▼
Friday, February 29, 2008
Undi BN Kalau Gerai Anda Nak Kena Roboh..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
MALAM itu saya lalu depan simpang sebuah jalan di AU3/31, di situ di tanah kosong sebelumnya sudah ada markas UMNO/BN. PRU 11 lalu, tanah itu digunakan sebagai markas Parti Keadilan. Seseorang datang memberi pada saya dua buku kecil, sambil bermanis mulut menjemput ke majlisnya, “Kami cuma adakan majlis ceramah kelumpuk-kelumpuk kecil, datanglah kalau sudi!”
Saya faham, ceramah kelumpuk-kelumpuk kecil ialah ceramah kepada sasaran pengundi. Biasanya mereka yamg sudah dikenal pasti sebagai pengundi di situ yang dijemput. Ucapan kepada mereka adalah ucapan kepada sasaran yang tepat. Bukan macam ceramah umum, ianya macam meriam buluh. Bunyi tembak saja kuat, tetapi tak kena sasaran. Kerana orang yang hadir ceramah, rata-rata bukan orang kawasan situ, atau pengundi yang berdaftar di situ.
Dari sudut pengundian jangka pendek, ianya dianggap membazir sahaja, cuma untuk memberitahu bahawa pasukan kita ada di situ... boleh le. Dua buku kecil diberi kepada saya itu, terbitan Seksyen Makro dan Pengswastaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam. Satunya bertajuk ‘Perlaksanaan Agenda Pembangunan Negeri Selangor Darul Ehsan’ (Tiada tulis penerbit tetapi ada lambang kerajaan Selangor) dan ‘Dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor (DKNS)’. Tentu biayai cetaknya ditanggung oleh Kerajaan Negeri, tetapi digunakan untuk kepentingan kempen BN.
Dalam buku DKNS terdapat 32 dasar kerajaan Selangor. Dasar ke10 ialah Dasar Gerai Haram Sifar. Dalam dasar ini ada disebutkan antaranya ‘menempatkan semula gerai-gerai dan penjaja-penjaja makanan secara haram yang terdapat secara berselerak’ dan ‘menyusun program penempatan semula gerai-gerai tanpa lesen’. Terdapat 4 cara perlaksanaan, antaranya ‘menempatkan peniaga-peniaga tanpa lesen’, melesenkan gerai yang tidak terlibat dengan ‘kacau ganggu....’, ‘memindahkan gerai-gerai’, dan akhirnya ‘tindakan merobohkan gerai-gerai’.
Kesimpulannya, Dasar Gerai Sifar ini adalah dasar yang memberi kuasa penuh kepada pemimpin-pemimpin BN melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menindas habis-habisan peniaga-peniaga kecil terutamanya orang Melayu demi kepentingan politik dan perut mereka. Dengan itu berlakulah penindasan kepada peniaga-peniaga kecil seperti...
1. Peniaga pasar malam terpaksa membayar duit tapak, duit sampah (peniaga pasar malam sebut ‘duit kepala bakung’) dan lain-lain tiap hari, tidak kira samada berniaga hari itu untung atau rugi.
2. Lesen niaga pasar malam amat susah nak dapat. Ikut suka PBTlah bila dia nak bagi, peniaga cuma boleh minta saja.
3. Gerai-gerai pun ikut suka mereka, bila nak diroboh atau tidak. Kalau diroboh berbagai alasan diberi, orang itu komplen, orang ini komplen..
4. Yang jelas kalau di kawasan Sungai Besi, gerai-gerai peniaga Cina masa berniaga letak meja sampai tengah jalan pun boleh. Di kawasan Melayu, letak kaki meja kena tepi jalan sikit pun tak boleh, terus diangkut PBT atau MPAJA kalau di Ulu Klang..
5. Maka tinggallah gerai-gerai tomyan milik warga Thailand, dan gerai-gerai kedai runcit milik orang Aceh berselerak di KL dan Selangor. Anak-anak sendiri ditinggalkan, sedang monyet-monyet di hutan disusukan! Apa punya kerajaan macam ni??
6. Peniaga-peniaga kecil atau yang baru nak berniaga boleh mintalah apa-apa gerai yang dijanjikan, namun jawapannya tetap dalam perhatian. Perhati sampai mati...
7. Apalagi mohon pinjaman, bantuan modal dan lain-lain.
8. Mohon lesen perniagaan gerai, kereta surung dan lain-lain.
9. Semuanya tidak dijelaskan apa-apa kriteria dan syarat. Kalau kroni yang tak boleh pun jadi boleh.
10. Itulah antara kezaliman BN kepada peniaga-peniaga kecil.
Teringat saya semasa PRU 10, Mohamed Azmin Ali menang, ada seorang peniaga di gerai-gerai setinggan Jalan AU3/31 ini, depan markas setinggan UMNO/BN sekarang telah dituduh oleh seorang YB UMNO sebagai pengedar HARAKAH (bukan pengedar dadah), maka seluruh gerai-gerai deretan tersebut dalam kawasan MPAJ itu dirobohkan. Saya tidak tahu di mana dia sekarang, selepas diusir dari surau setinggan berhampiran yang didudukinya beberapa bulan (bersama seorang isteri dan anak-anak), kerana tiada sumber pendapatan dan rumah tempat tinggal.
Begitu juga tapak markas UMNO/BN ini juga dulunya bekas sebuah kedai jahit peniaga Melayu yang dirobohkan oleh MPAJ. Tetapi sekarang semua tapak gerai-gerai itu telah boleh dinaikkan gerai-gerai setinggan semula. Nampaknya tidak ada kriteria dan syarat-syarat tetap yang dipraktikkan MPAJ. Jelasnya mereka pun guna ISA atau Ikut Suka Aku yang diberi kuasa oleh BN untuk menzalimi peniaga-peniaga kecil Melayu. Jadi, Undi BN adalah undi memberi kuasa supaya gerai peniaga-peniaga kecil Melayu dirobohkan atau peniaga-peniaganya dizalimi.
Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Bertemu lagi, Insya Allah.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 29-02-08. KL
saya suka blog anda. terus menulis!!
ReplyDelete