Friday, March 21, 2008
Tubuh Cawangan PAS Tak Sampai 24 Jam, Strategi Baru?
Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
“HANG kata hang nak bantu tubuh cawangan PAS di sini, aku yakin.” Kata seorang kawan kepada saya. “Hang ingat tak, kita sama-sama tubuh PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar awal 80an dulu. Hang dilantik jadi Ketua Pemuda PAS KL Bandar yang pertama (Sekarang, PAS Kawasan Bukit Bintang). Hang juga terlibat dalam penubuhan Koperasi Al-Hilal Berhad, pernah jadi Lembaga Pengarah (1988-1992), Exco, AJK Projek dan Pengerusi Lajnah Latihan Seranta. Hang yang mulakan projek jual sabun serbuk Al-Hilal… Lepas tu cecair cuci pinggan mangkuk Al-Hilal..”
“Ya. Tapi pengalaman tubuh cawangan PAS ini, lebih banyak saya dapat di kampung saya, di Balik Pulau, Pulau Pinang. Puluhan cawangan ditubuhkam dalam masa yang singkat. Maklumlah kawasan baru. Saya jadi YDP Kawasan Parlimen Balik Pulau sejak mula didaftarkan (1986) kira-kira 10 tahun. Begitu juga penubuhan PAS cawangan Islamic City dalam kawasan Titiwangsa sekarang.” Saya jelaskan.
Teringat saya pengalaman menarik waktu menubuh satu cawangan PAS di Pondok Upeh Balik Pulau. Kami minum pagi disebuah kedai di kampung itu. Dapat berita gempar malam sebelumnya, pihak polis telah beroperasi ‘sarang ganja’ anak-anak muda kampung itu, kebetulan di sebuah pondok kecil berada di tepi sungai, dengan menolak jatuh pondok itu ke dalam sungai.
“Ha! Ini peluang baik. Kita buat perjumpaan dengan orang kampung, jelaskan isu ini dari sudut perundangan, agama dan lain-lain, malam ini juga.” Cadang saya. Akhirnya kami sebarkan surat jemputan ke majlis dialog di rumah seorang anak mukim situ. Kami hantar surat dari rumah ke rumah yang kira-kira 100 rumah di sebelah tengahari hingga petang. Malamnya terus diadakan majlis di kalangan penduduk, kira-kira 15 orang sahaja hadir.
“Tujuan perjumpaan malam ini ialah untuk menangani masalah-masalah orang kampung. Walaupun kami dari PAS belum dipilih jadi wakil rakyat dalam pilihan raya, dan belum dapat perintah negara ini tetapi adalah menjadi tugas sebagai orang Islam, apalagi dari parti Islam untuk sama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah umat. Tiada siapa yang mahu anak-anak kita jadi penagih dadah. Marilah kita sama-sama tangani masalah remaja kita, kami ada peguam, kami ada ustaz, marilah kita sama-sama cari jalan selesai…” Antara isi ceramah saya sebagai YDP PAS Kawasan ketika itu.
Setelah bersoal jawab, maka dapat keputusan untuk melantik beberapa wakil dari kampung itu bersama-sama PAS berurusan dengan pihak-pihak berkaitan. Wakil-wakil itulah akhirnya jadi jawatankuasa penaja penubuhan cawangan PAS di situ. Begitulah caranya kami menubuhkan cawangan-cawangan PAS di seluruh Baratdaya Pulau Pinang dalam masa tidak sampai 24 jam tiap cawangan.
Antara perkara yang perlu disediakan dalam ‘Operasi Tubuh Cawangan 24 jam’ itu ialah:
i. Beberapa mujahid yang sanggup mengorbankan masanya satu hari, dari 7 pagi hingga 12 malam. Tugasnya ialah mencari isu tempatan, bagi menarik orang kampung hadir dalam majlis dialog yang akan diadakan malamnya. Boleh mengutipnya melalui sembang-sembang kedai kopi, sambil jogging pagi-pagi atau berbagai cara lagi.
ii. Cari tempat buat majlis, yang penting kalau boleh di rumah orang berpengaruh kampung itu juga. Kami pernah buat majlis dialog di tempat terbuka contohnya di bawah pokok rendang di Sungai Pinang Balik Pulau dan di tepi pantai Teluk Bahang, kerana waktu itu nak dapat rumah pun sukar kerana berbagai halangan dari musuh-musuh PAS.
iii. Tugas mujahid-mujahid itu ialah berdepan dengan orang ramai, dari rumah ke rumah, pasar-pasar dan sebagainya, menjemput mereka hadir ke program dialog malamnya.
iv. Perlu ada sedikit wang untuk menggerakkan jentera tersebut.
Hal ini berlaku dalam negeri yang diperintah BN, tetapi kalau di negeri-negeri yang diperintah PAS, PKR dan DAP, saya ingat lebih mudah lagi, apalagi bila terdapat ramai wakil-wakil rakyat dari kalangan parti gabungan alternatif.
Menurut Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus dalam bukunya “Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) orang pertama membawa masuk PAS ke Kelantan, beliau menggunakan taktik dan strategi dakwah yang sesuai dengan kehendak masyarakat kampung waktu itu. Pernah dalam mesyuarat AJK Pasir Mas pertama ditubuhkan di Kelantan, beliau menggariskan slogan-slogan kerja yang perlu dilaksanakan, antaranya:
i. ‘Menghidupkan kembali ajaran Islam yang sekecil-kecilnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah, nescaya ditolongNya menghidupkan ajaran yang besar-besar.’
ii. ‘Hidupkan ajaran Islam ke dalam masyarakat’.
iii. ‘Jika kita menolong agama Allah, nanti Allah menolong kita.’
Antara kerja-kerja awal kader-kader kepada sasaran dakwah politiknya, untuk terjun ke tengah masyarakat ialah:
“Memberi salam kepada Muslim yang dikenali atau yang tidak dikenali. Mengatakan ‘Yarhamukallah’ kepada seorang Muslim yang bersin. Memberi nasihat kepada seorang Muslim apabila dia meminta nasihat. Melawat seorang Muslim yang sakit, dan melawat seorang Muslim yang meninggal dunia, membawa sedikit hadiah bantuan sebagai tanda simpati terhadap keluarga yang sedang berdukacita. Kemudian memandi jenazahnya, sembahyangkan jenazahnya dan iring jenazahnya ke kubur.”
Hal-hal seperti ini juga perlu diperhatikan dalam penubuhan cawangan PAS.
“Insya Allah, marilah kita sama-sama tubuh cawangan PAS sebagai pengisian kepada kemenangan kita dalam PRU 12 baru-baru ini.” Kata kawan saya tadi.
Wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 20-03-08. KL.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Yang dihormati sdr Ibnu Hasyim,
bila nak update blog? mengenai lompatan rakan Borneo kita.
salam
Wow!! Tak Terpikir saya sebelum ni... bravo , terima kasih
Post a Comment