▼
Wednesday, March 19, 2008
2 Ahli Parlimen Sokong, Anwar Yakin Kuasai Parlimen..
Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:
MALAM tadi kebetulan saya singgah di suatu majlis menyambut kemenangan Keadilan/PAS di AU3 Ulu Klang. Saya terlewat, tetapi sempat dengar ceramah tarakhir oleh YB Mohamed Azmin Ali (PKR) yang menang di P 098 (Parlimen) Gombak dan di N.19 (DUN) Bukit Antarabangsa dalam kawasan P 099 (Parlimen) Ampang.
Dikatakan juga YB Saari Sungib (PAS) ADUN N.18 Hulu Kelang turut berceramah awalnya. Majlis diadakan di tepi jalan tempat terbuka sahaja, nampaknya tiada gangguan apa-apa, tiada polis mengawal dan semuanya berjalan baik. Maklum, “Kita sudah perintah Selangor, sekarang!” kata seseorang yang turut hadir dalam majlis itu.
“Berita terbaru menurut Dato’ Seri Anwar, sudah 2 ahli parlimen menyokong kita sekarang. Kita akan umum sikit masa lagi. Kita hampir kuasai parlimen sebulan dua lagi…” Kata YB Azmin dengan penuh keyakinan. Disambut dengan tepukan bergemuruh. (Sila lihat blog saya ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi..’ Mac 08.)
Tiba-tiba… “Ibnu Hasyim ke?” Seseorang bertanya sambil merenung muka saya.
“Ya!” Al-hamdulillah. Kami saling perkenal diri. Rupanya kami kawan lama, hampir 25 tidak bertemu.
“Semasa di universiti lagi, saya selalu ke tempat kamu sejak di Gombak di suatu kawasan bukit sampai ke Keramat sini, takkan tak ingat?” Kata beliau. “Kita sama-sama bantu Ustaz Osman Razak calon PAS sekitar awal tahun 80an dulu. Waktu itu kamu antara orang awal pengeluar keset-keset ceramah agama jenama ‘Ad-Dakwah’, di KL. Kamu antara pencetus gelombang kebangkitan keset-keset agama dan politik yang banyak memberi sumbangan kepada arus kebangkitan Islam pada masa itu.
Sekarang saya dipilih sebagai Ketua Cawangan PAS di kawasan sini. Kawasan kamu tinggal sekarang (setelah saya beritahu beliau saya tinggal di AU3) masih belum ada cawangan lagi. Kalau boleh kita nak adakan cawangan di situ. Saya akan beritahu YB Saari Sungib… Kita boleh fikirkan apakah agenda-agenda yang perlu untuk mengisi kemenangan yang telah dan akan kita capai ini. Insya Allah.”
Sahabat beliau pula menambah, “Kita kena fikirkam juga bagaimana hendak menarik anak-anak muda kita ke arah agama. Itu sebab perlunya kita tubuh cawangan.”
“Ya. Insya Allah saya akan bantu. Kita juga boleh fikirkan untuk cari alternatif lain pengganti peranan keset. Antaranya peranan blog-blog yang membantu kemenangan kita dalam PRU 12 baru-baru ini.” Jelas saya.
Masih sembang-sembang PRU 12. Wallahu’aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 19-03-08. KL.
Blog saudara telah dimasukkan ke beraspadu
ReplyDelete