Monday, March 17, 2008

Mengapa PAS Gagal Di Terengganu?



Faktor Dominan Kegagalan PAS di Terengganu: Pengaruh Daftar Pemilih PRU 2004.

Faktor dominan kegagalan PAS membentuk kerajaan negeri di Terengganu ialah pengaruh Daftar Pemilih PRU11 2004. Kita sewajarnya sangsi dalam keadaan sokongan akar umbi masih berpihak kepada kita terutamanya pada 18 kerusi DUN, namun apabila keputusan diumumkan kita masih tewas dengan sesetengahnya dengan majority yang agak besar.

Contohnya, Kuala Besut, majority BN (2004 - 2,027 , 2008 – 2,631), Kota Putera, majority BN (2004 – 2,013 ; 2005 – 3,332). Ada 11 DUN undi majoriti BN meningkat. Ini adalah satu keanehan dalam situasi pertelagahan kes calon dalam UMNO dan isu-isu nasional yang menjejaskan sokongan pengundi atas pagar kepada BN.

Culaan yang dibuat oleh parti mensasarkan kita dapat sekurang-kurangnya 18 DUN. Biasanya sasaran ini tidak jauh menyimpang. Tetapi dengan hanya 8 kerusi yang berjaya diperoleh, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan proses pilihanraya di Terengganu khususnya pada tahun ini.

Kewujudan pengundi hantu dan pengundi berganda amat relevan untuk diperkatakan di Terengganu dan Kelantan. Begitu juga tentang undi pos. Mohd Sabu memang lebih kurang 200 undi kalau tidak dikira undi pos. Daripada undi pos,PAS dapat lebihkurang 80 undi dan BN dapat hampir 1000 undi. Apa cerita ini? Dan kalau kita rajin membuat kajian tentang undi pos seluruh negara, kita akan dapati nisbah kasar undi pos kepada PAS: BN ialah 1: 10 malah lebih kecil daripada itu kecuali berlaku pada satu dua tempat pada pilihanraya 1999. Walaupun ada pemantauan atau wakil calon di pusat undi pos tentera dan polis tetapi ke manakah dibawa kotak-kotak undi itu. Siapakah yang menyimpannya SPR atau Ketua-Ketua Polis?

Kalau kita lihat, purata pengundi yang keluar mengundi di seluruh Terengganu ialah sekitar 85%. Apakah angka ini tidak tinggi dan tidak antara yang tertinggi di seluruh negara? Tiga DUN iaitu Teluk Pasu, Manir dan Kuala Berang puratanya 88%. Biar pun pengundian agak lembab dengan cuaca yang muram, namun sangkaan kita yang menjangkakan pada awalnya purata keluar mengundi kurang dari 80% ternyata meleset. Apabila keputusan disiarkan di dada akhbar kita dapati puratanya melebih 80%.

Ingatkah anda, dalam satu berita maya, dimaklumkan bahawa Ideris Jusoh apabila ditanya oleh pemimpin mereka tentang keadaan terkini BN tiga empat hari sebelum 8 MAC, ada berkata seolah-olahnya dia dapat tidur lena kerana dua factor iaitu pengundi luar (hantu) dan kad pengenalan palsu. Adakah kita patut tidur lena dengan berita ini?

Akhir sekali, satu soalan yang ingin saya lontarkan kepada semua pihak umumnya dan kepada PAS khususnya: BILAKAH PAS ATAU SPR TELAH BERJAYA MEMBERSIHKAN DAFTAR PEMILIH 2004 YANG MASIH DIGUNAPAKAI PADA 2008 INI?


Implikasi Kejayaan BR: Menubuhkan Kerajaan Pusat Bila-bila Masa

Kini Barisan Rakyat (BR) sudah memiliki 82 kerusi parlimen. Sesebuah parti yang ingin menubuhkan kerajaan pusat mestilah sekurang-kurang memiliki 112 kerusi parlimen. Ini bermakna BR hanya memerlukan sebanyak 30 kerusi sahaja lagi untuk membentuk kerajaan pusat yang baru. Dari manakah 30 kerusi ini mampu diperolehi?

Dalam keadaan BR yang kuat dan BN yang semakin lemah, kemungkinan untuk berlaku lompatan di kalangan ahli palimen adalah tidak mustahil. Kemungkinan untuk ahli parlimen BR dibeli oleh BN ada dan kemungkinan ahli parlimen BN melompat ke BR pun ada. Bukan sekadar itu, tidak mustahil parti komponen BN akan keluar BN dan bergabung dengan BR.

Kemungkinan ini lebih besar diandaikan kepada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak. Mereka mengikut arus di Semenanjung. Jika BN tidaklah menjaminkan sesuatu kepada mereka atau mereka lebih yakin pada BR yang diterajui oleh DS Anwar Ibrahim, maka akan berlaku nanti tsunami politik yang kedua iaitu, pembentukan kerajaan pusat yang baru dengan DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Parti-parti di Sabah dan Sarawak tidaklah mesra-BN sebagaimana MCA dan MIC. UMNO datang ke Sabah dalam bentuk meluaskan jajahan UMNO itu sendiri. Dan atas dasar kepentingan dan perkiraan politik, parti-parti peribumi di Sabah sanggup membubarkan parti mereka dan menubuhkan UMNO. Maka sudah pasti kecintaan mereka kepada UMNO tidaklah sekuat mana.

Jika parti-parti tersebut yakin dengan bilangan kerusi parlimen mereka mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat di bawah BR di samping tawaran-tawaran bijak dari DS Anwar Ibrahim, maka sudah pasti naiklah kerajaan baru dan merudumlah UMNO dan BN. Ketika itu tidak mustahil beberapa orang ahli parlimen UMNO sendiri mula melompat ke BR.

Apabila perkara di atas terjadi, maka terbitlah implikasi-implikasi baru yang lebih menarik. Antaranya corak dan gaya pemerintahan, dasar-dasar baru negara, penguasaan media massa, pembersihan badan kehakiman dan pembaikpulihan pasukan keselamatan,SPR, pembasmian rasuah dan pendakwaan ke atas kaki rasuah dan sebagainya.

Seandainya itu terjadi, saya tak yakin UMNO mampu bernafas lagi di bumi Malaysia. UMNO ialah parti kebendaan, projek dan pangkat. UMNO bukan seperti PAS yang berjuang di atas dasar akidah yang jelas. Justeru itu, tunggulah muka-muka pemimpin dan ahli-ahli UMNO menjadi peminta sedekah dengan cara memuji BR dan mengutuk-ngutuk BN dan UMNO yang selama ini mereka julang macam orang utan menjulang pisang.

Ikang Dukang Kemaman

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails