina menolong kita, dan apabila kita dapat merdeka, orang-orang Cina kita campakkan seorang demi seorang ke laut’.

Ertinya, UMNO yang berkongsi kuasa dengan parti MCA dan MIC waktu itu adalah kerana terpaksa, sebab Inggeris takkan beri merdeka kalau hanya kepada bangsa Melayu atau yang beragama Islam saja. Inggeris gunakan strategi ‘pecah-pecah perintah’ dengan meniup api perkauman melalui UMNO dengan mudah, apabila mereka berjaya wujudkan ‘kuasa politik’ kepada bangsa-bangsa pendatang yang tak sepatutnya ada kuasa pada waktu itu.

Api perkauman ciptaan penjajah itulah yang ditiup oleh talibarut-talibarutnya, dari dulu sejak PRU 1 hingga ke PRU 12 sekarang…

Insya Allah bersambung.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 04-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails