Sunday, April 06, 2008

Sejarah PAS 11: Muktamar ke 5 Yang Menarik..


Senikata Asal Lagu Rasmi PAS digubah oleh Allahyarham Abdullah Bukhari

Gambar atas: Abdullah Bukhari (bercemin mata) dan Dato` Mohd. Asri

Allahyarham Abdullah Bukhari adalah penggubah lagu PAS (mantan conductor orkestra Tala Wijaya) dan senikatanya pula disusun oleh Allahyarham Dato` Mohd.Asri bi Hj.Muda (mantan MB Kelantan) untuk dikumandangkan dalam Mesyuarat Agung PAS ke-5 di Kuala Lumpur. Senikata asalnya diubah sedikit mengikut perkembangan semasa, iaitu 'Selamatlah Persatuan Islam Melangkah' ditukarkan kepada 'Selamatlah Parti Islam Melangkah'


IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 11

BANYAK yang menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5 ini. Muktamar telah menerima sebuah lagu dari cawangan Kota Bharu, dijadikan lagu rasmi PAS. Lagi digubah oleh Abdullah Bukhari yang terkenal di Kota Bharu dan senikata disusun oleh Muhammad Asri. Muktamar telah menerima lagu tersebut. Senikatanya ialah…

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau kalah atau capai kemenangan.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau rebah atau tegak kejayaan.

Berjuanglah wahai ansharullah
Dengan semangat yang tak kenal kalah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan.

Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka
Beramallah wahai roh yang suci
Hingga nyata benarnya janji Robbi.

Ulangan:

Selamatlah Persatuan Islam melangkah
Membimbing umat ke medan siasah
Berpedomankan Qur’an dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan berbuah.

Inilah kali pertama PAS memiliki lagu rasmi… Tapi adalagi yang menarik dalam muktamar ini, iaitu majalah rasmi PAS pula. ‘Suara Islam’ yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan. Pengurus dan pengarangnya adalah saudara Muhammad Asri yang juga menjadi Pesuruhjaya PAS bagi Kelantan dan Terengganu sejak awal tahun 1955 lagi. Beliau menyertai PAS tahun 1953 atas jemputan Saudara Othman Abdullah. Beliau terus berkhidmat sebagai pembantu atau setiausaha kerja dan pegawai tetap di Pejabat Agung PAS.

Waktu itu Setiausaha Agung PAS ialah Encik Ahmad Awang, seorang Guru Besar sekolah Melayu yang masih dalam perkhidmatan kerajaan. Semasa Tuan Haji Ahmad Fuad (Yang Dipertua Agung PAS pertama) keluar PAS, Pejabat Agung PAS terpaksa dipindahkan dari menumpang di Madrasah Masriah Bukit Mertajam (Seberang Perai), kerana Pengetua dan Pengelolanya Tuan Haji Ahmad Fuad sendiri menghendaki begitu. Akhirnya terpaksa menumpang pula di madrasah yang dikuasai oleh Tuan Haji Ahmad Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad Maliki di Kepala Batas (Seberang Perai).

Penolong pengurus atau pengarang Suara Islam itu pula adalah Saudara Amaluddin Darus. Saudara Amaluddin, orang pertama yang membawa masuk PAS ke Kelantan itu baru ambil-alih jawatan ketua atau Yang Dipertua PAS cawangan Kota Bharu dari Encik Muhammad Daud Haji Saleh. Beliau yang dilahirkan di Kedah pada 24 Disember 1927 (sama dengan tahun kelahiran Ustaz Zulkifli Muhammad) juga menjadi Setiausaha Perhubungan PAS bagi Kelantan dan Terengganu.

Semua kerja-kerja yang dibuat oleh Muhammad Asri dan regu penerbitan majalah tersebut tidak pernah dibayar oleh PAS. Suara Islam isu pertama diterbitkan pada 17 Disember 1956. Antara kandungannya ialah sedutan ceramah Ustaz Zukifli Muhammad, Ahli Jawatankuasa Politik PAS waktu itu. Iaitu ceramah yang ditujukan khas kepada pegawai-pegawai dan jentera parti. Mari kita lihat antara kandungan dan pandangan Ustaz Zulkifli…

Mengenai tujuan dan cita-cita Ustaz Zulkifli mengatakan:

“Kita adalah umat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat hukum-hukum Allah itu dapat dilaksanakan di bumi Allah ini. Kalau dulu cita-cita Islam itu dapat dilaksanakan, maka tidak ada sebab mengapa kita ketinggalan. Maka dengan dorongan ini, dan dengan kepercayaan bahawa hanya dengan ajaran Islam, dengan dasar hidup Islam itu sahajalah kita boleh selamat, maka inilah sebabnya kita percaya kepada pergerakan kita, kepada persatuan kita sendiri.”

Mengenai kemerdekaan beliau mengatakan:

“Kita mahu merdeka sama seperti orang lain, kita mahu makmur sama seperti orang lain, kita mahu samarata seperti orang lain. Akan tetapi semuanya itu kemerdekaan kita, kemakmuran kita, dan samarata kita, semuanya kita mahu dilingkungi oleh hukum-hukum Islam, oleh kebijaksanaan yang dipesan oleh Allah SWT dan oleh Nabi Muhammad SAW”

Tugas menerang dan memberi kefahaman kepada rakyat, kata beliau:

“… kita merasa adalah penting bagi kita sendiri memperjuangkan, hingga fahamlah orang bahawa saloran hidup yang kita perjuangkan ini adalah pembawa bahagia bagi mereka. Perhatilah, bahawa kalau semuanya fikiran-fikiran yang benar ini menang, maka tentulah dunia ini aman, tentulah dunia ini dipenuhi oleh kebenaran dan keadilan. Tetapi yang kita lihat adalah sebaliknya.”

Mengenai perjuangan dan pertarungan melalui medan domokrasi, beliau begitu menekankan soal aktiviti, kegiatan dan susunan kerja:

“Demokrasi, kata pakar-pakar politik, adalah satu cara pemerintahan yang bukan pemerintahan orang ramai. Sebaliknya ialah pemerintahan mereka yang rajin dan giat dari orang ramai. Ya, kalau orang Islam dan umat Islam yang berjiwa Islam itu lebih ramai, tetapi tidak giat, tidak rajin, maka pastilah faham Islam itu akan tenggelam. Kerana sebenarnya siapa yang rajin, yang berkerja, dan yang bergiat, itulah yang mendapat tempat dalam masyarakatnya. Dalam perkara ini, susunan kegiatan itulah yang penting dan inilah pula yang penting kita perhatikan.”

Beliau yakin akan menang:

“Inilah pendirian kita. Kita yakin bahawa kita akan menang, bukan sahaja dalam susunan kerja kita, malah dalam ertikata membawa kemenangan sejati, dan kebahagiaan hidup kepada negeri ini.”

Tetapi beliau memberi amaran:

“…. Ingatlah bahawa tidaklah ada kebenaran yang menang dengan tidak berkerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia berkerja. Merdeka dan Allahu akbar.”

Lebih menarik lagi apabila Muktamar Agung PAS ke 5 ini mendapat liputan dari ‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957. Penulisnya adalah Amaluddin Darus, guna nama ‘Pemerhati’ di bawah jodol ‘Ole ole dari Kongres PAS’.

Begini liputannya:

‘Muktamar Agung PAS ke 5 telah berlangsung 3 hari berturut-turut sejak 23 hingga 25 Disember 1956 yang lalu. Sebagai seorang yang pernah mengikuti dan menghadiri majlis-majlis mesyuarat agung PAS masa lalu, nyata sekali PAS telah mendapat sambutan rakyat di seluruh tanah air. Terbukti dengan adanya wakil-wakil district atau jajahan dari tiap-tiap negeri Melayu, kecuali Melaka.

Apa yang menarik perhatian saya kali ini ialah adanya wakil-wakil badan politik lain turut hadir di dalam rapat umum yang diadakan pada hari pertama persidangan agung itu dibuka. Juga turut hadir dalam rapat umum itu, wakil-wakil dari Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII), iaitu saudara-saudara Anuar Akraman dan Abdul Majid Haryadi. Rapat umum dimulai dengan pembacaan Al-Qur’anul Karim oleh Tuan Haji Abdul Latif dari Kelantan untuk tabarruk.

Saudara Abdul Hajid Haryadi sebelum berpidato telah menyampaikan salam muhibbah dari Tuan Muhammad Nasir, Ketua Umum Masyumi untuk pejuang-pejuang Islam di Tanah Melayu ini. Pesanan Muhammad Nasir yang disampaikan jua oleh saudara wakil GPII itu ialah:

Jangan merasa sombong jikalau mendapat kemenangan dan jangan merasa berputus asa kalau mendapat kekalahan.

Pesanan ini, pesanan yang diminta sampaikan oleh seorang Bapa Perjuangan Islam Indonesia itu sangat besar kesannya mempengaruhi jiwa para perserta mesyuarat agung PAS seluruhnya. Dalam rapat umum PAS itu, turut berucap Tuan Dr Burhanuddin dan Yahaya Nasim wakil Partai Rakyat. Sesudah rapat umum, Kongres Pemuda PAS dijalankan. Pemilihan ketua-ketua dan anggota-anggota dewan pimpinan telah berlangsung dengan baik, yang hasilnya terpilih satu barisan atau jamaah pimpinan Dewan Pemuda PAS yang boleh dipertanggungjawabkan.

Mudah-mudahan, Dewan Pemuda PAS akan berkembang luas dalam tempoh yang sesingkat-singkatnya. Mesyuarat agung PAS dalam keseluruhannya, nampaknya lebih tenang dari masa-masa yang sudah. Para perwakilan dapat berkerjasama hingga perjalanan mesyuarat itu mendapat sepenuh-penuh kejayaan. Dalam memilih pegawai-pegawai dan Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Agung seperti biasa dilakukan secara sulit.

Mulanya ada 3 calon untuk dipilih menjadi Yang Dipertua Agung PAS, iaitu Zulkifli Muhammad, Haji Hasan Adli dan Dr Burhanuddin. Tetapi dengan terpilihnya Hasan Adli menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, maka beliau dengan sendirinya telah menjadi seorang dari Naib Yang Dipertua Agung PAS. Yang demikian hanya tinggal 2 calon sahaja yang akan dipilih oleh para perwakilan dengan tiada sebarang kempen.

Satu jamaah penyelia pilihanraya dilantik oleh jamaah mesyuarat sebelum kertas undi dibahagikan. Jamaah penyelia semuanya seramai 10 orang dan mereka lebih dahulu memeriksa kertas-kertas undi yang mempunyai tanda rasmi serta menetapkan peraturan mengundi. Undi kerana memilih Yang Dipertua Agung dijalankan. Sementara kertas-kertas sedang dihitung, seluruh mata dan telinga menuju kepada penyelia pilihan raya PAS, masing-masing hendak mengetahui keputusan undi itu.

Akhirnya kiraan undi menunjukkan 12 suara memilih Zulkifli Muhammad, 84 suara memilih Dr Burhanuddin. Dan undi rosak sebanyak 4 sahaja. Keputusan ini disambut dengan takbir dan teriakan merdeka oleh para perwakilan. Demikianlah terpilihnya Dr Burhanuddin Al-Helmy bukan dengan kemahuan beberapa orang PAS, tetapi nyata sekali pilihan itu oleh sebahagian besar dari orang-orang PAS.

Sesudah semua pegawai dan AJK Agung PAS yang baru; dipilih, rapat umum penutup diadakan pula. Di mana Tuan Dr Burhanuddin muncul ke hadapan bukan lagi sebagai bekas pimpinan, bukan lagi sebagai tokoh politik bersendirian, tetapi sebagai pemimpin parti politik yang tegas dalam cita-cita perjuangan terhadap kawan dan lawan. Ucapan beliau yang pertama setelah kembali memegang memegang parti politik memakan masa lebih dari 2 jam.

Sebagai tanda gembira dengan terpilihnya Dr Burhanudin, wakil PAS cawangan Bangsar Road, mengkalungkan bunga ke leher Dr, dan Dewan Pemuda PAS menghadiahkan sebuah Al-Qur’an bersama sebuah buku undang-undang dasar PAS dengan satu peringatan supaya sentiasa tunduk kepada ajaran Al-Qur’an. Yang mana itulah satu dasar dan pegangan PAS yang termaktub dalam undang-undang tubuh PAS.

Tuan Haji Ahmad Tuan Husin wakil PAS di Federal Council (wakil rakyat tunggal kawasan parlimen Kerian, Perak) memberi peringatan halus kepada Tuan Yang Dipertua baru. Demikian juga wakil Hilir Perak, Haji Ahmad Haji Ali telah membacakan satu ucapan lengkap, merupakan ucapan taat setia tetapi bersekali dengan amaran keras. Amaran terakhir diberi oleh saudara Uthman Abdullah bekas Ketua Pemuda PAS.

Keseluruhan dari peringatan dan amaran itu, ialah mengingatkan Dr Burhanuddin supaya memperjuangkan cita-cita Islam yang termaktub di dalam undang-undang dasar PAS. Demikian beberapa kejadian yang telah berlaku dalam majlis persidangan PAS baru-baru ini, yang diakhiri dengan bergambar ramai di halaman Sultan Sulaiman Kelab untuk terus menghidupkan kenangan kepada kejadian yang bakal menjadi sejarah di masa hadapan.

Peristiwa yang berlaku dalam mesyuarat agung PAS telah kita ketahui. Satu perkara lagi yang tak patut kita lupakan, ialah kejadian-kejadian yang berlaku di ‘Asrama Mujahidin’, demikian gelaran yang diberi oleh seorang kawan kepada Dewan Masyarakat Kampung Baru Kuala Lumpur, yang telah dipinjamkan kepada PAS untuk tempat penginapan para perwakilan dan pemerhati seluruhnya.

Di sana, pada malam sesudah mesyuarat diadakan majlis membaca Al-Qur’an, yang dibacakan oleh Tuan Haji Abdul Latif, dari Tumpat, Kelantan. Tiap-tiap kali diadakan majlis seumpama itu, derma kilat dijalankan sebagai derma kepada Tabung Kewangan Pejabat Agung PAS. Di antara derma-derma yang diterima selain daripada wang tunai, juga sebutir telur dan sebatang ballpen yang kemudiannya dilelong kepada ramai. Hasil dari ‘Lelong Merdeka’ ini, berjumlah hampir $50.

Derma kilat yang akhir sekali dijalankan ialah kerana menyediakan asas derma tabung pilihan raya. Ini juga mendapat sambutan yang memuaskan. Pada malam akhir sesudah persidanagan, pihak panitia sambutan menyediakan jamuan nasi minyak untuk seluruh para perwakilan. Dan besoknya, pada 26 Disember 1956, semua peserta mesyuarat agung PAS ke 5, mula beredar meninggalkan kota Kuala Lumpur.

Masing-masing kembali membawa oleh-oleh sambil bernyanyi mengingatkan lagu rasmi PAS yang telah dipelajari dari wakil Kota Bharu sepanjang malam perpisahan itu. Saya dan kawan-kawan seperjuangan kembali ke tempat masing-masing dengan kenamg-kenangan dan perasaan baru, dengan tekad baru untuk menghadapi perjuangan yang lebih hebat lagi di masa akan datang.’

Demikianlah liputan Muktamar Ke 5 dalam majalah PAS ‘Suara Islam’ bilangan ke 3. Majalah ini hanya dapat bertahan sehingga menjelang pilihan raya1959 sahaja. Lepas itu tiada kedengaran lagi. Itulah antara perkara-perkara menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5.


Rujukan:

1.‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957.

2.Amaluddin Darus. Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

2 comments:

PRO ISLAM said...

Salam,

Izinkan saya copy&paste apa2 artikal sejarah PAS dari blog tuan untuk dimuat dalam blog saya sebagai rujukan dan rakan2 yang melayari blog saya. Wassalam terima kasih

Ibnu Hasyim said...

Boleh. Maaf lambat jawab.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails