Tuesday, March 11, 2008

Siapa Pencetus Gelombang Senyap Belakang BN?



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


GELOMBANG senyap dari utara rupanya telah meranapkan sebahagian kekuatan BN. Tidak pernah berlaku begini dalam sejarah Malaysia sebelumnya, walau dalam Pilihan Raya Umum tahun 1969 yang hampir menghanyutkan Pulau Pinang dan Selangor dari tangan Perikatan. Gelombang yang bertolak dari Kedah terus ke Pulau Pinang, Perak dan Selangor, bahkan tempiasnya hingga ke Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Kenapa saya sebut dari utara? Kerana Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor BN masih boleh bertahan. Kenapa Perlis tidak kena tempiasnya? Kerana ada sebab-sebab tertentu yang sama dengan sebab kemenangan calon BN (Datuk Mukhriz Tun Mahathir) di Jerlun (P.005) dengan majoriti 2,205 undi, lebih dari PRU sebelumnya (calonnya Datuk Abdul Rahman Ariffin) yang berjumlah 2,142 undi.

Sedangkan di P.041 Kepala Batas, calon BN Perdana Menteri Pak Lah sendiri mojoriti kemenangannya merosot kepada 11,246 undi, dari PRU sebelumnya berjumlah 18,122 undi.
Di P.085 Pekan kawasan Timbalan Perdana Menteri, majoritinya kemenangannya bertambah kepada 26,464 undi, dari sebelumnya 22,922 undi. Apakah kemerosotan BN kali ini kerana faktor Pak Lah yang sudah dibuktikan dengan kelemahan setelah beberapa tahun memerintah?

Yang juga sama dengan anggapan sebelumnya kemenangan BN PRU 11 dulu kerana faktor beliau dengan slogan ‘Mr Clean’nya setelah baru beberapa bulan memerintah?? Khabarnya di Perlis, nasib baik Menteri Besar Perlis masih terpilih bertanding di DUN Perlis, kalau tidak mungkin Perlis akan menghadapi nasib macam negeri Kedah juga. Kononnya, MB Perlis itu terpilih di saat-saat akhir, setelah rayuannya diterima PM.

Ada juga kalangan menyebutkan kerana beliau dipilih jadi MB di bawah pimpinan Dr Mahathir, maka beliau digolongkan sebagai kroni Dr Mahathir yang masih taat. Sebab itu di Perlis BN masih boleh bertahan, kerana pengaruh Dr Mahathir masih kuat di kalangan pengundi-pengundi BN. Begitu juga di P.006 Kubang Pasu kubu kuat BN, sepatutnya calon di situ adalah Datuk Mukhriz anak Dr Mahatihir, tetapi dipindahkan ke P.005 Jerlun. Kesannya walaupun BN menang di Kubang Pasu dengan majoriti 7,060 undi tetapi agak kurang berbanding PRU sebelumnya yang berjumlah 13,712 undi.

Mengapa pula pengundi-pengundi bukan Melayu tidak menyokong BN ? Telah saya ulas ramalan di blogger saya sebelum PRU 12 lagi di bawah tajuk ‘4 Sebab Pembangkang Tawan Pulau Pinang?’ pada hujung Januari lalu. Antara sebab-sebabnya ialah:

“Pertama: Dalam tinjauan awal kami kepada ketua-ketua masyarakat orang Cina di PP (Pulau Pinang), didapati mereka mula ‘beralih angin’ kepada pembangkang. Mereka akan tolak BN antaranya, atas 2 sebab.

Satu… Mereka sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan BN mampu menaikkan balik ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Mereka risau perniagaan mereka yang mulai merosot akan terus menjunam. Hal ini mungkin melibatkan cara hidup mereka berubah kepada merudum.

Dua… Seperti yang dibangkitkan oleh YB Hamdan Abdul Rahman ADUN Permatang Pasir dalam pembahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 (pada 19.11.2007) , kata beliau “Perangkaan jenayah yang disebutkan itu (disenaraikan mengikut tahun bagi negeri PP) ‘adalah amat membimbangkan sekali’ … kes-kes itu termasuklah kes bunuh, kes cabul kehormatan, kes samun senjata api, kes curi, kes curi motosikal, kes pecah rumah, kes ragut dan lain-lain …meliputi semua daerah dalam negeri kita P.Pinang ini.’ Ketakutan yang meruncing ini, termasuk penculikan kanak-kanak yang tak mampu diselesai oleh kerajaan menyebabkan rakyat akan menolak BN.

Kaum India juga begitu. Buktinya, dalam himpunan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, walaupun kerajaan terpaksa beri cuti umum bagi Selangor Wilayah untuk meramaikan, namun kehadiran dilaporkan amat tidak memuaskan. Sebuah akhbar melaporkan, untuk pertamakali sejak 40 tahun, sebuah pertubuhan Hindu Divine Life Society (DLS) terpaksa membuang begitu sahaja makanan percuma yang disediakan untuk 20,000 orang, tetapi kehadiran jauh lebih rendah.

Hal ini menolak tafsiran kehadiran yang berjumlah kira-kira 1 juta oleh Presiden MIC. Dikatakan, sebab itu orang India PP sedia membantu pembangkang untuk pilihan raya ke 12 ini.”

Apakah faktor Dr Mahathir juga mempengaruhi pengundi-pengundi bukan Melayu ini? Atau sebab-sebab di Pulau Pinang tersebut di atas juga mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu? Begitu jugakah dengan peranan Datuk Seri Anwar dari Parti Keadilan Rakyat turut mempengaruhinya? Insya Allah tunggu ulasan selanjutnya, di bawah tajuk ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi..’

Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 10-03-08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails